Wednesday, February 19, 2014

KOLEKSI SOAL JAWAB BERKAITAN SOLAT ~ SOLAT SUNAT

Sunat

Soalan-soalan:

    Solat Sunat 2 Rakaat ketika Masuk Masjid
    Wanita Solat Tarawih di Masjid
    Pengertian Tarawih
    Pelaksanaan Solat Tarawih
    Cara Menunaikan Solat Istikharah
    Menunaikan Solat Tahiyyatul Masjid Di Surau
    Cara Mengerjakan Solat Jenazah
    Solat Tahiyyatul Masjid
    Kelebihan Solat Sunat Israaq
    Keutamaan Solat Istikharah
    Solat Sunat Hajat, Tahajjud dan Taubat
    Kesan Setelah Solat Istikharah
    Bacaan Ayat dalam Solat Tasbih





1. Solat Sunat 2 Rakaat ketika Masuk Masjid
Soalan:
Bolehkah kita sembahyang sunat 2 rakaat ketika khatib sedang membaca khutbah di hari Jumaat kerana saya selalu melihat orang yang terlambat datang mendengar khutbah terus sembahyang sunat 2 rakaat, adakah pahala Jumaatnya tiada?

 Hamba Allah, KL

Jawapan:
Setiap kita yang datang ke masjid sunat mengerjakan solat sunat dua rakaat. Begitu juga ketika hari Jumaat, jika kita terlambat datang dan ketika itu khatib telah membaca khutbah maka kita juga disuruh mengerjakan solat sunat tahyatul masjid terlebih dahulu barulah kita duduk. Dasarnya adalah, pernah pada suatu hari ketika Rasulullah SAW sedang membaca khutbah Jumaat, tiba-tiba ada seorang sahabat yang datang terlambat, kemudian ia langsung duduk. Ketika itu Rasulullah SAW menegurnya agar berdiri dan mengerjakan solat tahayatul masjid dua rakaat, maka sahabat itu pun melakukan perintah Rasulullah SAW tersebut.

Kembali ke atas ↑



2. Wanita Solat Tarawih di Masjid
Soalan:
Adakah dibenarkan kita bertarawih sendirian di rumah? Sebabnya adalah kerana masjid sesak, masalah air sembahyang yang tidak tahan lama?

Fatimah Azzahra, KL

Jawapan:
Dibolehkan setiap individu mengerjakan solat tarawih di rumah dan tidak dikerjakan secara berjemaah kerana solat tarawih itu hukumnya sunat. Berjemaah yang kita lakukan itu kerana ingin mencari kelebihan pahala dalam berjemaah. Namun bagi seorang wanita solat di rumahnya lebih utama daripada solat berjamaah di masjid, sebagaimana Rasulullah SAW bersabda: "Solat seorang perempuan di rumahnya lebih utama daripada ia solat di masjid".

Namun jika ingin menghadiri solat berjemaah di masjid boleh saja, asal saja tidak membawa kesukaran seperti berjumpa dengan ramai kaum lelaki di jalan atau orang jahat yang akan mengganggu dan sebagainya. Cukuplah seorang wanita itu ia solat berjemaah di rumah bersama-sama dengan perempuan lain serta dengan anak-anaknya. Yang bertindak sebagai imam berdiri di tengah-tengah saf, dan janganlah membaca dan bertakbir dengan suara yang keras atau lantang, cukup dengan perlahan dan seperlunya saja.

DN 054 Bimbingan Lengkap Fardhu Ain - Ibadah Puasa
DN 148 ♀ Bunga Idaman Mutiara Syurga WANITA SOLEHAH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )



Kembali ke atas ↑



3. Pengertian Tarawih
Soalan:
Apakah pengertian solat Tarawih, bilangan rakaatnya dan kaifiat mengerjakannya mengikut sunnah Rasulullah SAW?

Abdul Hanan, KL

Jawapan:
Erti Tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirehat. Solat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isyak. Biasanya duduk berehat setelah mengerjakan empat  rakaat solat Tarawih sebelum disambung semula.

Aisyah ra. meriwayatkan: "Rasulullah SAW solat Tarawih empat rakaat pada waktu malam setelah itu beristirehat. Baginda duduk lama sehingga saya kasihan melihatnya. Saya berkata kepadanya: "Demi Allah wahai Rasulullah. Dosa-dosamu telah diampuni Allah , samada dosa terdahulu dan terkemudian; maka untuk apakah tuan bersusah payah solat seperti ini? Baginda menjawab: Bukankah lebih baik kalau aku menjadi hamba yang bersyukur".

DN 094 Panduan Solat Tarawih

Kembali ke atas ↑



4. Pelaksanaan Solat Tarawih
Soalan:
1. Antara berikut, manakah yang lebih afdhal?

    Solat Tarawih bersendirian di rumah.
    Solat Tarawih bersama isteri di rumah.
    Solat Tarawih di Surau.
    Solat Tarawih di Masjid.



Solat yang manakah lebih afdhal?

    Solat Tarawih 20 rakaat. 
    Solat Tarawih 8 rakaat diikuti dengan Tazkirah/Majlis Ilmu?

Abdul Hanan, KL

Jawapan:
Hukum solat Tarawih ialah sunat muakad (sunat yang sangat dituntut) bagi orang-orang Islam lelaki dan perempuan. Oleh kerana itu keadaannya menjadi penyempurna bagi ibadat puasa yang wajib dan banyak pahalanya.

Sebagaimana yang diamalkan sendiri oleh Rasulullah SAW solat sunat Tarawih boleh dikerjakan dengan bersendirian ataupun secara berjamaah di masjid atau disurau. Telah sepakat pendapat ulama bahawa lebih afdal solat sunat Tarawih itu dikerjakan dengan berjamaah.

Rasulullah pada mulanya mendirikan solat sunat Tarawih di Masjid Nabawi dengan berjamaah. Pada malam keduanya baginda dapati sambutan begitu ramai dari para sahabat, sehingga baginda merasa bimbang kalau umat Islam kelak menganggap solat Tarawih itu sebagai wajib. Ternyata benar pada malam ketiganya menjadi bertambah ramai para sahabat yang berhimpun di Masjid Nabawi untuk mengerjakan solat sunat Tarawih berjemaah bersama Rasulullah SAW. Tetapi baginda tidak mahu hadir, kerana bimbang umat Islam akan menganggap ibadah solat itu sebagai wajib, bukan tidak mahu berjemaah.

Pada zaman pemerintahan khalifah Saidina Umar Ibnul Khattab, beliau merasa tidak senang hati melihat umat Islam berkelompok kelompok di sana-sini di dalam Masjid Nabawi mendirikan solat sunat Tarawih. Beliau lalu berusaha menyatukan mereka supaya mendirikan solat sunat Tarawih itu dalam satu jamaah sahaja yang lebih besar dan bersatu, dengan diimamkan oleh seorang yang baik bacaannya.

Perubahan yang dibawa oleh Saidina Umar ra. itu tidak mendatangkan anggapan bahawa solat Tarawih itu sebagai wajib. Demikian juga bilangan rakaat dari lapan rakaat menjadi dua puluh rakaat tidak dianggap memberatkan mereka. Ini disebabkan pada zaman khalifah Umar ra., keadaan keilmuan agama telah semakin luas dan mendalam serta suasana masyarakat umat Islam telah stabil. Mereka telah cukup memahami bahawa solat Tarawih itu hukumnya sunat muakad (sunat yang dituntut) bukan fardhu atau wajib. Demikian juga mereka mengamalkan solat sunat Tarawih dua puluh rakaat memandangkan faedah dan kelebihan pahalanya yang amat besar. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sekiranya ummatku mengetahui apa yang ada pada Ramadhan itu, sudah pasti mereka akan sentiasa mengharapkan agar semua bulan yang lain menjadi Ramadhan" (Hadis)

DN 094 Panduan Solat Tarawih

Kembali ke atas ↑



5. Cara Menunaikan Solat Istikharah
Soalan:
Apakah cara yang betul untuk melakukan solat sunat istikharah dan berapa kalikah ia perlu dilakukan?

Muslimat, Kajang

Jawapan:
Solat sunat Istikharah boleh dilakukan dengan menunaikan dua rakaat solat di mana pada rakaat pertama hendaklah dibaca Surah Al-Kafirun selepas membaca Al-Fatihah, manakala di rakaat yang kedua hendaklah dibaca surah Al-Ikhlas selepas membaca A-Fatihah. Lafaz niatnya ialah "Sahaja aku menunaikan solat sunat Istikharah dua rakaat  kerana Allah Taala". Solat ini sudah memadai dilakukan sebanyak satu kali namun, jika saudari mahu saudari boleh menunaikannya sebanyak dua, tiga kali. Seeloknya lakukanlah pada malam jumaat kerana pada malam itu adalah malam yang berkat dan mudah-mudahan Allah SWT menerima dan memustajabkan doa saudari itu. Doa solat Istikharah bolehlah dirujuk kepada buku-buku solat sunat.

DN 088 Pedoman Solat-Solat Sunat

Kembali ke atas ↑



6. Menunaikan Solat Tahiyyatul Masjid Di Surau
Soalan:
Apakah boleh melakukan sembahyang Sunat Tahiyyatul Masjid apabila berada di surau?

Akah, Sg Buloh

Jawapan:
Dalam sebuah hadis riwayat Muslim menjelaskan seseorang yang memasuki masjid hendaklah menunaikan dua rakaat sunat Tahiyyatul Masjid walaupun imam sedang menyampaikan khutbah jumaat. Perkara ini telah menjadi sunnah kepada ummah Islam seluruhnya. Persoalannya adakah boleh bagi seseorang itu menunaikan solat Tahiyyatul Masjid di surau.

Berdasarkan penjelasan hadis di atas tidak harus menunaikan solat tahiyyatul Masjid di surau, kerana syarat masjid yang diharuskan seseorang menunaikan solat Tahiyyatul Masjid ialah masjid yang boleh ditunaikan di dalamnya solat jumaat atau dengan lain perkataan Masjid Jamek. Surau tidak ditunaikan di dalamnya solat Jumaat kecuali surau yang diisytiharkan oleh pihak kerajaan sebagai masjid dan masyarakat awam boleh menunaikan solat Jumaat di situ. Di kala itu barulah boleh ditunaikan solat Tahiyyatul Masjid.

DN 093 Bimbingan Lengkap Solat-Solat Sunnat

Kembali ke atas ↑



7. Cara Mengerjakan Solat Jenazah
Soalan:
Soalan hamba bagaimanakah niat solat jenazah bagi lelaki ataupun perempuan (jenazah) mula dari niat sampai salam?

Hamba Allah, PJ

Jawapan:
Untuk mengimamkan solat jenazah imam hendaklah mengetahui pertama sekali tentang kedudukan jenazahnya yang hendak disolatkan, adakah lelaki atau perempuan. Begitu juga makmum. Jika jenazah lelaki niatnya ialah: "Sahaja aku solat jenazah ke atas mayat lelaki/mayat perempuan ini empat takbir fardu kifayah kerana Allah SWT."

Makmum boleh berniat: "Sahaja aku menunaikan solat jenazah ke atas mayat yang disolatkan oleh imam empat takbir fardu kifayah kerana Allah SWT." Setelah berniat mulakanlah dengan bertakbiratul Ihram, kemudian bacalah surah Al-Fatihah. Setelah selesai membaca surah Al-Fatihah bertakbir pula untuk kali keduanya, setelah itu membaca selawat ke atas nabi. Selawat yang paling afdal ialah selawat Ibrahimiyah yang biasa dibaca di dalam tahiyat akhir solat.

Kemudian takbir kali ke tiga seterusnya membaca doa ke atas mayat, sekurang-kurangnya menyebut; "Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dosa-dosanya, rahmatilah ia, afiatkanlah ia dan maafkanlah ia." Bacalah doa yang mudah. Seterusnya bertakbir untuk kali ke empatnya dan seterusnya memohon keampunan dari Allah ke atas dosa-dosa yang telah kita lakukan dan dosa-dosa yang dilakukan oleh seluruh kaum muslimin yang terdahulu. Kaedah selengkapnya solat jenazah ini bolehlah dirujuk kepada cara mengerjakan solat jenazah dalam buku-buku yang membicarakannya. 

DN 346 Panduan Lengkap Mengurus Jenazah
DN 114 Panduan Lengkap Ibadah Solat

Kembali ke atas ↑



8. Solat Tahiyyatul Masjid
Soalan:
Mana satu yang patut diutamakan, samaada sembahyang Tahiyyatul Masjid dahulu atau terus duduk apabila ketika itu ada majlis ilmu di masjid itu. Jika terus duduk apakah bacaan yang sesuai sebagai ganti kepada Tahiyyatul Masjid ?

Rozelan, Ipoh

Jawapan:
Setiap kali memasuki masjid, sebelum duduk disunatkan mengerjakan Solat Sunat dua rakaat yang dinamakan Solat Sunat Tahiyyatul Masjid. Jika terlupa tidaklah berdosa kerana ia termasuk dalam amalan sunat, tetapi ketika di dalam masjid hendaklah berniat iktikaf, setelah itu banyaklah membaca Al-Quran, berzikir, berdoa dan selawat kepada Rasulullah SAW.

 DN 088 Pedoman Solat-Solat Sunat

Kembali ke atas ↑



9. Kelebihan Solat Sunat Israaq
Soalan:
Apakah dalil dan kelebihan sembahyang sunat israaq?
Ahmad, Rawang

Jawapan:
Diantara kelebihan solat sunat Israaq ialah diberikan kebaikan pada hari tersebut dan dijauhkan keburukan pada hari tersebut serta kemudian diterangkan hati untuk memperoleh hidayah Allah. Insya Allah.

DN 006 75 Solat-solat Sunat serta Doa dan Wirid (Edisi Rumi)

Kembali ke atas ↑



10. Keutamaan Solat Istikharah
Soalan:
Saya punya kenalan dulu. Cara kami berkenalan agak aneh. Setahun yang lalu, saya ditemubual oleh satu syarikat majalah di Indonesia. Kebetulan saat itu kenalan saya sedang bercuti di Jakarta dan membaca majalah tersebut. Saat dia kembali ke kota tempat dia bertugas (di luar negeri, namun dia juga orang Indonesia) dia menelefon saya mengajak berkenalan. Dipendekkan cerita, walaupun belum bertemu muka, kita ada perasaan saat berhubungan jarak jauh.

Hubungan kami berlangsung hingga 11 bulan (tanpa pernah bersemuka). Kemudian dia kembali lagi ke Jakarta, lalu kami bertemu. Namun hubungan kami tidak lancar, agak kekok, dan terus terang saya tidak tahu harus bersikap bagaimana. Waktu hubungan jarak jauh kami sangat dekat, namun setelah bertemu hubungan menjadi agak dingin. Diringkaskan lagi, saya terus berulang kali berdoa kepada Allah agar saya segera memperoleh jodoh.

Mengenai dia, saya juga berdoa agar dihilangkan perasaan saya jika dia bukan jodoh saya. Saya pun berusaha menjauhkan diri, kerana saya merasa mungkin dia berubah perasaan sukanya atau mungkin dia hanya ingin berteman saja. Ustaz, saya pernah Solat Istikharah apakah dia jodoh saya, kerana perasaan saya tidak berubah. Alhamdulillah, saya merasakan ia (muncul keyakinan didalam hati), namun kalau melihat gelagatnya seperti tidak meyakinkan. Saya sudah tidak lagi berhubungan dengannya.

Apakah petunjuk solat itu benar Ustaz? Apakah yang harus saya lakukan? Terima kasih diatas nasihat Ustaz.

Wita, Indonesia

Jawapan:
Manusia dengan akalnya hanya dapat menanggapi perkara-perkara yang lahiriah semata, hanya Allah saja yang mengetahui perkara-perkara yang batiniah yang tersembunyi ataupun yang ghaib. Dengan akal dan ilmu manusia merancang dan meramal, tetapi Allah lah yang menentukan segala-galanya. Oleh kerana itu orang Islam dianjurkan supaya menyerahkan segala persoalannya kepada Allah, apalagi perkara-perkara yang besar dan penting dengan cara solat istikharah.

Dari Jabir bin Abdullah ra. meriwayatkan katanya: "Adalah Rasulullah SAW mengajar kami beristikharah pada segala urusan kami seperti baginda mengajar kami surah Al Quran. Baginda bersabda; "Apabila seseorang kamu hendak mengerjakan sesuatu, hendaklah ia bersolat dua rakaat yang selain solat fardhu. Sesudah ia bersolat hendaklah ia memuji Allah, berselawat ke atas nabi dan kemudian membaca doa:
"Wahai Tuhanku! Bahawasanya aku memohon petunjuk kepada Mu tentang mana yang baik buatku menurut ilmu-Mu, dan aku memohon kesanggupan kepada Mu dengan qudrat Mu. Aku memohon kepada Mu dari keutamaan-Mu Yang Besar, kerana Engkaulah Yang Berkuasa, aku tidak berkuasa, dan Engkaulah Yang Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui, Engkaulah tuhan Yang Maha Mengetahui segala yang ghaib.

"Wahai Tuhan ku! Jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini (disebutkan apa yang dikehendaki) baik untukku dalam agamaku dan penghidupanku dan akibat pekerjaanku dalam masa yang dekat atau lambat, maka takdirkanlah dia untukku dan permudahkanlah, kemudian berikan berkat  padanya. Dan jika Engkau mengetahui bahawa  pekerjaan ini buruk untukku, terhadap agamaku, penghidupanku dan akibat pekerjaanku dalam masa yang dekat atau lambat, maka palingkanlah dia daripadaku dan palingkanlah aku daripadanya dan takdirkan kebajikan untukku di mana ia berada, kemudian berilah hatiku meredhainya".

Solat Istikharah ini boleh dilakukan bila-bila masa saja yang dikehendaki, malam atau siang, pagi atau petang asalkan bukan pada waktu yang terlarang. Al Imam An Nawawi berkata; "Sesudah Istikharah seharusnya seseorang itu mengerjakan apa yang dirasakan lebih baik untuk dirinya. Maka seharusnyalah ia tidaklah berpegang kepada ketenangan hatinya yang terbit dari kehendak hawa nafsunya sebelum istikharah."

"Bahkan seharusnya bagi orang yang melakukan Istikharah supaya meninggalkan pilihannya sendiri, sebab kalau demikian bukanlah ia beristikharah kepada Allah, malahan beristikharah kepada nafsunya (kecenderungan hatinya) bahkan mungkin ia tidak bersungguh-sungguh memohon istikharah serta menyerahkan ilmu dan qudrat hanya kepada Allah sahaja. Jika ia benar-benar beristikharah tentulah ia menyerahkan kekuatan dan daya upaya kepada Allah dan melepaskan pilihan dirinya sendiri".

Jika kita telah melaksanakan solat istikharah dengan betul dan sungguh-sungguh, kemudian berdoa sebagaimana yang ditunjuk oleh Rasulullah SAW, maka serahkanlah segalanya kepada Allah SWT. Jika lelaki tersebut orang yang terbaik untuk anda, insya Allah pada suatu ketika nanti, Allah akan mempertemukan jodoh anda.

Namun jika hubungan atau jalinan ataupun perasaan antara anda berdua ada yang berubah, mungkin itu juga yang terbaik sehingga tidak terjadi hubugan perkahwinan. Serahlah segalanya kepada Allah dengan kesabaran dan yakinlah bahawa solat istikharah yang dibuat dengan benar itu akan memberikan hasil yang baik seperti yang diharapkan, insya Allah.

Kembali ke atas ↑



11. Solat Sunat Hajat, Tahajjud dan Taubat
Soalan:
Assalamua'alaikum, saya ingin bertanya, bagaimanakah cara mengerjakan solat hajat, Solat Tahajjud dan Solat Taubat?

Ida, K Kinabalu

Jawapan:
Kaedah mengerjakan solat sunat hajat, tahajjud dan taubat sama dengan mengerjakan solat-solat sunat yang lain cuma dalam mengerjakan solat tahajjud hendaklah dikerjakan pada waktu malam dan setelah kita tertidur walaupun sekejap. Begitu juga bacaaannya sama dengan bacaan-bacaan solat sunat yang lain. Walaupun begitu para ulama memberikan petunjuk-petunjuk tertentu tentang doa-doa dan surah-surah yang perlu dibaca. Untuk lebih mudah anda dianjurkan merujuk buku berkaitan dengan solat-solat sunat.

DN 006 75 Solat-solat Sunat serta Doa dan Wirid (Edisi Rumi)
 DN 186 Taubat - Titisan Airmata Keinsafan (Amalan & Penghayatannya)
DN 020 Panduan Munajat Qiamullail - Ibadah Sepanjang Malam

 Kembali ke atas ↑



12. Kesan Setelah Solat Istikharah
Soalan:
Kita disunatkan supaya mengerjakan solat istikharah untuk membuat sesuatu keputusan atau pilihan. Soalannya apakah tanda-tanda yang boleh dijadikan panduan untuk kita membuat keputusan selepas solat hajat?

Kamarul, Kuching

Jawapan:
Solat sunat Istikharah adalah solat sunat memohon petunjuk tentang perkara yang menimbulkan keraguan dalam membuat sesuatu penentuan atau pilihan. Menurut Imam An Nawawi, sesudah Istikharah seharusnya seseorang itu mengerjakan apa yang dirasakan baik untuk dirinya. Maka seharusnya ia tidaklah berpegang kepada ketenangan hatinya yang terbit dari kehendak hawa nafsunya sebelum Istikharah. Bahkan seharusnya bagi orang yang melakukan Istikharah supaya meninggalkan pilihannya sendiri, sebab kalau ia mengikuti kehendak hati sepertimana sebelum istikharah dengan demikian bukanlah ia beristikharah kepada Allah malahan ia beristikharah dengan nafsunya sendiri. Mungkin juga ia tidak sungguh-sungguh dalam beristikharah. Jika ia benar-benar beristikharah tentulah ia menyerahkan kekuatan kepada Allah dan melepaskan pilihan dirinya sendiri".

Dengan demikian jika kita telah mengerjakan Istikharah kita serahkan kepada Allah tentang sesuatu yang akan ditakdirkan kepada kita. Jika Allah gerakkan diri kita untuk melakukan salah satu pilihan, maka sesungguhnya Allah telah menentukan yang terbaik untuk kita.

 DN 088 Pedoman Solat-Solat Sunat

Kembali ke atas ↑



13. Bacaan Ayat dalam Solat Tasbih
Soalan:
Saya ingin mengerjakan Solat Tasbih tetapi tidak tahu apakah ayat yang harus dibaca. Saya telah diterangkan oleh Ustaz untuk membaca 75 tasbih untuk satu rakaat. Boleh tak Ustaz terangkan ayat yang harus saya baca?

Yatie Yusop, Singapura

Jawapan:
Sebetulnya dalam mengerjakan solat, baik solat fardhu mahupun solat sunat tidak ada ditunjuk mesti membaca ayat-ayat tertentu dalam surah tertentu dan sebagainya. Setelah membaca Fatihah bacalah surah-surah yang kita hafal di dalam Al Quran, terpulang masing-masing kita, apakah ingin membaca surah yang panjang ataupun surah yang pendek. Sebelum rukuk bacalah tasbih sebanyak 15 kali, ketika selesai membaca doa rukuk bacalah tasbih 10 kali dan seterusnya.

 DN 006 75 Solat-solat Sunat serta Doa dan Wirid (Edisi Rumi)a

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML