Wednesday, February 19, 2014

DI AKHIRAT MATA AKAN DIBUTAKAN BAGI YANG INGKAR

Kenapa Manusia Menjadi Buta Di Akhirat Sedangkan Dia Tidak Buta Semasa Di Dunia?

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Ramai manusia diciptakan oleh Allah SWT tidak buta, mata boleh melihat dengan sempurna. Boleh melihat ciptaan Allah SWT, boleh makan, minum, berjalan, belajar, bekerja, bersukan dan memandu kenderaan. Tetapi di hari akhirat nanti ada orang yang celek (tidak buta) di dunia tetapi apabila dibangkitkan  di hari akhirat menjadi buta. Ada pula segolongan manusia buta matanya semasa di dunia tetapi apabila dibangkitkan di akhirat dia boleh melihat dan matanya tidak buta.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta".
Ia berkata: "Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?"
(Surah Taha, Ayat 124-125)

Kenapakah manusia boleh menjadi buta? Apakah dosa dan kesalahan mereka hingga mendapat murka Allah SWT hingga nikmat mata yang boleh melihat telah dibutakan-Nya? Dalam surah Taah ayat 124 Allah SWT mengancam kepada mereka yang berpaling dan ingkar dari ingatan dan petunjuk-Nya. Sesiapa yang melanggar peraturan dan cara hidup yang ditetapkan oleh Allah SWT, melakukan maksiat dan membuat dosa-dosa besar dan menzalimi orang lain akibatnya hidup di dunia akan disempitkannya (tidak tenang, menderita dan di timpakan musibah) dan di akhirat pula menjadi buta (sebagai balasan kerana keengkarannya semasa di dunia)

Bayangkan betapa azabnya golongan ahli neraka yang di seksa fizikalnya dengan seksaan yang dahsyat ditambah pula matanya buta tidak dapat melihat kawasan sekelilingnya (ini adalah satu bentuk seksaan  psaikologi yang ditimpakan kepada golongan yang engkar ini). 

Puncanya adalah kerana mata yang di kurniakan oleh Allah SWT di dunia tidak digunakan untuk melihat kebenaran. Matanya hanya melihat perkara dosa dan maksiat. Matanya dahulu digunakan untuk menulis fitnah , mengedit gambar dan VCD lucah untuk di sebarkan, matanya dahulu digunakan  untuk merancang dan menyekat dakwah Islam, menghina ulama, menentang hukum hudud dan melakukan kerosakan di muka bumi. Bagi golongan ini tidak ada halal atau haram yang penting matlamat perlu dicapai (matlamat menghalalkan cara).

Firman Allah menjelaskan isu derita dan bahagia dalam surah Hud ayat 106-107 : Maksudnya : "Adapun orang-orang yang celaka (disebabkan keingkaran dan maksiatnya), maka di dalam nerakalah tempatnya. Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu (seperti suara keldai). Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu. Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya. Adapun orang-orang yang berbahagia (disebabkan imannya dan taatnya), maka di dalam syurgalah tempatnya. Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu sebagai pemberian nikmat yang tidak putus-putus".

Sahabat yang dimuliakan,
Berbeza pula golongan mukmin yang beriman dan bertakwa semasa di dunia. Di pergunakan sepenuh masa, tenaga, wang ringgit untuk menyebarkan dakwah Islam, melaksanakan amar makruf nahi mungkar, memberi tazkirah, menghidupkan suasana tarbiah di internet, melaksanakan amal-amal soleh, beribadah dengan ikhlas dan suka bersedekah dan berakhlak mulia.

Golongan ini dimuliakan oleh Allah SWT seperti dalam ayat ke 97 surah al-Nahl pula Allah SWT  berfirman maksudnya : "Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan". 

Marilah sama-sama kita mengabdikan diri kepada Allah SWT, laksanakan semua yang wajib dan jauhi semua yang haram. Meningkatkan amal-amal sunat dan menjauhi perkara syubahat atau makruh . Berdoalah kepada Allah SWT semoga kita dihidupkan di hari akhirat dalam keadaan celek dan berpeluang peluang dengan rahmat-Nya untuk memasuki syurga  yang penuh kenikmatan dan tiada tolok bandingnya.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML