Saturday, March 1, 2014

FIVE 'J'

Jauhi Permusuhan dan Perbalahan Sesama Mukmin

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, Jauhilah perbuatan suka mengadu domba iaitu dipanggil 'An-Namimah' kerana mengadu domba adalah perbuatan yang amat dicela oleh Islam.
Nabi SAW bersabda :
‏لا يدخل الجنة ‏ ‏نمام
Maksudnya : "Tidak masuk syurga orang yang suka mengadu domba" (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Huraian ringkas berkenaan tajuk yang disebut dalam kitab "Al-Halal Wal Haram" oleh Dr Yusof Al-Qaradawi sangat baik dibaca oleh ilmuan dan para pengaji agar tidak tergolong dalam kumpulan pengadu domba yang memburukkan keadaan, memutuskan ikatan kasih antara muslim dengan berselindung di balik ‘niat baik' kononnya untuk meluruskan orang yang sedang menyeleweng. 

Dalam keghairahan menegakkan hujjah, pendekatan, keutamaan yang diletak oleh kumpulan dan perjuangan masing-masing, ramai yang tidak sedar bahawa syaitan bertapak semakin hebat dalam diri. Sedarkah kita bahawa syaitan pasti melontarkan rasa keakuan, ego, sombong, rasa diri ‘alim kerana hujjah mantap?. Ketika itu, secara sedar atau tidak, sekiranya hujjah di pihak lain adalah benar sekalipun , ianya tetap akan dilihat salah, sekaligus menolaknya dengan pantas, sambil merujuk kepada  pendapat dan hujjah masing-masing untuk mencari hujjah tambahan. 

Jika ini berlaku, tiada lagi usaha mencari kebenaran tulen, yang ada hanyalah usaha menunjukkan ke'alim'an masing-masing. Adakalanya, belum pun sesuatu hujah orang lain diamati sehingga habis ayat-ayatnya, telah digelengkan kepala, ditertawakan, diberikan senyuman sumbing tanda hinaan terhadap hujah orang lain.

Nabi SAW menyebut :
الكبر بطر الحق وغمط الناس
" Takabbur itu adalah menolak kebenaran dan memperlekehkan manusia" ( Hadis Riwayat Muslim) 

Berkata Syeikh Abu Raghib akan erti "Batar" dalam hadis di atas :-
"Rasa ‘ujub' atau keajaiban diri yang menyelubungi individu ketika diseliputi nikmat (termasuk nikmat ilmu)" 

Sahabat yang dimuliakan,
Perbahasan atau perdebatan ilmu untuk mencari kebenaran tidak dilarang dengan syarat masing-masing mengutamakan ukuwah Islamiah, kasih sayang dan keikhlasan. Bukannya berdasarkan emosi dan rasa ego dengan pendapat sendiri dengan meremehkan pendapat muslim yang lain.

Lihatlah beberapa hadis Nabi SAW  yang melarang pertengkaran, perbalahan dan saling kecam mengecam dan hina menghina sesama mukmin.

1. Menyebarkan fitnah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Membuat fitnah adalah salah satu dosa besar yang amat dibenci oleh Allah SWT. Sekiranya seseorang mempunyai aib sekalipun Islam melarang aib tersebut di dedahkan dan disebarkan, apatah lagi seseorang itu tidak ada aib sedangkan dia dituduh dengan sesuatu aib.

2. Memutuskan silaturahim.

"Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Tidak akan masuk syurga bagi yang memutuskan silaturahim".
(Hadis Riwayat Muslim)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak ada dosa yang lebih layak dipercepat hukumannya di dunia, dan apa yang dipersiapkan Allah baginya di akhirat daripada tindakan kezaliman dan memutuskan hubungan silaturrahim”. (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Tarmizi)

"Sesungguhnya lelaki yang paling dibenci Allah ialah yang paling gigih dalam permusuhan." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dari Abi Hurairah r.a, dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam baginda bersabda : "Seorang muslim adalah seorang yang apabila orang lain terselamat daripada lidahnya dan tangannya dan seorang mukmin adalah seorang yang apabila orang lain berasa aman daripadanya terhadap jiwa dan harta benda mereka". (Hadis Riwayat an-Nasaie)

3. Menyakiti hati orang Islam.

Dalam hadis Nabi yang diriwayatkan dari Ibnu Umar ia berkata: Rasulullah SAW pernah naik mimbar kemudian menyeru dengan suara yang keras:
"Hai semua orang yang telah menyatakan beriman dengan lidahnya tetapi iman itu belum sampai ke dalam hatinya! Janganlah kamu menyakiti orang-orang Islam dan jangan kamu menyelidiki cacat-cacat mereka. Sebab barangsiapa menyelidiki cacat saudara muslim, maka Allah pun akan menyelidiki cacatnya sendiri; dan barangsiapa yang oleh Allah diselidiki cacatnya, maka Ia akan nampakkan kehidupan dalam perjalanan yang jauh." (Hadis Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)

4. Menghina orang Islam.

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Seorang muslim itu saudara muslim yang lain. Dia tidak akan mengkhianatinya, mendustainya dan menghinanya. Setiap muslim haram (mencemar) maruah, harta dan darah muslim yang lain. Takwa itu di sini (hati). Cukuplah untuk dianggap seseorang melakukan kejahatan dengan dia menghina saudara muslimnya. (Hadis Riwayat al-Tirmizi, kata hadis ini hasan. Kata al-Sakhawi: Ianya hasan sahih)

5. Mengadu domba.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Tidak masuk syurga orang-orang yang suka mengadu domba." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

6. Suka maki hamun .

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Wahai Ali ! Janganlah engkau mencaci-maki orang Islam atau mencaci-maki binatang kerana cacian itu akan kembali dirimu sendiri.

Wahai Ali ! Kuasailah lisanmu dan biasakanlah dia mengucapkan yang baik, kerana tidak ada yang lebih berbahaya bagi manusia pada hari kiamat yang melebihi ketajaman lisannya.

Wahai Ali ! Jauhilah tukang caci-maki kerana ia suka membuka aib orang dan ia tidak akan masuk syurga."

Dari Abu Hurairah ra katanya Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang berkata, ‘Celakalah mereka!’ maka orang itulah yang paling celaka.” (Hadis Riwayat Muslim no. 2251)

7. Menuduh kafir, sesat atau bidaah dalalah.

Dari Abu Zar ra, ia mendengar Nabi SAW bersabda, “Seorang lelaki yang menuduh lelaki lain jahat, atau menuduhnya kafir, maka tuduhan itu berbalik kepadanya, jika orang yang dituduhkannya itu tidak seperti itu.”  (Hadis Riwayat Bukhari no. 1709)

Berhati-hatilah jika kalian cuba menuduh pihak lain sesat atau kafir sekiranya golongan yang dituduh tidak sesat disisi Allah maka kesesatan dan kekafiran itu jatuh kepada golongan yang menuduh tadi.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita menjauhkan diri daripada perbahasan, pertengkaran dan tuduh menuduh dalam perkara-perkara khilafiah dan furuk (cabang-cabang Islam) dan utamakanlah ukhwah Islamiah dan kasih sayang sesama saudara muslim. 

Perhatikanlah firman Allah SWT yang bermaksud :"Wahai orang yang beriman . Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain,(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan ke’aiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik,)maka amatlah buruknya sebutan nama fasik(kepada seseorang) sesudah ia beriman,Dan(ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim."
(Surah al-Hujurat ayat 11)

Sifat Berbaik Sangka Sesama Muslim Calun Ahli Syurga

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Suatu hari, Rasulullah SAW  sedang duduk di masjid dikelilingi para sahabat. Beginda sedang mengajarkan ayat-ayat al-Quran. Tiba-tiba Rasulullah SAW. berhenti sejenak dan berkata,”Akan hadir diantara kalian seorang calon penghuni syurga”. Para sahabat pun bertanya-tanya dalam hati, siapakah orang istimewa yang dimaksud Rasulullah ini?. Dengan rasa berdebar-debar mereka menunggu kedatangan orang tersebut. Semua mata memandang ke arah pintu.

Tidak berapa lama kemudian, seorang lelaki melenggang masuk masjid. Para sahabat hairan, inikah orang yang dimaksud Rasulullah? Dia tak lebih dari seorang lelaki dari kaum ansar (orang kebanyakan). Dia tidak termasuk di antara sahabat utama. Dia juga bukan dari golongan tokoh Quraisy. Bahkan, tidak banyak yang mengenalnya. Pun, sejauh ini tak terdengar keistimewaan dia.

Ternyata, kejadian ini berulang sampai tiga kali pada hari-hari selanjutnya. Tiap kali Rasulullah berkata akan hadir di antara kalian seorang calon penghuni syurga, lelaki tersebutlah yang kemudian muncul.

Maka para sahabat pun menjadi yakin, bahawa memang lelaki itulah yang dimaksud Rasulullah. Mereka juga menjadi semakin kehairanan, amalan istimewa apakah yang dimiliki lelaki ini hingga Rasulullah menjelaskan bahawa dia adalah sebagai calon penghuni syurga?

Akhirnya, para sahabat pun sepakat mengutus salah seorang di antara mereka untuk mengamati kehidupan harian lelaki ini. Maka pada suatu hari, sahabat yang diutus ini menyatakan keinginannya untuk bermalam di rumah lelaki tersebut. Lelaki tersebut iaitu calon penghuni syurga mempersilakannya.

Selama tinggal di rumah lelaki tersebut,  sahabat terus-menerus mengikuti kegiatan lelaki calon penghuni syurga. Saat lelaki tersebut makan,  sahabat ikut makan. Saat lelaki tersebut mengerjakan pekerjaan rumah, sahabat menunggui. Tapi ternyata seluruh kegiatannya biasa saja. “Oh, mungkin ibadah malam harinya sangat khusyuk” fikirnya. Tapi ketika malam tiba, lelaki tersebut bersikap biasa saja. Dia mengerjakan ibadah wajib sebagaimana biasa. Dia membaca al-Quran dan mengerjakan ibadah sunnah, namun tidak banyak. Ketika tiba waktunya tidur, dia pun tidur dan baru bangun ketika azan subuh berkumandang.

Sungguh, sahabat hairan, sebab ia tidak jua menemukan sesuatu yang istimewa dari lelaki ini. Tiga malam  sahabat bersama  calon penghuni syurga, tetapi semua tetap seperti biasa sahaja.

Akhirnya, sahabat itu pun pun berterus terang akan maksudnya bermalam. Dia bercerita tentang pernyataan Rasulullah SAW. Kemudian dia bertanya,“Wahai sahabatku, sesungguhnya amalan istimewa apakah yang kau lakukan sehingga kau disebut salah satu calon penghuni syurga oleh Rasulullah? Tolong beritahu aku agar aku dapat mencontohimu”.

Lelaki itu menjawab,” Wahai sahabat, seperti yang kau lihat dalam kehidupan sehari-hariku. Aku adalah seorang muslim biasa dengan amalan biasa pula. Namun ada satu kebiasaanku yang boleh kuberitahukan padamu. Setiap menjelang tidur, aku berusaha membersihkan hatiku. Kumaafkan orang-orang yang menyakitiku dan buang semua iri, dengki, dendam dan perasaaan buruk kepada semua saudaraku sesama muslim. Hingga aku tidur dengan tenang dan hati bersih serta ikhlas. Barangkali itulah yang menyebabkan Rasulullah SAW. menyatakan demikian.”

Mendengar penjelasan itu, wajah  sahabat menjadi berseri-seri. “Terima kasih sahabatku atas hikmah yang kau berikan. Aku akan memberitahu para sahabat mengenai hal ini”. Sahabat pun meminta izin untuk pulang dengan membawa pelajaran yang sangat berharga.

Sahabat yang dimuliakan,
Al-Quran dalam surah al-Hujuraat ayat 12 dengan jelas menghuraikan persoalan fitnah. Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi maha Pengasihani".

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Kemudian, maka hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik dan kalau tidak, hendaklah diam." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ini membawa maksud bahawa seseorang yang beriman itu perlu sentiasa mengawasi lidahnya dan apabila berkata hanya kepada perkara-perkara yang memberi kebaikan.

 Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak akan masuk syurga pembawa fitnah” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Datuk Dr Fadzilah Kamsah berkata : "Program minda/cuci minda - Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata. Katakan didalam hati: "Ya Allah, cuci otak aku, cuci hatiku. Esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif." Menurut kajian saikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya . Katanya lagi : "Bermaaf-maafan sesama kawan setiap hari - Semasa meminta maaf perlu sebutkan."

Sahabat yang dikasihi,
Bagaimana kita hendak bersihkan hati-hati kita supaya sentiasa berbaik sangka sesama suami-isteri, sahabat-sahabat seperjuangan, rakan sekerja, saudara-mara, jiran tetangga dan saudara muslim yang lain? Nampak seperti mudah tetapi hakikat sebenarnya agak sukar hati kita hendak berbaik sangka. Puncanya adalah kerana mungkin kita pernah di anianya oleh rakan rapat kita menyebabkan kita sudah tidak yakin lagi kepada sesiapa dalam hidup kita. Mungkin ramai orang suka mengambil kesempatan di atas sikap baik sangka kita terhadap mereka.

Walaupun pengalaman kita pernah di anianya sekali pun kita tidak boleh simpan buruk sangka kepada seseorang kerana hati yang sentiasa bersarang sifat negatif dan buruk sangka sebenarnya kita tidak bebas dan masih bersarang sifat mazmumah dalam hati kita, akibatnya nur kebenaran, keberkatan, taufik dan hidayah daripada Allah SWT sukar masuk ke dalam hati kita. Itu sebabnya kenapa seorang sahabat Ansar yang tidak dikenali dikalangan sahabat Rasulullah SAW telah terjamin syurga untuknya kerana beliau memiliki kekuatan dan kemuliaan hati iaitu hati yang tidak pernah berhasad dengki, buruk sangka dan rasa iri hati.

Rasulullah SAW menyatakan ramai ahli syurga adalah terdiri daripada orang miskin yang bersyukur dan hati yang mereka besih daripada hasad dengki, iri hati dan buruk sangka.

Ramai ahli neraka adalah wanita kerana wanita tidak bersyukur kepada nikmat rezeki daripada suaminya dan sentiasa suka mengumpat, mengadu domba dan berhasad dengki dan buruk sangka.
  
Oleh itu kita perlu berhati-hati supaya amal soleh dan kebaikan kita tidak terhapus disebabkan kita sentaiasa berburuk sangka dan terpengaruh dengan seseorang yang menumpat , mendedahkan aib seseorang dan membuat fitnah. Dan latihlah hati kita supaya sentiasa dapat dijauh daripada buruk sangka dan hasad dengki kerana jika hati kita masih kotor dengan sifat-sifat mazmumah ianya menyukarkan kita untuk menjadi calun ahli syurga. Wauallahualam.

Jauhi Sifat Sangka Buruk dan Hasad Dengki.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Salah satu sifat mazmumah adalah sifat sangka buruk. Sangka buruk ini sering berkait rapat dengan rasa hasad, dengki atau cemburu. Ia amat-amat sukar dibuang namun wajiblah ia dimasukkan dalam senarai utama yang perlu kita usaha hindarinya sedaya upaya. Sekiranya sifat ini menjadi amalan kita maka dikhuatiri hati dan jiwa kita akan sakit dan berpenyakit. Penyakit inilah akan menghalang hidayah dan rahmat Allah s.w.t.

Berbagai prasangka buruk terhadap orang lain sering kali bersemayam di hati kita. Sebagian besarnya, tuduhan itu tidak dibangun di atas tanda atau bukti yang cukup. Sehingga yang terjadi adalah asal tuduh kepada saudaranya. 

Buruk sangka kepada orang lain atau yang dalam bahasa Arabnya disebut su`u zhan mungkin biasa atau bahkan sering hinggap di hati kita. .Yang parahnya, terkadang persangkaan kita tiada berdasar dan tidak beralasan. Memang semata-mata sifat kita suka curiga dan penuh sangka kepada orang lain, lalu kita membiarkan zhan tersebut bersemayam di dalam hati. Bahkan kita membicarakan serta menyampaikannya kepada orang lain. Padahal su`u zhan kepada sesama kaum muslimin tanpa ada bukti yang kukuh merupakan perkara yang terlarang. 

Demikian jelas ayatnya dalam Al-Qur`anil Karim, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah oleh kalian kebanyakan dari persangkaan (zhan) karena sesungguhnya sebagian dari persangkaan itu merupakan dosa.”
(Surah Al-Hujurat: 12)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Tiga perkara lazim yang sukar dibuang oleh umatku : mengganggap sial, hasad dengki dan bersangka buruk" lalu seorang lelaki bertanya : "Apakah yang boleh menghilangkannya wahai Rasulullah ?"
Jawab Nabi s.a.w : "Jika kamu datang perasaan hasad dengki beristighfar lah kamu kepada Allah, apabila kamu bersangka buruk, janganlah kamu membenarkan sangkaan itu, dan apabila kamu menganggap sial belaku, abaikan dan jangan endahkannya"
( Hadis Riwayat At-Tabrani)

Hidup kita tidak lekang dari disangka buruk dan menyangka buruk. Jika diri terlibat, kunci menanganinya adalah beristighfar dan taubat. Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Setiap anak Adam itu ada kesilapan ( berdosa) dan orang berdosa yang terbaik adalah mereka yang bertaubat" 
(Hadis Riwayat At-Tirmidzi)  

Terdapat sebuah lagi hadis yang mempunyai erti yang sama dengannya iaitu :-
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Tiga perkara yang tidak seorang Muslim pun dapat melepaskan diri darinya; sial menyial, sangka buruk, hasad dengki; maka apabila kamu berasa ada sial, jangan kamu pulang dan mengendahkannya, bila kamu hasad, jangan melampau (hingga bertindak) , dan bila kamu bersangka jangan kamu membenarkannya"
 ( (Hadis Riwayat Musannaf Abd Razzak )

Setiap sangka buruk adalah haram dan berdosa ini disebabkan oleh perasaan cemburu, hasad, dengki dan berniat ingin menjatuhkan individu yang dijadikan sasarannya. Keadaan ini berlaku kerana disebabkan lahir dari jiwa dan minda seseorang yang kotor. Ia adalah refleski dirinya yang kerap bergelumang dengan kejahatan dan dosa. Atau dari jiwa yang tiada ikhlas dalam membuat sesuatu perkara. 

Justeru, dalam mindanya kerap tergambar mustahil ada seseorang boleh berbuat atau bercakap baik kecuali mesti ada helah, agenda kepentingan diri dan muslihat di sebalik. Ia berfikiran demikian kerana demikianlah dirinya. Ia melihat orang lain sepertinya.

 Sahabat yang dimuliakan,
Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu pernah menyampaikan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bermaksud :
“Hati-hati kalian dari persangkaan yang buruk (zhan) karena zhan itu adalah ucapan yang paling dusta. Janganlah kalian mendengarkan ucapan orang lain dalam keadaan mereka tidak suka. Janganlah kalian mencari-cari aurat/cacat/cela orang lain. Jangan kalian berlomba-lomba untuk menguasai sesuatu. Janganlah kalian saling hasad, saling benci, dan saling membelakangi. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara sebagaimana yang Dia perintahkan. Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lain, maka janganlah ia menzalimi saudaranya, jangan pula tidak memberikan pertolongan kepada saudaranya dan jangan merendahkannya. Takwa itu di sini, takwa itu di sini.” Beliau mengisyaratkan (menunjuk) ke arah dadanya. “Cukuplah seseorang dari kejelekan bila ia merendahkan saudaranya sesama muslim. Setiap muslim terhadap muslim yang lain, haram darahnya, kehormatan dan hartanya. Sesungguhnya Allah tidak melihat ke tubuh-tubuh kalian, tidak pula ke rupa kalian akan tetapi ia melihat ke hati-hati dan amalan kalian.”
(Hadis Riwayat ِAl-Bukhari dan Muslim)

Al-Imam Al-Qurthubi rahimahullahu menyebutkan dari majoriti ulama dengan menukilkan dari Al-Mahdawi, bahwa zhan yang buruk terhadap orang yang zahirnya baik tidak dibolehkan. Sebaliknya, tidak berdosa berzhan yang buruk kepada orang yang zahirnya buruk.

Al-Imam An-Nawawi rahimahullahu berkata menjelaskan ucapan Al-Khaththabi tentang zhan yang dilarang dalam hadis ini, “Zhan yang diharamkan adalah zhan yang terus menetap pada diri seseorang, terus mendiami hatinya, bukan zhan yang sekadar terbetik di hati lalu hilang tanpa bersemayam di dalam hati. Karena zhan yang terakhir ini di luar kemampuan seseorang. Sebagaimana yang telah lewat dalam hadis bahwa Allah s.w.t. memaafkan umat ini dari apa yang terlintas di hatinya selama ia tidak mengucapkannya atau ia bersengaja” 

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksdu :
“Sesungguhnya Allah memaafkan bagi umatku apa yang terlintas di jiwa mereka selama mereka tidak membicarakan atau melakukannya.” 
(Hadis Riwayar Bukhari)

Sahabat yang dihormati,
Seorang muslim yang secara zahir baik agamanya serta menjaga kehormatannya, tidaklah patut kita berzhan buruk. Bila sampai pada kita berita yang buruk tentangnya maka tidak sepatutnya kita lakukan kecuali tetap berbaik sangka kepadanya.kerana ditakuti kita telah menzalimi saudara kita bila kita terus mempercayainya kerana orang fasik atau munafik memang suka menyebarkan berita palsu atau membuat fitnah.

Akhirkata marilah sama-sama kita bermuhasabah dan sentiasa memperbaiki diri kita dan sentiasa berhati-hati di dalam kehidupan yang mencabar ini yang sentiasa di dedahkan dengan berita-berita sensasi yang belum pasti kesahaihnya. Jauhilah diri kita menjadi penyebar kepada berita-berita palsu dan fitnah kerana orang-orang yang dizalimi do'anya tidak ada hijab dengan Allah s.w.t.dan dihari akhirat nanti orang yang dizalimi dan di fitnah boleh mengambil amal-amal soleh yang kita lakukan.

Jauhkan Daripada Lima Maksiat Yang Akan di Segerakan Balasannya

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Ibnu Omar r.a. berkata: Berhadap Rasulullah SAW. kepada kami (pada suatu hari) kemudian baginda bersabda; "Wahai kaum muhajirin, lima perkara kalau kamu telah dibalakan dengannya (kalau kamu telah mengerjakannya), maka tiada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah SWT., semoga kamu tidak menemui masa itu. 
Perkara­-perkara itu ialah:

1. Tiada terzahir (nampak) perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus terang melakukannya, kecuali mereka akan ditimpa penyakit taun yang cepat merebak di kalangan mereka, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang telah lalu.

2. Dan tiada mereka mengurangkan sukatan dan timbangan, kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka.

3. Dan tiada menahan mereka akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tiada ada binatang (yang juga hidup diatas permukaan bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah SWT.

4. Dan tiada mereka mungkir akan janji Allah dan Rasul-Nya kecuali Allah akan menguasakan ke atas mereka musuh mereka, maka musuh itu merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka.

5. Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di saat ini) Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri ". 

(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Keterangan :

Hadis di atas menerangkan bahawa:

1. Penyakit taun dan penyakit yang belum pernah berlaku menimpa umat-umat yang terdahulu (seperti aids, sifilis, selsema burung, H1N1 dan sebagainya) adalah berpunca dari banyak berlaku perzinaan.

2. Kesukaran mencari rezeki dan kezaliman pimpinan adalah berpunca daripada rakyat yang mengurangkan sukatan dan timbangan.

3. Kemarau panjang adalah berpunca dari tidak megeluarkan zakat.

4. Kemampuan musuh mengambil sebahagian dari apa yang dimiliki oleh kaum muslimin (sepeti hilangnya Tanah Palestin dari tangan kaum muslimin dikuasai oleh Zionis Israel laknatullah, Afginistan dan Iraq dikuasai oleh Amerika) adalah berpunca daripada mereka mengkhianati janji-ianji mereka kepada Allah SWT

5. Perang saudara yang berlaku di kalangan kaum muslimin adalah berpunca daripada mengenepikan hukum­-hukum Allah SWT. dan tidak mahu menjadikan Al-Quran sebagai undang-undang di dalam kehidupan.

Sahabat yang dimuliakan,
Jika kita perhatikan maksud hadis diatas kelima-lima bala tersebut secara realitinya  telah berlaku di dalam masyarakat kita . Gejala sosial dan kemungkaran (dosa-dosa besar) yang dilakukan dalam masyarakat telah sampai kepada kemuncaknya. Punca sebenarnya adalah kerana perkara ke lima iaitu apabila mereka meninggalkan hukum-hukum Allah SWT dan tidak mahu menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup. Oleh itu marilah sama-sama kita kembali kepada Allah SWT dengan mentaati suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.

Jauhkan Daripada Perkara Syubhat.

Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. رضي الله عنهما beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :

"Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. 

Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya.

Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya.

 Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati."
(Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.)


Pokok Perbincangan Hadis :

1) Perkara Halal Jelas, Perkara Haram Jelas : Yang telah dinaskan seperti kahwin, makan benda-benda yang baik dan jual beli cara Islam. Manakala yang haram sprt. minum arak, judi, zina dan riba.

 2) Perkara-perkara Syubhat, berlaku dalam ibadah, muamalat dan lainnya yang tidak jelas halal dan haram dan tidak ada nas padanya. Contoh makanan yang dibuat oleh kilang yang bukan Islam walaupun ada tanda halal dari luar negara.

 3) Bila berhadapan dengan syubhat, hendaklah kita tinggalkan perkara tersebut untuk elakkan dosa dan mencari redha Allah. Apabila kita tinggalkan syubhat akan melahirkan sifat wara’ dan dapat sempurna iman.

4) Peranan Hati adalah penting untuk melaksanakan jihad dan tanggung jawab kepada Allah s.w.t. Apabila hati berpenyakit maka ianya akan merosakkan amal seseorang.

 Pengajaran hadis:

Seseorang mukmin mestilah cuba mengenali dan mempelajari perkara halal dan haram seterusnya melakukan yang halal dan meninggalkan yang haram demi menjaga kemuliaan agamanya. 

 Perkara yang kesamaran, yang belum jelas halal haramnya adalah perkara syubhat yang mesti dijauhi, demi menjaga maruah diri dan keheningan agama.

Sempadan murka dan redha Allah SWT ialah perkara haram. Sesiapa yang melewati garisan dan terjebak melakukan perkara haram, maka dia telah melewati sempadan kemurkaan Allah.

Hati adalah raja segala anggota yang mesti dipastikan keelokannya dan kebersihannya justeru kerosakan dan kemusnahannya akan merosakkan dan memusnahkan seluruhan anggota badan yang lain.

Jauhilah Perbuatan Mengumpat, Memfitnah dan Buruk Sangka Supaya Terselamat Daripada Kemurkaan Allah SWT

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tahukah kamu apa ghibah itu? Para sahabat menjawab : “Allah dan RasulNya lebih mengetahui”. Baginda bersabda : “Menyebut-nyebut sesuatu tentang saudaramu hal-hal yang dia tidak sukai”. (Hadis Riwayat Muslim)

Sebagai pengajaran marilah kita meneliti satu kisah benar berlaku di pinggiran Kota Madinah akibat daripada perbuatan suka mengumpat dan memfitnah.

Dikisahkan dari Amr bin Dinar, bahawa sesungguhnya di kota Madinah ada seorang lelaki yang memiliki saudara perempuan yang tinggal di pinggiran kota Madinah. Pada suatu hari saudara perempuannya itu menderita sakit, ia datang untuk menjenguknya dan mendapat ia sudah meninggal dunia, iapun mengiringinya sampai ke perkuburan apabila jenazah dikebumikan telah selesai, kemudian iapun segera pulang kembali kepada keluarganya ke rumahnya, namun setelah sampai di rumahnya ia teringat bahawa dompet  sahabatnya telah jatuh ke liang kubur dan tertanam bersama mayat saudaranya itu.

Kerana mengingat isi dompet itu sangat penting, maka ia bermaksud akan menggali kuburan saudara perempuannya itu. Setelah mendapatkan izin dari ibunya dan saudaranya yang lain ia segera menggali kuburan, lalu ia mengangkat sebagian tutup liang lahat dengan sangat hati-hati.

“Celaka, aduh celaka ………!” Kata orang itu setelah melihat keadaan liang lahat, maka orang yang mengikutinya segera bertanya: “Ada apa yang berlaku, sehingga engkau kelihatan terperanjat dan bilang celaka, ceritakanlah kepadaku apa yang terjadi dengan saudaramu itu?”

Maka berceritalah ia, bahawa di dalam liang kubur tampak nyalaan api yang sedang menyala-nyala, lalu ia segera menemui ibunya untuk menanyakan perbuatan apa yang telah diperbuat oleh saudara perempuannya itu, ibunya berkata :

“Saudara perempuanmu itu selalu mendatangi pintu tetangganya dan mendengarkan apa yang dibicarakan oleh tetangganya itu (mengumpat), kemudian ia menyebarkan fitnah kepada para tetangganya yang lain."

Setelah mendengarkan penjelasan  ibunya, maka lelaki itu segera mengetahui bahawa saudara perempuannya itu suka mengumpat dan menyebarkan fitnah sehingga menyebabkan ia mendapatkan seksa kubur. Itulah akibat orang yang suka mengumpat dan menyebarkan fitnah yang kelihatannya mudah dan mengasyikkan dan menyenangkan orang yang mengumpat.

Dari Hudzaifah r.a, katanya Rasulullah SAW telah bersabda : “Tidak akan pernah masuk syurga orang yang suka mengumpat”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila Allah SWT telah membuka hijab di antara alam barzakh dengan alam dunia, telah terlihat kubur orang yang suka mengumpat dan memfitnah ini kejadian luar biasa berlaku "mayat dibakar" ini bermakna tanda kemurkaan Allah SWT. kepada jenazah tersebut. Ini adalah contoh kematian su'ul khatimah.

Sesungguhnya berbicara itu mudah, tetapi berat menanggung akibatnya. Mulut ini bagaikan muncung teko yang hanya mengeluarkan isi teko. Apapun yang kita katakan lebih menunjukkan siapa sebenarnya diri kita. Misalnya, penghinaan kita terhadap seseorang lebih menunjukkan kehinaan diri kita sendiri dibandingkan kehinaan orang yang kita hina. Kritik dan komen yang kita sampaikan kepada seseorang itu jika tidak hati-hati lebih memperlihatkan kedengkian kita kepada kelebihan diri orang tersebut.

Perkataan yang baik adalah sifat seorang mukmin. Hendaknya setiap orang memastikan bahawa kata-kata yang akan diucapkannya benar-benar baik. Apabila kita tidak yakin akan dapat mengeluarkan kata-kata yang baik, diam itu lebih baik. Berkata yang baik tentunya akan lebih bermanfaat dibandingkan diam. Akan tetapi, menghindari akibat dari perkataan yang kurang baik akan lebih utama dibandingkan kita cuba berbicara yang akan mendatangkan keburukan kepada diri sendiri maupun orang lain.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah berbicara yang baik-baik atau diam”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Alangkah ruginya apabila waktu kita habis untuk sekedar bual-bual kosong hal-hal yang tidak penting. Terkadang kita tidak boleh memastikan apakah pembicaraan yang kita lakukan itu bermanfaat atau tidak. Bahkan, sering kita tidak berdaya untuk menghindar dari pembicaraan yang berisi fitnah, mengumpat dan menghina orang lain .

Semoga Allah SWT mengkaruniakan kepada kita kemampuan untuk menjaga lidah agar selalu berbicara yang bermanfaat.

Berdasarkan Al-Quran dalam surat Al-Hujuraat ayat 6 yang berkaitan dengan larangan berburuk sangka dan mengumpat . Firman Allah SWT maksudnya :  “Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”.

Sesuatu perkara yang cukup merbahaya berlaku dizaman ICT dan alam siber sekarang ini berita fitnah dan menjatuhkan aib seseorang boleh disebarkan di seluruh dunia hanya dengan beberapa perkataan dan tulisan, hinggakan orang yang difitnah tidak berupaya menjawabnya dan terpaksa menerima dan menaggung malu yang amat sangat. Berita palsu menuduh seseorang berzina dan meliwat tanpa membawa empat orang saksi yang adil akan membuat seseorang terpaksa menaggung dosa besar dan perlu dihukum dengan hukum qazab dirotan 80 kali dikhalayak ramai. Jika hukum qazab itu tidak dikenakan keatas mereka yang menuduh dan menyebarkannya di dunia ini maka mereka semua akan diazab dengan azab yang lebih berat dan lebih dahsyat di hari akhirat nanti. Umat Islam yang tidak ada kena mengena dengan fitnah tersebut tiba-tiba mereka mempercayainya dan sebarkan pula fitnah tersebut akan mendapat saham yang sama iaitu mendapat dosa besar.

Nabi SAW bersabda maksudnya : " Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah ." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hal ini sesuai dengan Al-Quran berdasarkan surat Al-Hujuraat ayat 11, firman Allah SWT  yang maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan) dan jangan pula wanita-wanita (mengolok-olokkan) wanita-wanita lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari wanita (yang mengolok-olokkan) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

Hal ini sesuai dengan Al-Quran berdasarkan surat Al-Hujuraat ayat 12 , firman Allah SWT maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang”.

Dalam surah an-Nuur ayat 15, firman Allah SWT maksudnya :“(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja, padahal dalam pandangan Allah itu soal besar”.

Firman-Nya lagi dalam surah an-Nuur ayat 23 yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik, yang lengah (tidak teringin untuk melakukan perbuatan keji) dan beriman (dengan tuduhan berzina), mereka kena laknat di dunia dan akhirat dan bagi mereka azab yang besar”.

Hal ini sesuai dengan firman Allah SWT berdasarkan surah al-Israa ayat 36 yang bermaksud :“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggunganjawabnya”.

Sahabat yang dimuliakan,
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Barangsiapa mengintai-intai keburukan saudaranya semuslim, maka Allah akan mengintai-intai keburukannya. Barangsiapa diintai keburukannya oleh Allah, maka Allah akan mengungkitnya (membongkarnya) walaupun dia melakukan itu di dalam (tengah-tengah) rumahnya”. (Hadis Riwayat Ahmad)

Rasulullah sangat membenci orang yang mengumpat, hingga baginda menegaskan bahawa kata-kata umpatan itu apabila dicampur dengan air laut akan mencemarkannya. Ini adalah gambaran tentang betapa bahaya dan besarnya dosa mengumpat. Sebab mengumpat dapat membatalkan pahala amal kebajikan seseorang. Di sisi lain, syaitan masih merasa mampu dan besar harapan untuk menghancurkan umat manusia sepanjang masa selagi masih ada kesempatan untuk membuat mereka bersedia mengumpat sesamanya. Padahal ketika melihat Allah disembah oleh umat manusia dengan pelaksanaan solat, syaitan sudah merasa putus asa. Itulah bahaya mengumpat, memfitnah, berprasangka buruk dan mencari kesalahan orang lain.

Dari Abi Musa r.a, dia telah berkata : “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah : “Ya Rasulullah, muslim manakah yang lebih utama?” Jawab Rasulullah : “Orang yang kaum muslimin selamat dari gangguan lisan dan tangannya”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di dalam Islam ada terdapat beberapa perkara sahaja yang dibenarkan mengumpat diri seseorang dengan tujuan supaya dapat menyelamatkan seseorang atau pun untuk  menegakkan kebenaran.

Terdapat enam (6) perkara yang tidak diharamkan mengumpat iaitu :

Pertama, At-Tazallum , iaitu kerana di zalimi atau untuk mencari keadilan.

Yaitu, mengkhabarkan akan kejahatan orang yang zalim kepada Qadi atau pihak berkuasa agama supaya menghukumnya.

Atau, mengkhabarkan akan kejahatan Qadi yang zalim kepada Sultan, supaya menghukumkannya. Maka, yang demikian itu harus (boleh).

Kedua , iaitu kerana mencari pertolongan kerana mahu menolak kemungkaran, dan mahu menolak perkara-perkara maksiat supaya perkara itu jadi baik.

Ertinya, harus (boleh) mengkhabarkan akan kejahatan orang kepada pihak berkuasa agama atau Sultan kerana sebab meminta tolong untuk menolakkan kejahatan orang itu.

Dan, harus (boleh) pula mengkhabarkan akan kejahatan orang yang berbuat maksiat kepada pihak berkuasa agama atau kepada Sultan kerana sebab meminta tolong supaya mengembalikan orang yang berbuat maksiat itu kepada berbuat kebajikan.

Ketiga, Al-Istifta’ , iaitu meminta fatwa daripada Mufti.

Yakni, harus (boleh) mengkhabarkan kejahatan orang kepada Mufti kerana menuntut fatwa kepadanya, seperti berkata seorang kepada Mufti,

“Bapa ku atau saudara ku, ia menzalimiku dengan berbuat kejahatan kepadaku. Apa hukumannya, dan apakah ada jalan yang boleh melepaskan aku daripada kejahatan tersebut?”

Seperti apa yang diriwayatkan daripada perempuan yang bernama Hindun. Maka dia telah menceritakan  hal suaminya, Aba Sufyan kepada Nabi SAW dengan katanya;

“Bahawasanya Aba Sufyan lelaki yang kikir (kedekut). Padahal ia tiada memberi akan daku dan akan anak ku makanan dan pakaian yang memadai akan daku. Dan, adakah harus (boleh) aku mengambil akan makanan atau pakaian itu dengan tiada ia mengetahui akan yang demikian itu?"

Maka, Sabda Nabi SAW : “Ambil olehmu akan makanan dan pakaian itu yang memadai akan dikau dan akan anakmu dengan yang makruf (kebaikan), dan jikalau tiada ia mengetahui akan yang demikian itu sekalipun.”

Keempat , iaitu mengingatkan orang Islam akan kejahatan.

Ertinya, harus mengkhabarkan kejahatan seseorang kepada orang muslim daripada kejahatan orang itu.

Apabila kalian lihat akan seseorang baru menuntut ilmu kepada seseorang yang sesat atau jahat. Padahal, ia berulang pergi pada orang yang ahli bidaah. Yakni orang yang tiada baik iktiqadnya atau orang yang tiada baik agamanya.

Maka harus kalian khabarkan kepadanya akan kejahatan orang itu supaya jangan ia diberi kepercayaan kepadanya atau supaya jangan ia bersahabat dengan dia kerana bersahabat dengan orang demikian itu membawa kepada membinasakan akan agama.

Begitu juga dalam kalian ingin memilih kepimpinan,  sekiranya calun pemimpin tersebut tidak amanah, suka mengambil rasuah, membuat maksiat dan dosa-dosa besar maka perlu diberitahu peribadinya kepada orang ramai supaya dia tidak dipilih menjadi pemimpin. Ini tidak dikira mengumpat kerana demi menjaga kemaslahatan umat Islam.

Jikalau bertanya seseorang untuk dijadikan saksi itu, jikalau kalian ketahui orang itu jahat. Maka harus kalian khabarkan akan kejahatan orang itu.

Jika orang yang berkehendak mencari calun isteri. Maka bertanya ia kepada kalian akan perempuan yang hendak diperbuatnya isteri itu. Padahal, ia adalah perempuan yang jahat perbuatannya. Maka harus kalian khabarkan akan kejahatan perempuan itu.

Jika seseorang berkehendak mencari isteri, jika bakal suaminya lelaki yang jahat maka kalian hendaklah beritahu bapa perempuan tersebut akan peribadi jahat lelaki tersebut.
Sabda Nabi SAW maksudnya : “Sebutkan oleh kamu akan orang yang Fajir, yakni orang yang fasik itu akan kejahatan yang ada di dalamnya itu supaya menjauhi akan dia itu oleh manusia.”

Kelima, mengenalkan seseorang dengan sebutan yang kurang baik,  misalnya 'Mat Tempang', dikampung tersebut ramai nama Mat tetapi bila disebut nama 'Mat Tempang' maka ianya mudah dikenali. Bukan menghinanya tetapi ianya sudah menjadi kebiasaan.

Keenam,harus menyebutkan akan kejahatan orang yang telah masyhur akan fasiqnya itu, seperti orang yang masyhur dengan berzina. Atau, yang masyhur dengan berliwat. Atau, orang yang masyhur dengan meminum arak. Atau perkara-perkara mungkar yang lain.

Dan, kata Hasan Al-Basri rahimahullahu Taala,“Tiga orang tiada haram atas orang yang mengumpat bagi mereka itu.Pertama : Orang yang bidaah.  Kedua :  Orang yang Fasik yang menzahirkan ia akan maksiatnya itu
Dan Ketiga : Raja-raja yang zalim. Maka tiada haram atas seseorang menyebutkan akan pekerjaannya yang zalim itu.”

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita menjauhkan diri kita daripada segala bentuk fitnah, buruk sangka dan mengumpat, kerana semua perbuatan tersebut adalah dosa besar dan akan memasukkan seseorang itu kedalam neraka Jahanam. Dosa-dosa tersebut akan dibalas oleh Allah SWT di dunia lagi atau di saat kematiannya akan ditunjukkan oleh Allah SWT berlaku keatasnya su'ul khatimah nauzubillahiminzalik.


Jauhi Perbuatan Suka Mengumpat (ghaibah)

Sahabat yabg dirahmati Allah,
Lidah merupakan di antara nikmat yang Allah s.w.t. kurniakan kepada manusia. Kerana dengan adanya lidah, dapatlah manusia berhubung di antara satu sama lain. Dan kalau kita perhatikan benar-benar, lidah banyak sekali mendatangkan manfaat kepada manusia, walaubagaimanapun di samping berbagai-bagai kebaikan yang diperolehi daripada lidah, banyak juga perkara-perkara yang buruk timbul daripadanya. Ini adalah kerana apabila lidah tidak dipelihara dengan bersungguh-sungguh, maka berbagai-bagai kejahatan akan timbul daripadanya.
 
Salah satu di antara kebinasaan lidah yang jarang disedari ialah sikap suka mengumpat. Mengapakah dosa atau kesilapan ini jarang disedari? Ini adalah kerana perbuatan itu dilakukan pada setiap hari malah setiap waktu di mana-mana sahaja. Sedangkan, sebagaimana yang kita ketahui mengumpat adalah termasuk perbuatan dosa serta dilarang oleh Allah s.w.t. dan Rasul-Nya.

Dari hadis yang lain Abu Hurairah r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, " Tahukah kamu apakah ghaibah (mengumpat)? Jawab sahabat, "Allah dan Rasul yang lebih mengetahui. " Maka Rasulullah s.a.w. bersabda , "Ghaibah (mengumpat)  itu jika kamu menyebut (membicarakan) hal keadaan saudaramu yang tidak suka hal itu disebut atau dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghaibah." Lalu Rasulullah s.a.w ditanya," Bagaimana kalau saudaraku itu memang begitu? "Jawab Rasulullah s.a.w " Jika kamu sebut itu benar ada padanya maka itu ghaibah. Tetapi jika ia tidak benar, itu buhtan (membuat kepalsuan untuk memburukkan nama orang lain).

Sahabat yang dimuliakan,
Sebenarnya sikap suka mengumpat timbul daripada perasaan hasad dengki seseorang terhadap orang lain. Ini mungkin disebabkan orang lain itu mempunyai beberapa kelebihan yang tidak ada padanya. Atupun sikap ini timbul kerana merasakan dirinya lebih baik dari orang lain. Mungkin juga sikap ini timbul kerana ia melihat berbagai kekurangan terdapat pada orang lain. Samaada kekurangan itu di segi harta, ilmu, pengaruh dan sebagainya.
 
Jabir dan Abu Sa'id menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, 
"Awaslah dari mengumpat, kerana mengumpat itu lebih keras dari zina. Sesungguhnya seseorang itu berzina ia bertaubat, maka Allah s.w.t. menerima taubatnya. Dan sesungguhnya seseorang yang mengumpat, tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpat."
(Hadis Riwayat Ibn Abid Dunya)
 
 Sahabat yang dihormati,
Terdapat enam alasan yang syarak benarkan untuk ceritakan keburukannya (mengumpat)
 seseorang yang dibenarkan syarak  di mana jika tidak melalui cara itu tujuan itu tak mungkin akan tercapai. Walaubagaimanapun, jika ada cara lain seboleh-bolehnya gunakan cara berkenaan. Elakkanmengumpat.

Untuk membela diri. Adalah dibenarkan jika: a) atas tujuan yang dibenarkan oleh syarak
b) Jika tiada jalan lain melainkan dengan membuka aib orang lain.

Contohnya, kalian telah dituduh mencuri, sedangkan kalian tahu siapa yang mencuri. kalian terpaksa mempertahankan diri dengan berkata benar. Ini biasa berlaku di mahkamah. Mahkamah terpaksa membuka aib mereka yang terbabit untuk tujuan yang dibenarkan oleh syarak, iaitu membuktikan benar atau salahnya orang yang dituduh (mencari penjenayah).

Di bawah ini di senaraikan enam tempat yang dibenarkan mengumpat.

Pertama: Mahu mengadu kepada qadhi, polis, imam, ketua kampung dsbnya kerana teraniaya. Ketika mengadu tidak boleh tidak kita terpaksa membuka kezaliman yang telah dilakukan terhadap kita. Dengan membuka keburukan orang berkenaan, barulah pengadilan dapat dilaksanakan.

 Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
 “Aisyah r.a. berkata: Seseorang datang minta izin kepada nabi s.a.w. (masuk ke rumah). Lalu nabi s.a.w. bersabda: Izinkanlah. Dia adalah sejahat-jahat orang di kalangan kaumnya.” (riwayat Bukhari & Muslim)


Kedua: Mahu mencegah kemunkaran dan kemaksiatan yang berlaku. Keburukan pelaku maksiat itu boleh diceritakan kepada seseorang yang dapat diharapkan boleh menghindarkan kemungkaran itu. Seperti kalian melihat sebahagian anak-anak muda di kawasan kalian membawa perempuan ajnabi balik ke rumahnya (berkhalwat). Kalian hendaklah mencari seseorang yang boleh diharapkan dapat menghalang perkara berkenaan. Kalian dibenarkan menceritakan perihal anak-anak muda itu kepadanya.

Ketiga: Meminta fatwa dari alim-ulamak. Contohnya dalam masalah rumahtangga, jika si suami melakukan sesuatu yang tidak baik kepada isterinya (contoh: tidak beri nafkah), dia boleh mengadu hal kepada ulamak/mufti meminta fatwa. “Suami saya tidak memberi saya nafkah selama sekian lama. Apa hukumnya dia melakukan demikian. Apakah yang harus saya lakukan?”

“Aisyah r.a. berkata: Hindun binti Uthbah (isteri Abu Sufian) berkata kepada nabi s.a.w.: Sesungguhnya Abu Sufian seorang yang kedekut dan tidak memberi cukup belanja kepada ku dan anak-anakku, kecuali kalau saya ambil di luar pengetahuannya. Nabi s.a.w. menjawab: Ambillah secukupmu dan ank-anakmu dengan sederhana.” 
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Keempat: Memberi peringatan (agar berhati-hati) dan nasihat kepada kaum muslimin tentang kejahatan seseorang. Bahkan jika dapat memberi mudarat kepada seseorang, wajib kita jelaskan keburukkannya. Contoh, apabila seseorang datang kepada kalian meminta nasihat tentang perkahwinan anak perempuannya. Apakah wajar dikahwinkan dengan si fulan? Sedangkan kalian tahu bahawa si fulan itu adalah seorang yang buruk akhlaknya dan tak menjaga agamanya ketika ini wajiblah kalian membuka aibnya. Keadaan yang sama juga sekiranya kalian ingin memilih pemimpin dikawasan kalian, jika terbukti calun pemimpin tersebut tidak berakhlak atau menolak hukum-hukum Allah kalian boleh mendedahkan keaifannya supaya dia tidak dipilih oleh orang ramai.

“Fatimah binti Qais berkata: Saya datang kepada Nabi s.a.w. bertanya tentang dua orang yang meminang saya, iaitu Abu Jahm dan Muawiyah. Maka Nabi s.a.w. bersabda: Adapun Muawiyah, dia adalah seorang yang miskin, manakala Abu Jahm, dia adalah seorang yang suka memukul isteri.” 
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis di atas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. ada menceritakan keburukkan orang lain untuk mencapai maksud yang dibenarkan oleh syarak. Dan tiada pilihan lain melainkan memberitahu aib orang berkenaan.

Kelima: Mencela orang yang secara terang-terangan melakukan kefasikkan, bid’ah dan kezaliman. Contoh, seorang yang secara terang-terangan meminum arak, atau berjudi, atau melaksanakan projek-projek batil. Yang dibenarkan hanyalah menyebutkan kemaksiatan yang dilakukan secara terang-terangan itu sahaja. Dan diharamkan menyebutkan aib-aib lain.

Keenam: Untuk mengenalkan seseorang. Jika seseorang itu memang dikenali dengan julukkan si tempang, si buta dan sebagainya, boleh kalian menyebutkan julukkan itu dengan niat mengenalkan. Haram jika dengan niat mencemuh. Walaubagaimanapun selagi boleh mengelakkan menyebut julukkan itu, elakkan..
 Firman Allah s.w.t. maksudnya, “Allah tidak suka kepada perkataan yang tidak baik diperdengarkan, kecuali dari orang-orang yang teraniaya…” 
(Surah al-Nisaa’, ayat 148)

Sahabat yang dikasihi,
Apabaila kalian  telah terlanjur melakukan perbuatan mengumpat saudara sesama Muslim, maka ia hendaklah segera bertaubat dan meminta maaf kepada mereka sebelum mati atau sebelum orang yang diumpat itu mati.

Akhirkata, marilah sama-sama kita perbaiki akhlak kita, meningkatkan iman dan takwa dan meninggalkan segala sifat mazmumah termasuk mengumpat. Kita bina dan menyambungkan silaturahim dan ukhuwah Islamiyah sesama Muslim dalam rangka kita mencari keredhaan Allah s.w.t. Aqidah dan iman yang kuat sahajalah yang dapat menghapuskan sifat buruk ini dari jiwa kita. Untuk mendapatkan aqidah dan iman yang kuat, kita hendaklah sentiasa mengikuti pengajian-pengajian agama dan majlis-majlis ilmu serta bercampur dengan masyarakat yang berpegang dengan al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah s.a.w dan bersahabat dengan orang-orang soleh.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML