Wednesday, February 19, 2014

DOSA-DOSA KECIL

Tinggalkan Dosa-dosa Kecil Untuk Mendekatkan Diri Kepada Allah S.W.T.

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Apabila kita katakan 'dosa'  ini ialah pelakuan salah bermaksud sesuatu pemberian (balasan) yang diberikan oleh Allah S.W.T. ke atas hamba-Nya yang telah melakukan perbuatan, percakapan dan keazaman buruk di hati yang dilakukan untuk menderhakai Allah S.W.T. dan melanggar ketentuan hukum-Nya.

Dosa ini terbagi dua iaitu dosa kecil dan dosa besar.

Dosa kecil boleh dihapuskan dengan beristighfar dan berzikir kepada Allah S.W.T. ,  melakukan ibadah wajib dan sunat, bersedekah dan membuat kerja-kerja amal dan kebajikan.

Manakala dosa besar pula hanya boleh dihapuskan dengan bertaubat nasuhah, iaitu taubat yang bersungguh-sungguh kepada Allah S.W.T dan tidak mengulangi lagi perbuatan tersebut. dan dikenakan hukum hudud atau qisas (hukuman ini hanya akan dilaksanakan di dalam sebuah negara Islam)

Di dalam Islam terdapat hukum hudud dan qisas yang dikenakan kepada pesalah yang melakukan perbuatan dosa besar tertentu, jika sabit kesalahannya dan dijatuhkan hukuman tersebut mengikut hukum Islam, maka terhapuslah dosa besar yang dilakukan kerana telah dijalankan hukuman tersebut. Contoh jika seseorang lelaki atau wanita yang belum berkahwin jika di dapati bersalah dengan cukup syarat mempunyai empat saksi atau pengakuan orang yang melakukan zina tersebut maka mereka dihukum hukum hadd sebanyak 100 kali sebatan dengan rotan, jika hukuman tersebut di jalankan maka dosa besar yang telah dilakukan akan terhapus, pada masa yang sama pelaku perbuatan zina tersebut hendaklah bertaubat nasuhah.

Dosa besar mengikut pengertian syarak iaitu dosa dan perlakuan salah yang dijelaskan hukuman dan laknat serta akibat yang disebut secara jelas dalam al-Quran dan sunnah Nabi S.A.W.

Menurut az-Zanabi dalam bukunya al-Kabaair, ada dinyatakan sebanyak 70 dosa besar dan daripada 70 itu diringkaskan kepada 7 jenisnya yang utama seperti berikut:

Pertama : Empat jenis di hati iaitu syirik, terus menerus berbuat maksiat, putus asa dan berasa aman daripada seksa Allah.

Kedua : Empat jenis pada lisan iaitu kesaksian palsu, menuduh berbuat zina pada wanita baik-baik, sumpah palsu dan mengamalkan sihir.

Ketiga : Tiga jenis di perut iaitu minum arak, memakan harta anak yatim dan memakan riba.

Keempat : Dua jenis di kemaluan, iaitu zina dan homoseksual.

Kelima : Dua macam di tangan iaitu membunuh dan mencuri.

Keenam : Satu di kaki iaitu lari dalam peperangan.

Ketujuh : Satu di seluruh badan iaitu derhaka terhadap orang tua.

Sahabat yang dimuliakan,
Dosa kecil pula adalah dosa yang tidak tersebut di atas.  Dosa kecil akan menjadi besar jika dilakukan terus menerus. Menurut Imam Hasan al-Basri, tidak ada dosa kecil apabila dilakukan dengan terus menerus dan tidak ada dosa besar apabila disertai dengan istighfar.

Allah S.W.T. berfirman maksudnya : "Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui."
(Surah Ali Imran: 135)

Kita tidak boleh menganggap remeh ke atas dosa-dosa kecil kerana Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya seorang mukmin dalam melihat dosanya, bagaikan seorang yang berada di puncak gunung, yang selalu khuatir tergelincir jatuh. Adapun orang fasik dalam melihat dosanya, bagaikan seseorang yang dihinggapi lalat di hidungnya, maka dia usir begitu saja." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Orang yang bergembira dengan dosanya Allah S.W.T. berfirman maksudnya: "Dan apabila dikatakan kepadanya: 'Bertakwalah kepada Allah', bangkitlah kesombongannya yang menyebabkannya berbuat dosa. Maka cukuplah (balasannya) neraka Jahannam. Dan sungguh neraka Jahannam itu tempat tinggal yang seburuk-buruknya."
(Surah al-Baqarah ayat 206)

Mereka yang berasa aman daripada azab Allah lupa bahawa Allah S.W.T akan menyediakan azab neraka Jahanam kepada mereka kerana keingkaran mereka kepada arahan Allah dan Rasul-Nya.

Allah berfirman maksudnya: "Apakah tiada kamu perhatikan orang-orang yang telah dilarang mengadakan perbicaraan rahsia, kemudian mereka kembali (mengerjakan) larangan itu dan mereka mengadakan perbicaraan rahsia untuk berbuat dosa, permusuhan dan derhaka kepada Rasul. Dan apabila mereka datang kepadamu, mereka mengucapkan salam kepadamu dengan memberi salam yang bukan sebagai yang ditentukan Allah untukmu. Dan mereka mengatakan pada diri mereka sendiri: 'Mengapa Allah tiada menyeksa kita disebabkan apa yang kita katakan itu?' Cukuplah bagi mereka neraka Jahannam yang akan mereka masuki. Dan neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali."
(Surah al-Mujadalah: 7)

Perbuatan maksiat secara terang-terangan, Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya: "Semua umatku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang mujaharah (terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah seorang yang melakukan perbuatan dosa di malam hari, kemudian hingga pagi hari Allah telah menutupi dosa terbabit, kemudian dia berkata: 'Wahai fulan semalam saya berbuat ini dan berbuat itu. Padahal Allah telah menutupi dosa tersebut semalaman, tetapi di pagi hari dia buka tutup Allah terbabit' ."
(Hadis riwayat Bukhari dan  Muslim)

Apabila orang yang melakukan perbuatan dosa itu dijadikan tauladan oleh orang lain maka orang yang melakukan dosa tersebuat akan mendapat dosa yang sama dan tidak dikurangkan walaupun sedikit. Rasulullah S.A.W.  bersabda yang maksud : "Sesiapa yang memberi contoh di dalam Islam dengan contoh yang buruk, dia akan mendapat dosanya dan dosa orang yang mengikutinya selepas dia tanpa dikurangi dosa terbabit sedikitpun."

Sahabat yang dikasihi,
Orang yang suka melakukan dosa, hidupnya akan mengalami jalan buntu pada setiap urusannya. Sebagaimana orang-orang yang bertakwa akan dimudahkan oleh Allah dalam segala urusannya.

Bagaimana ia akan dapat menemukan pintu-pintu kebaikan, sementara dirinya menutup dengan perbuatan dosa, sehingga semua kemaslahatan menutup pintu terhadap dirinya.

Perbuatan  dosa akan menimbulkan kegelapan hati. Kegelapan itu benar-benar nyata dalam hatinya, seperti melihat dan merasakan gelapnya malam. Hal ini kerena sesungguhnya, ketaatan itu cahaya, sedangkan dosa itu kegelapan. Semakin banyak dosa yang dilakukan, maka akan semakin gelap hati orang itu. Akibatnya, orang-orang yang berterusan melakukan dosa itu, pasti akan jatuh ke dalam kekafiran, kerena hatinya sudah terhijab (tertutup) oleh kemaksiatan, dan kebenaran (al-haq) tidak mungkin lagi dapat menyentuh hatinya.

Amalan-amalan yang dapat menghapuskan dosa-dosa kecil :

1. Solat-solat sunat dan solat tahajud.

Nabi S.A.W bersabda maksudnya : "Para malaikat akan selalu berselawat kepada salah satu diantara kalian selama ia ada di dalam tempat solat dimana ia melakukan solat, selama ia belum batal wuduknya, (para malaikat) berkata, ‘Ya Allah ampunilah dan sayangilah ia”. (Hadis Riwayat Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah, Al Musnad . Syaikh Ahmad Syakir mensahihkan hadis ini).

2. Mengambil wuduk.

Di dalam hadis Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud :
"Jika seorang hamba yang muslim atau mukmin berwuduk, ketika ia basuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya semua kesalahan yang dilihat dengan kedua matanya bersama air atau bersama tetes air terakhir. Jika membasuh kedua tangannya, keluarlah dari kedua tangannya semua kesalahan yang dilakukan tangannya bersama keluarnya air atau tetes terakhir air. Jika membasuh kedua kakinya, keluarlah semua kesalahan yang diperbuat kakinya bersama air atau tetes terakhir air, sampai ia selesai wuduk dalam keadaan bersih dari dosa."
(Hadis Riwayat Muslim)

3. Banyakkan beristighfar.

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Barangsiapa mengucapkan 'Astaghfirullahal Adzim aladzi laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaihi' akan diampuni dosa-dosanya, meskipun pernah lari dari medan peperangan"
(Hadis Riwayat Al Hakim)

4. Banyakkan bersedekah.

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Tidak satu hari pun dimana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, salah satu diantara keduanya berkata, ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak’. Dan lainnya berkata, ‘Ya Allah, hancurkanlah harta orang yang kedekut”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Imam Muslim dari Abu Hurairah ra.)

5. Banyakkan berzikir dan membaca al-Quran.

Dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Rasulullah S.A.W. bersabda: "Barangsiapa mengucapkan: La ilaha illallah wahdahu la syarikalah, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir -maksudnya (Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya). BagiNya adalah semua kerajaan dan puji-pujian dan Allah adalah Maha Kuasa atas segala sesuatu, dalam sehari seratus kali, maka ia memperoleh pahala yang menyamai dengan memerdekakan sepuluh orang hamba sahaya, juga untuknya dicatatlah sebanyak seratus kebaikan dan dihapuskanlah dari dirinya sebanyak seratus keburukan, juga ia dapat memperoleh perjagaan dari godaan syaitan pada harinya itu sampai waktu petang. Tiada seorangpun yang dapat memperoleh sesuatu yang lebih utama dari apa yang dilakukan oleh orang di atas itu, melainkan seorang yang mengerjakan lebih banyak dari itu."

Baginda S.A.W.  selanjutnya bersabda maksudnya : "Barangsiapa yang mengucapkan: subhanallah wa bihamdih (Maha Suci Allah dan dengan mengucapkan puji-pujian padaNya) dalam sehari sebanyak seratus kali, maka dihapuskanlah dari dirinya semua kesalahan-kesalahannya (dosa-dosa kecil), sekalipun kesalahan-kesalahannya itu banyaknya seperti buih lautan."
(Hadis Riwayat Muttafaq 'alaih)

6. Memberi salam.

Apabila Rasulullah S.A.W.  bertanya Iblis apakah tindakkannya apabila umatnya memberi salam sesama mereka, maka Iblis berkata :
"Ya Nabi Allah, akan pecahlah daku apabila umatmu bertemu dijalanan lantas salah seorang daripadanya memberi salam dan yang lain menjawabnya sehingga aku menangis, melolong kesedihan. Kerana keduanya telah mendapat keampunan setelah keduanya berpisah".

7. Berikhtikaf dimasjid menunggu dari solat fardu ke solat fardu yang lain.

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : “Tidaklah salah seorang diantara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali para malaikat akan mendoakannya ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia”. (Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)

8. Berjalan menuju kemasjid untuk solat fardu dan pulang dari masjid.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, "Barangsiapa yang pergi ke masjid untuk berjemaah, maka satu langkah menghapuskan kesalahan (dosa) dan yang satu langkah lainnya dituliskan kebaikan. Hal itu berlangsung pada saat berangkat maupun pulang."
(Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)

9. Berjalan menuju kemasjid untuk menuntut ilmu.

Malaikat turun di tengah-tengah majlis ilmu memberikan ketenangan dan rahmat serta Allah mengingat para pesertanya,  Rasululah S.A.W.  bersabda maksudnya  : ” Dan jika berkumpul suatu kaum dalam majlis untuk membaca kitab-kitab Allah dan mempelajarinya maka pasti turun pada mereka sakinah( ketenangan) yang diliputi oleh rahmat , dikerumuni oleh Malaikat dan diingati oleh Allah di depan para Malaikat yang ada padanya (Hadis Riwayat Muslim)

Abu darda ra berkata : Saya pernah mendengar Rasululah S.A.W. bersabda maksudnya : ” Siapa yang menuntut ilmu , Allah membukakan pintu syurga baginya , para Malaikat membentangkan sayap-sayapnya kerana reda kepadanya dan ikan-ikan di lautpun ikut mendoakan (Hadis Riwayat AbuDawud dan Tarmizi)

10. Menyahut amin (selepas membaca surah al-Fatihah) bersama-sama imam dalam solat berjemaah.

Nabi S.A.W bersabda maksudnya : “Jika seorang Imam membaca ‘ghairil maghdhuubi ‘alaihim waladh dhaalinn’, maka ucapkanlah oleh kalian ‘aamiin’, kerana barangsiapa ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, maka ia akan diampuni dosanya yang masa lalu”. (Hadis Riwayat Bukhari  dari Abu Hurairah ra.)

11. Mengajar ilmu yang bermanfaat.

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : “Keutamaan seorang alim atas seorang ahli ibadah bagaikan keutamaanku atas seorang yang paling rendah diantara kalian. Sesungguhnya penghuni langit dan bumi, bahkan semut yang di dalam lubangnya dan bahkan ikan, semuanya bershalawat kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain”. (Hadis Riwayat Tirmidzi dari Abu Umamah Al Bahily ra., dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Kitab Shahih At Tirmidzi).

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita jauhkan diri kita daripada dosa-dosa besar dan kecil. Janganlah kita melakukan dosa-dosa kecil secara berterusan kerana setiap dosa yang kita lakukan akan terdapat satu titik hitam dalam hati kita. Jika titik hitam ini terlalu banyak maka hati kita akan terhijab untuk menerima taufik dan hidayah daripada Allah S.W.T. Kebenaran akan sukar masuk ke hati kita. Banyakkanlah mengamalkan  kebelas perkara di atas  untuk membersikan dosa-dosa kecil yang kita kerjakan.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML