Wednesday, February 19, 2014

BERMEGAH DENGAN HARTA

Jauhkan Diri Daripada Bermegah-megah Dengan Harta Kekayaan.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesiapa yang mencari dunia untuk berbangga-banga ke atas orang lain, untuk menjadi kaya atau untuk mendapat nama, walaupun dengan cara yang halal, dia akan bertemu Allah SWT dalam keadaan Allah SWT akan sangat murka terhadapnya. Dan sesiapa yang mencari dunia dengan cara yang halal bertujuan supaya dia tidak perlu meminta-minta kepada orang lain, untuk mencari rezeki kepada ahli keluarga dan supaya dia mampu melakukan kebajikan kepada jiran tetangga; maka pada hari kiamat dia akan bertemu Allah SWT dalam keadaan wajahnya bercahaya seperti bulan purnama." (Hadis Riwayat Baihaqi)

Huraian hadis :

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa bekerja dan berusaha untuk mencari kekayaan dunia tidak di larang selagi tujuan kekayaan yang diperolehi bukan dengan tujuan bermegah-megah dan berbangga untuk mendapat nama dan pujian. Sifat bermegah-megah ini adalah sifat mazmumah yang dibenci oleh Allah SWT.

Dalam al-Quran Allah SWT melarang sifat suka bermegah-megah sebagimana firman-Nya yang bermaksud : "Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah (seperti lagakmu itu). " (Surah al-Qasas ayat 76)

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Tiada akan masuk syurga orang yang ada di dalam hatinya seberat biji sawi daripada sifat takbur" (Hadis Riwayat Muslim).

Dalam hadis yang lain, dari Amr bin ‘Auf r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Demi Allah! Bukanlah kemiskinan itu yang aku khuatirkan terhadap kamu, tetapi yang aku khuatirkan kepada kamu ialah dunia dilapangkan kepada kamu, sepertimana ia telah dilapangkan kepada orang-orang sebelum kamu, kemudian kamu akan berlumba-lumba untuk mendapatkannya sepertimana orang-orang sebelum kamu berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Lalu dunia akan melalaikan kamu sepertimana ia telah melalaikan mereka. (Hadis Riwayat Bukhari)

Nafsu manusia tidak akan cukup dengan harta yang berlimpah ruah yang dikurniakan oleh Allah SWT kerana tidak ada sifat bersyukur dan qanaah.

Dari Abdullah bin Zubair r.huma berkata: "Wahai manusia! Sesungguhnya Nabi SAW pernah bersabda: Kalaulah anak Adam ini diberi satu lembah daripada emas, nescaya dia berkeinginan untuk mendapatkan lembah yang kedua. Dan sekiranya diberi lembah kedua nescaya dia berkeinginan untuk mendapatkan lembah yang ketiga. Dan sentiasa tidak akan merasa cukup perut anak Adam ini kecuali dipenuhi dengan tanah (iaitu setelah mati). Namun satu rahmat Allah terhadap hambaNya, dari mencintai harta dunia kepada mencintai Allah (Dengannya didunia ini Allah memberi ketenangan dan memelihara dari sifat tamak dan rakus dari mengumpul harta). (Hadis Riwayat Bukhari)

Sekiranya kalian mencari harta dunia dengan cara yang halal (tidak ambil riba, rasuah dan tidak menipu manusia ) bertujuan supaya kalian tidak perlu meminta-minta kepada orang lain, untuk memberi nafkah kepada ahli keluarga dan supaya kalian mampu melakukan kebajikan kepada jiran tetangga dan saudara seagama maka pada hari kiamat kalian akan bertemu Allah SWT dalam keadaan wajah yang bercahaya seperti bulan purnama dan akan diberikan balasan syurga. Ini adalah jaminan daripada Allah SWT.

Bekerja mencari nafkah yang halal adalah dikira sebagai ibadah dan sedang berjihad dijalan Allah SWT, sebagimana hadis dari Nabi SAW .

Daripada Sa'ad bin Abi Waqas r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya : "Sesungguhnya engkau tidak membelanjakan satu nafkah sama sekali untuk mencari keredaan Allah melainkan engkau diberi pahala atasnya sehinggakan apa yang engkau masukkan dalam mulut isteri mu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : "Tidaklah ada makanan seseorang itu yang lebih baik daripada apa yang dimakannya dari hasil usaha tangannya sendiri". (Hadis Riwayat Bukhari)

Sahabat yang dimuliakan,
Islam tidak menghalang umatnya mengumpulkan sebanyak mana harta kekayaan dunia ini selagimana harta yang diperolehi dengan cara yang halal dan niat di hati semata-mata mencari keredaan Allah SWT bukan untuk tujuan duniawi iaitu berbangga diri dan menunjuk-nunjuk akan kelebihan diri. Segala kekayaan dan kemewahan yang diperolehi walaupun hasil usaha diri sendiri tetapi semuanya adalah dengan izin Allah SWT dan bantuan orang lain juga.

Setiap harta yang diperolehi adalah amanah Allah SWT, di dalamnya terdapat beberapa hak-hak orang lain yang perlu ditunaikan. Harta tersebut perlu dibersihkan dengan membayar zakat jika sampai nisab dan masanya. Harta tersebut perlu diinfakkan pula dijalan Allah SWT (untuk kerja-kerja dakwah dan tarbiah dan pembinaan masjid, sekolah agama, maahad tahfiz dan sebagainya) dan di sedekahkan kepada fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal yang dhaif yang memerlukan bantuan.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama kita jaga hati kita supaya sentiasa bersih daripada riak, sombong, takabur dan melakukan apa sahaja pekerjaan bukan untuk kemegahan tetapi di buat semata-mata mencari keredaan Allah SWT. Jika kita tidak berhati-hati di khuatiri syaitan akan merosakkan amal kita dengan mengharapkan pujian manusia dan bermegah-megahan. Amal dan pekerjaan yang dilakukan kerana manusia atau untuk nama tidak akan di terima oleh Allah SWT kerana amal tersebut akan menjadi debu-debu yang berterbangan. Amal yang ikhlas adalah amal yang tidak mengharapkan pujian manusia jika boleh dilakukan tanpa dilihat oleh manusia kerana Dia sahaja bersifat Maha Melihat dan Maha Mengetahui.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML