Wednesday, February 19, 2014

BERJANJI

Menepati Janji Adalah Sifat Orang Mukmin

Sahabat yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama mempertingkatkan ketaqwaan kita kehadrat Allah s.w.t. dengan melakukan apa jua suruhan-Nya dan menjauhi segala apa jua larangan-Nya.

Dalam kehidupan kita sehari-hari, kita tidak terlepas dari membuat janji sama ada antara sahabat dengan sahabat, rakan sekerja dengan rakan sekerja, pekerja dengan majikan, pemimpin dengan ahli-ahli bawahannya dan kerajaan dengan rakyat. Malah mungkin juga di antara dua golongan yang bermusuhan dan sebagainya.  Bahkan juga kadang-kadang berjanji dengan Allah s.w.t atau bersumpah dengan nama Allah s.w.t. untuk membuat sesuatu kebajikan dan meninggalkan sesuatu kemungkaran.

Agama Islam tidak melarang kita membuat janji dengan sesiapa pun atau mana-mana pihak asalkan janji-janji itu ditepati dan ditunaikan khasnya dalam perkara-perkara yang baik dan berkebajikan.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian." (Surah al-Maaidah ayat 1)

Perjanjian adalah satu amanah yang wajib ditunaikan dan menganggap ringan perjanjian dan tidak menepati apa yang diucapkan adalah dosa besar yang dibenci dan dimurkai Allah s.w.t. Sebagaimana Firman Allah s.w.t. dalam surah Ash-Shaff, ayat 2 – 3 yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukan. Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.

Sahabat yang dimuliakan,
Menepati janji adalah sangat-sangat dituntut oleh agama Islam. Dan orang-orang Mukmin yang menepati janji akan diberi ganjaran yang sebesar-besarnya oleh Allah s.w.t. iaitu ganjaran Syurga Firdaus.  

Firman Allah s.w.t. yang maksudnya : "Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.  Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi  yang akan mewarisi  Syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya."(Surah Al-Mukminuun ayat 8-11)

Sahabat yang dihormati,
Ingatlah bahawa mungkir janji  adalah perbuatan yang tidak disukai oleh Allah s.w.t. yang banyak menimbulkan keburukan kepada pihak-pihak yang berjanji. Sebagai contoh, akibat mungkir janji, sahabat dengan sahabat menjadi renggang, pekerja dengan majikan bermusuhan, suami isteri berselisih faham, ayah dan anak tidak bersefahaman. Rakyat dengan kerajaan akan menimbulkan hubungan yang tidak harmoni. Rakyat tidak akam memilihnya semula apabila berlaku pilihanraya.

Rasulullah s.a.w. menyatakan dalam hadisnya yang bermaksud : "Dari tanda-tanda orang munafik itu ada tiga iaitu apabila dia bercakap dia berbohong dan apabila berjanji dia mungkir dan apabila diamanahkan dia khianat"

Sahabat,
Islam dalam memimpin umatnya telah mengaturkan bagi mereka adab-adab dalam perjanjian, antaranya adab-adab yang perlu diikuti itu ialah mengucapkan lafaz “Insya-Allah” apabila berjanji suruhan ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam surah Al-kahfi, ayat 23 dan 24 yang bermaksud :  

"Janganlah engkau berkata mengenai sesuatu yang hendak dikerjakan bahawa aku akan lakukan yang demikian itu kemudian nanti melainkan hendaklah disertakan dengan berkata Insya-Allah. Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa dan katakanlah :  mudah-mudahan Tuhanku memimpin ku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini".

Apabila kita mengucapkan perkataan “Insya-Allah” sebenarnya ucapan ini adalah sebagai janji yang mesti dipenuhi mengikuti hukum syara'  inilah yang menjadi kebiasaan di kalangan kita apabila berjanji akan mengatakan “Insya-Allah” dengan maksud tidak memberatkan apa yang dijanjikan itu atau dengan kata lain “Insya-Allah” itu diucapkan sebagai alasan untuk tidak memenuhi janji.

Perlu diingat dan difahami bahawa janji adalah wajib ditepati, ini bererti ucapan “Insya-Allah” itu bukanlah sebagai alasan untuk tidak menyempurnakan janji. Bahkan perkataan “Insya-Allah” itu hendaklah disertai dengan azam untuk menyempurnakan janji agar kita tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang dibenci oleh Allah s.w.t. Walau bagaimanapun menyentuh perkataan “Insya-Allah” dengan azam untuk melakukan sesuatu itu adalah lebih menepati kehendak agama Islam, kerana kita pasti bahawa kita tidak mampu melakukan sesuatu itu kecuali dengan izin Allah s.w.t. jua.

Demikianlah wahai kaum Muslimin, betapa agama Islam sangat mengambil berat dalam soalan janji, oleh itu berhati-hatilah sebelum berjanji atau menerima janji.  Jadikanlah menyebut perkataan “Insya-Allah” itu bagi menyempurnakan mana-mana janji, itulah yang dituntut oleh Agama Islam.  Mudah-mudahan dengan berbuat demikian kita akan terhindar daripada sifat-sifat orang munafik.

Firman Allah s.w.t.  dalam surah Al-Anfaal, ayat 58 :- maksudnya : "Dan jika kamu khuatir akan terjadinya pengkhianatan dari suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur.  Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang khianat."

Sahabat yang dikasihi,
Satu lagi perkara janji yang paling besar yang telah kita ikrarkan kepada Allah s.w.t adalah apabila kita mengucapkan kalimah  "Dari Ubadah Bin ash Shaamiti Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud... Barangsiapa bersaksi mengatakan Lailahaillah Muhammadarrasulullah..Tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan ALLAH.. dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh ALLAH, maka ALLAH akan mengharamkan Neraka baginya.."

Dua kalimah syahadah yang kita ucap dan ikrarkan itu adalah perjanjian yang besar kepada Allah s.w.t bahawa kita telah berikrar bahawa Tidak ada Tuhan (Illah) yang disembah melainkan Allah (yaini kita hanya beriman dan melaksanakan semua suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya) dan menyakini bahawa hanya Nabi Muhammad s.a.w adalah pesuruh Allah (yaini beriman kepada Nabi s.a.w dan mengikut sunnah dan ajaran yang dibawa dan meninggalkan semua larangannya) balasan daripada kita memenuhi janji ini adalah balasan Syurga dan dijauhi daripada Neraka.

Jika kita ingkar kepada dua kalimah syahadah tersebut ini bermakna kita telah memukir janji, sifat orang Mukmin adalah memenuhi janjinya apabila ia berjanji.

Oleh itu marilah kita berazam untuk memenuhi semua janji-janji kita untuk melayakkan kita menjadi orang Mukmin yang dikasihi Allah s.w.t.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML