Terdapat Keberkatan Pada Harta Apabila Di Sedekahkan Dan Di Bayar Zakat.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Berkat adalah suatu kurniaan istimewa daripada Allah SWT. Hanya orang yang memperolehi keberkatan itu sahaja yang merasai nikmatnya.
Maka, manusia memang diminta agar mencari keberkatan. Tanpa keberkatan, maka manusia tidak akan merasa lega dan puas biar pun harta melimpah.
Allah SWT berfirman maksudnya : "Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk." (Surah al-Baqarah ayat 155-157)
Betapa bertuahnya orang Islam, kerana Allah SWT telah memberikan suatu cara bagi mendapat berkat pada harta. Bahkan, ia membuka jalan keberkatan pada hidup dan keluarga. Itulah namanya sedekah dan zakat.
Berkat pada sedekah cukup besar kesannya dalam kehidupan sehingga Allah SWT memberi jaminan bahawa harta yang disedekahkan tidak akan berkurang samaada di dunia dan akhirat. Di dunia harta tersebut akan ditambah dan digandakan oleh Allah SWT tanpa kita duga di jalan yang tidak disangka-sangka. Di akhirat pula sedekah tersebut akan menjadi saham akhirat yang akan amat berguna memberatkan timbangan kebaikan semasa mizan dan boleh meredakan kemurkaan Allah SWT.
Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud: "Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya."
(Hadis Riwayat Muslim)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).”
(Hadis Riwayat al-Tirmidzi)
Sahabat yang dimuliakan,
Berkat pada zakat amat besar kesannya. Ia menatijahkan kesejahteraan yang berpanjangan walau di mana sahaja kita berada.
Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya harta itu manis lagi menawan. Sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang benar, diberkati padanya (Hadis Riwayat Ahmad)."
Berkat pada zakat ibarat baja pada pokok. Fungsi baja menyuburkan pokok, agar pokok yang ditanam hidup subur, tegak menjulang ke langit dan akarnya kuat mencengkam bumi.
Dahannya kukuh dan rantingnya tidak rapuh. Daunnya subur hijau merimbun dan meneduhkan. Paling akhir, pokok itu akan berbunga dan berbuah lebat, masak meranum dan mengenyangkan ramai orang.
Maka, demikianlah fungsi zakat pada harta manusia. Zakat memberikan kesuburan kepada harta. Kesuburan dalam bentuk yang tidak nampak lahiriahnya, namun ditandai dengan pelbagai perkara.
Harta kita tidak cepat rosak, tahan bertahun lamanya diguna. Ia juga memberikan manfaat kepada ramai orang. Harta-harta kita juga terselamat daripada nafsu rakus manusia, tidak dicuri dan disamun.
Bahkan harta itu juga dapat membawa kita kepada jalan mendekati Allah SWT bukan sebaliknya.
Rasulullah SAW pernah memperihalkan harta dan keberkatannya. Sabda Nabi SAW maksudnya : "Kawallah keselamatan harta benda kamu dengan benteng-benteng zakat (Hadis Riwayat Abu Daud)."
Maka, kita wajib memastikan amanah harta ditunaikan secara sepatutnya seperti melakukan zakat dan dan digalakkan untuk memberi sedekah. Sebagaimana diingatkan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud : "Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.
(Surah Ali-Imran ayat 92)
Ada pun kesan-kesan keberkatan pada sedekah dan zakat memang boleh 'dilihat' oleh kita, dengan syarat hendaklah kita memerhatikannya dengan pandangan 'mata hati'. Sebagai contoh, kita dikurniakan anak-anak yang soleh, sihat fizikal dan mental juga cemerlang dalam pendidikan, mendapat isteri yang solehah dan taat kepada suami serta rajin berbudi, atau dikurniakan suami yang mithali lagi suka berbakti, keluarga kita pula sentiasa ceria dan harmoni.
Mendapat harta yang cukup serta segala keperluan dapat dipenuhi, tidak pula ditimpa musibah yang mencengkam diri, tiada juga berlaku pergeseran dengan jiran di kanan dan kiri, bahkan harta pun selamat tidak dicuri dan pelbagai indikator lagi.
Hakikatnya, memang kita umat Islam dididik agar melaksanakan kewajipan agama tanpa mengharapkan balasan; namun sebagai seorang mukmin apa salahnya jika kita meletakkan keberkatan yang dijanjikan Allah SWT ini sebagai motivasi dalam amalan.
Tidak menjadi satu kecacatan di sisi Allah SWT, kerana menjadi hak Allah SWT jugalah untuk memberikan imbalan yang setimpal atas setiap amal soleh yang kita lakukan.
Firman Allah SWT maksudnya : "Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertakwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah (syurga). (Surah al-Lail ayat 5-7).
Sahabat yang dikasihi,
Sempena kita menyambut Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban maka marilah kita sama-sama mengorbankan harta kita sedikit untuk bersedekah dan infak di jalan Allah SWT dan jika ada harta yang tersimpan cukup nisab dan tempuhnya maka wajib kita berzakat. Kedua-dua harta yang di berikan dijalan Allah SWT samaada sedekah atau zakat maka ianya membawa keberkatan dan keredaan Allah SWT di dunia dan akhirat. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment