Wednesday, February 19, 2014

MENJEJAKI SUNNAH RASULULLAH DALAM MENYELESAIKAN MASALAH SOSIAL

Menjejaki Sunnah Rasulullah Dalam Menyelesaikan Masalah Sosial

Kejayaan besar Rasulullah SAW yang tidak mampu dibuat oleh mana-mana tokoh pun selainnya ialah menyelamatkan kehidupan manusia di dunia lagi dan memberi syafaat kepada umatnya di Akhirat. Rasulullah penyelamat roh dan fizikal manusia, membangunkan tamadun rohaniah dan tamadun material yang selamat dan menyelamatkan. Hingga dengan itu manusia dan dunia yang sudah rosak dengan dahsyatnya berjaya dipulihkan.


لَقَدۡ جَآءَڪُمۡ رَسُولٌ۬ مِّنۡ أَنفُسِڪُمۡ عَزِيزٌ عَلَيۡهِ مَا عَنِتُّمۡ حَرِيصٌ عَلَيۡڪُم بِٱلۡمُؤۡمِنِينَ رَءُوفٌ۬ رَّحِيمٌ۬


"Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin." [At Taubah:9:128]



Kalaulah pemimpin-pemimpin ideologi, politik dan falsafah boleh buat kerja yang paling rumit ini tidak perlulah Allah mengutuskan rasul ke bumi ini. Peranan rasul paling penting, yang tiada tandingannya. Hanya rasul yang boleh selesaikan masalah dunia jahiliyah yang melanda dunia.



Dalam sejarah, Allah SWT mengutuskan seorang rasul hanya setiap 700 tahun sekali atau 500 tahun sekali atau 300 tahun sekali. Yakni di waktu semua sistem hidup manusia di dunia benar-benar sudah jammed, buntu dan koma yang tiada seorang ahli fikir lagi yang boleh memberi jalan keluar...hanya jalan wahyu dari Allah.



Rasulullah SAW mempunyai roh yang sangat suci dan kuat hingga Baginda dapat melakukan sesuatu yang mustahil dapat dibuat oleh seorang filasuf. Sebagai utusan Allah SWT, Baginda beroleh pimpinan langsung dari Allah.



إِنۡ هُوَ إِلَّا وَحۡىٌ۬ يُوحَىٰ  عَلَّمَهُ ۥ شَدِيدُ ٱلۡقُوَىٰ



"Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya), yang diajarkan kepadanya oleh (Jibril) yang sangat kuat." (An Najm: 53:4-5)



Maka Rasulullah SAW berjuang menyampaikan wahyu yang diturunkan Allah dan praktikal wahyu itu ditunjukkan di dalam sunnah baginda. Antara sunnah yang jarang difikir dan diamal oleh umat mutaakir ini ialah bagaimana kaedah Rasulullah menyelesaikan masalah umat. Biasanya apabila disebut sunnah Rasul, maka kita terbayang cara Rasulullah dalam makan dan minum, dalam tidur baring dan rumahtangga baginda. Tetapi jarang sekali kita melihat sunnah rasul itu di sudut bagaimana Rasulullah membina Islam di atas runtuhan jahiliyah.



Di zaman jahiliyah kita sedia maklum, pelbagai masalah sosial yang kronik melanda umat ketika itu. Anak-anak perempuan di tanam hidup-hidup, arak menjadi minuman harian, judi dan zina dihormati dan pembunuhan satu kemuliaan.



Suasana jahiliyah itu sentiasa berulang ketika mana Islam tidak diamalkan secara syumul atau sempurna. Di dalam masyarakat yang hanya mengamalkan Islam secara serpihan, jahiliyah seumpama itu muncul kembali dan kali ini lebih dahsyat seiring kecanggihan teknologi semasa.





Kini kita juga berhadapan dengan suasana jahiliyah itu. Udara jahiliyah itu berhembus diseluruh pelusuk buana. Masalah sosial masih belum berjaya dibendung dan diatasi. Kerana itu kita sebagai umat Muhammad patut menjejaki baginda dalam mengatasi masalah sosial. Mari kita lihat bagaimana Rasulullah menyelesaikan masalah jahiliyah itu.



Kaedah yang digunakan baginda ternyata berkesan dan telah terbukti berjaya terlaksana dalam realitinya. Kaedah ini juga praktikal sepanjang zaman, paling berkesan menangani jenayah dan krisis sosial ialah melalui pendidikan, bukan hukuman.



Namun ini bukan bererti hukuman atau penguatkuasaan undang-undang tidak perlu, tetapi undang-undang atau hukuman hanya menangani jenayah setelah berlaku. Sedangkan pendidikan, mencegah jenayah sebelum ia berlaku.



Tegasnya, melalui pendidikan, jenayah dan segala masalah sosial boleh dicegah. Dengan undang-undang pula, jenayah boleh diubati. Tanpa menafikan kepentingan berubat, kita tetap setuju bahawa: Mencegah lebih baik daripada mengubat.



Kejayaan Rasulullah SAW dalam mencegah zina, bunuh, rompak, judi dan lain-lain di zaman jahiliyah ialah kerana baginda berjaya mengubah apa yang ada dalam diri umat jahiliyah ketika itu. Allah berfirman:



 إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡ‌ۗ



"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka." (Ar Ra'd:13:11)



Ertinya, jenayah zaman jahiliyah dapat dicegah oleh Rasulullah SAW kerana baginda berjaya mendidik unsur dalaman manusia yakni akal, hati dan nafsu.



Rasulullah SAW mulakan dengan mengenalkan kepada manusia bahawa Allah adalah Tuhannya, agar Tuhan itu disembah, diagung, dicintai dan diingati. Rasulullah tanamkan rasa berTuhan hingga manusia merasakan Allah adalah idolanya, hidupnya, matinya, tidak lain melainkan untuk Tuhannya, iaitu Allah Rabbul Jalil. Hingga manusia memuja dan membesarkan Allah, berlumba-lumba mencintai Allah demi keredhaan-Nya, melalui pengamalan syariat yang diperintahkan sebagai jalannya.



Baginda Rasulullah SAW terus-menerus melaksanakan dakwah, perkenalkan umat kepada Allah SWT. Bagi manusia yang belum sedar, liar dan alpa, dakwah digunakan untuk menarik mereka. setelah mendapat kesedaran, maka proses pendidikan dijalankan. Semua proses ini dilakukan berpandukan wahyu daripada Allah.



Semasa proses dakwah dan pendidikan dijalankan untuk mendidik batiniah manusia, ini sekaligus diiringi oleh usaha pengisian keperluan lahiriah manusia. Pada peringkat ini semua keperluan asas manusia dicukupkan, hingga manusia tidak akan melakukan jenayah lagi untuk memenuhi desakan kesempitan hidup yang keterlaluan. Setelah itu barulah menyusul penguatkuasaan undang-undang untuk mencegah jenayah bagi segelintir orang yang terlalu jahat, yakni yang tidak boleh ditangani lagi melalui dakwah dan pendidikan melainkan perlu kepada hukuman.



Inilah langkah yang telah disunnahkan Rasulullah SAW kepada kita. Andaikata kita ingin mengatasi masalah sosial yang kian memuncak kini, kita perlu bermula dengan usaha berdakwah, menyeru kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran. Tanamkan kembali keimanan ke hati dan jiwa generasi kita melalui pendidikan. Didik akal mereka dengan memberi kefahaman tentang syariat Islam.



Ajak mereka memahami hukum hakam Islam khususnya yang berkaitan fardhu ain. Susuli dengan ilmu fardhu kifayah, seterusnya hukum hakam yang lain. Di peringkat ini mereka akan sedar mengapa Allah menyuruh atau melarang sesuatu.



Sebagai contoh, di segi menutup aurat, mereka perlu difahamkan mengapa Allah memerintahkan menutup aurat. Apa hikmah dan kebaikannya dan apa pula akibatnya jika hukum ini diingkari di dunia dan di Akhirat. Dengan cara ini umat akan faham dan menjadi manusia yang mengamalkan syariat, bukan mengabai atau menentangnya.



Didik hati mereka untuk mencintai Allah, gerun dengan neraka dan rindu dengan Syurga, nescaya terhindarlah segala maksiat dengan sendirinya. Manusia yang hatinya sentiasa mengingati Allah, tahu dan dapat merasakan pembalasan yang benar-benar berlaku di Akhirat kelak tidak akan tergamak melakukan dosa atau maksiat, sekalipun dosa kecil. Sama ada secara terang atau secara bersembunyi-sembunyi.



Hati perlu didiik kerana ia merupakan raja dalam diri manusia. Rasulullah SAW bersabda: "Di dalam diri anak Adam ada seketul daging, yang mana baik daging itu maka baiklah seluruh jasad. Bila jahat dan busuk daging itu, jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah, itulah hati" (Riwayat Muslim)



Jika hanya ada kesedaran dan kefahaman, tanpa didikan hati, seseorang itu akan melakukan kejahatan dalam kesedarannya, ini kerana akal hanya menggerakkan kekuatan 'tahu' sedangkan hati akan menggerakkan kekuatan 'mahu'. Bila kita mahu meninggalkan kejahatan, barulah kita berjaya meninggalkannya. Tetapi kalau kita hanya tahu itu satu kejahatan, belum tentu kita mampu meninggalkannya.



Setelah akal dan hati dididik, nafsu manusia juga perlu dididik. Ini kerana nafsu adalah penasihat bagi hati, dan ia sentiasa mengajak kepada kejahatan. Firman Allah:



إِنَّ ٱلنَّفۡسَ لَأَمَّارَةُۢ بِٱلسُّوٓءِ



"Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan." (Yusuf:12:53)



Semua kejahatan yang dicetuskan oleh manusia adalah berpunca daripada nafsunya. Jangan harap kita akan dapat mencegah kemungkaran tanpa terlebih dahulu mendidik hawa nafsu.



Bukan mudah melawan nafsu, kerana ia adalah sebahagian daripada diri manusia itu sendiri. Melawan kehendak nafsu samalah melawan kehendak kehendak diri sendiri. Mendidik nafsu perlukan ilmu dan kesungguhan. Kemudian setiap diri mestilah meningkatkan keupayaan diri untuk memeranginya (mujahadah). Ini perlu dibuat secara konsisten (istiqamah) agar diri sebati dengan membuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan.



Dalam mencegah kemungkaran, selain perlu didikan, manusia amat memerlukan pimpinan. Sewaktu Baginda Rasulullah SAW masih hidup, bagindalah yang menjadi pemimpin dan memimpin manusia secara langsung. Apabila baginda telah wafat, tugas memimpin umat terus disambung oleh Khulafa'ur Rashidin dan para sahabat yang lain, seterusnya oleh ulama pewaris nabi. Oleh itu peranan ulama untuk memimpin umat amatlah penting. Ulama kini perlu berusaha agar diri mereka menjadi contoh atau role model bagi umat yang dipimpin.



Dengan adanya role model inilah orang akan mahu melatih diri, berpeluang meniru dan menjalankan kehidupan yang bersih daripada kemungkaran dan kejahatan. Sikap, selalunya lebih berkesan daripada cakap. Bila sudah terbiasa dengan kehidupan yang baik, mereka tidak lagi tergoda dengan rangsangan-rangsangan untuk melakukan jenayah. Tanpa pimpinan, biasanya seseorang yang sudah disedarkan dengan dakwah dan diasuh dengan pendidikan, mudah hanyut semula ke arus kejahatan.



Seterusnya, pintu-pintu yang terbuka untuk manusia melakukan dosa dan maksiat hendaklah ditutup. Kaedah ini dinamakan 'saddus zaraik', ertinya menutup pintu-pintu kejahatan sebelum kejahatan yang sebenar berlaku.

Sebagai contoh, di dalam Al Quran Allah telah berfirman:



وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓ‌ۖ



" Jangan kamu hampiri zina" (Al Israk:17:32)



Ini bererti apa sahaja perkara yang boleh membawa ke arah zina adalah dilarang. Syariat memerintahkan manusia menghindari pergaulan bebas, melihat gambar dan membaca bahan-bahan lucah, berpakaian mendedah aurat kerana semua itu dianggap menghampiri jenayah seks seperti zina, rogol dan cabul.





Bukan sekadar itu, di dalam Islam apa sahaja yang boleh membawa kepada jenayah adalah dilarang. Sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, dendam, pemarah, adu domba dan lain-lain adalah haram hukumnya kerana dari sifat ini boleh membuahkan pergaduhan, pembunuhan, permusuhan dan lain-lain.



Sifat-sifat mazmumah adalah benih bagi jenayah. Bunuh misalnya berpunca dari marah dan dendam. Oleh itu bukan pembunuhan itu sahaja yang dilarang, malah berdendam atau pemarah pun sudah berdosa. Bagi mereka yang beriman, sifat-sifat mazmumah ini akan dijauhi sekalipun undang-undang tidak menjangkaunya, tetapi Allah Maha Melihat dan akan menghukumnya. Bila benih jenayah dan maksiat dijauhi, maka dengan sendirinya buahnya (kemungkaran) tidak akan terjadi.



Rasuah..bagaimana boleh berlaku? Jawapannya tentu kerana pelakunya lemah iman. Manusia walaupun telah dididik akal, hati dan nafsunya, masih ada faktor yang membolehkan berlakunya kemungkaran seumpama rasuah itu. Umpamanya kerana tekanan hidup yang keterlaluan, kemiskinan, kelaparan dan sebagainya.





Kerana itu antara yang dilakukan Rasulullah SAW dalam membentuk satu masyarakat yang bebas dari kemungkaran ialah keperluan asasi manusia dicukupkan. Di waktu itu telah ada baitulmal yang menjaga kebajikan umat sebagai satu institusi yang rasmi. Lebih dari itu adanya tokoh-tokoh korporat yang beriman yang menjadi bank kepada masyarakat atas dasar iman dan kasih sayang.



Kerana itu jenayah seperti rasuah atau curi dapat diatasi. Jika di dalam satu masyarakat yang makmur, hidup senang tetapi masih ada individu yang melakukan perbuatan rompak atau curi, maka patutlah dihukum.



Akhir sekali, apabila masyarakat telah dididik, pintu kejahatan telah ditutup dan keperluan hidup yang asas telah dicukupkan, tetapi masih ada yang mahu melakukan maksiat, penguatkuasaan undang-undang diperlukan.



Islam tidak menolak perlunya undang-undang untuk mengatasi jenayah dan kemungkaran, dengan syarat proses perlaksanaannya mesti didahului oleh perkara-perkara di atas. Malah Allah telah syariatkan hukuman hudud untuk dilaksanakan. Namun menurut ajaran Islam, hukuman lebih bersifat mendidik dan menginsafkan kerana ada manusia yang perlu disakiti fizikalnya, untuk memberi kesan didikan kepada hatinya.



Hukuman di dunia ini adalah untuk mengingatkan bahawa hukuman di Akhirat jauh lebih dahsyat dan berat. Dengan adanya hukuman di dunia, pelaku maksiat berpeluang untuk menebus kesalahan mereka di dunia sebagai usaha bertaubat agar terselamat dari azab di Akhirat. Sebab itu ada penzina di zaman Rasulullah SAW yang menyerah dirinya untuk dihukum demi menyelamatkan dirinya daripada hukuman di Akhirat.



Kerelaan itu dibuat tanpa intipan, tangkapan dan ancaman tetapi kerana hati mereka sudah terasa diawasi Allah. Namun kerana desakan nafsu, ada ketikanya mereka terlanjur jua. Itulah kesan iman dan taqwa, hasil dakwah, didikan dan pimpinan Rasulullah SAW. Penguatkuasaan undang-undang adalah proses untuk membaikkan manusia setelah proses-proses yang lain telah dijalankan tetapi kurang berkesan. Walau bagaimanapun proses pengadilan, perbicaraan, penghakiman hinggalah terlaksananya hukuman secara Islam akan dibuat secara adil dan saksama.



Kaedah Rasulullah SAW dalam mengatasi masalah manusia adalah unggul kerana ia dari Allah, Pencipta manusia, dengan masalah mereka berserta jalan penyelesaiannya!



Rasulullah SAW  hadir untuk membawa rahmat kepada sekelian Alam. Pembawa sinar kebenaran dan akhlak yang agung. Apabila sinar kebenaran tampak jelas maka sirnalah kebatilan dan kesesatan.



Benarlah Firman Allah:



 وَمَآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةً۬ لِّلۡعَـٰلَمِينَ



"Tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk membawa rahmat ke seluruh alam."  (Al Anbia:21:107)



محمد فضلي بن يوسف




Silakan share



No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML