Wednesday, February 19, 2014

CIRI-CIRI ULAMA PEWARIS NABI

Ciri-ciri Ulama' Pewaris NABI..

Ibnu Abbas berkata : Ulama’ ialah orang-orang yang mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Dan tambahnya lagi : Orang alim tentang Allah Maha Penyayang ialah orang yang tidak melakukan syirik dengan Allah sesuatu pun serta dia menghalalkan apa yang dihalalkan dan mengharamkan apa yang diharamkan. Dia turut memelihara wasiatNya disamping yakin bahawa dia tetap akan menemuiNya dan Dia bakal menghitungkan amalannya.

Manakala Hasan al-Basri pula berkata :" Orang alim ialah orang yang takutkan Allah yang Maha Pemurah semasa dia tidak dilihat orang lain atau semasa dia tidak melihat Allah atau tidak melihat azab Allah serta dia gemarkan perkara yang disukai Allah dan dia menolak perkara yang dimurkai Allah."

Ciri-ciri ulama’ pewaris nabi ialah yang pertama bersifat takutkan Allah sebagaimana Firman Allah dalam ayat 28 surah Fathir :
إنما يخشى الله من عباده العلمــؤا إن الله عزيز غفور
Maksudnya : "….. Sesungguhnya golongan yang paling takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya ialah para ulama’. Sesungguhya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun."

Ibnu Abbas berkata : Sesiapa yang takutkan Allah maka dia adalah orang alim.

Ciri kedua ialah beramal dengan segala ilmunya sebagaimana sebuah hadis dalam Sunan Ad-Darimi : فَإِنَّمَا العَالِم مَنْ عَمِلَ بِمَا عَلِمَ
Maksudnya : Sesungguhnya orang alim itu adalah orang yang beramal dengan apa yang dia ketahui

Sayyidina Ali berkata : Wahai orang yang mempunyai ilmu! beramallah kamu dengannya kerana sesungguhnya orang yang alim itu adalah orang yang beramal dengan ilmu yang dia ketahui serta selaras antara ilmunya dengan amalannya

Ciri ketiga ialah hatinya bersih daripada syirik dan maksiat serta tidak tamak kepada habuan dunia. Ibnu Umar berkata : Tiadalah seseorang lelaki itu dianggap alim sehinggalah dia tidak hasad dengki kepada orang yang lebih alim daripadanya dan tidak menghina orang yang kurang daripadanya serta tidak mencari dengan ilmunya upahan kebendaan.

Ciri keempat ialah ulama’ ini meneruskan tugas nabi iaitu mengajar, mendidik, membersihkan hati umat daripada syirik dan maksiat serta berdakwah dan memerintah mengikut perundangan Allah sebagaimana kita fahami daripada ayat 2 surah al-Jumaah :

هو الذي بعث فى الأميئن رسولا منهم يتلوا عليهم ءايــته ويزكيهم ويعلمهم الكتب والحكمة وإن كانوا من قبل لفى ضلــل مبين

Maksudnya :" Dialah (Allah) yang telah mengutuskan kepada kalangan orang-orang arab yang buta huruf seorang rasul dari bangsa mereka sendiri yang membacakan ayat-ayat Allah yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya. Dan membersihkan mereka daripada aqidah yang sesat serta mengajarkan mereka kitab Allah dan hikmat pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat. Dan sesungguhnya mereka sebelum kedatangan nabi Muhammad s.a.w adalah dalam kesesatan yang nyata"

Hadis diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim dalam sohih daripada Abdullah bin Umar telah berkata : Aku mendengar Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud : Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan menariknya secara mengejut sebaliknya Allah akan menarik ilmu itu dengan mematikan para ulama’ sehingga tiba suatu masa yang tiada lagi ada ulama’ maka manusia akan memilih ketua-ketua mereka dari kalangan orang jahil lalu apabila mereka ditanya maka dikeluarkan fatwa yang sesat maka sesatlah mereka serta menyesatkan pula orang lain.

Firman Allah dalam ayat 79 surah Ali ‘Imran :

ما كان لبشر أن يؤتيه الله الكتــب والحكم والنبوة ثم يقول للناس كونوا عبادا لي من دون الله ولكن كونوا ربــنيين بما كنتم تعلمون الكتــب وبما كنتم تدرسون

Maksudnya : Tidak sepatutnya seseorang yang Allah anugerahkan kepadanya Kitab, hikmah dan sifat kenabian lalu dia menyeru kepada manusia : “ Kamu hendaklah menjadi penyembahku bukan penyembah Allah”. Sebaliknya dia mesti menyeru : “ Kamu hendaklah menjadi ulama’ rabbani yang benar-benar faham agama serta mengamalkan apa yang kamu sentiasa ajarkan tentang isi Kitab dan dengan apa yang kamu sentiasa mempelajarinya”.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML