Tunaikan Tugas Dakwah ini!
Sahabatku yang dirahmati Allah,
Keyakinanmu pada Islam, menuntut supaya kau laksanakan Islam ini dalam kehidupanmu dan sampaikan pada orang lain walaupun masyarakat menolaknya.
Jadikanlah dirimu sebagai batu-bata yang kuat dan mantap menuju binaan umat ini.
Teruskan dakwah ini tanpa rasa letih dan jemu, sesungguhnya nur kemenangan akan menerangi alam maya ini, bila kau gigih mengalas tugas yang besar ini dengan menunjukkan contoh yang baik.
Sahabatku yang dikasihi Allah,
Bercakap benarlah dan jangan sekali-kali kau berdusta,
walaupun ada telinga yang terasa perit mendengarnya.
Tepatilah janjimu, janganlah kau mungkiri,
kerana sesungguhnya menyalahi janji adalah sebahagian sifat nifak.
Luruskan lidahmu kerana lidah yang benar akan menyelamatkan dirimu dari balasan yang menyakitkan di alam Akhirat yang kekal abadi.
Keberanian dan kesungguhanmu laksanakan amanah ini,
menaikkan 'maqammu' di sisi yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Sesungguhnya menyatakan kebenaran ditengah-tengah kerosakkan umat, tanpa takut dan gentar adalah jihad yang benar.
Kemuliaan inilah yang diperoleh oleh para ambia, auliya, sidiqin, syuhada dan solihin.
Sahabat yang dihormati,
Kalian hendaklah bersikap serius dan bersungguh-sungguh,tetapi sikap serius itu tidaklah menghalang kalian dari bergurau dengan perkataan yang benar dan ketawa dengan sedikit senyum.
Hiasilah diri kalian dengan bersifat pemalu, berperasaan halus dan sensitif dengan kebaikan dan kejahatan.
Bersifatlah dengan merendahkan diri dan janganlah menyombongkan diri.
Jadilah pendamai dikala ulama sedang berbalah dalam suatu isu dan mempertahankan pendapat masing-masing.Janganlah memihak pada sesiapa kerana mereka ada hujah masing-masing.
Dewasa ini umat Islam disogokkan dengan berbagai fitnah memfitnah, tuduh menuduh, dan cela mencela diantara satu dengan yang lain. Hanya dengan isu kecil menjadi besar, hingga menjatuhkan martabat seorang Muslim.
Media arus perdana mengaut keuntungan dengan bahan-bahan sensasi yang belum pasti sahihnya!
Media alternatif juga kadangkala tersasar dan berlebihan dalam lapurannya sehinggakan kredibilitinya dan kebenarannya dipersoalkan.
Para pemimpin umat dan para pendakwah dilekakan dengan isu-isu semasa yang tidak berfaedah hinggakan tugas utama terpaksa ditangguhkan sehingga masaalah sebenar terabai!
Sahabatku!
Marilah tumpukan dan fokus pada tugas kita sebenar di dunia ini, iaitu sebagai khalifah Allah s.w.t.di muka bumi, mengajak kepada yang maaruf dan mencegah kemungkaran.
Gejala sosial makin sehari makin parah, keruntuhan akhlak para remaja amat membimbangkan, kadar jenayah setiap hari makin bertambah dan kemurtadan juga berlaku tanpa kita sedari.
Pertingakatkanlah apa saja program yang membawa kesedaran Islam dan ajaklah mereka kejalan yang haq dan bimbinglah meraka dengan cara hikmah dan bijaksana. Kesemua tugas ini akan di persoalkan nanti dihadapan Allah s.w.t.
Jauhkanlah diri kita dari perkara-perkara yang boleh memecah belahkan umat, elakkan dari memutuskan silaturahim kerana sesungguhnya orang yang memutuskan silaturahim tidak akan memasuki Syurga. Tanpa disedari, dikhuatiri suasana semasa membawa kita kepada suka mengumpat dan mempercayai fitnah dan ingatlah amat besar dosa orang yang mengumpat dan bersekongkol dengan kaki fitnah!
Mereka-mereka yang sedang mengejar pangkat dan pengaruh dalam masyarakat, sebenarnya berpegang pada prinsip 'matlamat membersihkan jalan' mereka akan gunakan berbagai cara yang bersih atau kotor asalkan matlamat mereka berjaya. Isu jatuh menjatuhkan adalah perkara biasa, mereka sanggup membuka rahsia seseorang dan menjatuhkan maruhnya tanpa rasa bersalah dihadapan Allah s.w.t. Sedangkan Allah s.w.t.telah menutup rahsia tersebut dan ianya amat dimurkai -Nya.
Dari itu jauhkanlah diri kalian dan peganglah pada prinsip Islam dan janganlah melakukan sesuatu yang boleh menghapuskan amal soleh dan amal kebaikan yang telah kita lakukan. Berdasarkan dari hadis Nabi s.a.w. orang-orang muflis di hari Akhirat nanti adalah mereka-mereka yang membawa banyak amal soleh dan amal kebaikan tetapi pada masa yang sama membawa juga amal-amal keburukan dan kejahatan (mengumpat, memfitnah, memukul orang, mengambil hak orang lain dan menghianati amanah). Semua amal soleh dan kebaikannya habis kerana membayar kepada mereka-mereka yang dianiaya dan difitnah, oleh kerana sudah habis pahalanya maka di terpaksa menerima pula dosa mereka-mereka yang teraniaya dan jadilah mereka hina kerana menjadi muflis, lalu dihumbankan ke dalam api Neraka.nauzubillah!
Sahabatku,
Ingatlah bahawa di dunia ini adalah tempat persinggahan yang sementara, dan di akhiratlah tempat yang kekal abadi, jadikanlah segala kerja-kerja kita di dunia sebagai wasilah untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. Berhati-hatilah membaca berita-berita yang mengemparkan samaada dari media arus perdana ataupun media alternatif, kerana belum pasti berita itu benar dan dikhuatiri kita mendapat saham dosa dan menghapuskan pahala yang kita miliki, yang tidak sepatutnya berlaku ke atas diri kita.
Bersihkanlah hati kalian daripada hasad dengki, iri hati, riak, sombong dan syak wasangka sesama Muslim. Tidak rugi kita bersangka baik kepada sesama Muslim walaupun orang lain membencinya. Hati yang bersih dan salim inilah hati yang paling layak mendapat Syurga Allah s.w.t di hari Akhirat nanti.
No comments:
Post a Comment