Wednesday, February 19, 2014

DAJJAL PEMBAWA FITNAH

Dajjal Membawa Fitnah Yang Paling Besar di Muka Bumi

Sahabat yang dirahmati Allah,
Siapakah Dajjal sebenarnya?Kenapakan Nabi s.a.w sentiasa memperingatkan kepada umatnya bahawa fitnah yang paling besar dimuka bumi ini setelah Allah s.w.t menciptakan Nabi Adam a.s adalah fitnah yang dibawa oleh Dajjal?

"Bila seseorang selesai membaca tashahhud (akhir), hendaklah ia memohon perlindungan kepada Allah empat perkara, iaitu: ' Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari siksa Neraka Jahannam, dari siksa kubur, dari fitnah hidup dan mati, dan dari fitnah dajjal'. [Selanjutnya, hendaklah ia berdoa memohon kebaikan utk dirinya sesuai kepentingannya]". (Hadith riwayat Muslim, Abu 'Awanah, Nasa'i dan Ibnu jarud dalam al-muntaqa [27].)

Dalam riwayat Abu Daud dan Ahmad dengan sanad yang sahih, Nabi s.a.w. selalu membaca doa tersebut dalam tasyahudnya.

Di dalam do'a tersebut mengandungi permohonan kepada Allah s.w.t. supaya dilindungi daripada Al-Masih Dajjal.

Pasti ianya mengandungi rahsia dan setiap perkara ghaib yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w. perlu dinyakini akan kemunculannya diakhir zaman yang akan membawa kerosakkan dan fitnah yang besar.

Dalam Musnad Imam Ahmad Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : " Ayah dan ibu Dajjal itu melalui perkahwinannya selama tiga puluh tahun tanpa melahirkan seorang anak pun. Kemudian lahirlah dari mereka seorang anak lelaki yang buta sebelah matanya. Ia menjadi seorang yang paling berbahaya dan paling sedikit manfaatnya. Kedua matanya tertidur tetapi hatinya terjaga."

Keluarga Dajjal adalah satu kaum penyembah berhala. Dahulu mereka menyembah sebuah berhala mirip lembu betina. Keturunan ibu bapanya adalah daripada keturunan Bani Israel dari keturunan Yahudza (Anak Nabi Yaakub a.s.).Kaum ini telah sesat dengan meninggalkan ajaran yang pernah dibawa oleh para Nabi kepada kaumnya. Kaum ini telah dibinasakan Allah s.w.t dan Allah s.w.t telah menyelamatkan anak kecil ini (Dajjal ) dan belaiu telah diletakkan disebuah pulau dilautan Hindi dekat dengan negara Yaman oleh malaikat Jibril.

Kemudian Jibril kembali membawa makanan untuk anak itu dari rezeki Allah dan demi melaksanakan perintah-Nya tanpa batas, tanpa pertanyaan dan permohonan penjelasan dari-Nya. Allah s.w.t berfirman maksudnya : "Hai Jibril, anak itu adalah hambaKu. Tetapi  diakhir zaman ia mengaku sebagai tuhan yang disembah di muka bumi. Aku akan mengutuskan orang yang akan menyiksanya dengan siksaan pedih, dan akan membunuhnya pada suatu saat tertentu yang tidak akan diingkari oleh hambaKu. Orang tersebut adalah seorang Nabi yang di utus pada suatu masa dan ia menjadi wali, tanpa wahyu, pada menjelang akhir zaman."

Dengan izin Allah s.a.w, Dia menghantar seekor binatang besar, bulu yang sangat tebal, dan mempunyai dua mata menonjol seperti mata lembu. Tiba-tiba binatang itu berbicara kepadanya dengan bahasa yang dapat difahami Dajjal secara baik. Binatang itu berkata :

"Engkau adalah seorang anak yang diselamatkan oleh Allah dari gempa bumi yang dahsyat ketika bumi terbalik, yang terjadi dinegeri Samirah (negeri ibu bapa Dajjal). Engkau dibawa oleh malaikat agung yakni Jibril. Ia membawamu kesini. Dan ia juga mengurus makan minummu. Oleh kerana itu , janganlah engkau mengkhianati janjimu dengan Allah, sebab pada hati setiap anak Adam telah tertanam ketundukan kepada Allah dan keimanan kepada-Nya selama ia masih berada dalam fitrah kesuciannya. Oleh itu, engkau sendiri mesti menjadi Muslim dan Mukmin yang yakin dan taat kepada Tuhan Pencipta alam ini. Dialah Tuhan  yang Maha Esa."

Setelah Dajjal menjadi dewasa dia telah keluar kepulau itu dan dia engkar di atas pesanan binatang yang diutus oleh Allah s.w.t untuk mendidik Dajjal supaya menjadi orang yang beriman. Dia telah mendatangkan banyak kerosakan dimuka bumi dari satu negeri kenegeri lain dilawatinya dan dia mengajak menyembah patung berhala dan syaitan dan beliau mempunyai kemahiran dalam  ilmu sihir.

Sebagai tanda kemuliaan Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan kelahiran baginda Dajjal telah ditangkap oleh malaikat di ikat disebuah pulau di dalam gua tempat asal beliau dibesarkan . Kisah sahabat Rasulullah s.a.w bernama Tamim ad-Dari dan beberapa orang sahabat telah hanyut dipukil ombak selama sebulan dan sampai ke satu pulau berhampitan Yaman telah diceritakan dalam sahih Muslim .

"Tamim ad-Dari telah dihanyutkan ombak besar, mereka telah sampai ke satu pulau. Lalu mereka naik kepulau itu. Maka mereka di datangi oleh seekor binatang yang banyak bulunya, yang mereka tak dapat bezakan mana bahagian depan dan mana bahagian belakangnya.

Mereka berkata : "Celaka kamu, apa kamu ini?"

Binatang itu menjawab : "Aku adalah mata-mata."

Ia menjawab : "Wahai kaum, pergilah kepada seorang yang berada di dalam gua, kerana ia merindukan berita dari kamu."

Tamim ad-Dari berkata : "Ketika binatang itu menyebutkan kepada kami seseorang, kami meninggalkannya kerana mungkin ia adalah syaitan betina."

Selanjutnya  ia berkata : "Lalu kami berangkat segera hingga memasuki gua. Tiba-tiba di dalamnya ada seorang manusia yang paling besar badannya dan diikat dengan rantai yang kuat. Kedua tangannya dan lehernya disatukan dan diikat dengan besi di antara hingga kedua mata kakinya. Kami katakan :

"Celaka kamu, makhluk apa kamu ini?

Ia menjawab : "Kamu semua telah mengetahui perihalku, kini beritahukan kpadaku, siapakah kamu ini?

Mereka menjawab : "Kami adalah manusia dari Arab. Kami belayar perahu kami dipukul gelombang laut besar", dan ombak mempermainkan kami selama sebulan."

Maka kami duduk-duduk dekat perahu, lalu memasuki pulau ini. Kami didatangi seekor binatang yang berbulu lebat sehingga tidak diketahui mana bahagian muka dan mana bahagian belakangnya. Kami bertanya : "Celaka kamu, binatang apa kamu ini?"

"Saya adalah mata-mata"

"Mata-mata apa?"

"Pergilah kepada orang yang ada digua ini, kerana ia sangat merindukan berita dari kamu semua."

Maka kami pun bersegera menjumpaimu. Kami takut pada binatang itu, dan kami tidak tenang jangan-jangan ia adalah syaitan betina.

Orang itu berkata : "Beritahukan kepadaku tentang kurma Baisan? (Baisan adalah kota lama Palestin dekt dengan Syria).

"Tentang apa yang engkau tanyakan?"

"Aku bertanya kepada kamu, apakah kurma berbuah?"  "Ya"

"Sesungguhnya pohon kurma itu hampir tidak akan berbuah"

Lalu ia berkata lagi ; "Beritahukan kepadaku tentang tasik Tabariyah!"(Tasik besar terletak 100 batu dari Baitul Mukadis)

"Tentang apa engkau tanyakan?"

"Apakah tasik itu masih berair?"

"Sesungguhnya air tasik itu hampir habis"

Ia berkata : "Beritahukan kepadaku tentang mata air Zughar!"

"Ya , mata air itu masih memancarkan banyak air, dan penduduknya bercucuk tanam dari air tersebut"

"Terangkan kepadaku tentang Nabi yang diutus kepada orang-orang buta huruf, apa yang dilakukannya"

"Ia keluar dari Makkah menuju Yathrib"

"Apakah orang Arab memeranginya?"

"Ya" "Bagaimana caranya ia memperlakukan mereka?"

"Ia menundukkan orang-orang Arab terdekatnya, sehingga mereka mengikutinya."

"Apakah demikian?"

"Ya" "Lebih baik bagi mereka untuk mengikutinya."

 Aku akan memberitahukan kepada kamu mengenai diriku. Aku ini adalah al-Masih (Dajjal)  Aku hampir akan keluar. Lalu aku akan berjalan dimuka bumi. Aku tidak melewati suatu kampung melainkan aku tinggal disitu selama empatpuluh malam kecuali kota Makkah dan Taibah (Madinah). Kedua kota itu diharamkan atasku. Setiap aku akan memasuki salah satu kota itu, aku dihalang oleh malaikat yang memegang pedamg untuk memenggalku. Di setiap celah kedua-dua kota itu dijaga oleh para malaikat"

Setelah berjumpa Dajjal dan berdailog dengannya Tamim ad-Dari terus meninggalkan pulau tersebut dan balik ke Madinah.Dan menceritakan peristiwa tersebut kepada Rasulullah s.a.w.

Satu ketika semasa sedang berkhutbah sambil memukul tongkatnya pada mimbar Rasulullah s.a.w. bersabada : "Ini adalah Taibah, yakni kota Madinah. Ingatlah, apakah hal ini telah aku sampaikan kepada kamu semua?"

Mereka menjawab : " Benar"

Nabi s.a.w bersabda ; " Sungguh cerita Tamim itu sesuai dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu, juga mengenai kota Makkah dan Madinah. Ketahuilah, sesungguhnya Dajjal itu berada dilaut Syam atau laut Yaman, bukan dari arah timur, bukan dari arah timur, bukan  dari arah timur." (Lihat sahaih Muslim dengan syarah Imam an-Nawawi, Mitba'ah al-Misriyyah XVIII, halaman 78-83)

Sahabat yang dimuliakan,
Pada satu ketika, Rasulullah s.a.w telah bangun di kalangan orang ramai, dan telah menyebut tentang kebesaran Allah s.w.t dengan selayaknya, dan menyebutkan tentang perihal Dajjal Al- Masih dengan sabdanya: " Daku memberi amaran kepada kamu tentangnya yakni Dajjal dan tiada satu nabi pun yang tidak memberi amaran kepada umatnya tentang Dajjal. Nabi Nuh telah memberi amaran kepada kaumnya tentangnya, tetapi daku memberitahu kamu satu kenyataan yang tiada seorang Nabi pun yang tidak mengingatkan kaumnya. Kamu haruslah ketahui bahawa ia adalah bermata satu dan Allah tidak bermata satu." Asal hadis ini telah diriwayatkan oleh Al-Bukhari, di atas autoriti Salim.( Hadis Sahih yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Jilid 3, Musnad Ahmad 57, 1353-1355 dan Muslim, 2930-2931).

Muslim juga telah meriwayatkan Hadis Ubaidullah Ibnu Umar Al Amiri di atas autoriti Nafi', di atas autoriti Ibnu Umar bahawa Rasulullah menyebutkan Dajjal di hadapan orang ramai bersabda: " Allah s.w.t tidak bermata satu, tetapi Dajjal Al- Masih buta sebelah kanan matanya dan matanya kelihatan seperti buah anggur yang terkeluar."( Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Muslim, ms. 2247-2248 dan Al Bukhari, Musnad Ahmad, 3439-7123).Rasulullah s.a.w bersabda:

Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: “Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda telah bersabda: “Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap Mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang Mukmin.

“Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Iraq. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.

“Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis ‘kafir’, yang dapat dibaca oleh setiap Mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.

“Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, iaitu panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.

“Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: “Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?” Orang Arab itu akan berkata: “Tentu.” Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: “Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu.”

“Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, iaitu dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: “Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: “Siapa Tuhanmu?” Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: “Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah.” Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga.”

Kata Rasulullah s.a.w lagi: “Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.

“Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.

“Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal, kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.”

Dalam hadis yang lain, “di antara fitnah atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu di satu tempat kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka tidak menjadi dan hujan pun tidak turun di daerah mereka. Kemudian dia lalu di satu tempat mengajak mereka supaya beriman kepadanya. Mereka pun beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan air dan tanam-tanaman mereka subur.”

Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai.”

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w ada bersabda: “Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu. Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi.”

Diriwayatkan oleh Ahmad, hadis yang diterima dari Aisyah r.a. mengatakan: “Pernah satu hari Rasulullah s.a.w masuk ke rumahku ketika aku sedang menangis. Melihat saya menangis beliau bertanya: “Mengapa menangis?” Saya menjawab: “Ya Rasulullah, engkau telah menceritakan Dajjal, maka saya takut mendengarnya.” Rasulullah s.a.w berkata: “Seandainya Dajjal datang pada waktu aku masih hidup, maka aku akan menjaga kamu dari gangguannya. Kalau dia datang setelah kematianku, maka Tuhan kamu tidak buta dan cacat.”

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada empat puluh hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa.”

Ada yang bertanya: “Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu itu.”

Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: “Akulah Tuhan sekalian alam, dan matahari ini berjalan dengan izinku. Apakah kamu bermaksud menahannya?” Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan.

Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: “Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?” Mereka semua menjawab: “Ya, kami ingin.” Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.

Menurut riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda: “Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh. Saya sendiri pun tidak pasti apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas’ud dan kemudian membunuh Dajjal."

Dalam hadis riwayat Muslim di akhir zaman akan muncul 10 tanda-tanda besar dan salah satunya adalah lahirnya Dajjal yang akan membawa kerosakkan dan fitnah yang besar.

Dari Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata: "Datang kepada kami Rasulullah saw. dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda: "Apa yang kamu perbincangkan?". Kami menjawab: "Kami sedang berbincang tentang hari qiamat". Lalu Nabi saw. bersabda: "Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya". Kemudian beliau menyebutkannya: "Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam alaihissalam, Ya’juj dan Ma'juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab dan terakhir adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia menuju Padang Mahsyar mereka".(Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu marilah kita sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Islam dan tetap istiqamah di jalannya. Yakinlah dengan janji-janji Allah dan Allah bersama hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Berdasarkan hadis-hadis di atas dan riwayat yang sahih sebenarnya Dajjal telah wujud dimuka bumi dan tunggu masa dan saatnya dia akan muncul secara fizikal dan membawa kerosakkan dimuka bumi. Perlu diingat bahawa semua kerosakkan besar yang telah dan sedang berlaku di dunia ini manusia menyembah berhala, memuja syaitan, mengamalkan ilmu sihir, adalah fitnah yang dibawa oleh Dajjal tetapi ia lakukan dibalik tabir. Dajjal dan Iblis laknatullah sebenarnya adalah dua makhluk yang ditangguhkan kematiannya dan mereka pasti telah membuat persefahaman untuk menghancurkan aqidah umat Islam dan menjadikan mereka berdua sebagai tuhan. Oleh itu berpegang teguhlah dengan agama Allah dan jangan bercerai berai.

(Artikal di atas dipetik daripada buku tulisan Muhammad Isa Daud dari buku bertajuk : "Dajjal akan muncul dikerajaan Jin di Segitiga Bermuda"  dan kitab hadis sahih Bukhari, Muslim dan Musnad Ahmad)

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML