Qada' Solat Fardhu
Soalan-soalan:
Mengqada'kan Solat
Masa Mengqadha' Solat
Tertidur Waktu Solat Subuh
Terlewat Solat Subuh
Mengqada Solat yang Tertinggal
1. Mengqada'kan Solat
Soalan:
Adakah perlu mengqada' solat fardhu yang telah ditinggalkan atau cukupkah dengan bertaubat sahaja?
Abdullah, KL
Jawapan:
Pengertian qada' menurut bahasa ialah menunaikan dan membayar. Menurut istilah pula ialah menunaikan ibadat di luar waktunya atau masih di dalam waktunya. Mereka yang meninggalkan solat sama ada sengaja atau tidak, diwajibkan mengqada'kan solat itu di luar waktunya. Meninggalkan solat tanpa uzur yang syarie' dianggap berdosa. Uzur yang dibenarkan ialah dua perkara iaitu terlupa dan tertidur.
Mereka yang meninggalkannya sama ada terlupa atau tertidur atau sengaja, wajib bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat yang bersungguh-sungguh. Taubat tidak akan diterima selagi tidak memenuhi syarat-syarat taubat iaitu, tidak lagi meninggalkan solat dalam keadaan bagaimana sekalipun, menyesal di atas segala perbuatan maksiat khususnya solat yang ditinggalkan dan berazam tidak akan mengulangi semua keburukan pada masa akan datang. Wajib ke atasnya mengqada' semula solat-solat yang telah ditinggalkan.
Kembali ke atas ↑
2. Masa Mengqadha' Solat
Soalan:
Bilakah tepat masanya yang sesuai untuk kita mengqadha' solat fardhu?
Jaffa, Singapura
Jawapan:
Para ulama sepakat bahawa mengqadha' solat itu wajib bagi orang yang lupa atau tertidur, sebagaimana dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW: "Sebenarnya bukanlah termasuk lalai kerana tertidur. Kelalaian itu ialah di waktu bangun. Maka apabila seseorang lupa solat atau ia tertidur, hendaklah ia melakukannya jika telah ingat atau sedar". Orang yang pengsan, tidak perlu mengqadha' solatnya, kecuali bia ia sedar itu cukup waktu untuk bersuci dan bersolat.
Adapun orang yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka menurut mazhab Jumhur ia berdosa dan wajib mengqadha'. Sebaliknya Ibnu Taimiyah berkata: "Orang yang sengaja meninggalkan solat, tidaklah diperintah oleh syarak mengqadha' dan jika diqadha' juga maka tidak sah, hanya ia harus memperbanyak solat sunat".
Kemudian menurut Abu Hanifah, Malik dan Syafei berpendapat bahawa ia harus mengqadha' bila waktunya habis, bahkan Imam Malik dan Imam Abu Hanifah mengatakan bahawa barangsiapa yang meninggalkan solat atau beberapa solat, ia boleh mengqadha' sebelum solat yang waktunya hadir, ini bila yang sengaja ditinggalkan itu lima kali solat atau kurang, baik waktu hadir itu sudah habis atau belum. Namun kalau lebih dari lima waktu, maka dimulai dengan solat yang hadir waktunya itu.
Kembali ke atas ↑
3. Tertidur Waktu Solat Subuh
Soalan:
Saya mendengar ada orang mengatakan kalau kita terlewat bangun waktu Subuh lalu waktu Syuruk telah lepas, kita boleh terus sembahyang Subuh tanpa perlu niat Qadha'. Betulkah Ustaz? Kalau boleh Ustaz tolong jelaskan?
Abdullah, KL
Jawapan:
Jika kita terlewat waktu subuh kerana tertidur, sedangkan waktu syuruk telah lepas ataupun matahari telah terbit, maka ketika terjaga tersebut segeralah mengerjakan solat Subuh. Tidak perlulah kita berniat qadha', sebab terlepas sesuatu hukuman tersebut lantaran bukan sengaja. Namun jika kita mengetahui telah masuknya waktu subuh tetapi kita meneruskan tidur, maka perkara ini jelas berdosa.
Kembali ke atas ↑
4. Terlewat Solat Subuh
Soalan:
Saya telah terlewat bangun untuk mengerjakan sembahyang subuh sehingga luput waktunya, bolehkah saya mengerjakan sembahyang subuh itu walaupun telah luput waktunya atau saya perlu mengqadanya bila waktu zuhur?
MS, Shah Alam
Jawapan:
Meninggalkan solat secara sengaja adalah berdosa. Ini kerana solat itu adalah tiang agama. Sesiapa yang menunaikannya bererti telah mendirikan agama dan sesiapa yang mencuaikannya bererti meruntuhkan agama. Namun begitu bagi orang yang tertinggal solat bukan dengan cara sengaja seperti bangun subuh lewat dari waktunya, maka yang terlibat tidak berdosa.
Bagaimanapun ia dikehendaki segera mengqada'kannya tanpa menunggu masuknya waktu zohor. Ini berdasarkan sebuah hadis yang sahih yang menjelaskan Allah SWT tidak mengambil kira amalan yang dilakukan oleh umat Muhammad yang dilakukan secara tersalah, terlupa atau terpaksa.
DN 200 Bimbingan Lengkap Ibadah Solat
DN 176 Menjawab Kemusykilan Ibadah Solat (Edisi Rumi)
DN 187 Solat - Persoalan & Penjelasan
Kembali ke atas ↑
5. Mengqada Solat yang Tertinggal
Soalan:
Bagaimanakah caranya untuk mengqadakan sembahyang yang tertinggal, dan apakah niatnya?
Azham,Sg Petani
Jawapan:
Para ulama sepakat bahawa mengqada solat itu wajib bagi orang yang lupa atau tertidur. Begitu juga meninggalkan solat dengan sengaja maka menurut mazhab jumhur ia berdosa dan wajib mengqadha. Menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Syafie, orang yang meninggalkan solat wajib mengqadanya. Bahkan Imam Malik dan Imam Abu Hanifah mengatakan bahawa barangsiapa meninggalkan solat atau beberapa solat, ia boleh mengqada sebelum solat yang waktunya hadir. Ini bila solat yang ditinggalnya itu lima kali solat atau kurang, baik waktu hadir itu sudah habis atau belum. Tetapi kalau lebih dari lima waktu, maka supaya dimulai dengan solat yang hadir waktunya itu.
Mengenai niat, cukup dengan menanamkan niat dalam hati bahawa solat yang akan kita kerjakan itu merupakan solat qada dari solat-solat tertentu yang tertinggal.
Kembali ke atas ↑
No comments:
Post a Comment