Wednesday, February 19, 2014

BERSABAR

Bersabarlah Dengan Ujian Allah.

Sahabat yang dikasihi Allah,
Hidup kita di dunia yang sementara ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Anggaplah pengalaman lama sebagai iktibar dan kita harus bersyukur kerana kita masih hidup dalam keadaan beriman. Kita diberikan Allah kesihatan tubuh badan dan memiliki rezeki yang tidak putus-putus. Masih mampu berfikir dan masih mampu melaksanakan kewajipan kita kepada Allah s.w.t.  Maka tanda kita bersyukur dan meredhai Allah s.w.t maka kita perlulah baik sangka dengan Allah dan menganggap qadha' dan qadar yang telah berlaku itu yang paling baik Allah tetapkan untuk kita. Dengan keyakinan ini akan hilang perasaan kecewa, putus asa, forbia, truma, takut, bimbang, risau, gelisah dan ragu-ragu.

Hati orang Mukmin tidak pernah takut apa yang akan ditetapkan Allah s.w.t. untuk masa depannya. Kekasih kita yang Maha Berkuasa akan beri dan pilih sesuatu yang baik dan Dia akan menambahkan lagi rezeki dan akan sentiasa menjaga kita dari bala dan bencana dan sentiasa mendorong kita melakukan kebaikan dan amal-amal soleh.

Sahabat yang dimuliakan,
Sekiranya kita diuji dengan penyakit maka bersabarlah ini semuanya ada hikmah yang baik untuk kita sedangkan kita tidak mengetahui hikmah Allah berikan penyakit itu pada diri kita. Ianya mungkin kafarah atau penghapusan dosa-dosa kita yang pernah kita lakukan kepada Allah s.w.t.

Kifarah adalah balasan Allah di dunia akibat dosa yang dilakukan oleh seorang hambanya, juga ujian-ujian Allah itu boleh berlaku, yang mungkin melibatkan kematian orang yang dikasihi, kehilangan harta benda ataupun penyakit, tidak kira sama ada penyakit tersebut berlaku dalam tempoh masa yang lama ataupun sekejap bergantung kepada ketentuan (qadha’) Ilahi atau buat selama-lamanya sehingga mati.

Selagi ketentuan (qadha’) bagi sakit itu belum menepati qadha’ Allah, maka sakit (kifarah) tadi tidak akan sembuh biarpun pelbagai usaha dilakukan oleh manusia jelas disini membuktikan bahawa ada di antara penyakit itu akan sembuh dengan sendiri biarpun tanpa usaha manusia untuk mendapatkan kesembuhan ataupun tidak akan sembuh biarpun banyak usaha untuk menyembuhkannya telah dilakukan.

Sesungguhnya, apabila Allah s.w.t. itu mengaishi seseorang hamba Ia akan mengujinya. Dan apabila Ia mengujinya, sama ada dengan menurunkan penyakit dan sebagainya, Allah akan memberikan kesabaran. Dalam menghadapi cubaan seperti ini, kesabaran adalah paling utama. 

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab"
(Surah az-Zumar: 10).

Dari Abu Hurairah r.a. dia berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Allah tidak menurunkan penyakit melainkan pasti menurunkan ubatnya.”
(Hadis riwayat Al Bukhari)

Selain ubat, do'a juga penting untuk cepat menyembuhkan penyakit. Berdo'a bererti memohon kepada Allah yang Maha Mengetahui penyakit yang kita deritai dan Dia yang Maha Berkuasa dapat menyembuhkannya. Bersungguh-sungguhlah berdoa kepada Allah.

Firman Allah dalam al-Quran surah Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai Aku, maka sesungguhnya Aku ini dekat. Aku mengabulkan permintaan orang yang berdoa, jika ia benar-benar memohon pada-Ku.”

Sahabat,
Allah s.w.t. menetapkan martabat seseorang pada maqam-maqam tertentu.Namun amalan-amalan yang dilakukan olehnya tidak membolehkannya mencapai martabat yang ditetapkan. Untuk membolehkan hamba berkenaan mencapai martabat tadi, Allah akan mengujinya, mungkin dengan menurunkan bala ke atasnya, seperti sakit, kemalangan jalan raya, kehilangan pancaindera dan sebagainya. Apabila diberi ujian maka Allah akan memberi kesabaran. Dengan ini hamba berkenaan akan mencapai martabat tersebut. Demikianlah kehendak Allah terhadap hambanya yang dikasihi.

Sayyidatina Aishah ada berkata, bahawa baginda Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri,ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa. 
(Maksud hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslirn)

Dalam sebuah hadis lain Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud: "Rintihan orang sakit tercatat sebagai tasbih, kegelisahan dan jeritannya sebagai tahlil, nafasnya seumpama sedekah, tidurnya sebagai ibadah dan kegelisahannya,daripada satu,bahagian ke satu bahagian lain adalah bagaikan jihad kerana Allah s.w.t. dan ditulis baginya sebaik-baik amalan yang pernah dilakukan semasa sihat."

Tidak dinafikan bahawa setiap sesuatu itu berlaku, mempunyai sebab musabab,dan boleh dikaitkan dengan tingkah laku manusia, namun pada hakikatnya di sebalik fakta-fakta yang dapat diterima akal rasionalnya, qadha’ dan qadar Ilahi itu mengandungi rahsia-rahsia Ilahiyah yang tidak difahami oleh manusia.

Sahabat yang dihormati,
Akhirkata marilah sama-sama bersyukur, bersabar dan bertawakkal kepada Allah. Hati dan jiwa orang Mukmin akan sentiasa tenang dan damai apabila Allah s.w.t menjadi rujukannya. Segala permohonan, permintaan dan rintihan hanya ditujukan kepada Allah. Apa yang berlaku pada dirinya atau pada keluarganya semuanya baik belaka kerana dia yakin Allah tidak akan meningalkan dirinya keseorangan. Hatinya sentiasa mengingati Allah dan lidahnya sentiasa berzikir memuji keagongan-Nya. Dia mengharap redha Allah samaada di dunia dan hari akhirat.


Hiasilah Diri Kalian Dengan Sifat Sabar

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabar,adalah kalimat yang mudah diucapkan. Namun berapa ramai antara kita yang bersabar dalam apa jua suasana dan ketika. Adakah sabar itu ada batasnya?, Sabar yang bagaimana sehingga ia diiktiraf sebagai sebahagian dari iman? Adakah kita tergolong dalam golongan orang yang sabar lalu kita terpilih menjadi kesayangan Allah s.w.t.?

Sifat sabar adalah salah satu sifat mahmudah, seorang Mukmin akan menghiasi akhlaknya dengan sifat sabar dan sentiasa tenang menghadapi dugaan dan musibah.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar"
(Surah al-Baqarah ayat 153)

"Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira"
(Surah az-Zumar, ayat10).

Seterusnya Allah s.w.t. juga berfirman: "Dan berilah khabar gembira kepadaorang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya."
(Surah al-Baqarah, ayat 155-157).

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud : "Menakjubkan perihal orang yang beriman. Sesungguhnya setiap perkara dalam urusannya (orang Mukmin ) semuanya adalah baik baginya dan tidak berlaku hal yang demikian melainkan ke atas mereka yang beriman. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar maka yang demikian adalah baik baginya dan jika dia didatangkan kemudahan dia bersyukur maka yang demikian adalah baik baginya."
(Hadis Riwayatkan Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Untuk menjadikan diri kita memiliki sifat sabar sebenarnya mestilah merangkumi empat perkara iaitu :

Pertama : Sabar, tabah dan tekun dalam mengerjakan taat atau ibadat kepada Allah s.w.t.

Ketaatan boleh kita lihat dalam mendidik jiwa untuk rajin dan tabah mengerjakan amal ibadat. Solat yang fardhu dan sunnah, sedekah yang fardhu dan sunnah, begitu juga puasa, haji, wirid harian, dan lain-lain amalan ketaatan kepada Allah baik yang khas mahupun yang am, memerlukan kesabaran dalam diri untuk melakukannya. Sabar untuk mentaati kedua ibu-bapa, berbuat baik dengan jiran tetanga, menghormati tetamu dan sabar ketika mendidik isteri dan anak-anak dengan didikan Islam.

Termasuk dalam ketaatan kepada Allah adalah sabar ketika mengerjakan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah untuk mengajak masyarakat kepada akhlak Islam dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya.

Namun begitu, bagi mereka yang telah sampai ke maqam Al-'Arif,segala ibadat tidak dirasakan melainkan perasaan yang lazat dan ketenangan. Al-Imam Al-Haddad ada menyebut: Sesiapa yang melazimi sifat sabar, akan sampai ke maqam Al-Qurb (hampir dgn Allah), dan disana dia akan mendapati pada amal ibadatnya, kemanisan, kelazatan dan ketenangan yang tidak tergambar.

Kedua : Sabar untuk menahan diri daripada melakukan maksiat atau kemungkaran.

Kesabaran diperingkat ini perlu kepada iman dan kekuatan dalaman. Seseorang yang mampu menahan dirinya daripada melakukan maksiat, kemungkaran dan dosa adalah ciri-ciri orang beriman. Iman itu bukan angan-angan tetapi iman itu apa yang tertanam dihati dan dapat dizahirkan dengan perbuatan dan amalan.

Diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudrir.a., sabda Rasululah s.a.w. yang bermaksud; "Sesiapa di kalangan kamu melihat perkara mungkar maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu lagi maka dengan hatinya dan dengan yang demikian itu (dengan hati itu ) adalah sedaif-daif iman."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sifat orang yang sabar apabila dia melihat sesuatu kemungkaran dia akan cegah dengan tangan (kuasa) dan jika tak mampu dicegah dengan lidah (nasihat) dan jika tidak mampu dia akan cegah dengan hatinya (benci dalam hati )ini adalah selemah-lemah iman dan tidak ada iman lagi selepas ini.

Ketiga : Sabar untuk memelihara diri daripada dipukau oleh godaan dunia, nafsu dan syaitan.

Hawa nafsu mendorong manusia larut dalam kemewahan, terpedaya dalam kerehatan dan hiburan, mengejar kuasa, pengaruh dan kedudukan, wanita dan kecantikan, emas perhiasan dan pelbagai kilauan dunia yang sementara.

Kehidupan di dunia ini penuh tarikan dan menyeronokkan. Dari dorongan nafsu dan hasutan syaitan manusia boleh leka dan hanyut dibawa arus maksiat dan kemungkaran.Tetapi bagi jiwa orang Mukmin yang telah menjalani proses tarbiyah imaniah, da nmenganggap dunia ini adalah persingahan sementara dan akhirat adalah tempat yang kekal abadi maka dengan kesabaran yang tinggi segala tarikan dunia, godaan hawa nafsu dan hasutan syaitan dapat diatasi dengan mudah. Sebaliknya jika manusia menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan dan syaitan sebagai teman setia maka manusia akan menjadi tamak dan kemaruk dengan harta dunia. Di dunia dia sesat dan menyesatkan orang lain.

Keempat : Sabar dan sentiasa bertenang dan teguh hati ketika menghadapi cubaan atau musibah.

Agaknya yang paling sukar ialah sabar dalam menerima sesuatu yang mendukacitakan, baik ia merupakan kematian orang yang disayangi, penyakit, kehilangan harta benda atau kesukaran dalam kehidupan.Kesabaran amat penting agar sifat tabah, mencari penyelesaian dan menenangkan diri dapat dilakukan tanpa keluhan, rungutan, teriakan dan apa-apa lain yang sinonim dengan akhlak yang buruk.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda didalam Hadis Qudsi: Allah s.w.t berfirman yang maksudnya :
"Tidak ada balasan kecuali Syurga bagi hambaku yang beriman yang telah Aku ambil kembali kekasihnya (Aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak, adik-beradik dan sesiapa sahaja yang di sayangi oleh seseorang) dari kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripadaKu (dengan bersabar). "
(Hadis Riwayat Imam Bukhari).

Rasulullahs.a.w.bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya, besarnya pahala sesuai dengan besarnya cubaan. Sesungguhnya, jika Allah mencintai suatu kaum,maka Dia akan menguji mereka. Barang siapa yang reda dengan musibah itu maka baginya keredaan Allah. Dan barang siapa yang marah (tidak reda) dengan musibah berkenaan, maka baginya kemurkaan Allah."
(Hadis riwayat Tirmidzi)

Sabda Rasulullah lagi yang maksudnya: "Setiap sesuatu itu mempunyai hakikat dan tidaklah seorang hamba mencapai hakikat iman sehingga dia menyedari musibah yang menimpanya bukan untuk menyalahkannya dan kesalahan yang dilakukannya bukan sebab untuk ditimpakan musibah kepadanya."

Kitab Risalatul Mu'awanah oleh Al-Imam Abdullah Al-Haddad telah menerangkan bahawa sesungguhnya mereka yang menerima ujian pada zaman ini terbahagi kepada tiga golongan :
1) Golongan yang redha dan bertenang menghadapi ujian. Ganjaran untuk mereka adalah diangkat darjat mereka.
2) Golongan yang gelisah menghadapi ujian tetapi tidak membantahnya. Ganjaran untuk mereka pula adalah dihapuskan dosa.
3) Golongan yang gelisah dan membantah pula ujian yang dihadapi. Mereka akan mendapat kemurkaan dan balasan yang buruk.
Sahabat yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita menghiasi akhlak kita dengan sifat sabar dan memenuhi keempat-empat ciri seperti yang dinyatakan di atas. Tidak ada balasan yang setimpal untuk mereka yang bersabar melainkan Syurga Allah s.w.t. Oleh kerana Allah s.w.t. bersifat sabar kepada makhluk-Nya maka sifat yang mulia ini amat disukai oleh Allah s.w.t jika dimiliki dan diamalkan oleh para hamba-Nya ketika hidup di dunia ini.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML