Wednesday, February 19, 2014

CIRI-CIRI SAHABAT SOLEH

Carilah Sahabat Yang Soleh Kerana Dia Akan Membantu di Dunia dan Akhirat

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia perlukan sahabat untuk menjadi teman ketika kesunyian dan tempat mengadu bila menghadapi masaalah kehidupan. Sudah tentu sahabat yang soleh (baik) tidak akan membiarkan kita bersendirian. Dia akan sentiasa mengingatkan kita kepada kebaikan dan membantu bila kita memerlukan bantuan.

Seperkara lagi yang perlu diingat; setiap diri manusia merupakan cermin sahabatnya. Sekiranya sahabat yang kita pilih itu berakhlak mulia, maka kesannya kepada diri kita juga adalah kebaikan belaka. Sebaliknya andainya sahabat yang kita pilih itu berakhlak buruk, maka kita akan terdorong melakukan dosa dan kemungkaran.

Ibnul Qayyim mengisahkan, “Kami (murid-murid Ibnu Taimiyyah), jika kami ditimpa perasaan gundah gulana atau muncul dalam diri kami prasangka-prasangka buruk atau ketika kami merasakan sempit dalam menjalani hidup, kami segera mendatangi Ibnu Taimiyah untuk meminta nasehat. Maka dengan hanya memandang wajah beliau dan mendengarkan nasehat beliau serta merta hilang semua kegundahan yang kami rasakan dan berganti dengan perasaan lapang, segar, yakin dan tenang". (Lihat Shahih Al Wabilush Shoyyib, antara hal. 91-96, Dar Ibnul Jauziy)

Ini bertepatan dengan maksud sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Seseorang yang duduk (berteman) dengan orang soleh dan orang yang jahat adalah bagaikan berteman dengan pemilik minyak wangi dan tukang besi. Jika engkau tidak dihadiahkan minyak wangi olehnya, engkau boleh membeli darinya atau sekurang-kurangnya dapat baunya. Adapun berteman dengan tukang besi, jika engkau tidak mendapati badan atau pakaianmu hangus terbakar, paling kurang engkau dapat baunya yang tidak elok.” (Hadis Riwayat Bukhari dari Abu Musa r.a )

Ibnu Hajar Al Asqolani mengatakan, “Hadis ini menunjukkan larangan bersahabat dengan orang-orang yang dapat merusak agama maupun dunia kita. Dan hadis ini juga menunjukkan dorongan agar bergaul dengan orang-orang yang dapat memberikan manfaat dalam agama dan dunia." (Fathul Bari, Ibnu Hajar Al Asqolani, 4/324, Darul Ma’rifah, Beirut, 1379)

Sahabat yang dimuliakan,
Banyak hadis-hadis Nabi SAW yang menjelaskan ciri-ciri sahabat yang baik.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Barangsiapa menutup rahsia saudaranya, nescaya Allah akan menutup rahsianya di dunia dan akhirat." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Apabila kalian telah berjaya beroleh sahabat sejati berteraskan iman dan takwa, perlulah diberi perhatian terhadap langkah-langkah yang menyuburkan ikatan ukhwah tersebut :

1. Mengasihi saudara sesama Islam semata-mata kerana Allah SWT
2. Mengucap salam bila bertemu
3. Sentiasa menziarahi terutama ketika sakit
4. Sentiasa saling mendoakan
5. Menolong ketika kesempitan
6. Memenuhi jemputan
7. Memberi ucapat tahniah dan takziah
8. Saling memberi hadiah
9. Tidak memutuskan silaturahim dan memulaukan
10. Bertolak ansur dan saling memaafkan
11. Bermanis muka bila bertemu
12. Sentiasa jujur dan ikhlas inginkan kebaikan sesama saudara seIslam
13. Memberi tempoh yang diperlukan untuk dia membayar balik hutangnya
14. Bersangka baik dan tidak mudah mempercayai berita fitnah mengenai dirinya
15. Membantunya mencarikan pasangan hidup yang baik jika dia belum berumahtangga

Pada hakikatnya, persahabatan yang baik memerlukan perhatian dari kita untuk mengawalnya dari dirosakkan oleh gejala-gejala liar sepertimana maksud sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Janganlah kamu saling putus memutus hubungan, janganlah kamu saling berpaling tadah, janganlah kamu saling benci-membenci, janganlah kamu saling berhasad dengki. Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Dan tidaklah halal bagi seorang muslim berpaling dari saudaranya lebih dari tiga hari". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat yang dikasihi,
Persahabatan dalam Islam adalah persahabatan kerana Allah SWT. Bertemu dan berpisah semata-mata kerana Allah SWT untuk menjalankan kewajipan dakwah untuk  amar makruf nahi mungkar. Doa di antara dua sahabat yang berkasih sayang dan menjalin ukhwah Islamiah adalah makbul disisi Allah SWT.

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :
"Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat yang berjauhan diterima oleh Allah SWT." (Hadis Riwayat Muslim)

Orang mukmin sentiasa berbaik sangka sesama sahabatnya, persahabatan yang terjalin kerana ikatan kasih sayang kerana Allah SWT. Semasa dia berdoa untuk dirinya sendiri dia akan masukkan bersama doa itu untuk kebaikan sahabat-sahabatnya. Salah satu doa yang sangat makbul ialah mendoakan kepada sahabatnya yang berjauhan. Semoga kita semua di alam maya ini menjadi sahabat-sahabat yang baik dan saling mendoakan di antara satu sama lain.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML