Teruskan Bertaubat Jangan Ulangi Kesalahan Yang Sama
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Bertaubat adalah salah satu cara seorang manusia ingin membersihkan diri daripada noda dan dosa yang telah dilakukannya kepada Allah SWT. Kadangkala seseorang telah bertaubat tetapi dia masih mengulangi kesalahan yang sama.
Oleh it bagaimanakah cara-cara untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama?
Beberapa tindakan yang mampu dilakukan untuk mengelak diri daripada mengulangi kesalahan yang sama untuk kedua kalinya.
Terdapat 4 langkah-langkah yang perlu diambil perhatian iaitu :
Pertama : Segera bertaubat kepada Allah SWT semoga dosa yang lama diampunkan-Nya dan mengiringi perbuatan dosa dengan kebaikan yang akan menghapuskan dosa.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Seandainya kamu melakukan perbuatan dosa sehingga dosa –dosamu mencapai setinggi langit, kemudian kamu bertaubat nescaya Allah akan mengampuninya (menerima taubatmu)”. (Hadis Riwayat Baihaqi)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Seorang yang bertaubat dari suatu dosa seakan-akan tidak pernah memiliki dosa.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Apabila kamu berbuat dosa, maka lakukanlah kebaikan (untuk menghapuskannya.” (Hadis Riwayat Baihaqi)
Kedua : Mengukuhkan azam untuk memperbaiki diri.
Penyebab utama seseorang menjadi lemah di hadapan dosa-dosa adalah kerana ketiadaan atau lemah tekad untuk menghidarinya sehingga mudah untuk melakukan dosa secara berulang kali.
Firman Allah dalam Surah Thaha ayat 115 yang bermaksud: "Dan Sesungguhnya Telah kami pesankan kepada Adam dahulu, tetapi dia lupa (akan perintah itu), dan tidak kami dapati padanya kemauan yang kuat."
Perintah Allah SWT ini tersebut dalam ayat 35 surat Al Baqarah yang bermaksud:
"Dan kami berfirman: "Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik dimana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim."
Ketiga : Mencari suasana yang baik untuk membaiki diri. Apabila berada di kalangan orang yang baik-baik maka orang akan rasa malu untuk melakukan dosa.
Itulah hikmah orang yang membunuh 100 orang dianjurkan untuk berhijrah ke tempat lain yang didiami oleh orang yang baik-baik dan rajin beribadah kepada Allah SWT.
Keempat : Memohon perlindungan daripada Allah SWT dan memperbanyakkan zikir. Seorang perlu memohon perlindungan daripada Allah SWT daripada gangguan syaitan yang terkutuk.
Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, Maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya."(Surah Al- Araf ayat 201)
Sahabat yang dimuliakan,
Diantara sifat orang mukmin yang mendapat kelazatan iman ialah sentiasa menyedari bahawa maksiat adalah cabang kepada kekufuran. Kekufuran akan menyebabkan ia tercampak ke dalam neraka.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Ada tiga sifat, barangsiapa yang pada dirinya terdapat 3 sifat ini, ia akan merasakan kelazatan iman: .... ia membenci untuk kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkan dirinya dari kekafiran sebagaimana ia membenci apbila dilemparkan ke dalam api neraka.” (Muttafaqun ‘Alaih).
Hendaklah kita mempelajari segala hal yang berkaitan dengan dosa dan akibat buruk serta negatif daripada perbuatan dosa tersebut agar berwaspada dan menjauhkan diri daripada dosa berkenaan.
Seorang mukmin yang bertaubat ialah orang yang mengambil pengajaran daripada kesalahan diri sendiri. Tetapi lebih banyak lagi jika mengambil pengajaran daripada perbuatan atau kesalahan orang lain agar tidak melakukan kesilapan atau kesalahan yang sama.
No comments:
Post a Comment