Kekuatan Do'a Kepada Allah
Mari kita bersama menyingkap khazanah berharga dari sumber utama rujukan kita, Al-Qur'an, hadis berserta sirah Rasulullah s.a.w. , para sahabat dan salafusoleh untuk memahamkan lagi kepada kita nilai dan keutamaan do'a buat para dai’e Ilallah.
Tahukah kita seberapa besar kekuatan do'a di saat-saat genting? Situasi genting yang paling genting, adalah saat para pejuang Allah s.w.t menghadapi kekuatan musuh Allah s.w.t yang lebih besar. Kegentingan yang pernah dialami hampir oleh para Rasul Allah s.w.t, tidak terkecuali Rasulullah Muhammad s.a.w.
Saudaraku,
Bayangkanlah kegentingan yang dialami Nabiyullah Musa a.s saat ia dan kaumnya dikejar Fir’aun dan bala tenteranya, sehingga di tepi laut. Perhatikanlah bagaimana kegentingan ini digambarkan oleh Al-Qur’anul Karim maksudnya : “Maka, ketika kedua kelompok itu saling melihat, berkatalah pengikut Musa , 'Sungguh kita akan benar-benar akan ditawan' Musa menjawab, 'Sekali-kali tidak, sesungguhnya Tuhanku menyertaiku (dengan pemuliharaan dan pertolongannya). Dia akan memberi petunjuk kepadaku'.” (Surah Asy Syu ’ara ayat 62).
Betapa kegentingan dan kengerian menyinggap ke hati kaum Bani Israel yang saat itu dipimpin Musa a.s. Tapi Musa a.s memiliki keyakinan dan ketergantungan yang kuat dengan Allah s.w.t. Ia yakin, Allah pasti membelanya. Ia yakin, bahawa tidak ada yang memiliki kekuatan kecuali Allah s.w.t. Musa a.s, begitu dekat dengan Allah s.w.t.
Saudaraku,
Mari kita lihat lagi jejak para pejuang di jalan Allah s.w.t yang ditinggalkan dalam lembar-lembar sejarah. Kita ingin mengetahui dan turut merasakan bagaimana kedudukan keyakinan dan do'a kepada Allah sebagai senjata paling ampuh hingga kemenangan berhasil mereka raih.
Lihatlah saudaraku,
Dimalam senyap dan gelap. Malam peperangan Badar Kubra. Para sahabat radhiallahuanhum tertidur. Kecuali Rasulullah s.a.w sedang terjaga dan solat di berhampiran sebuah pohon. Ia berulangkali sujud dengan mengatakan, “Yaa hayyu yaa Qayyuuum... (Wahai Yang Maha Hidup dan Maha Berdiri) Rasulullah s.a.w terus menerus mengulang-ulang ucapan itu, agar Allah s.w.t mendatangkan kemenangan pada kaum beriman. (Rujukan kitab Al Bidayah wa An Nihayah , 5/82).
Seperti itulah keyakinan berpadu permohonan yang amat sangat dari seorang Rasulullah s.a.w saat menghadapi suasana genting. Lalu, ketika melihat pasukan Quraisy, ia mengatakan, “Ya Allah inilah Quraisy telah datang dengan kesombongan dan keegoannya. Mereka mendustai Rasul-Mu. Ya Allah timpakanlah bencana kepada mereka esok. (Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam, 3/168)
Umar bin Khattab r.a. meriwayatkan, detik-detik pecahnya pertempuran di Badar, Rasulullah s.a.w memandang para sahabatnya yang berjumlah tiga ratusan tiga belas orang. Lalu ia melihat barisan kaum Musyirikin yang jumlahnya lebih dari 1000 orang. Utusan Allah s.w.t itu berdo'a :
“Ya Allah, berikanlah kepadaku apa yang Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, jika Engkau musnahkan kelompok Islam ini, Engkau tidak lagi disembah di muka bumi selamanya.”
Kata Umar, Rasulullah s.a.w terus menerus berdo'a sampai selendangnya terjatuh dari pundaknya. Abu Bakar r.a yang memungutnya mengatakan, “Wahai Nabi Allah, cukup sudah do'amu kepada Allah s.w.t. Dia pasti memberimu apa yang dijanjikan kepadamu...” (HR.Ahmad)
Saudaraku,
Pernahkah kita mendengar kisah Nu’man bin Maqran? Seorang pejuang Islam yang memimpin peperangan melawan Parsi. Ketika itu, pasukan Islam telah berminggu- minggu mengepung benteng Parsi yang kukuh kerana pertahanannya melewati parit parit. Nu’man berdiskusi dengan komandan perangnya. Mereka merumuskan strategi untuk memancing pasukan Parsi keluar dari parit-parit mereka.
Caranya, pasukan Islam berpura-pura lari meninggalkan medan tempur sehingga apabila orang-orang Parsi keluar dari parit, barulah pasukan Islam berbalik menyerang mereka. Nu’man sepakat dengan strategi ini. Ia mengatakan kepada rakan-rakannya, “Nanti akulah yang akan meneriakkan takbir tiga kali. Jika kalian mendengar teriakan takbir ketiga, bererti saat itulah kalian mulai peperangan.”
Setelah itu, Nu’man pergi ke salah satu tempat dan berdo’a kepada Allah s.w.t dengan mengatakan, “Ya Allah, muliakanlah agamamu, menangkanlah hamba-Mu. Ya Allah aku memohon kepada-Mu agar mataku sejuk dengan kemenangan yang menjadikan Islam mulia, dan matikanlah aku dalam keadaan syahid.” Orang-orang yang mendengar do'a Nu’man menangis. Mereka sama-sama larut dalam munajat dan do’a dengan penuh khusyuk dan tunduk.
Saudaraku,
Allah s.w.t mengabulkan do'a mereka. Kaum Muslimin diberikan kemenangan oleh Allah s.w.t dengan kemenangan yang luar biasa. Allah s.w.t juga mengabulkan doa Nu’man bin Maqran kerana dialah perajurit pertama yang syahid di medan perang ketika itu. (Rujukan Al Bidayah wa An Nihayah, 7/89).
Seorang sahabat yang bernama Qutaibah bin Muslim dan Muhammad bin Wasi ’. Ibnul Jauzi dalam Shifatu Shafwah menceritakan pengalaman keduanya menjelang peperangan meletus. Tiba-tiba Muhammad bin Wasi ’ menghilang dari barisan. Qutaibah lalu memerintahkan pasukannya melihat siapa yang ada di dalam masjid. Pasukannya mengatakan, “Tidak ada seorangpun kecuali Muhammad bin Wasi ’. Ia sedang mengangkat jari-jarinya.” Qutaibah mengatakan,, “Jari-jarinya yang terangkat itu lebih aku sukai daripada tiga puluh ribu pemuda yang kuat dengan pedang terhunus.”
Perhatikanlah saudaraku,
Bagaimana kedudukan dan kekuatan do'a dalam pandangan para salafusoleh. Lihatlah lagi saudaraku, bagaimana Solehuddin Al Ayyubi, tokoh pahlawan pembebas Al Quds dari tangan pasukan salib. Dikisahkan, “Solehuddin, ketika mendengar pasukan salib berhasil mendesak kaum Muslimin, ia tersungkur sujud kepada Allah s.w.t sambil berdo'a, “Ya Allah aku telah terputus dari sebab-sebab bumi untuk memenangkan agama-Mu. Tidak ada yang tersisa kecuali menyerahkan semuanya kepada-Mu, sambil tetap berpegang pada ajaran-Mu dan bersandar pada kurnia-Mu. Engkaulah Penolongku dan sebaik-baik Pelindung.” Dalam sujudnya itu ia menangis dan air matanya masih menitik di antara janggut hingga membasahi sejadahnya. Dan ketika itulah Allah s.w.t menurunkan kemenangan pasukan Islam atas pasukan salib.
Saudaraku,
Beristighfarlah dan ucapkan dengan tekun akan kalimah-kalimah do'amu untuk para mujahidin di Palestin, Afghanistan, Iraq, Selatan Thailand, Mindanao, Sudan, dan para pejuang kebenaran di mana pun mereka berada. Mohonlah dalam do'a-do'amu agar tanggungjawab dakwahmu mampu dipikul dengan penuh ketaatan, keringanan dan penuh keistiqamahan… dan semoga dengan do'a anda sekalian, dakwah Islam beroleh kemenangan dan kita semua ditempatkan di Syurga Firdausi… InsyaAllah… Berdo'alah…
Hayatilah Do'a Duduk Antara Dua Sujud
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap hari kita mengerjakan solat. Samaada solat fardu atau solat sunat.Solat adalah ibadah khusus yang yang diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk kita melaksanakannya tanda perhambaan diri kita kepada Allahs.w.t. Semakin banyak kita mendirikan solat maka semakin hampir diri kita kepada Allah s.w.t. Didalam solat mengandungi bacaan al-Qur'an,do'a, zikir, memuji kebesaran Allah dan berselawat kepada Nabi s.a.w.
Salah satu tempat kita berdo'a adalah ketika duduk antara dua sujud. Terdapat tujuh permintaan (berdo'a) kepada Allah s.w.t . dan kita minta berulang-ulang. Sekiranya kita mengerjakan solat fardu lima waktu maka terdapat 17 kali kita berulang-ulang berdo'a dan meminta kepada Allahs.w.t. Jika ditambah dengan solat-solat sunat yang lain maka akan bertambah lagi do'a dan permintaan kita kepada Allah s.w.t.
Perbuatan duduk antara dua sujud ini adalah satu waktu yang sangat singkat iaitu sekadar thuma'ninah (berhenti sekejap) sebelum berpindah kepada sujud yang kedua. Rukun ini melambangkan bahawa hidup seorang Mukmin itu sentiasa berdisiplin,tenang dan tidak gopoh di dalam menghadapi sebarang ujian dan cabaran hidup di dunia yang berbagai-bagai corak rupa yang boleh melalaikan seorang hamba itu daripada Tuhannya.
Ketika melakukan duduk antara dua sujud itu, disunatkan membaca doa:
Maksudnya:"YaTuhan! Ampunilah aku, rahmatilah aku, tutupkanlah keaibanku,angkatlah kedudukanku, kurniakanlah kepadaku rezeki, dan berilah aku petunjuk serta berilah kepadaku kesihatan."
Sahabat yang dimuliakan,
Adakah kita faham dan hayati do'a dan permohonan yang kita ucapkan dan kita meyakini bahawa Allah s.w.t akan menunaikan do'a dan permintaan kita?
Marilah sama-sama kita hayati tujuh do'a kita kepada Allah s.w.t.
Ya Tuhan! Kita bermunajat dan menyeru kepada Allah s.w.t.
Pertama : Ampunkanlah aku.
Kita memohon agar Allah s.w.t mengampunkan dosa-dosa kita yang banyak dilakukan samaada sengaja atau tak sengaja.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :"Semua anak Adam adalah berdosa dan sebaik-baik orang yang berdosa ialah yang bertaubat dari dosanya."
Firman Allah s.w.t. maksudnya : " Katakanlah, wahai hamba-hambaKu yang berlebih-lebihan terhadap dirinya (dengan memperbuat dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah .Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.Kembalilah (bertaubatlah) kamu kepada Tuhanmu, dan patuhlah kamu kepada-Nya sebelum tiba siksaan kepadamu, kemudian kamu tidak mendapat pertolongan"
(Surah Az-Zumar ayat 53-54).
Kedua : Rahmatilah aku.
Rahmat Allah (kasih sayang-Nya) adalah meliputi langit dan bumi. Kita memohon semoga Allah s.w.t. sentiasa memberi rahmat dan kasih sayang-Nya samaada ketika di dunia dan akhirat kepada kita sebagai hamba yang dhaif dan memerlukan pertolongan -Nya. Jika kita terlepas mendapat bencana di dunia, terlepas dari siksa kubur , mendapat perlindungan Arasy di Padang Mahsyar, mengambil buku catatan ditangan kanan, meniti sirat seperti kilat dan memasuki Syurga Allah adalah dengan rahmat Allah.
Sabda Rasulullah s.a.w. dari Abu Hurairah r.a maksudnya :"Ketika Allah s.w.t menentukan takdir makhluk-Nya , Dia menuliskan di dalam kitab-Nya diatas Arasy : 'Sesungguhnya rahmat-Ku mengalahkan (mengatasi) Marah-Ku'."
(Hadis Muttafaqun 'Alaih , Bukhari dan Muslim )
Ketiga : Tutuplah keaibanku.
Kita mohonlah perlindungan Allah dari terdedahnya keaiban kita ketika didunia ini dan keaiban kita ketika di hari akhirat. Islam melarang kita membuka keaiban kita sendiri setelah Allah tutup keaiban itu. Maksudnya kita jangan ceritakan dosa-dosa dan kemungkaran yang telah kita buat kepada orang lain. Biarkan ianya menjadi rahsia kita dengan Allah.
Kita juga dilarang membuka keaiban orang lain,salah satu jalan keaiban kita ditutup oleh Allah dihari akhirat adalah dengan kita menutup keaiban orang lain.
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "...dan sesiapa yang menutup keaiban seorang Muslim maka Allah ta'ala akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Dan Allah ta'ala akan sentiasa menolong seorang hamba selama ia menolong saudaranya..."
(Hadis Riwayat Muslim)
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. ia berkata, "Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Seluruh umatku akan diampuni dosa-dosa kecuali orang-orang yang terang-terangan (berbuat dosa). Di antara orang-orang yang terang-terangan berbuat dosa adalah seseorang yang pada waktu malam berbuat dosa, kemudian di waktu pagi ia menceritakan kepada manusia dosa yang dia lakukan semalam, padahal Allah telah menutupi aibnya. Ia berkata, "Wahai fulan, semalam aku berbuat ini dan itu". Sebenarnya pada waktu malam Tuhannya telah menutupi perbuatannya itu, tetapi justru pagi harinya ia membuka aibnya sendiri yang telah ditutupi oleh Allah."
(Muttafaqun 'alaih Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Keempat : Angkatlah kedudukanku.
Kita memohon Allah s.w.t mengangkatkan kedudukan dan darjat kita disisi Allah s.w.t. Darjat di dunia kita mohon menjadi orang bertakwa dan muhsinin dan darjat di akhirat dapat memasuki Syurga Firdaus (Syurga tertinggi). Syurga sendiri memiliki beberapa tingkat bergantung kepada amalan seseorang di dunia ini untuk di masukinya.
Allah s.w.t. menjelaskan bahawa orang yang akan memasuki Syurga-Nya kelak adalah dalam keadaan berkumpulan. Ia dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan orang yang bertakwa kepada Rabb-nya dibawa ke Syurga berombongan, apabila mereka sampai ke Syurga itu, pintunya terbuka dan berkatalah kepada mereka penjaganya: Kesejahteraan dilimpahkan atasmu, berbahagialah kamu, masukilah Syurga ini, sedang kamu kekal didalamnya."
(Surah az-Zumar, ayat 73).
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Barang sesiapa yang berinfak dengan emas dan perak daripada hartanya di jalan Allah, maka dia akan dipanggil dari mana-mana pintu Syurga. Syurga itu ada beberapa pintu. Sesiapa yang rajin menunaikan solat, maka dia akan dipanggil dari pintu solat.Sesiapa yang rajin bersedekah, maka dia akan dipanggil dari pintu sedekah. Sesiapa yang berjihad, akan dipanggil dari pintu jihad dan sesiapa yang berpuasa, dia akan dipanggil dari pintu ar-Rayyan."
Kelima : Kurniakanlah kepadaku rezeki.
Kita memohon kepada Allah s.w.t agar dikurniakan rezeki yang halal dan rezeki yang bermanfaat. Untuk mendapatkan rezeki yang berkat daripada Allah perlulah bertawakkal, bersyukur dan sentiasa berwudh'
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud,"Jika kamu bertawakkal yang sebenarnya, nescaya Allah akan mengurniakan rezeki kepadamu sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung yang keluar di pagi hari dengan tembolok kosong dan pulang pada waktu petang dengan tembolok yang penuh."
(Hadis Riwayat Tarmidzi)
Firman Allahs.w.t. yang bermaksud, "Jika kamu bersyukur. nescaya akan Aku tambah(rezeki) padamu dan jika kamu kufur, maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih."
(Surah Ibrahim ayat 7).
Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Sentiasa berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki kepadamu"
Keenam : Berilah aku petunjuk.
Petunjuk (hidayah) adalah hak Allah s.w.t diberi kepada hamba-hamba-Nya yang Dia kehendaki. Dimaksudkan mendapat petunjuk (hidayah) adalah kita sentiasa kekal dalam iman dan Islam dan sentiasa didorong untuk melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t. Minta dilindungi Allah dari terpengaruh dengan jalan yang boleh pesongkan aqidah kita dan menjerumuskan diri kejalan maksiat.
Nabi s.a.w mengajar kita untuk berdo'a semoga sentiasa berada di dalam petunjuk dan hidaya Allah s.w.t."WahaiTuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya."
(Surah Ali-Imran ayat 8).
"Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hati-hati kami kepada agama-Mu."(Hadis Riwayat Ahmad dan al-Hakim).
Ketujuh : Berilah kepadaku kesihatan.
Mohon kepada Allah agar kita sentiasa berada di dalam keadaan sihat walafiat, dijauhi dari penyakit fizikal dan penyakit hati. Sihat dan penyakit adalah hak Allah, Dia boleh memberikannya atau boleh menjauhkan darinya.
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:"Bahawa Allah telah menurunkan penyakit dan ubat dan dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda-benda yang haram."
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Maksud dalam hadis tersebut,yakinlah bahawa setiap penyakit yang diturunkan ada penawarnya. Dari itu janganlah kita berputus asa dari berikhtiar mengubati dan mengatasi masalah yang dihadapi. Bagaimanapun, sebarang ketentuan adalah hak Allah. Kita perlu terus berharap kepadaNya setiap satu adalah dalam rencananya.
Berdo'a dan terus bertawakkal kepadaNya semoga kita dijauhi daripada penyakit dan menjadi hamba Allah yang sihat zahir dan batin .
Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita fahami maksud yang terkandung didalam do'a diantara dua sujud yang sentiasa kita lakukan. Apabila kita dapat memahaminya dengan jelas maka diharapkan solat kita bertambah khusuk dan dimakbulkan do'a-do'a yang kita ucapkan. Yakinilah Allah s.w.t Maha Mendengar dan Mengetahui hajat dan permintaan yang kita sembahkan kepada-Nya dengan hati yang ikhlas.
Do'a Malam Lailatulqadar
Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Aku bertanya: "Wahai
Rasulullah! Apa pendapat kamu sekiranya aku mengetahui (mendapati) malam lailatulqadar, apakah yang harus aku baca pada malam tersebut? Baginda s.a.w. bersabda: "Bacalah doa: Yang bermaksud: 'Ya Allah! Sesungguhnya Engkau adalah Zat Yang Maha Pengampun dan suka memberi pengampunan, oleh yang demikian ampunilah diriku)."
(Hadis riwayat Imam Tirmizi).
Pengajaran Yang Boleh Diambil Dari Hadis:
1- Permintaan yang paling penting bagi orang Islam ialah kesuciannya dari segala dosa dan penebusan diri dari perbuatan maksiat.
2- Galakkan supaya memohon keampunan daripada Allah s.w.t dan sentiasa memohon keampunan tersebut lebih-lebih lagi pada masa yang dimakbulkan segala doa terutamanya pada malam lailatulqadar.
3- Di antara tanda-tanda malam lailatulqadar ialah terasa lapang dada, orang Islam terasa tenang jiwa bersama Allah s.w.t, cuaca dan suasana malam dalam keadaan sederhana serta matahari terbit pada waktu pagi dengan cuaca yang putih tanpa memancarkan sinaran.
Mohonlah Perlindungan Allah Untuk Empat Perkara Penting
Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah s.a.w sering memberi pesanan kepada umatnya supaya sentiasa memohon perlindungan daripada Allah s.w.t. daripada segala bencana dan fitnah samaada di dunia dan hari akhirat. Semoga dengan kekuatan do'a yang dipanjatkan kehadrat Allah s.w.t. memberi kekuatan untuk kita menghadapai cabaran dan dugaan hidup dengan hati yang tabah dan istiqamah.
Nabi s.a.w. mengajar kita agar sentiasa berdo'a dan mohon perlindungan Allah s.w.t. ketika habis membaca tasyahhud akhir kepada empat perkara. Sebagaimana sabdanya yang bermaksud : "Bila seseorang selesai membaca tasyahhud (akhir), hendaklah ia memohon perlindungan kepada Allah empat perkara, iaitu: ' Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari siksa Neraka Jahannam, dari siksa kubur, dari fitnah hidup dan mati, dan dari fitnah al-Masih Dajjal'. (Selanjutnya, hendaklah ia berdoa memohon kebaikan utk dirinya sesuai kepentingannya)". (Hadis Riwayat Muslim, Abu 'Awanah, Nasa'i dan Ibnu jarud dalam al-muntaqa)
Kenapakah do'a khusus ini baginda minta dibaca semasa dibahagian akhir tasyahhud akhir iaitu semasa kita mengerjakan solat? Kerana betapa pentingnya do'a ini perlu dibaca berulang-ulang jika solat fardu sebanyak 5 kali dan jika ditambah solat sunat maka lebih banyak lagi do'a ini dibaca dan di ulang-ulangkan. Pasti ianya mengandungi hikmah yang besar dan do'a selepas tasyahhud akhir sebelum salam adalah tempat makbulnya do'a.
Do'a perlindungan yang perlu dibaca adalah empat perkara :
1. Berlindung dari siksa Neraka Jahannam.
2. Berlindung dari siksa kubur.
3. Berlindung dari fitnah hidup dan mati.
4. Berlindung dari fitnah Dajjal.
Sahabat yang dimuliakan,
Berdo'alah bersungguh-sungguh dengan penuh khusyuk dan tawaduk kepada Allah s.w.t. Semoga Dia menerima do'a yang kita mohon untuk mendapat perlindungan daripada-Nya . Perkara-perkata tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Berlindung dari siksa Neraka Jahannam.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud : ‘’Barangsiapa dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga maka sungguh ia telah beruntung.'’ (Surah Ali-Imran ayat 185)
Neraka Jahanam adalah seburuk-buruk tempat kembali. Sesiapa yang dimasukkan ke dalam Neraka Jahanam maka dia adalah serugi-rugi makhluk yang diciptakan oleh Allah s.w.t. Siksaan yang diterima disini adalah sedahsyat-dahsyat siksaan.
Neraka adalah seburuk-buruk tempat kembali. “Sesungguhnya Jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman.” (Surah Furqan : 66)
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud : " Sesungguhnya seringan-ringan siksa ahli Neraka iaitu seorang yang bersandal (selipar) dari api Neraka, dan dapat mendidihkan otaknya, seolah-olah di telinganya ada api, dan giginya berapi dan di bibirnya ada wap api, dan keluar ususnya dari bawah kakinya, bahkan ia merasa bahawa dialah yang terberat siksanya dari semua ahli Neraka, padahal ia sangat ringan siksanya dari semua ahli Neraka."
Firman Allah s.w.t maksudnya : “Di hadapannya ada Jahannam dan dia akan diberi minuman dengan air nanah, diminumnnya air nanah itu dan hampir dia tidak boleh menelannya” (Surah Ibrahim ayat 16-17).
Diberi air nanah yang amatlah busuk baunya lagi pekat, maka merekapun merasa jijik dan tidak mampu menelannya.
Hamiim ialah air yang mendidih oleh panasnya api Jahannam, yang mampu melelehkan isi perut dan menceraiberaikan kulit mereka yang meminumnya. Sebagaimana Allah s.w.t. berfirman maksudnya : “Dengan air itu dihancur luluhkan segala apa yang ada dalam perut mereka dan juga kulit (mereka)” (Surah Al Hajj ayat 20)
Kedua : Berlindung dari siksa kubur.
Sesiapa yang mendapat siksaan kubur, maka kuburnya disempitkan atasnya sehingga tulang-tulangnya masuk ke dalam perutnya lantas didatangi berbagai macam ular yang besar sebesar leher unta, dimana ular-ular itu makan dagingnya sehingga tidak tersisa daging pada tulangnya. Kemudian datang kepadanya malaikat yang tuli, bisu dan buta dengan membawa cambuk-cambuk dari besi. Mereka memukulinya dengan cambuk-cambuk itu tanpa mendengar jeritan dan melihatorang itu sehingga tidak akan timbul rasa belas kasihan kepadanya. Disamping itu Neraka selalu diperlihatkan kepadanya baik diwaktu pagi maupun diwaktu petang.
Muhammad bin Assammaak ketika melihat kubur berkata: "Kamu jangan tertipu karena tenangnya dan diamnya kuburan-kuburan ini, maka alangkah banyaknya orang yang sudah bingung didalamnya, dan jangan tertipu kerana ratanya kubur ini, maka alangkah jauh berbeda antara yang satu dengan yang lain didalamnya. Maka seharusnya orang yang berakal memperbanyak ingat pada kubur sebelum masuk kedalamnya."
Sufyan Atstsauri berkata: "Siapa yang sering (banyak) memperingati kubur, maka akan mendapatkannya kebun dari kebun-kebun Syurga, dan siapa yang melupakannya maka akan mendapatkannya jurang dari jurang-jurang api Neraka."
Ketiga : Berlindung dari fitnah hidup dan mati.
Dunia dengan segala isinya adalah fitnah yang banyak menipu manusia. Dan Rasulullah s.a.w., telah memberikan peringatan kepada umatnya dalam berbagai kesempatan, baginda bersabda dalam hadisnya: Dari Abu Said Al-Khudri ra dari Nabi s.a.w bersabda: ”Sesungguhnya dunia itu manis dan lezat, dan sesungguhnya Allah menitipkannya padamu, kemudian melihat bagaimana kamu menggunakannya. Maka hati-hatilah terhadap dunia dan hati-hatilah terhadap wanita, karena fitnah pertama yang menimpa bani Israel disebabkan wanita”(Hadis Riwayat Muslim)
Secara umum fitnah kehidupan dunia dapat dikategorikan menjadi tiga bentuk, yaitu: wanita, harta dan kekuasaan.
Fitnah Wanita
Dahsyatnya fitnah wanita telah disebutkan dalam Al-Qur’an dan Hadits. Bahkan surat ‘Ali Imran 14 menempatkan wanita sebagai urutan pertama yang banyak dicintai oleh manusia dan pada saat yang sama menjadi fitnah yang paling berbahaya untuk manusia. Rasulullah saw. bersabda, ” Tidaklah aku tinggalkan fitnah yang lebih besar bagi kaum lelaki melebihi fitnah wanita” (HR Bukhari dan Muslim).
Fitnah Harta
Fitnah dunia termasuk bentuk fitnah yang sangat dahsyat yang dikhawatirkan Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda maksudnya : ”Berikanlah kabar gembira dan harapan apa yang menyenangkan kalian, demi Allah bukanlah kefakiran yang paling aku takutkan padamu tetapi aku takut dibukanya dunia untukmu sebagaimana telah dibuka bagi orang-orang sebelummu dan kalian akan berlomba-lomba mendapatkannya sebagaimana mereka berlomba-lomba, dan akan menghancurkanmu sebagaimana telah menghancurkan mereka.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Fitnah Kekuasaan
Fitnah kekuasaan ini juga dapat menimpa gerakan dakwah dan memang telah banyak menimpa gerakan dakwah. Para ahli gerakan dakwah termasuk para pemimpin gerakan dakwah adalah manusia biasa yang tidak maksum dan tidak terbebas dari dosa dan fitnah. Yang terbebas dari fitnah dan kesalahan adalah manhaj Islam. Sehingga fitnah kekuasaan dapat menimpa mereka kecuali yang dirahmati Allah. Kecintaan untuk terus memimpin dan berkuasa baik dalam organisasi maupun dalam pentadbiran di dalam masyarakat.
Fitnah kekuasaan yang paling dahsyat menimpa aktifis dakwah adalah perpecahan, saling menjatuhkan, saling memfitnah bahkan saling membunuh. Dan semua itu pernah terjadi dalam sejarah Islam. Semoga kita semua diselamatkan dari semua bentuk fitnah ini.
Untuk mengantisipasi semua bentuk fitnah dunia ini, maka kita harus senantiasa mendekatkan diri kepada Allah dan berlindung dari keburukan fitnah dunia. Mengokohkan pribadi kita sehingga menjadi jiwa rabbani bukan jiwa maadi (materialis) dan juga bukan jiwa rahbani (jiwa pendeta yang suka kultus). Disamping itu kita harus mengokohkan pemahaman kita tentang hakekat dunia, risalah manusia dan keyakinan tentang hisab dan hari akhir.
Rasulullah saw bersabda, “Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau musafir.” (Hadis Riwayat Bukhari dari Ibnu Umar)
Manusia diciptakan Allah sebagai pemimpin yang harus memakmurkan bumi. Maka mereka harus menguasai dunia atau harta bukan dikuasai oleh harta. Sebagaimana doa yang diungkapkan oleh Abu Bakar r.a., ”Ya Allah jadikanlah dunia di tanganku, bukan masuk ke dalam hatiku.” Seperti itulah seharusnya seorang pemimpin. Memberi teladan tentang pengorbanan yang menyeluruh dengan segala harta yang dimiliki, bukan malah memberi contoh tauladan kepada pengikutnya dengan kenderaan dan rumah yang sederhana dan tidak bermewah-mewah seperti yang ditunjukkan oleh Khalifah ar-Rasyidin.
Fitnah kematian
Berlindung daripada Allah s.w.t. fitnah di saat kematian iaitu terhindar daripada hasutan Iblis ketika nazak kerana di saat inilah keadaan yang cukup kritikal. Iblis laknatullah akan memesungkan aqidah orang yang sedang nazak. Ketika ini kita mohon Allah s.w.t memberi kekuatan kita untuk menangkis bisikan dan hasutan Iblis dan dijauhi daripada gangguan ini dan dapat mengingati Allah dan menyebut nama-Nya.
Salman Al-Farisi meriwayatkan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: "Perhatikanlah tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu. Pertama: berpeluh pada pelipis pipinya; kedua: berlinang air matanya dan ketiga: lubang hidungnya kembang kempis.
Manakala jika ia mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh dan mulutnya berbuih, menandakan menandakan azab Allah sedang menimpa dia." (Hadis riwayat Abdullah, al-Hakim dan at-Tarmizi)
Orang yang beriman kepada Allah s.w.t, hendaklah sentiasa berdoa agar kita mati dalam keadaan husnul khatimah (penutupan akhir hayat yang baik). Bukan dalam keadaan su'ul khatimah (penutup akhir hayat yang tidak baik),
Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Sesiapa yang mengucap ucapan terakhirnya sebelum mati kalimah (لا إله إلا الله ) dia masuk Syurga. "(Hadis riwayat Abu Daud daripada Mu 'adz)
Keempat : Berlindung dari fitnah Dajjal.
Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: “Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda telah bersabda: “Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah s.w.t. ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap Mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah s.w.t. akan menjaga orang-orang Mukmin.
Orang Mukmin sentiasa menjauhkan diri daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal samaada fitnah yang berlaku sekarang ini maupun fitnah Dajjah semasa akhir zaman nanti. Kita berada dizaman sekarang ini adalah penuh dengan fitnah yang ditaburkan oleh Dajjal contoh apabila kita suka kepada kehidupan dunia yang sementara, hiburan yang melekakan, melaksanakan undang-undang bukan daripada ajaran Islam, perpecahan sesama umat Islam sebenarnya semua ciri-ciri ini adalah nilai yang dibawa oleh Dajjal di akhir zaman. Jadi bentuknya adalah serupa iaitu mendatangkan kerosakkan, dosa dan kemurkaan Allah s.w.t.
Oleh itu kita mohon perlindungan Allah s.w.t supaya fitnah Dajjal ini (semua yang menyempang dari ajaran Islam adalah kerja Dajjal) dapat kita jauhi dan sentiasa kembali kepada ajaran Islam dan melaksanakannya dalam kehidupan kita.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita istiqamah memohon perlindungan Allah s.w.t di atas empat perkara pokok yang dinyatakan di atas. Dan bacalah do'a perlindungan ini setiap kali kita mendirikan solat samaada solat fardu atau sunat semoga kita mendapat hidayah dan rahmat Allah s.w.t. di dalam kehidupa kita di dunia ini dan mendapat pertolongan Allah di hari akhirat hingga kita layak memasuki Syurga Allah s.w.t seluas langit dan bumi.
Sebab-sebab Doa Tidak di Makbulkan Oleh Allah SWT
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Doa adalah senjata orang mukmin. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Doa adalah senjata orang mukmin, tiang bagi agama dan cahaya dari langit." (Hadis riwayat Hakim)
Seorang hamba yang merendahkan dirinya dan bersifat tawaduk akan sentiasa berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT. Orang yang sombong dan merasakan dirinya serba cukup tidak mahu berdoa kepada Allah SWT dan dia hanya bergantung kepada hartanya, ilmunya, pangkatnya dan kekuasaannya yang dia miliki. Manusia seperti ini satu hari akan kecewa dan mengalami kegagalan kerana pergantungannya adalah suatu yang rapuh kerana menjauhkan dirinya daripada Allah SWT.
Terdapat 8 hikmah dan kebaikan berdoa kepada Allah SWT untuk menjadi panduan kita semua. Perkara-perkara adalah seperti berikut :
1) Doa adalah pelindung dan senjata kepada setiap orang mukmin dari godaan dan hasutan syaitan serta dari kejahatan manusia.
2) Allah SWT amat mengasihi dan menyukai akan hamba-hamba-Nya yang selalu berdoa dan meminta sesuatu kepada-Nya.
3) Dengan berdoa akan meningkatkan lagi ketakwaan dan kekuatan iman seseorang mukmin.
4) Dengan berdoa akan mententeramkan jiwa kita, menjadi penawar dan penenang kepada hati yang bersedih. Firman Allah, 'Ketahuilah, dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.' (Surah ar-Ra'du ayat 28)
5) Dengan berdoa Allah SWT akan menimbulkan pintu rahmat-Nya kepada manusia. Bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Doa itu adalah anak kunci kepada pintu Rahmat."
(Hadis riwaya Ad-Dailami)
6) Doa merupakan penghubung di antara anak dengan ke dua ibu bapa sama ada yang masih hidup ataupu telah mati. Bagii ibu bapa yang telah meninggal dunia maka dari anak-anaknya yang soleh amatlah dinantikan untuk mendoakan kesejahteraan mereka di alam kubur. Bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Apabila anak Adam meninggal dunia, maka putuslah semua amalannya melainkan tiga perkara iaitu, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang (sentiasa) mendoakannya."
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
7) Berdoa adalah ubat penyembuh bagi segala penyakit yang ada pada diri manusia sama ada penyakit zahiriah mahupun penyakit batiniah.
8) Doa adalah penghubung dan pengikat tali persaudaraan dan kasih sayang di antara sesama mukmin. Bersabda Rasulullah SAW yang maksudnya : "Doa seseorang mukmin terhadap saudaranya (mukmin) secara diam-diam, pasti diperkenankan oleh Allah." (Hadis riwayat Muslim)
Sahabat yang dihormati,
Walaupun doa mempunyai banyak hikmah dan kebaikan tetapi kenapa doa-doa kita masih tidak dimakbulkan oleh Allah SWT?
Sebagai seorang mukmin yang sentiasa bermuhasabah diri perlulah kita mencari punca-puncanya supaya bila bertemu punca maka kita akan dapat memperbaikinya dan menjadikan doa kita makbul dan diterima oleh Allah SWT.
Terdapat satu kisah yang berlaku dizaman tabiin , seorang ulama sufi yang terkenal Ibrahim Adham memberi nasihat kepada umat Islam bahawa terdapat 10 perkara kenapa doa-doa merka tidak dimakbulkan oleh Allah SWT.
"Pada suatu masa Ibrahim Adham pernah di tanya kenapakah doa-doa mereka tidak di makbulkan oleh Allah SWT?
Ibrahim Adham menjawab terdapat 10 perkara kenapa doa-doa mereka tidak di makbulkan oleh Allah SWT :
Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
1. Kamu kata kenal Allah SWT tetapi kamu tidak menunaikan hak-Nya (tanggung jawab kamu kepadaNya)
2. Kamu membaca al-Quran, tetapi kamu tidak beramal dengan ajarannya.
3. Kamu kata kamu kasihkan Rasulullah SAW, tetapi kamu tidak beramal dengan sunnahnya.
4. Kamu kata syaitan itu musuh seterumu, tetapi kamulah karibnya dan patuh padanya.
5. Kamu berdoa untuk masuk ke syurga Allah SWT, tetapi kamu tidak beramal dengan amalan yang membawa kamu ke syurga.
6. Kamu berdoa minta di jauhkan dari api neraka, tetapi kamu beramal dengan amalan yang akan mencampakkan kamu ke neraka.
7. Kamu kata mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia untuk menghadapinya.
8. Kamu sibuk dengan keaiban saudaramu, tetapi kamu lupa dengan keaiban dirimu sendiri.
9. Kamu memakan nikmat Allah SWT, tetapi kamu tidak bersyukur kepada-Nya.
10. Kamu kuburkan saudaramu yang sudah mati, tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya.
Dengan itu maka taatlah akan Allah SWT,beramallah dengan Al-Quran, hidupkanlah amalan sunnah Rasulullah SAW, perangilah syaitan dengan penuh kesungguhan, berjalanlah di atas jalan menuju ke syurga, hindarilah dirimu dari masuk ke jalan ahli neraka.
Bersedialah untuk menghadapi maut, perbaikilah keaiban dirimu. Banyakkanlah meminta ampun (istighfar) dan bersyukur. Ingatlah kamu bahawa setiap diri di ikat oleh maut. Insya Allah, jika engkau demikian, maka doamu sentiasa di terima Allah SWT.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita beramal dengan 10 amalan yang dinyatakan oleh Ibrahim Adham kerana kesemua perkara tersebut adalah ajaran Islam yang sepatutnya kita beramal dan melaksanakannya dalam kehidupan kita. Jika kita istiqamah dengan Islam, melaksanakan semua perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya dan mematuhi sunah Rasulullah SAW dan menjaga hubungan kita sesama manusia maka yakinlah insya Allah doa-doa kita akan dimakbulkan oleh Allah SWT.
No comments:
Post a Comment