Dailog Di Antara Ahli Syurga Dan Ahli Neraka
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam al-Quran ada diceritakan kisah dialog atau perbualan di antara ahli syurga dan ahli neraka. Ahli syurga mengenali ahli neraka yang terdiri daripada rakan-rakan, jiran tetangga atau ahli keluarganya. Ketika di dunia dahulu mereka sering berjumpa, berbincang dan berkawan baik tetapi oleh kerana masing-masing membawa haluan tersendiri ada yang mematuhi syariat Allah SWT dan pula yang melanggarinya . Bagi mereka yang melakukan amal soleh maka balasan syurga diperolehi sebaliknya pula mereka yang berdosa dan melakukan maksiat telah dimasukkan ke dalam neraka.
Jika kita fikir secara logik bagaimana ahli syurga boleh berdailog dengan ahli neraka sedangkan mereka berada di dua tempat yang berjauhan seperti langit dan bumi. Cuba bayangkan dalamnya neraka umpama kita lepaskan seketul batu di atas siratul mustakim selama 70 tahun perjalanan baru sampai ke dasar neraka. Peristiwa ini tidak mustahil kerana semua perkara di syurga adalah luar biasa dan tidak dapat dibayangkan oleh akal dan fikiran manusia, jika di dunia ini pun kita boleh saksikan bagaimana boleh di adakan ''video confrence" walaupun ahli-ahli panelnya berada di merata dunia. Ucapan dan soaljawab boleh disaksikan secara terus menerus.
Terdapat dailog di antara ahli syurga dengan orang-orang kafir, orang Islam yang berdosa besar dan terdapat juga orang-orang baik atau alim dan berilmu di dunia tetapi mereka dimasukkan juga ke dalam neraka (kerana tidak mengamalkan ilmunya dan menjadi ulama dunia) .
Apa hikmah di balik dialog diantara penduduk syurga dan neraka tersebut ? Kemudian bagaimana dengan keadaan saudara mara kita di dalam neraka? Tidakkah seorang manusia itu akan bersedih atasnya. sementara dia berada dalam syurga?
Hikmah dari itu semua adalah agar kebahagiaan penghuni syurga semakin bertambah dengan kenikmatan Allah atas mereka; iaitu dengan masuknya mereka ke dalam syurga serta keselamatan mereka dan api neraka. Serta agar semakin bertambah penyesalan dan kerugian penghuni neraka kerana kehilangan karunia dan mendapatkan seksa.
Allah SWT berfirman maksudnya : "...dan penghuni-penghuni syurga berseru kepada penghuni-penghuni neraka (dengan mengatakan): “Sesungguhnya Kami dengan sebenarnya telah memperoleh apa yang Tuhan Kami menjanjikannya kepada kami. Maka Apakah kamu telah memperoleh dengan sebenarnya apa (azab) yang Tuhan kamu menjanjikannya (kepadamu)?” Mereka (penduduk neraka) menjawab: “Betul”. kemudian seorang penyeru (malaikat) mengumumkan di antara kedua golongan itu: “Kutukan Allah ditimpakan kepada orang-orang yang zalim, (Surah aI-A’raaf (7) ayat 44)
Apabila tidak tertahan kehausan yang teramat dan kelaparan yang teramat dalam neraka, penghuni neraka meminta agar penghuni syurga berkongsi dengan mereka sedikit air dan sedikit makanan yang diberikan Allah SWT kepada penghuni syurga. Mereka ditempelak oleh penghni syurga. Kerana Allah SWT mengharamkan air minuman dan makanan di ahirat kepada penghuni neraka. Minuman mereka hanya dibenarkan apa yang ada dalam neraka, iaitu minuman nanah yang teramat busuk dan menjijikkan yg menggelegak sebagai minuman dan buah zakum yang berduri sebagai makanan harian penghuni neraka. Apabila diminum minuman neraka itu hancur luluh segala saluran makanan, perut hancur, dengan kesakitan yang tidak dapat dibayangkan seksa sakitnya, kemudian kembali seperti sediakala.
Apabila dimakan buah zakum yg berduri itu ditelan tidak boleh masuk, sambil durinya mencakar kerongkong, sehingga luka,koyak dan terburai kerongkong dan kalau masuk dalam perut pula hancur isi perut, dengan kesakitannya digandakan 99 kali pula, kemudian kembali seperti sediakala. Diulangi lagi, kerana dahaga dan lapar, namun tidak hilang haus dan lapar.
Allah SWT juga berfirman lagi maksudnya : "dan penghuni neraka menyeru penghuni syurga: ” Limpahkanlah kepada Kami sedikit air atau makanan yang telah direzekikan Allah kepadamu”. mereka (penghuni syurga) menjawab: “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan keduanya itu atas orang-orang kafir, (Surah aI-A’raaf (7) ayat 50)
Dari Ibnu ‘Abbas dia berkata ‘Seorang laki-laki memanggil saudaranya atau bapaknya, seraya berkata, ‘Sungguh aku telah terbakar Iimpahkanlah atasku sedikit air!’ Maka dikatakan kepada mereka, ‘Jawablah mereka.’ Maka mereka menjawab, ‘Sesungguhnya Allah telah mengharamkan keduanya atas orang-orang kafir.’
Sa’id bin Jubair radhiyallahu anhu juga berkata, "Seorang laki-laki menyeru kepada saudaranya, ‘Wahai saudaraku, sungguh aku telah terbakar, maka tolonglah aku!’ Maka dia menjawab, ‘Sesungguhnya Allah telah mengharamkan keduanya atas orang-orang kafir.’ (Tafsir at-Thabari (XII/473-474))
Imam at-Thabari meriwayatkan dan Ibnu ‘Abbas , dia berkata, ‘Penghuni syurga menyeru kepada penghuni neraka, ‘Sungguh kami telah mendapati apa yang telah dijanjikan oleh Rabb kami sebagai sebuah kebenaran, maka apakah kalian telah mendapati janji Rabb kalian sebagai sebuah kebenaran?’ Mereka menjawab, ‘Ya.’ Dia berkata, ‘Dan kesedihan, kesusahan, dan azab.’ Maka berkatalah penghuni syurga, ‘Maka sesungguhnya kami telah mendapati apa yang dijanjikan oleh Rabb kami sebagai sebuah kebenaran dan berbagai kenikmatan dan kemuliaan.’ (Tafsir at-Thabari (X111446))
Ibnu ‘Abbas juga berkata, ‘Ada tembok antara penghuni syurga dan penghuni neraka, maka dibukakanlah bagi penghuni syurga beberapa pintu. Lalu mereka melihat sementara mereka berada di atas dipan-dipan kepada penghuni neraka bagaimana mereka itu diazab, lalu mereka tertawa kerana mereka, dan jadilah itu termasuk perkara yang dengannya Allah menyenangkan mata mereka, bagaimana Allah membalas mereka.’ (Tafsir at-Thabari (X)UV/304))
Oleh kerana itulah penghuni neraka akan berkata, “Kiranya kami dikembalikan (ke dunia) dan tidak mendustakan ayat-ayat Tuhan kami, serta menjadi orang-orang yang beriman”, (tentulah kamu melihat suatu peristiwa yang mengharukan).” (Surah al-An’am (6) ayat 27).
Ini adalah termasuk bagian dan kesempurnaan nikmat Allah atas penghuni syurga. Di mana mereka mengakui karunia Allah yang agung atas mereka, serta kemurahan Allah atas mereka dengan keberuntungan di syurga dan segala kenikmatan abadi di dalamnya, serta keselamatan mereka dari neraka dan segala azab pedih yang ada di dalamnya.
Dan di antara kesempurnaan azab orang-orang kafir dan kerugian mereka adalah mereka melihat penghuni syurga bernikmat-nikmat, sementara mereka berada dalam azab. Maka berkatalah penghuni syurga:
Firman Allah SWT maksudnya : “Segala puji bagi Allah yang telah memenuhi janji-Nya kepada kami dan telah (memberi) kepada kami tempat ini sedang kami (diperkenankan)menempati tempat dalam syurga di mana saja yang kami kehendaki…” (Surah az-Zumar (39) ayat 74)
Penghuni syurga tidak akan bersedih atas kerabat-kerabat, dan sahabat-sahabat mereka yang ada dalam neraka. Maka setiap ikatan dan persahabatan akan terputus pada hari kiamat. Dan tidak akan tersisa selain hubungan ketakwaan dan amal soleh. Allah Subhanahu Wa Ta’alah berfirman maksudnya :
“Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” (Surah az-Zukhruf (43): ayat 67)
Sahabat yang dimuliakan,
Dalam hadis lain Rasulallah SAW memberitahu bahawa di kalangan umat baginda sendiri - manusia yang hidup zaman baginda sampailah manusia terakhir di dunia ketika terjadinya kiamat, satu golongan daripada 73 golongan atau firqah umat Islam yang berjaya mendapat syurga, selainnya, iaitu 72 golongan walaupun Islam, gagal mendapat syurga, dan sebaliknya masuk neraka. Jadi, yang berjaya di akhirat itu hanyalah golongan minoriti iaitu golongan yang sedikit dari kalangan umat Islam. Oleh itu berwaspadalah. Janganlah rasa seronok kerana kita Islam kononnya kita dapat syurga!
Benar, kalau kita orang Islam dan ada sedikit iman akan masuk syurga, kerana Allah SWT berjanji, sesiapa yang Islam dan beriman dan ada keimanannya sebesar zarrah atau sebesar tubuh semuit hitam yang halus atau sebesar biji sawi, jika wujud dalam kalbunya keyakinan tentang adanya Tuhan Yang Maha Esa yang berhak di sembah, iaitu Allah SWT, dan menyebut dia kalimah 'la-ilaha illallah' maksudnya: "Tiada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah " , akhirnya kelak, setelah "berakhkab" dalam neraka baru dibenarkan masuk ke syurga.
[Nota: "Akhkab" adalah hitungan waktu akhirat. Katanya satu akhkab bersamaan dengan 100,000 tahun dalam tahun akhirat. Setiap sehari di akhirat sama dengan 1,000 tahun kiraan tahun kita di dunia sekarang maknanya 1 tahun di akhirat sama dengan 360,000 tahun di dunia]
Bayangkanlah betapa azabnya seseorang yang ada sedikit iman di masukkan ke dalam neraka jutaan tahun lamanya sebagai proses pembersihan mengikut kiraan dunia barulah dibenarkan memasuki syurga yang paling bawah. Sedangkan seksaan yang paling ringan di neraka adalah jika dipakaikan kasut dari neraka boleh menyebabkan otak mendidih kerana kepanasan yang amat sangat.
Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu marilah sama-sama kita insaf dan sedar bahawa jangan memandang ringan terhadap dosa-dosa yang kita lakukan walaupun dosa tersebut kita menganggap sebagai dosa kecil , perlu diingat jika dosa kecil terlalu banyak di lakukan maka iannya akan menjadi dosa besar . Jauhkanlah dosa-dosa besar yang kita tidak menyedarinya iaitu dosa mengambil hak orang lain, memberi dan menerima rasuah, mengambil riba, mengumpat, memfitnah dan mendedahkan aib orang lain kerana dosa-dosa ini boleh mengakibatkan seseorang di masukkan ke dalam neraka. Nauzubillahiminzalik.
Beramallah dengan amalan ahli syurga dan jadikanlah diri kita orang mukmin yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT.
No comments:
Post a Comment