Salah Satu Daripada Rukun Iman Adalah Beriman Dengan Hari Akhirat.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Al-Quran memberi peringatan, petanda agar manusia wajib mengimani hari akhirat.
Salah satu daripada Rukun Iman ialah percaya hari akhirat seperti disabdakan Rasulullah SAW ketika menjawab pertanyaan Malaikat Jibril a.s mengenai iman yang bermaksud: "Iman ialah engkau beriman kepada Allah dan malaikatNya dan segala kitabNya dan rasulNya dan hari kemudian dan engkau beriman kepada takdir baiknya dan buruk." (Hadis riwayat Muslim)
Dalam sambungan hadis di atas disebutkan maksudnya: "Khabarkan kepadaku perihal hari kiamat." Rasulullah SAW menjawab: "Tidaklah yang ditanya mengenainya lebih tahu daripada orang yang bertanya." Nabi SAW pun tidak mengetahuinya.
Sebagai orang beriman kita beriman kepada hari kiamat dengan penuh keyakinan dan kebenaran, beriman kepada apa yang Allah SWT khabarkan mengenai hari kiamat dalam KitabNya dan apa yang dikhabarkan Rasulullah SAW mengenai segala hal yang akan terjadi selepas mati sehingga penghuni syurga masuk syurga dan penghuni neraka masuk neraka.
Sesungguhnya dalam kitabNya, Allah SWT berulang kali menyebut tentang hari kiamat , menjelaskan suasana di akhirat di banyak tempat sehingga 80 daripada 114 surah-surah dalam al-Quran menerangkan tentangnya. Allah SWT sering memperingatkan kita kepada hari akhirat dalam setiap kesempatan, menegaskan kejadiannya, bahkan mengaitkan keimanan kepadaNya dengan hari kiamat. Allah SWT merahsiakan waktu berlaku kiamat kepada hambaNya, tetapi memberikan tanda-tanda kejadian itu.
Kita beriman kepada segala yang akan berlaku daripada tanda hari kiamat sama ada tanda kecil (alamat al-shughra) atau tanda besar (alamat al-kubra). Tanda itu ialah isyarat akan berlaku hari kiamat kerana ia termasuk dalam cakupan iman terhadapnya.
Sahabat yang dimuliakan,
Tanda-tanda kecil berlakunya hari kiamat yang mempunyai landasan dalil syarak muktamad antaranya: "Banyak berlaku pembunuhan, mengharapkan mati kerana musibah yang dahsyat, keinginan agar dirinya seperti orang yang mati dan berandaian dia sudah mati kerana dahsyatnya petaka yang dihadapi, ramai meninggal dunia tiba-tiba, maut kerana gempa atau wabak, lelaki sedikit daripada perempuan, wanita berpakaian tetapi telanjang, melebarnya pelacuran di jalan dan munculnya penyokong orang zalim daripada kalangan petugas keselamatan yang mendera manusia."
Tanda-tanda kecil kiamat yang lain ialah "munculnya alat muzik, arak, perzinaan, riba, pemakaian sutera halal bagi lelaki, terbenamnya sebahagian bumi dengan segala di atasnya, muncul perubahan bentuk tubuh dan bermaharajalela fitnah."
Beberapa tanda-tanda kecil yang lain sebelum berlakunya kiamat adalah seperti di bawah ini:
1. Perceraian banyak terjadi.
2. Banyak terjadi kematian mendadak (tiba-tiba)
3. Banyak Quran diberikan hiasan.
4. Masjid-masjid dibangunkan dengan megah.
5. Perjanjian dan transaksi tidak dipatuhi.
6. Berbagai peralatan muzik dimainkan.
7. Berbagai jenis khamr (arak) diminum manusia.
8. Perzinaan dilakukan terang-terangan.
9. Para pengkhianat diberi kepercayaan (menjadi pemimpin).
10. Orang yang amanah dianggap pengkhianat.
11. Tersebarnya Pena (banyak buku diterbitkan)
12. Pasar-pasar (Mall, Plaza, Supermarket) berdekatan.
13. Penumpahan darah dianggap perkara yang kecil.
14. Makan riba.
Tanda-tanda besar akan berlakunya kiamat besar (al-kubra) adalah seperti berikut :
Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata : “Datang kepada kami Rasulullah SAW. dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu baginda bersabda: “Apa yang kamu perbincangkan?”.
Kami menjawab: “Kami sedang berbincang tentang hari kiamat“.
Lalu Nabi SAW. bersabda: “Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya“.
Kemudian baginda menyebutkannya : Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam alaihissalam, Yakjuj dan Makjuj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka”. (Hadis Riwayat Muslim)
Huraiannya :
Sepuluh tanda-tanda kiamat yang disebutkan Rasulullah SAW. dalam hadis ini adalah tanda-tanda kiamat yang besar-besar, akan terjadi di saat hampir tibanya hari kiamat.
Sepuluh tanda-tanda tersebut adalah seperti berikut :
1. Dukhan (asap) yang akan keluar dan mengakibatkan penyakit yang seperti selsema dikalangan orang-orang yang beriman dan akan mematikan semua orang kafir.
2. Dajjal yang akan membawa fitnah besar yang akan meragut keimanan, hinggakan ramai orang yang akan terpedaya dengan seruannya.
3. Binatang besar yang keluar berhampiran Bukit Shafa di Mekah yang akan bercakap bahawa manusia tidak beriman lagi kepada Allah SWT.
4. Matahari akan terbit dari tempat tenggelamnya. Maka pada saat itu Allah SWT. tidaklagi menerima iman orang kafir dan tidak menerima taubat daripada orang yang berdosa.
5. Turunnya Nabi Isa alaihis salam ke permukaan bumi ini. Baginda akan mendukung pemerintahan Imam Mahadi yang berdaulat pada masa itu dan baginda akan mematahkan segala salib yang dibuat oleb orang-orang Kristian. membunuh khinzir dan baginda juga yang akan membunuh Dajjal.
6. Keluarnya bangsa Yakjuj dan Makjuj yang akan membuat kerosakan dipermukaan bumi ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding yang dibuat dari besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh Zul Qarnain bersama dengan pembantu-pembantunya pada zaman dahulu.
7. Gempa bumi di Timur.
8. Gempa bumi di Barat.
9. Gempa bumi di Semenanjung Arab.
10. Api besar yang akan menghalau manusia menuju ke Padang Mahsyar. Api itu akanbermula dari arah negeri Yaman.
Mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitab Fathul Bari beliau mengatakan: “Apa yang dapat dirajihkan (pendapat yang terpilih) dari himpunan hadis-hadis Rasulullah SAW. bahawa keluarnya Dajjal adalah yang mendahului segala petanda-petanda besar yang mengakibatkan perubahan besar yang berlaku dipermukaan bumi ini.
Keadaan itu akan disudahi dengan kematian Nabi Isa alaihissalam (setelah baginda turun dari langit). Kemudian terbitnya matahari dari tempat tenggelamnya adalah permulaan tanda-tanda kiamat yang besar yang akan merosakkan sistem alam cakerawala yang mana kejadian ini akan disudahi dengan terjadinya peristiwa kiamat yang dahsyat itu.
Barangkali keluarnya binatang yang disebutkan itu adalah terjadi di hari yang matahari pada waktu itu terbit dari tempat tenggelamnya”.
Saidina Umar al-Khathab r.a. berkata, “Hitung-hitunglah dirimu sendiri sebelum kamu dihitung, dan timbang-timbanglah dirimu terlebih dahulu sebelum kamu ditimbang, dan bersiap-siaplah untuk menghadapi alam terbuka yang besar (Padang Mahsyar).
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita kuatkan iman kita dengan percaya dan yakin dengan bersungguh-sungguh akan kedatangan hari kiamat dan kehidupan di hari akhirat. Dengan keyakinan yang kuat akan menyebabkan kita membuat persiapan dengan bersungguh-sungguh untuk bertemu dengan Allah SWT nanti di sana.
Orang mukmin yang bertakwa merasai bahawa kehidupan di dunia hanyalah sementara waktu dan kehidupan di hari akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi. Kiamat kecil yang akan berlaku bila-bila masa pada diri setiap insan adalah saat datangnya kematian, oleh itu persiapkan diri kalian untuk menghadapai kematian kerana dengan berlakunya kematian maka terputuslah semua amalan kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan, ilmu yang bermanfaat yang di ikuti dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya.
No comments:
Post a Comment