Sunday, March 23, 2014

SOALAN LAZIM BERKAITAN DENGAN IMAN DAN AQIDAH

1. Berubat Dengan Bomoh


Soalan:
Saya mempunyai masalah di mana berkaitan dengan bomoh. Kisahnya bermula apabila keluarga saya disampuk iaitu meracau-racau. Bila dibawa berjumpa bomoh itu memberitahu si polan-polan itu yang melakukan kianat pada keluarga saya. Masalah saya adakah saya boleh mempercayai bomoh tersebut. Masalah ini sudah berlarutan terlalu lama dan ini merenggangkan hubungan kami sekeluarga. Buat pengetahuan ustaz bomoh ini menggunakkan ayat-ayat suci Al Quran dalam pengubatannya. Harap dapat kiranya ustaz menerangkan kepada saya cara pengubatan sebegitu.

Deen, Kuantan

Jawapan:
Di dalam Islam sememangnya ada ulama yang mengamalkan perubatan secara Islam iaitu dengan menggunakan ayat-ayat suci Al Quran sebagai penawar. Sebab Al Quran merupakan ubat dari segala penyakit, baik penyakit hati mahupun penyakit yang bersifat fizikal. Rasulullah SAW juga pernah mengubati seseorang dengan membaca salah satu surah dari Al Quran.

Di dalam Islam juga ada etika atau adab-adab dalam menyelesaikan suatu masalah, terutamanya masalah yang berkaitan dengan bomoh ini. Sesungguhnya berdosa jika kita membuka aib orang lain atau mengatakan sesuatu yang menimbulkan fitnah. Dengan menyebutkan seseorang itu telah melakukan khianat kepada kita membuktikan bahawa perkara tersebut telah membuka rahsia yang sepatutnya ia sembunyikan. Kalaupun perkara itu betul, ianya akan mendatangkan permusuhan apakah lagi jika perkara itu tidak benar, maka hanya mendatangkan buruk sangka terhadap seseorang. Sesungguhnya buruk sangka dan fitnah itu merupakan dosa  besar

Kita boleh mempercayai bomoh, ustaz ataupun ahli perubatan lain jika kita tahu bahawa mereka tidak mensyirikkan Allah.  Yang paling penting dalam berubat sesuatu penyakit adalah kita (setiap individu / pesakit) mesti yakin bahawa yang menyembuhkan penyakit itu bukan bomoh ataupun ustaz ataupun tabib (mereka semua adalah asbab), tetapi yang menyembuhkannya hanya Allah SWT semata. Yakin kepada selain dari Allah adalah syirik (dosa besar yang tiada pengampunan). Berubat hanyalah merupakan ikhtiar atau usaha yang disuruh oleh agama.




2. Imam Mahdi

GAMBAR HIASAN SEMATA-MATA

Soalan: 
Apakah erti Imam Mahadi? Adakah ia sama seperti mazhab?

Roslinda, Puchong

Jawapan: 
Banyak hadis-hadis Rasulullah SAW menyebutkan bahawa diantara tanda-tanda dunia hampir kiamat akan turunnya Imam Mahdi yang berperanan sebagai penerus dan penegak kebenaran agama Islam. Ia datang bukan membawa  ajaran baru tetapi meneruskan perjuangan Islam. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Imam Mahdi itu akan keluar di akhir zaman, namanya Muhammad bin Abdullah atau Ahmad bin Abdullah" (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

Dalam hadis yang lain disebutkan:"Imam Mahdi itu termasuk dalam lingkungan ahli kerabat atau keluarga Rasulullah SAW yakni dari puteri baginda yang bernama Fatimah". (Riwayat Abu Daud dan Hakim) Jelaslah bahawa Imam Mahdi seorang lelaki yang turun ketika dunia hampir kiamat. Setelah itu baru turun Nabi Isa as. Imam Mahdi dan Nabi Isa turun bukan membawa ajaran baru tetapi meneruskan perjuangan Rasulullah SAW. 
Sila rujuk buku-buku berikut:


Peringatan Di Akhir Zaman DN 102
Menunggu Kedatangan Imam Mahdi, Dajjal dan Nabi Isa as DN 189
Mengenai mazhab pula, ilmu fiqh yang diajarkan para sahabat dan para tabi'in tidak beku bahkan berkembang terus. Jika tidak dijumpai nas dalam menyelesaikan sesuatu perkara mereka menetapkan berdasarkan ilmu pengetahuan tentang hukum-hukum untuk menimbang sebab (illat) sewaktu hendak memberikan fatwa-fatwa. Untuk kita ketahui pendapat tabi'in bermacam-macam ini adalah disebabkan berlainan tempat atau keadaan negeri masing-masing, disamping mempunyai kekurangan dan kelebihan tentang memahami maksud-maksud Al Quran dan Hadis. Hasil dari berlainan keadaan atau situasi ini maka tiap-tiap orang alim ilmu fiqh dari golongan tabi'in mempunyai beberapa pendapat yang berlainan dan inilah yang dinamakan mazhab.

Di zaman sekarang nama imam-imam yang empat telah terkenal dan masyhur. Mereka adalah bagaikan bulan purnama yang dikelilingi oleh beberapa bintang-bintang yang berkelipan. Semua mazhab yang empat ini beraqidahkan ahlisunnah waljamaah. Ertinya sumber ajaran yang diterapkan tidak lari dari ketentuan Al Quran dan hadis, bahkan mereka sangat teliti dalam menetapkan sesuatu yang berkaitan dengan aqidah dan ibadah.

Jelaslah bagi kita bagaimana proses mazhab itu terjadi, jadi jika kita tidak mengikuti atau berpegang salah satu jalan maka kita akan teraba-raba dalam mencari kebenaran, akhirnya kita menjadi sesat.



3. Tidak Mempercayai Imam Mahdi dan Dajjal


Soalan: 
Apakah hukumnya jika seseorang itu sukar untuk mempercayai atau mempercayai wujudnya Dajjal dan Imam Mahdi kelak?

Jaffa, Singapura

Jawapan: 
Ramai dikalangan ulamak muktabar mempercayai lebih kurang 50 buah hadis tentang kedatangan Imam Mahdi. Diantaranya Syekh Sya'rawi mengatakan "Imam Mahdi yang dijanjikan Rasulullah SAW akan datang di akhir zaman 
itu benar akan terjadi. Dia akan dibai'at orang secara serentak dan bukan dia yang meminta orang supaya membai'at dirinya. Tentu kita akan bertanya pula mengapa orang yang hidup pada zaman itu, yang jauh dari ajaran Islam, secara tiba-tiba dan secara serentak membai'atnya?. Ini tentunya dari sikap yang terpuji yang ditunjukkannya. Ilmunya mendalam, kelakuannya baik dan berjuang menegakkan agama Islam dengan ikhlas, maka orangpun tertarik dengan perjuangannya".

Menurut Abul A'la al Maududi, bahawa seluruh jumhur ulama telah sependapat bahawa Imam Mahdi itu benar akan datang. Namun demikian ulama tidak sependapat menentukan orangnya. Maksudnya kata sebahagian ulama siapa yang betul-betul bersifat seperti yang dijanjikan Rasulullah itu, maka itulah Imam Mahdi".

Dari Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW bersabda: "Belum lagi terjadi kiamat sebelum muncul Imam Mahdi dari anak cucuku juga. Dan Mahdi itu pun belum datang sebelum munculnya enam puluh orang pembohong, yang masing-masing mereka mengakui dirinya sebagai nabi".

Jika anda sukar untuk mempercayai sesuatu yang telah di khabarkan dan telah diterangkan oleh Rasulullah SAW, maka berusahalah untuk membersihkan jiwa dengan memegang  teguh ajaran yang dibawa oleh baginda. Jangan mudah dibawa oleh arus pemikiran yang memutarbalikkan minda umat Islam. Maka hukumnya berdosa jika tidak mempercayai sesuatu yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW.



4. Menuduh Orang Lain Kafir atau Munafiq


Soalan: 
Apakah hukumnya jika kita menuduh seseorang itu kafir atau munafiq?

M. Rahmat  , JB

Jawapan: 
Menuduh orang Islam kafir ataupun munafiq tanpa asas, maka berdosa. Namun jika orang tersebut jelas memiliki tanda-tanda kafir atau munafiq, berusahalah untuk berdakwah kepadanya menurut kemampuan masing-masing. Tanda-tanda orang kafir iaitu, suka memecah belah antara Allah dan Rasul-Nya, kafir kepada Allah dan Rasul-Nya, iman kepada sebahagian perintah Allah tetapi juga menolak sebahagian perintah Allah, suka berperang di jalan syaitan (thaghut), mengatakan nabi Isa anak Tuhan, agama dibuat gurau senda atau permainan, lebih menyukai kehidupan duniawi, mengingkari adanya hari berbangkit, menghalang manusia ke jalan Allah SWT. (Rujuk Al-Quran surah Muhammad ayat 1 hingga 2)

Kemudian tanda-tanda orang munafiq iaitu sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tanda-tanda orang munafiq itu ada tiga macam, apabila berkata suka berdusta, apabila berjanji selalu mengingkari, apabila ia diberi amanah ia khianat". (Riwayat Bukhari dan Muslim) 
Jika tanda-tanda ini terdapat pada seseorang maka mereka tergolong orang munafiq ataupun orang kafir, namun janganlah menuduh orang Islam sebagai kafir atau munafiq di hadapannya, kerana perkara ini dapat mengguris hati mereka. Namun ajaklah mereka ke jalan yang benar dan diredhai Allah. Rasulullah SAW tidak pernah menuduh seseorang itu munafiq dihadapnnya walaupun baginda sendiri mengetahui bahawa orang itu tergolong orang munafiq. (Sila rujuk kisah Abdullah Bin Ubay)




5. Peristiwa Akhir Kematian


Soalan: 
Semasa ibu saudara saya meninggal, telah keluar kutu dikepala arwah dengan begitu banyak. Saya ingin mengetahui apakah sebabnya sedangkan kepala arwah semasa hayatnya tidak mempunyai kutu?

Wani, JB

Jawapan: 
Banyak peristiwa aneh yang terjadi pada orang yang akan meninggal dunia ditunjukkan Allah terhadap orang yang ada disekelilingnya. Kadang-kadang pemandangan yang menyenangkan seperti kita lihat ketika roh ingin berpisah dari badan wajahnya tersenyum. Ada juga sebaliknya ketika akan meninggal dunia suaranya menjerit-jerit seperti orang yang kesakitan yang amat sangat. Semuanya itu merupakan petanda akan nasib yang akan diterima oleh seseorang di akhirat kelak. Namun semuanya itu hanya Allah yang mengetahui hakikatnya.

Dalam sebuah hadis ada menceritakan tentang orang yang mati dalam keadaan baik dan keadaan sebaliknya. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Tunggulah mayat ketika matinya. Jika kedua matanya telah memancar, dahinya berkeringat, jalan nafasnya turun naik maka disitulah rahmat Allah telah turun kepadanya. Jika ia telah mendengkur seperti mendengkur anak unta serta warnanya atau rupanya telah beku, mulutnya mengeluarkan buih, maka inilah azab Allah telah turun kepadanya" (Riwayat Hakim dan Tarmizi). Jadi ada dua jenis keadaan yang biasanya berlaku terhadap orang yang akan meninggal dunia. Maka kita akan dapat membezakan apakah kematiannya dalam keadaan baik atau sebaliknya. Namun kita tidak dibenarkan bercerita kepada orang lain agar aib si mayat sentiasa terpelihara dan ahli keluarganya tidak menanggung malu. Semoga kita sentiasa berdoa agar mati dalam keadaan husnul khatimah atau mati dalam keadaan baik bukan sebaliknya. Mengenai peristiwa yang menimpa diri ibu saudara anda itu nilailah sendiri menurut kelaziman yang terjadi, maksudnya suautu hal yang tidak biasa terjadi bagi orang yang telah meninggal dunia boleh mengeluarkan kutu yang banyak, namun itu semua gambaran dan pengajaran yang Allah tunjukkan kepada manusia yang hidup. Berdoalah agar rohnya memperolehi rahmat Allah. Wallahu A'lam.





6. Bahagian Syurga dan Neraka
Soalan: 
Bolehkah tuan menerangkan bahagian-bahagian syurga dan neraka dan siapakah ahli-ahlinya?

Affendi, Seremban

Jawapan: 
Penghuni Neraka seperti yang diterangkan dalam surah Al Baqarah 24 maksudnya: "Maka takutlah kamu kepada neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu-batu. Neraka itu disediakan bagi mereka yang kafir". Tingkatan Neraka antara lain; neraka Jahannam, Luza, Hathamah, Sair, Saqru, Jahim dan Hawiyah.

Diantara penghuni syurga ialah orang-orang yang beriman, pengikut sekalian Nabi serta orang-orang yang mendapat rahmat Allah. Tingkatan syurga seperti yang disebutkan Rasulullah dalam hadis yang diriwayatkan Tarmizi sebanyak seratus tingkatan. Namun di dalam Al-Quran disebutkan sebanyak tujuh tingkatan iaitu Jannatul Firdaus, Jannatul Naim, Jannatul Makwa, Jannatul Adnan, Jannatul Khuldi, Darus Salam dan Daruj Jalal.




7. Penghayatan Al-Quran dan Hadis di Malaysia
Soalan: 
Al-Quran dan Hadis serta penghayatannya di Malaysia.

Mohd Zahidi, Seremban

Jawapan: 
Al-Quran merupakan nur atau cahaya yang memberikan penerangan dan pedoman hidup untuk umat manusia. Begitu  juga hadis merupakan pedoman kehidupan yang jelas untuk dijadikan sebagai pedoman kehidupan yang dapat diterapkan dalam kehidupan harian.

Al-Quran dan Hadis bukan sekadar bahan bacaan dan bahan perbandingan sahaja, tetapi ia merupakan sumber dari segala kehidupan, baik dalam bidang politik, ekonomi, kemasyarakatan, pendidikan dan sebagainya. Jika konsep Al-Quran ini dapat dijalankan dengan sempurna, maka barulah dapat dikatakan bahawa Al-Quran dan Hadis merupakan sumber kehidupan ummah. Namun jika kita hanya mengambil setengah-setengah (untuk kepentingan diri) dan meninggalkan setengah yang lain (untuk kepentingan diri) maka kita tidak ikhlas dalam mempercayai kebenaran Al-Quran.

Untuk menjawab pertanyaan di atas ianya dapat diukur oleh masing-masing individu dan menurut pemahaman masing-masing kita tentang Al Quran dan Hadis.  Yang jelas Al-Quran dan Hadis bukan sekadar dapat dibaca dengan irama yang merdu tetapi Al-Quran wajib dibaca, difahami, dilaksanakan dan disebarkan segala hukum hakam yang terkandung di dalamnya, Hadis pula wajib kita rujuk dan dijadikan panduan dalam mengharungi kehidupan ini. Wallahu 'Alam.




8. Allah Yang Maha Berkuasa


Soalan: 
Saya telah disoal, (begini lebih kurang). Allah swt adalah Maha Berkuasa, Allah mampu membuat apa saja. Termasuklah bumi dan segala alam ini. Soalannya, bolehkah Allah membuat satu batu besar? Sudah tentu boleh tetapi bolehkah Allah mencipta satu batu besar yang Allah sendiri tidak mampu menampungnya atau satu batu yang lebih berkuasa dari Nya? Tolonglah bagi jawapan.

Hamba Musykil, Muar

Jawapan: 
Saya ingin membawa satu contoh pertanyaan. "Mampukan seseorang tukang kayu itu membuat sebuah kerusi? Tentu saja mampu, kerana buktinya setiap rumah ada kerusi.

Setelah kerusi itu di buat, mampukah tukang kerusi itu mengubah bentuknya dengan yang lain ataupun memusnahkannya sama sekali. Tentu saja mampu, kerana kerusi merupakan rekaannya dan kerusi juga tidak mampu untuk melawan tukang kayu tadi. Mungkinkah terjadi pada diri tukang kayu tadi, dia membuat sebuah kerusi yang canggih dengan tujuan agar kerusi itu menyerang dirinya atau membinasakannya?.

Jawapannya tergantung pada logik seseorang, apakah logiknya sihat atau tidak, sangat mempengaruhi jawapannya. (Jadi pertanyaan di atas timbul dari logika yang tidak sihat (3¼) dari orang yang melatih fikirannya kearah kesesatan, atau sekedar bersenda gurau dengan kekuasaan Allah SWT)

Dalam sebuah hadis dari Abu Said Al Khudri ra. memberitakan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Suatu hari Nabi Musa bermohon kepada Allah SWT: "Wahai Tuhanku ajarkanlah aku akan sesuatu yang dapat aku mengingati Mu dengannya". Kemudian Allah SWT berfirman: "Katakanlah olehmu 'Laa ilaha illallah'. Musa berkata: "Ya Tuhan, ini diucapkan oleh setiap hambaMu". Allah berfirman lagi: "Ucapkanlah olehmu 'Laa ilaha illallah'. Musa berkata lagi: "Ya Tuhan, aku menghendaki sesuatu yang khas bagiku". Allah SWT berfirman: "Jika tujuh petala langit dan tujuh petala bumi diletakkan di atas dacing dan 'Laa ilaha illallah' disebelah yang lain maka nescaya dacing disebelah 'Laa ilaha illallah' itu lebih berat"."

Begitu besar kekuasaan Allah, cukup dengan kalimah tauhid iaitu 'Laa ilaha illallah' segala isi dunia ini tak mampu untuk mengatasinya. Apakah lagi hanya sekadar seberat gunung atau batu. Maka mustahil menyamakan kekuasaan Allah itu dengan makhluk ciptaannya.





9. Istiqamah Dalam Iman


Soalan: 
Bagaimana untuk menjaga hati.....agar sentiasa kukuh keimanan kita? Adakah ayat tertentu yang perlu dibaca?

Nik Farhan, Sg. Buloh

Jawapan: 
Untuk tetap dalam keadaan beriman kepada Allah, senantiasalah melaksanakan segala yang difardhukan Allah dan hiasilah diri dengan ibadah-ibadah sunat, serta hindari dari segala macam perbuatan maksiat.
Sila rujuk buku-buku berikut:

Iman & Amal Soleh DN 201
Tasauf Moden DN 104
Penghalang Kesucian Batin DN 109
Tingkatan Ma'rifat DN 166
Dosa-dosa Besar DN 220
Diantara ayat-ayat atau doa-doa yang perlu anda amalkan adalah seperti berikut:

Surah Ali Imran ayat 8-9
Surah Ali Imran ayat 192-194
Surah Ibrahim ayat 40-41



10. Orang Yang Murtad Ingin Bertaubat


Soalan: 
Bagaimanakah cara seseorang yang telah murtad ingin bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam. Apakah hukumnya kepada orang yang pernah murtad ini?

Cotpin, Alor Setar

Jawapan: 
Dalam Islam seseorang yang murtad boleh bertaubat dengn cara mengucap dua kalimah syahadah semula di hadapan pihak berkuasa Islam bagi memastikan kesahihan ucapannya itu dan bagi memastikan ia memang telah benar-benar menyesali perbuatannya itu. Jika ia berbuat demikian terangkatlah dari dirinya balasan hukum hudud.

Jika ia enggan bertaubat setelah diberi penagguhan selama 3 hari oleh pihak berkuasa Islam, maka hukumnya hendaklah dibunuh, kerana ia boleh membahayakan agama dan umat Islam. Orang yang murtad adalah orang yang melakukan dosa kepada Allah, kerana itu ia dituntut bertaubat dengan segera dari murtadnya itu.




11. Orang Islam Menyertai Kelab Lion dan Sebagainya


Soalan:
Apakah pandangan pihak tuan terhadap orang-orang Islam yang menyertai kelab-kelab yang berunsur Yahudi seperti LION CLUB?

Wida, Miri

Jawapan:
Kelab Lion adalah sebuah kelab yang ditubuhkan oleh pergerakan Yahudi Sedunia. Walaupun pada zahirnya kelab ini menekankan soal kebajikan kepada golongan yang lemah dan lain-lain, namun operasi sebenarnya ialah meragu-ragukan umat Islam terhadap akidah pegangan mereka melalui perancangan jangka panjang dan halus. Sasaran pergerakan ini ialah anak-anak bangsawan umat Islam.

Aktiviti yang dijalankan pula adalah aktiviti yang tidak berakhlak menurut kacamata Islam. Sehubungan dengan itu menyertai kelab ini bererti cenderung untuk melakukan kezaliman kepada Islam itu sendiri walaupun peserta terlibat tidaklah bermaksud begitu, kerana ia tertakluk kepada aktiviti yang dijalankan oleh kelab ini. Dalam surah Hud ayat 113 Allah SWT melarang orang-orang yang beriman dari cenderung kepada orang-orang yang zalim, kerana nanti mereka akan dibakar di dalam api neraka.

Selain itu menyertai kelab seumpama ini menunjukkan mereka memiliki iman yang tidak kuat dan tidak mantap. Allah SWT menggambarkan sifat tulen seorang yang beriman di dalam surah Al-Mujadilah ayat 22 sebagai seorang yang tidak akan mengasihi orang yang memusuhi Allah dan rasulNya walaupun orang dikasihi itu bapa-bapa, anak-anak, dan saudara-mara mereka sendiri. Sehubungan dengan itu suka dinasihatkan kepada umat Islam supaya menjauhi kelab-kelab seumpama ini. Jika mahu terlibat juga tubuhlah kelab-kelab lain sebagai alternatif dan penuhilah aktivitinya dengan kerja-kerja yang mencerminkan ajaran Islam.




12. Makna Arasy dan Kursi
Soalan: 
Apakah itu yang dikatakan 'Arasy' dan 'Kursi' itu? Adakah ia juga makhluk Allah yang hidup di dunia ini dan apakah keistimewaannya? 

Jawapan: 
Dalam Surah Thaha ayat 5 dan dalam surah Al-A'raf ayat 54 dijelaskan Arasy adalah temapt istimewa' Allah SWT. Ia berada di atas langit yang ke tujuh berdasarkan hadis riwayat Abu Dawud. Mempunyai tiang-tiang yang ditanggung oleh para malaikat sebagaimana dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. Dalam buku Syarah Tahawiyyah kedudukannya tak ubah seperti kubah di atas dunia.

Bagaimanapun ini tidak bermaksud Allah SWT itu memerlukan kepada Arasy dan Arasy pula tidaklah menanggungNya sebaliknya Allah SWT beristimewa di atas Arasy sebagaimana yang layak baginya dan perkara ini tidak dapat difikirkan oleh akal manusia itu sendiri kerana kedudukan Arasy itu sendiri lebih besar dari langit dan bumi.

Kursi pula merangkumi langit dan bumi, malah keluasannya lebih dari itu. Menurut Ibn Abbas Kursi ialah tempat letak kedua kaki. Menurut As-Suddi langit dan bumi berada di tengah-tengah kursi dan kursi berada di hadapan Arasy. Inilah yang disebut di dalam tafsir At-Tabari dan juga Tafsir As-Suyuti. Menurut Abu Zar kedudukan Kursi berbanding Arasys tak ubah seperti kedudukan gelungan besi yang dicampakkan ke tengah-tengah padang pasir. Allah SWT menciptakan Arasy dan kursi bukan kerana Ia sendiri memerlukannya, tetapi kerana sesuatu hikmah yang hanya diketahui olehNya sahaja. dan tidak ada jalan kepada manusia mengetahuinya.




13. Sebab-sebab Menjadi Kafir
Soalan: 
Baru-baru ini saya ada berbincang dengan sesorang tentang perkara yang menyebabkan kafir. Katanya, jika seseorang itu melakukan perkara yang haram, maka orang itu telah kafir. Contohnya jika tidak menutup aurat, maka hukumnya menjadi kafir. Sedangkan pada pengajian saya orang yang melakukan perkara yang haram akan berdosa selagi mana ia tidak menghalalkan hukum tersebut yakni menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Pada fahaman saya orang tersebut mempunyai fahaman yang silap. Saya minta supaya ustaz memberi penjelasan.

Romli, Pasir Mas

Jawapan: 
Dalam buku Nawaqidul Al-Iman iaitu sebuah buku yang membicarakan tentang perkara-perkara yang membatalkan iman, pengarang telah membahagikan aktiviti yang boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar dari Islam kepada dua bahagian iaitu dengan perkataan dan juga dengan perbuatan. Setiap perkara atau perbuatan yang zahirnya menunjukkan seseorang itu ingkar atau tidak mempercayai atau memepersendakan salah satu dari rukun-rukun iman yang enam dan rukun-rukun Islam yang lima, ia dianggap murtad. Jika dilakukan secara terang terangan ia diminta supaya bertaubat dengan segera dan kembali semula kepangkuan Islam.

Jika ia enggan kembali semula kepada Islam, menjadi kewajipan kepada pihak pemerintah menjatuhkan hukuman bunuh ke atasnya. Sebalik jika perbuatan meninggalkan segala suruhan Allah tidak menunjukkan ingkar, tidak percaya atau tidak mempersendakan agama Islam, maka ia tidak dihukum sebagai murtad, tetapi hukumnya adalah berdosa besar, kerana meninggalkan suruhan Allah SWT itu. Untuk mendapat keterangan lanjut tentang masalah ini sila rujuk buku mastika hadis keluaran pusat Islam Malaysia.

Perbuatan membuka aurat adalah berdosa besar pada pandangan Islam, tetapi tidak mengkufurkan seeorang yang melakukannya. Walau bagaimanapun jika ia menghalalkan perbuatannya itu, ia dikira kufur dengan Allah dan terkeluar dari Islam. Perintah menutup aurat dalam Islam adalah perintah wajib, yang mesti dipatuhi oleh semua orang Islam. Tidak ada sebarang pengecualian. Selain tidak menutup aurat memakai pakain yang nipis juga adalah berdosa besar kerana pemakainya tidak dikatakan menutup aurat dalam ertikata yang sebenar, sebaliknya masih bertelanjang berdasarkan keterangan sebuah hadis yang sahih.



14. Balasan bagi Golongan Tidak Pernah Tahu Islam
Soalan: 
Bagaimanakah perhitungan di akhirat kelak bagi masyarakat yang sememangnya tidak pernah mengenal ajaran Islam seperti masyarakat orang-orang asli yang hidup jauh tersisih dari dunia luar, di mana ajaran Islam tidak pernah sampai kepada mereka?

Salmah, KL

Jawapan: 
Di zaman serba moden ini, agak sukar berhujjah Islam tidak sampai ke seluruh pelusuk dunia, kerana kemudahan perhubungan yang canggih. Namun jika benar agama Islam ini tidak sampai kepada mereka, maka golongan ini dikira berada dalam keadaan fitrah. Mereka tidak akan diazab oleh SWT sehinggalah seruan sampai kepada mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud "Dan kami tidak akan mengazabkan sesuatu kaum itu melainkan setelah kami utuskan terlebih dahulu seorang Rasul." (Al-Israk: 15). Menurut Ibn Hazm ayat ini dengan jelas menunjukkan golongan yang tidak sampai kepada mereka ajaran Islam tidak termasuk di dalam golongan yang diberi amaran untuk dikenakan azab kerana mengingkari perintahNya. Harus diingat walaupun di dunia ini mereka terlepas dari suruhan dan larangan agama, tetapi mereka hendaklah membuat kebaikan menurut pengetahuan mereka.

Ini kerana di Akhirat kelak mereka akan tetap diuji oleh Allah SWT, sebagaimana hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda menceritakan 4 golongan yang akan diuji oleh Allah SWT di hari Kiamat. Mereka ialah orang yang pekak lagi buta, orang gila, orang yang mati dalam fitrah dan orang tua yang nyanyuk. Allah SWT telah memerintahkan mereka menghumbankan diri mereka sendiri ke dalam neraka untuk menguji adakah mereka menuruti perintahNya atau tidak. Barangsiapa yang menuruti perintah Allah dia akan dapati api itu sejuk dan ia akan berada dalam keadaan sejuk.




15. Kesempurnaan Agama Islam 
Soalan: 
Kalau dilihat kepada fitrah penghidupan manusia, kenapakah manusia perlu memilih Islam sebagai cara hidup mereka yang paling sempurna. Ini setelah mengambilkira perbandingan bagi semua agama lain yang juga mempunyai balasan baik dan jahat serta beberapa pendekatan yang agak sama. Dimanakah kelebihan Islam?

Dan berdasarkan perbahasan minda, kenapakah penghidupan manusia itu memerlukan kepada Tuhan secara khususnya Allah dan perlu kepada sebuah penghidupan beragama?

Nur Deeny, KL

Jawapan: 
Manusia memang memerlukan kepada satu kuasa yang lebih tinggi dari mereka yang menjadi tempat mengadu baik di waktu susah mahupun di waktu senang. Kuasa ini diharapkan dapat membantu manusia dalam gerakkerja mereka. Cuma dalam mencari kuasa tuhan ini manusia menggunakan berbagai cara. Ada yang menyembah pokok, roh, jin, bintang dan lain-lain. Mereka meyakini benda-benda ini semua dapat membantu mereka menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

Walau bagaimanapun ke semua cara ini adalah salah, kerana ia bertentangan dengan fitrah semulajadi manusia. Fitrah semulajadi manusia mengkehendaki hanya satu tuhan sahaja tempat mereka bergantung, kerana kalau ramai tuhan, bagaimana mungkin tuhan-tuhan ini melaksanakan tugasnya. Tuhan A mahu buat sesuatu tetapi sebaliknya tuhan B enggan berbuat demikian.

Bukankah akan timbul kekacauan dalam alam ini. Tuhan ini tidak lain tidak bukan ialah Allah SWT yang diberitahu kepada kita oleh Nabi Muhamad SAW. Kita beriman kepada apa yang diberitahu oleh baginda SAW lantaran benar, amanah, tabligh dan cerdiknya Nabi SAW. Kita yakin Nabi Muhammad SAW tidak pernah berbohong dalam hidupnya.

Bukan Nabi Muhammad SAW sahaja yang memberitahu kita tentang wujudnya Allah SWT ini, malah telah diberitahu oleh 24 orang Rasul sebelum baginda yang kesemua mereka adalah bersifat maksum, bersih dari salah dan silap. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan ketika TuhanMu mengeluarkan zuriat anak Adam dari tulang belakangnya lalu Ia telah memerintahkan mereka bersaksi yang Aku ini adalah TuhanMu, lalu mereka menjawab: malah kami bersaksi (Engkaulah Tuhan kami)." Inilah fitrah semulajadi manusia yang diciptakan tuhan.

Al-Quran menjelaskan agama yang benar di sisi Allah SWT hanyalah Islam sahaja. Yang lain daripadanya adalah palsu belaka. Islam adalah agama dunia dan akhirat. Ia merupakan agama yang menggabungjalinkan antara keperluan rohani dan jasmani manusia. Manusia diciptakan hasil paduan antara roh dan jasad. Setiap satu dari elemen ini memerlukan makanannya yang tersendiri.

Dalam Islam makanan-makanan untuk kedua elemen ini memang sudah sedia ada di dalamnya. Rasulullah SAW mengajar kepada umatnya segala sesuatu sehingga kepada soal buang kecil dan buang air besar kepada soal pemerintahan dan bernegara. Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh tauladan kepada ke semua aspek ini dalam hidup baginda SAW. Agama Islam adalah agama yang sederhana dan tidak melampau batas, sesuai dengan fitrah semulajadi manusia.

Umpamanya dalam soal perkahwinan, fitrah semulajadi manusia menghendaki mereka berkahwin. Apabila Islam datang ia bukan sahaja membenarkan fitrah semulajadi ini, tetapi ia juga mengemaskan lagi kedudukan perkahwinan ini dengan ia hendaklah terlebih dahulu mendapat persetujuan dari kedua belah pihak dan mengikut cara-cara yang disyariatkan, bukannya denagan membawa lari entah ke mana. Manusia yang paling tinggi darjatnya dalam Islam ialah manusia yang paling bertakwa kepada Allah SWT.

Dalam agama Kristian tidak begitu. Agama Kristian sekarang adalah satu agama ciptaan para padri bukannya agama yang asal diturunkan Allah kepada nabi Allah Isa as. Banyak perkara yang tidak dilakukan oleh nabi Isa as dilakukan oleh mereka. Injil mereka sahaja berjumlah lebih dari 200 buah dengan matan yang berbeza antara satu sama lain dan membingungkan para pengkaji.

Ia juga merupakan agama yang tidak sesuai dengan fitrah semulajadi manusia, kerana terlampau menekankan kepada ibadat di gereja sahaja, tidak ada perkara yang bersangkutan dengan cara berpolitik, bermuamalat dan lain-lain sebagaimana dalam Islam. Nabi Isa as sendiri tidak diutuskan kecuali untuk masyarakat Bani Israel sahaja. Banyak pembohongan dimuatkan dalam kitab Injil. Padri mempunyai kuasa mengampun pada setiap hari Ahad apabila sesesorang itu mengaku segala kesalahannya.

Padahal kuasa mengampun hanyalah milik Allah sahaja. Sesiapa yang bersalah tidak perlu meminta maaf dari padri sebaliknya terus bertaubat kepada Allah dan memohon ampun kepadanya. Agama Kristian menjadi satu agama yang tidak mempedulikan soal-soal duniawi, malah mereka memandang jijik kepada kaum wanita. Pernah suatu ketika dahulu berlaku perbincangan di kalangan padri kristian adakah kaum wanita itu roh baik atau roh jahat. Agama sebegini tidak sesuai menjadi pegangan manusia kerana tidak memenuhi keperluan rohani dan jasad mereka.

Agama Yahudi pula begitu juga. Ia menjadi satu agama yang menekankan soal duniawi dan mengenepikan soal rohani, malah dalam kitab taurat yang diselewengkan ada menceritakan betapa yang dikatakan syurga itu ialah kemewahan hidup di dunia ini, manakala neraka pula ialah kesusahan hidup di dunia ini. Pendita-pendita sewenang-wenangnya menyelewengkan Taurat. Mereka memakan harta orang ramai atas nama agama.

Mereka juga mengganggap bangsa mereka sahajalah yang paling baik di dunia ini. Bangsa lain diciptakan untuk mengabdikan diri kepada mereka sahaja. Jika begitulah keadaannya bagaimana mungkin agama ini dapat berlaku adil kepada manusia. Para pendita yahudi membuat tuduhan yang tidak masuk akal kepada nabi-nabi mereka.

Agama Hindu dan Budha tidak dapat memenuhi keperluan beragama kepada manusia kerana ia mengandungi banyak unsur-unsur khurafat dan tahyul. Upacara ibadatnya pula sukar ditanggung oleh manusia. Untuk membersihkan diri mereka melakukan upacara agama yang berat dan tidak sanggup dilakukan oleh fitrah semulajdi manusia, seperti mencucuk badan dengan besi dan lain-lain. Padahal untuk bertaubat tidak perlu memberatkan diri dengan aktiviti demikian rupa.

Dalam agama Hindu pula ada kasta-kasta. Golongan yang berkasta rendah tidak boleh bersama dengan kasta tinggi, malah orang yang berkasta rendah diciptakan untuk berkhidmat kepada golongan yang berkasta tinggi. Jika begitulah keadaanya bagaimana mungkin ia dapat berlaku adil kepada manusia. Syeikh Abu Hasan An-Nadawi menjelaskan pernah suatu ketika orang-orang yang beragama Hindu yang kuat percaya kepada khurafat dan tahyul mewujudkan tuhan dari setiap sesuatu yang menurut kepercayaan mereka dapat memberi manfaat kepada mereka sehingalah jumlah tuhan-tuhan yang menjadi bahan sembahan mereka mencapai angka 330 juta tuhan. Kalau sudah 330 juta bagaimana manusia dapat melaksanakan hak bagi setiap tuhan ini dalam sehari semalam.

Begitulah juga dengan agama-agama lain seperti agama Kung Fu Tze. Kesemua agama ini tidak dapat memenuhi fitrah semulajadi manusia.





16. Mendoakan Rakan yang Bukan Islam
Soalan: 
Apakah hukumnya kita mendoakan supaya kawan kita yang bukan beragama Islam agar dikurniakan Taufiq dan Hidayah dari Allah serta dibukakan pintu hatinya untuk menerima Islam. Sebagaimana yang kita tahu, golongan kafir terutamanya kafir asli adalah di antara golongan yang Allah murkai dan telah dijanjikan dengan azab neraka di akhirat nanti?

Nur Deeny, KL

Jawapan: 
Tidak salah menurut pandangan Islam kalau kita berdoa supaya rakan-rakan kita yang bukan islam diberi taufik dan hidayah oleh Allah supaya menerima Islam sebagai pegangan hidupnya, malah hukumnya adalah harus. Seseorang yang kafir sebenarnya belum pasti matinya juga dalam keadaan kafir kerana itu mendakwahnya supaya menerima Islam adalah antara gerakkerja yang suci.

Rasulullah SAW pernah berdoa pada masa hidup baginda supaya Allah memberi taufik kepada salah seorang dari dua Umar yang ada di zaman Jahiliyah, supaya menerima Islam, dan Allah SWT telah memakbulkan doa baginda dengan  memberi taufik dan hidayah kepada Umar bin Al-Khattab untuk menerima Islam. Yang salah ialah apabila kita memohon supaya Allah mengampunkan dosanya. Ini jelas dilarang keras di dalam Al-Quran.




17. Islam Agama Sejagat
Soalan: 
Apakah maksud Islam agama sejagat?

David, Kajang

Jawapan: 
Maksud Islam agama sejagat ialah agama untuk seluruh manusia dan tidak terbatas kepada bangsa arab semata mata. Al Quran menjelaskan Rasulullah diutuskan untuk sekalian alam. Jika dilihat kepada dakwah baginda di peringkat awalnya dari segi tekniknya tertumpu kepada keluarga terdekat, setelah itu kepada perwakilan-perwakilan Arab yang datang menunaikan haji di Mekah.

Setelah itu  Allah SWT memerintahkan baginda berhijrah ke Madinah, di sini Rasulullah menyebarkan dakwah dalam bentuk internasional, di mana orang-orang yang memeluk islam merangkumi bangsa-bangsa seluruh dunia. Bilal umpamanya adalah dari bangsa Habsyi sebagai mewakili benua Afrika, Suhaib ar-Rumi sebagai mewakili benua Eropah, dan Salman al-Farisi sebagai mewakili benua Asia.

Dari kalangan bangsa Yahudi yang memeluk Islam ialah antaranya Abdullah bin Salam salah seorang tokoh besar dalam agama Yahudi. Dari kalangan penganut agama Kristian pula ialah Adi bin Hatim At-Tai, salah seorang tokoh Kristian terkenal pada masa itu. Rasulullah SAW juga menghantar surat kepada  maharaja Parsi, Rom, Mesir,Yaman dan Habsyah menyeru mereka kepada agama Islam. Kebanyakan daripada pemimpin negara ketika itu menyambut seruan Rasulullah untuk memeluk atau melaksanakan ajaran Islam, walaupun ada negara kuasa besar seperti Parsi cuba untuk menentang kemaraan Islam, namun ia mengalami kekalahan sehingga kerajaan Parsi tidak akan pernah wujud lagi.

Setelah Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Madinah dan setelah menetapkan Madinah sebagai ibu negara pemerintahan Islam, maka Rasulullah mengirim para sahabat baginda ke seluruh pelosok dunia untuk menyampaikan ajaran Islam. Kebanyakan mereka menerima Islam dengan mudah kerana ajaran Islam itu sesuai dengan naluri atau fitrah kemanusiaan. Bahkan nilai-nilai ajaran Islam itu sangat agung dan tinggi serta sempurna dan menyempurnakan dari agama samawi yang pernah diturunkan Allah sebelumnya. Dengan demikian agama Islam diturunkan untuk seluruh umat manusia di dunia ini tidak mengira bentuk kulit, keturunan dan sebagainya.

DN 136 Permasalahan Aqidah Tauhid




18. Makna Perkataan Islam
Soalan: 
Apakah makna-makna yang sesuai bagi perkataan Islam?

David, Kajang

Jawapan: 
Makna-makna yang sesuai bagi perkataan Islam. Islam ialah antaranya Dinul Haq (agama yang benar), Dinul Rahmah (agama rahmat kepada seluruh manusia), Dinul Hanif (agama yang suci), Dinul Tasamuf (agama toleransi) dan lain-lain. Makna yang lebih khusus tentang perkataan Islam adalah, tunduk dan patuh kepada perintah Allah dan laranganNya tanpa bantahan. Dinamakan dengan agama Islam kerana ia mengajarkan kepatuhan kepada Allah dan tunduk kepada perintah-Nya tanpa membantah tersebut.





19. Muslim Seluruh Alam
Soalan: 
Mengapa seluruh alam termasuk manusia dianggap muslim dari sudut fizikal?

David, Selangor

Jawapan: 
Manusia dan seluruh makhluk di alam ini dianggap sebagai muslim disudut fizikalnya kerana mereka dituntut supaya tunduk kepada segala perintah Allah. Allah SWT telah menurunkan syariatNya kepada manusia, dan manusia dikehendaki mematuhi syariat (tatacara kehidupan) ini, kerana ia bertindak sebagai undang-undang terbaik bagi mengawal tingkah-laku manusia itu sendiri.

Binatang, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain juga adalah Islam berdasarkan ketaatan mereka kepada undang-undang yang Allah tetapkan  kepada mereka dan sesuai dengan alam mereka. Ikan contohnya telah ditetapkan oleh Allah SWT hidup di dalam air, kerana itu tidak pernah kita dengar adanya ikan yang berusaha hidup di atas daratan sebagaimana manusia dan haiwan lain yang hidup di daratan.





20. Akidah, Fiqh dan Akhlak 
Soalan: 
Apakah makna akidah, fiqh dan akhlak?

David, Kajang & Ong, Sarawak

Jawapan: 
Akidah dari segi bahasa ialah simpulan yang kukuh. Apabila disebut akidah Islam bermakna simpulan kukuh yang dikehendaki Islam, yang bertunjangkan kepada kalimah syahadah. Orang Islam pula ialah orang yang berpegang dengan tali simpulan yang kukuh yang mengeratkan hubungan mereka dengan Allah SWT. Asas akidah ialah beriman kepada Allah, beriman kepada rasul, beriman kepada kitab, beriman kepada malaikat, beriman kepada hari kiamat dan beriman kepada qada' dan qadarNya. Elemen akidah pula ialah perkara yang berhubung dengan ketuhanan, kenabian, alam kubur, dan alam akhirat.

Fiqah bermaksud pemahaman yang mendalam terhadap Islam. Ulamak fiqah ialah mereka yang pakar dalam mengeluarkan hukum (undang-undang) yang terdapat di dalam nas-nas al-Quran dan al-Hadis.

Akhlak pula ialah perlakuan manusia yang berasaskan panduan al-Quran dan al-Hadis serta ditunjukkan secara praktiknya oleh nabi Muhammad SAW. Ia merangkumi akhlak seseorang hamba dengan Allah SWT, dengan diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara, dan hubungan antarabangsa.






21. Setiap Anak Dilahirkan Suci
Soalan:
Apakah yang dimaksudkan dalam Hadis "Setiap anak dilahirkan suci bersih...."?

David, Kajang

Jawapan: 
Maksud hadis setiap anak dilahirkan suci bersih ialah ia dilahirkan dalam keadaan fitrah semula jadinya bersih dan belum ternoda oleh mana-mana unsur dosa. Dengan lain perkataan fitrah semulajadi seorang bayi adalah Islam. Fitrah ini akan berubah mengikut pengaruh ibu-bapa dan persekitaran. Jika ibu bapanya ingin membawa kepada jalan kesesatan maka kesucian atau fitrah keIslamannya telah ternoda oleh ibu bapanya tersebut. 

Manusia pada fitrahnya hanif, yang mengandungi erti rindu terhadap mengingat Allah SWT. Manusia pada kejadiannya yang azali rindu kepada kesucian, kemuliaan dan keagungan serta cenderung kepada kebaikan, keindahan, kebenaran dan keadilan.

"Setiap anak dilahirkan suci bersih..", ertinya setiap anak dilahirkan dengan bekal fitrah Islamiyah. Itulah sebabnya agama Islam disebut juga dengan agama fitrah kerana agama Islam itu sesuai dengan fitrah atau asal kejadian manusia. Dalam Al Quran, Allah SWT berfirman maksudnya: "Maka hadapkanlah wajahmu dengan hanif atau lurus kepada agama ciptaan Allah, yang telah menciptakan manusia menurut fitrahnya itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan  manusia tidak mengetahui". 


(Surah Ar Ruum ayat 30)

Datangnya agama Islam adalah membenarkan apa yang menjadi kehendak fitrah yang suci dan selamat. Akal dan hati manusia dapat menilai sendiri tentang wujudnya Allah yang Maha Pencipta. Begitu juga di dalam Al Quran banyak disebut tentang Allah SWT.

Kadang kala manusia beranggapan bahawa kalau tauhid (meng-Esakan Allah) itu merupakan suatu fitah atau semulajadi, maka manusia tentu tidak berbeda aqidah dan kepercayaannya dan tidak berbeda pula Tuhan mereka. Tetapi kenyataannya mengapa manusia mempunyai pendapat yang berbeza dan beraneka ragam sehingga tidak ada kesamaan dalam menentukan Tuhan mereka.

Tentang masalah ini dapat dijelaskan bahawa timbulnya sangkaan seperti itu adalah kerana  watak manusia itu cenderung berpegang dengan sesuatu yang ditangkap oleh indera mereka. Kemudian mengingkari perkara-perkara yang tidak ada gambaran dalam hatinya serta tidak ada batasan yang membatasinya. Contoh kisah ini sebagaimana difirmankan Allah dalam Al Quran: "Ahli Kitab meminta kepadamu agar kamu menurunkan kepada mereka sebuah kitab dari langit. Maka sesungguhnya mereka telah meminta kepada Musa yang lebih besar daripada itu. Mereka berkata: "Tunjukkanlah Allah kepada kami dengan nyata". Maka mereka disambar petir kerana kezalimannya dan mereka menyembah anak sapi, sesudah datang kepada mereka bukti-bukti yang nyata, lalu Kami (Allah) maafkan mereka dari yang demikian. Dan telah Kami berikan kepada Musa keterangan yang nyata".

(Surah An Nisa' ayat 153)


Adanya akal fikiran itu tidak mampu menemukan kebenaran, mengetahui secara menyeluruh. Maka sungguh mengharirankan bila orang yang berakal sihat menggunakan perkara itu sebagai dalil meniadakan sesuatu. Umat terdahulu banyak dicontohkan Allah sebagai umat yang sesat dari jalan yang lurus, mereka memiliki hati yang keras dan banyak melanggar perintah Allah SWT.

Ajaran yang dibawa agama Islam adalah tentang iman kepada Allah dan meng-EsakanNya serta menghindarkan diri daripada menyekutukan-Nya. Semua itu merupakan suatu jalan yang sesuai dengan fitrah manusia yang ingin kepada kebenaran. Dan kebenaran yang haq itu hanya dari Allah SWT.





22. Bukti Ke-Islaman Rasul Terdahulu
Soalan: 
Nyatakan bukti-bukti yang menunjukkan agama rasul  terdahulu juga adalah Islam?

David, Kajang

Jawapan: 
Al-Quran menjelaskan agama rasul-rasul terdahulu adalah Islam. Islam bermaksud tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT. Setiap rasul menyeru masyarakatnya ke arah mengabdikan diri kepada Allah SWT semata-mata dan mematuhi syariatNya yang diutuskan kepada setiap rasul ini.

Setiap rasul berpegang dengan syariat yang diutuskan oleh Allah kepadanya yang sesuai dengan masa dan masyarakatnya. Begitulah juga nabi Muhammad SAW  diutuskan oleh Allah bagi menegakkan aqidah nabi-nabi terdahulu dan melaksanakan syariat yang diutuskan kepada baginda untuk seluruh umat manusia sehingga berlakunya hari kiamat.

Ini bermakna syariat Muhammad SAW adalah penyudah atau pelengkap dalam menyempurnakan segala syariat nabi-nabi terdahulu dan sesuai dengan suasana manusia yang hidup di akhir zaman hinggalah ke hari Kiamat (D'day). Berdasarkan keterangan ini jelas menunjukan agama para rasul terdahulu adalah islam kerana mereka menyeru manusia ke arah ketundukkan dan kepatuhan kepada segala yang diperintahkan oleh Allah SWT, sebagaimana juga nabi Muhammad SAW diperintahkan menyeru manusia ke arah ketundukan dan kepatuhan kepada segala yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Pada prinsipnya semua Rasul memeluk dan mengajar agama tauhid atau Islam. Sebagai contoh:

Nabi Adam yang diperkirakan hidup lebih kurang 930 tahun merupakan manusia pertama yang bergelah khalifah Allah dimuliakan dan ditinggikan darjatnya menjadi nabi yang pertama. Baginda diutuskan kepada anak cucunya agar menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Maka diantara mereka ada yang taat dan adapula yang membangkang.

Nabi Idris as. merupakan keturunan Nabi Sits as. diutus oleh Allah kepada anak cucu Qabil agar bertaubat dan menyembah Allah SWT, namun mereka terus menerus membangkang perintah Allah SWT. Begitu juga Nabi Nuh as. merupakan keturunan nabi Idris as. yang diutus Allah kepada kaum kafir. Baginda menyeru supaya semua manusia menyembah Allah, tetapi ajakan Nabi Nuh ditolak, akhirnya orang-orang yang ingkar atau kafir itu tenggelam dalam banjir yang besar.

Nabi Hud as. adalah keturunan Yafit bin Nuh, bertempat tinggal di Hadharal Maut Utara. Baginda diutus Allah kepada kaum Aad kerana bangsa itu menyembah patung. Kemudian Nabi Nuh menyuruh mereka supaya menyembah Allah, tetapi mereka ingkar, akhirnya mereka menerima seksaan dengan ditimpa badai dan udara yang sangat dingin selama tujuh hari lapan malam. Begitu juga Nabi Salleh merupakan keturunan Sam bin Nuh yang diutuskan Allah kepada bangsa Tsamud disebelah selatan Palastin. Kebudayaan mereka sudah tinggi tetapi mereka menyembah dewa dan patung, kemudian Nabi Salleh menyuruh kepada mereka agar menyembah Allah, sebahagia besar bangsa Tsamud menolak untuk memeluk agama Allah. Mereka ingkar kepada larangan Nabi Salleh. Pada hari pertama muka mereka berwajah kuning, hari kedua menjadi merah,hari ketiga menjadi hitam, akhirnya mereka disambar petir.

Nabi Ibrahim as. juga keturunan Sam bin Nuh yang diutuskan Allah kepada kaum Namrud di negeri Babilon lebih kurang 4000 tahun sebelum Masehi. Kaum Namrud menyembah berhala bahkan akhirnya Namrud menganggap dirinya sebagai Tuhan. Nabi Ibrahim juga menyerukan ajaran tauhid atau Islam kepada mereka namun mereka tetap ingkar, akhirnya Allah mendatangkan kepada mereka tentera nyamuk sebagai balasan, maka musnahlah kaum yang ingkar. Begitu halnya dengan Nabi Luth as. adalah bersaudara dengan nabi Ibrahim yang diutuskan kepada kaumnya di negeri Sadum, supaya kaumnya menyembah Allah SWT, namun mereka ingkar. Allah SWT membalas keingkaran mereka dengan dibalik bumi Sadum sehingga musnah negeri tersebut.

Nabi Ismail as. adalah anak Nabi Ibrahim melalui perkahwinannya dengan Siti Hajar. Baginda diutus kepada bangsa Arab di negeri Yaman, kerana mereka belum kenal dengan agama tauhid atau Islam. Mereka juga diperintahkan supaya berpuasa, membayar zakat dan menunaikan haji. Baginda mempunyai 12 orang anak lelaki yang seluruhnya disebut dengan Bani Ismail atau Adnanniyun. Dari keturunan inilah lahirnya suku Quraisy yang melahirkan Nabi Muhammad SAW.

Nabi Ishaq as. adalah anak kandung Nabi Ibrahim melalui perkahwinan dengan Siti Sarah. Baginda diutus oleh Allah di negeri Kan'an untuk menyembah Allah, mengajarkan tauhid, menyuruh membayar zakat, berpuasa dan menunaikan haji. Nabi Ishaq berkahwin dengan Rifka dan mendapat anak kembar iaitu ish dan Ya'kub. Nabi Ishaq wafat dalam usia 170 tahun dan dimakamkan di Baitul Maqdis daerah Palastin. Begitu juga dengan Nabi Ya'kub as. diutus oleh Allah SWT di negeri Kan'an kerana penduduknya telah ramai menyembah berhala. Nabi Ya'kub mengajar kaumnya supaya menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Baginda wafat dalam usia 148 tahun dan beliau mempunyai 12 orang anak lelaki.

Nabi Yusuf as. anak Nabi Ya'kub as yang diutus oleh sebagai nabi kepada bangsa Mesir untuk mengajarkan agama tauhid iaitu agar menyembah Allah, Tuhan yang Maha Esa. Disampaing baginda seorang nabi ia juga seorang raja dengan dasar pemerintahannya adalah Islam. Beliau wafat dalam usia 120 tahun dan dimakamkan ditepi sungai Nil. Kemudian Nabi Ayub as. anak Amus bin Tarikh bin Rum bin Ish yang diutuskan oleh Allah SWT ke negeri Rom untuk mengajarkan agama tauhid iaitu menyembah Allah SWT. Beliau wafat dalam usia lebih kurang 93 tahun dan dimakamkan di suatu tempat di daerah Itali.

Nabi Zulkifli as. adalah anak Nabi Ayub as. diutus oleh Allah SWT ke negeri Rom. Disamping beliau seorang nabi juga seorang raja yang tetap mengajarkan agama tauhid iaitu supaya menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Beliau menyeru kepada kaumnya supaya meninggalkan penyembahan berhala dan melaksanakan syariat Islam supaya solat dan membayar zakat. Beliau wafat dalam usia 95 tahun dan dimakamkan di Napoli, daerah Rom Selatan. Begitu juga Nabi Syuib as. keturunan Nabi Luth as, diutus oleh Allah ke negeri  Madyan, Palastin Selatan agar mengajar agama tauhid  iaitu menyembah Allah SWT. membayar zakat dan berlaku jujur kepada kaumnya.Ramai kaumnya yang tidak beriman, akhirnya ditimpa bencana daripada Allah berupa gempa dan kepingan awan panas daripada langit.

Nabi Musa as dan Nabi Harun as. diutus oleh Allah SWT kepada kaumnya Bani Israil supaya menyembah Allah, membayar zakat, berpuasa dan berlaku jujur. Bani Israil ramai yang ingkar sehingga mereka menyembah patung anak sapi yang dipelopori oleh Samiri. Nabi Musa as. mendapat kitab Taurat daripada Allah SWT dan diberi mukjizat. Kemudian Nabi Daud as.dibekalkan oleh Allah dengan kitab Zabur mengajarkan kepada kaumnya agar menyembah Allah dan mengerjakan ibadah puasa. Nabi Daud as. wafat dalam usia lebih kurang 100 tahun, lalu dimakamkan di Palastin.

Nabi Sulaiman as. adalah anak Nabi Daud as. beliau seorang nabi dan raja. Nabi Sulaiman berdoa kepada Allah SWT agar diberikan kepadanya kerajaan yang tidak akan diperolehi seorangpun sesudahnya. Doa beliau dikabulkan Allah, sehingga beliau dapat menguasai semua makhluk termasuk jin dan binatang. Nabi Sulaiman mengajak semua kaumnya agar menyembah Allah dan menghindari daparipada mensyirikkannya. Kemudian Nabi Ilyas as.  merupakan keturunan Nabi Harun diutus Allah sebagari rasul di negeri Balbik di Lebanon Selatan kerana orang Balbik ramai yang telah menyembah berhala. Patung terbesar sembahan mereka bernama "Ba'al" dibuat dari emas. Nabi Ilyas as. mengajak kaumnya agar menyembah Allah SWT iaitu agama tauhid, namun ramai yang ingkar, sehingga kebanyakan mereka ditimpa musibah gempa yang dahsyat. Nabi Ilyas wafat dan dimakamkan di daerah Lebanon Selatan. 

Nabi Ilyasa' as. diutus Allah SWT kepada Bani Israil, agar mengajarkan agama tauhid berdasarkan kitab Taurat dan kitab Zabur. Kerana kederhakaan dan pembangkangan mereka terhadap Allah dan Rasul-Nya akhirnya orang-orang yahudi dijajah oleh raja dari Babil bernama Nebukad Nezar. Kemudian Nebekud Nezar dikalahkan oleh Cyrus raja dari Persia. Pada tahun 70 Sebelum Masehi raja Rom bernama Titus memasuki Palastin  dan merosak seluruh kota Jerusalam, kecuali Baitul Maqdis. Begitulah bangsa Yahudi mendapat kutukan dan laknat daripada Allah dan Rasul-Nya sehingga bertebaranlah mereka ke seluruh pelosok, dikutuk dan dihina oleh bangsa-bangsa lain di dunia. 

Nabi Yunus as. keturunan Nabi ya'kub as. diutus oleh Allah kepada bangsa Ninawa didaerah Mansul dalam kerajaan Babil. Beliau mengajak kaumnya agar menyembah Allah , namun ajakan beliau ditentang bahkan diejek. Akhirnya Nabi Yunus meninggalkan kaumnya dan berdoa kepada Allah agar diturunkan azab kepada mereka. Ketika tanda-tanda azab akan turun, maka seluruh penduduk mencari nabi Yunus kerana ingin bertaubat, namun nabi Yunus telah meneruskan pelayarannya. Mereka semuanya beriman kepada Allah serta menyesal kerana melawan Rasul Allah. Nabi Yunus diuji Allah ketika berada didalam perut ikan Nun. Setelah kembali ke Ninawa dilihatnya mereka semua telah beriman, maka nabi Yunus meneruskan dakwahnya, sehingga negeri tersebut menjadi aman dan makmur. Nabi Zakaria as dan Nabi Yahya as. diutus kepada bangsa Yahudi, agar mereka menyembah Allah SWT, berlaku jujur, adil dengan memegang petunjuk yang ada dalam kitab Allah. Kemudian nabi Yahya dibunuh, kepala baginda dipenggal. Begitu juga dengan Nabi Zakaria dibunuh ketika itu juga. Kedua nabi tersebut telah mati syahid. Begitu sombong bangsa Yahudi sehingga hati mereka menjadi tertutup dalam menerima kebenaran. Hanya seksa Allah yang sesuai bagi mereka yang ingkar.

Nabi Isa as. adalah insan yang lahir dari tubuh Maryam tanpa ayah, kemudian diangkat martabatnya menjadi nabi dan Rasul. Sedangkan Hawa dilahirkan dari tubuh Adam tanpa ibu di dalam syuga. Kemudian ditakdirkan oleh Allah SWT menjadi ibu dari seluruh umat manusia. Maka agar tidak keliru dalam beriman atau beriktikad, kita lihat firman Allah SWT maksudnya: "Sesungguhnya perbandingan kejadian Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti kejadian Nabi Adam, Allah telah menciptakan Adam dari tanah, lalu berfirman kepadanya: 'Jadilah engkau! maka menjadilah ia' ".

(Surah Ali Imran ayat 59)

Nabi Isa as. diutus oleh Allah kepada kaumnya sendiri iaitu Bani Israil di daerah Palastin agar tetap taat kepada Allah SWT. Belaiu diberi kitab Injil yang melengkapi kitab Taurat dan Zabur. Segala firman Allah yang diwahyukan kepada beliau ditulis oleh pengikut-pengikutnya dengan tulisan Ibrani (Hebrew bahasa Ibrani Yahudi).

Dapatkah kita menemukan kembali kitab Injil peninggalan Nabi Isa as. itu? Untuk meyakinkan diri kita mari kita perhatikan ayat-ayat Allah dibawah ini:

Firman Allah SWT maksudnya: "Ia menjawab: "Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab Injil dan ia telah menjadikan daku seorang Nabi".

(Surah Maryam ayat 30)

Firman Allah SWT maksudnya: "Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Dia, inilah jalan yang betul atau lurus".

(Surah Maryam ayat 36)

Ayat-ayat diatas membuktikan dengan jelas bahawa Nabi Isa as. hanyalah seorang nabi dan Rasul bukanlah sebagai anak Tuhan seperti yang didakwakan sesetengah pengikutnya. Kitab Injil yang asal dengan tegas dan jelas menyuruh para pengikutnya agar menyembah Allah semata tidak menyekutukannya dengan yang lain. Namun kebanyakan pengikut nabi Isa telah merubah Kitab Injil yang asli itu menurut selera mereka sendiri, maka lahirlah beratus-ratus kitab Injil bahkan beribu-ribu jumlahnya.

Kerana terlalu keras tentangan kaumnya terhadap ajaran tauhid, bahkan beliau diancam akan dibunuh, maka nabi isa dibawa hijrah oleh bondanya ke negeri Mesir selama 12 tahun. Kemudian berpindah lagi ke negeri Nazaret daerah Palastin. Di negeri ini beliau mulai ada pengikut yang membenarkan ajarannya iaitu Mengesakan Allah SWT.

Di antara orang-orang Yahudi tersiar berita nabi Isa yang mempunyai ibu tanpa bapa itu sudah ditangkap oleh Yudas Iskariot, lalu diserahkan kepada penguasa Romawi, kemudian disalib di bukit Golgota. Ada pula yang berkata bukan Isa yang ditangkap tetapi Yudas kerana dia berkhianat. Sebahagian orang meyakinkan diri berkata bahawa bukan Nabi Isa, bukan Yudas tetapi orang lain yang serupa dengan benar dengan beliau. Nabi Isa sendiri selamat dari bencana malapetaka dunia. Sesungguhnya  Allah telah mengangkatnya ke atas langit.

Memang banyak sekali pendapat manusia bahkan antara satu dengan yang lainnya bertentangan. Maka sebaiknya beriman sesuai dengan ketentuan didalam Al Quran. Firman Allah maksudnya: "Demi sesungguhnya, telah kafirlah orang-orang yang berkata; bahawasanya Allah ialah Al Masih Ibni Maryam. Padahal Al Masih sendiri berkata: "Wahai Bani Israil, sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim.

Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan. Padahal tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Tuhan Yang Maha Esa. Dan jika tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya".

(Surah Al Maidah ayat 72-73)

Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada tahun 571 Masehi melalui perkahwinan Aminah dengan Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim. Baginda adalah keturunan Nabi Ismail as. bin Nabi Ibrahim as. Nabi Muhammad SAW adalah insan termulia melebihi tingkat dan darjat dari seluruh nabi-nabi dan umat manusia, bahkan seluruh makhluk-makhluk Allah SWT. Sebab itu Rasulullah (Nabi Muhammad SAW) bergelar  "Rahmatan Lil Alamin". ertinya "Rahmat bagi seluruh alam".

Rasulullah diberi kitab Al Quran, diutus oleh Allah untuk seluruh bangsa di dunia ini. Seperti nabi-nabi  atau rasul-rasul Allah terdahulu bagindapun mengajar dan menyeru manusia supaya menyembah Allah. Nabi Muhammad SAW adalah penutup dari sekalian nabi dan rasul, jadi agama Allah yang diwahyukan semenjak nabi Adam secara bertahap-tahap lagi teratur dilengkapi dan disempurnakan Allah pada kenabian Muhammad SAW. Sebab itu tidak akan ada lagi nabi dan wahyu sesudah baginda.

Bahkan dalam kitab-kitab yang sebelumnya menyatakan tentang kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai rasul yang terakhir. Dalam hal ini Nabi Isa as. sendiri menjelaskan kepada kaumnya tentang akan munculnya seorang nabi terakhir sesudahnya. Di dalam Al Quran dijelaskan ungkapan Nabi Isa as tersebut sebagai berikut. Firman Allah SWT maksudnya: "Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika nabi Isa Ibni Maryam berkata: Wahai Bani Israil sesungguhnya aku ini pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama Ahmad. Maka tatkala ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: ini ialah sihir yang jelas nyata".

 (Surah As Saaf ayat 6)


Firman Allah SWT lagi maksudnya: "Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu".

 (Surah Al Ahzab ayat, 40)




23. Matlamat Terpenting Ajaran Islam
Soalan: 
Apakah matlamat terpenting dari ajaran Islam?

David, Kajang

Jawapan: 
Matlamat terpenting ajaran Islam ialah untuk mencapai keredaan Allah SWT dengan melakukan amalan yang telah diperintahkan oleh Allah semasa hidup di dunia ini. Seseorang tidak akan mencapai keredaan Allah jika ia tidak mengikut apa yang disyariatkan oleh Allah SWT. Keredaan Allah akan membuatkan seseorang itu mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Tidak akan masuk syurga Allah SWT seseorang itu melainkan dengan limpahan rahmat (keredhaan) dan hidayah (petunjuk) Allah ke atas dirinya

Keredhaan Allah itu bergantung ketaatan manusia kepada perintah Allah SWT. Jika manusia melaksanakan perintah dan ajaran-Nya yang terkandung di dalam kitab suci Al Quran, maka rahmat dan redha Allah itu akan memancar dalam kehidupan seseorang. Ketaatan yang dilaksanakan termasuk dalam segala aspek kehidupan seperti berkeyakinan atau beraqidah yang benar, berakhlak dengan akhlak yang benar, melaksanakan prinsip-prinsip ajaran Islam seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya.

Jika keredhaan Allah menyelimuti kehidupan kita maka barulah kita dapat menikmati kebahagiaan hidup baik di dunia mahupun di akhirat.




24. Syahid Dunia dan Syahid Akhirat
Soalan: 
Apakah beza syahid dunia dan syahid akhirat?

Zaity, Bangi

Jawapan: 
Orang yang mati syahid sebenarnya ada 3 golongan iaitu syahid pada hukum dunia dan Akhirat, syahid pada hukum dunia dan syahid pada hukum Akhirat.

Syahid dunia dan Akhirat ialah syahid dalam pertempuran menentang musuh di medan pertempuran kerana menegakkan kalimah Allah. Orang yang mati syahid sebegini tidak perlu dimandikan dan tidak perlu disolatkan menurut jumhur ulamak. Di Akhirat nanti ia akan memperolehi balasan istimewa dari Allah SWT.  Ia juga selamat dari soal kubur.

Syahid pada hukum dunia ialah orang yang mati kerana berperang menentang orang-orang kafir tetapi telahpun mendapat gaji dari peperangan yang dilakukannya atau mendapat bahagian harta rampasan dari peperangan tersebut atau orang yang mati kerana memerangi golongan kafir dalam keadaan riya' dan lain-lain.

Syahid pada hukum Akhirat ialah seperti orang yang dibunuh secara zalim, orang yang mati kerana mengalami penyakit dalam perut, orang yang mati kerana penyakit taun, orang yang mati tenggelam, orang yang mati dalam keadaan dagang / musafir, orang yang mati dalam keadaan menuntut ilmu, orang yang mati kerana menahan rindu, mati kerana melahirkan anak dan sebagainya. Di dunia orang ini dikafan dan disolatkan. Di Akhirat ia akan mendapat pahala khusus dari Allah.




25. Masalah Murtad dan Penyelesaiannya
Soalan: 
Apakah jalan penyelesaiannya bagi masalah murtad di kalangan umat Islam hari ini dengan hukum Islam dan undang-undang negara. Berikan penerangan dengan lebih jelas serta contoh-contoh sesuai?

Yussairi, KL

Jawapan: 
Masalah murtad merupakan isu yang amat sensitif  menyentuh perasaan umat Islam. Untuk mengelakkan murtad, Allah SWT tidak memaksa manusia memeluk agama murni ini kecuali dengan kerelaan hati mereka. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 256 yang bermaksud: "...sesungguhnya tiada paksaan dalam beragama ( memeluk agama Islam ) ". Tetapi apabila mereka memeluk agama Islam maka mereka tertakluk di bawah peraturan-peraturanya dan mereka tidak boleh sama sekali keluar dari Islam. Jika mereka keluar dari Islam maka hukumnya adalah qisas atau dibunuh sebagaimana hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud: " Tidak dihalalkan darah saudaramu yang mengucap dua kalimah syahadat kecuali salah satu dari tiga perkara... antaranya..orang yang meninggalkan agamanya keluar dari pegangannya "

Suasana umat Islam pada hari ini amat gawat kerana kekurangan didikan agama. Kebanyakan dari mereka menganut agama Islam kerana keturunan dan ini tentu akan menyulitkan keadaan apabila hukuman secara Islam ingin dijalankan terhadap orang yang murtad. Memang benar hukum Islam telah menetapkan agar orang murtad dibunuh namun untuk melaksanakannya memerlukan hikmah. Secara ringkasnya, jika pemerintah boleh mengambil tindakan bunuh ke atas orang murtad maka ia wajib dijalankan jika tidak ia berdosa kerana mengingkari hukum Allah.

Jika tidak boleh kerana kemaslahatan tertentu maka ia boleh mengambil tindakan takzir. Ini berpandukan kepada kaedah haram mencegah kemungkaran jika timbul kemungkaran yang lebih buruk.

Contoh kemaslahatan yang dijalankan pada zaman Saidina Umar Ibnu Al-Khattab, dimana beliau meminta agar orang yang murtad dipenjara terlebih dahulu dan diminta untuk bertaubat sebanyak tiga kali jika ia masih enggan barulah ia dibunuh walaupun hukum asal tidak mensyaratkannya. Ini dibuat agar orang ramai tidak takut dengan Islam dan dapat merasai keadilannya. Jika begitu, pada pandangan saya dalam keadaan suasana Islam hari ini, kita perlu lebih berhati-hati dan hikmah ketika menjalankan tindakan yang terlalu sensitif.






26. Adam Manusia Pertama di Bumi?
Soalan:
Kita semua percaya bahawa Nabi Allah Adam adalah makhluk yang pertama (di bumi) yang dicipta oleh Allah 'Aza Wajalla. Adakah benar apa yang di perkatakan oleh saintis-saintis barat bahawa Dinasour telah lama wujud, sejak berjuta-juta tahun dahulu?

Jamalis,KL

Jawapan:
Nabi Adam as. bukan makhluk pertama di bumi tetapi merupakan manusia pertama di bumi, kerana sebelum nabi Adam as. di turunkan ke bumi, Allah SWT telah menciptakan bumi ini dengan segala makhluk yang ada didalamnya. Di dalam Al Quran ada diterangkan tentang dialog malaikat dengan Allah tentang rencana Allah ingin menciptakan khalifah di bumi. Dari dialog tersebut membuktikan bahawa Allah telah menciptakan bumi dengan segala isinya, tinggal lagi ingin menciptakan khalifah yang ingin mentakbirnya.Firman Allah SWT maksudnya: "Dan ingatlah kepada Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan Mu? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengatahuinya".

(Surah Al Baqarah ayat 30) Memang sebelum wujudnya manusia (Adam) telah hidup makhlu-makhluk lain (seperti dinasour) dan sebagainya kerana dalam sebuah ayat, Allah telah mengajarkan kepada nabi Adam tentang makhluk-makhluk yang ada di dalam syurga dan perkara-perkara lain yang bersifat maya.Firman Allah SWT maksudnya: "Dan Allah telah mengajarkan nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Allah berfirman: ' Terangkanlah kepada Ku nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar '.
Malaikat itu menjawab : ' Maha Suci Engkau ya Allah, kami tidak mempunyai pengetahuan selain apa Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana '.
Allah berfirman: ' Wahai Adam, terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka '.
Allah berfirman: ' Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan'."
(Al Baqarah 31 - 33)




27. Petanda Ganjil ketika Pengebumian Mayat
Soalan: 
Adakah sebarang petanda tentang apa yang berlaku semasa kerja menggali lubang kubur, iaitu berkaitan dengan keadaan si mati ketika hidupnya. Jika ada, bolehkah diberikan apakah petanda bagi keadaan lubang kubur yang berair dan berbatu walaupun diketahui tempat tersebut memang berair ataupun berbatu? Satu lagi, apakah petanda bagi keadaan kubur yang berbusut?

Azman, K Kinabalu

Jawapan: 
Memang banyak kita mendengar daripada cerita-cerita seseorang di tengah masyarakat ataupun memang kita melihat sendiri tentang peristiwa-peristiwa ganjil ketika mayat dikebumikan. Kadangkala kita mendengar kubur si mayat dipenuhi air padahal bukan musim hujan atau kawasan tersebut biasa kering dan berbagai cerita yang lain. Mungkin peristiwa-peristiwa seperti ini hanya bersifat kebetulan semata disebabkan faktor iklim dan tanah.

Namun kadangkala peristiwa tersebut dihubungkaitkan dengan si mayat oleh orang yang melihatnya. Jika kita tidak berhati-hati dikhuatirkan akan menimbulkan fitnah sehingga orang yang menyebut-nyebut perkara itu menanggung dosa. Mungkin juga peristiwa tersebut sebagai iktibar yang ditunjukkan oleh Allah bagi orang yang hidup, dan tidaklah boleh membesar-besarkannya.

Begitu juga dengan tanda-tanda yang lain seperti kubur berbusut, kubur berlubang (jerlus) dan sebagainya, janganlah ditafsir dengan perkara yang mengandungi khurafat sehingga merosakkan iman kita.





28. Pengertian 'Al-Quran Imamku, Baitullah Kiblatku'
Soalan: 
Dalam bacaan talkin ada menyebutkan yang Al-Quran imamku, Baitullah kiblatku. Soalan saya apakah maksud ayat tersebut?

Azman, K Kinabalu

Jawapan: 
Makna "Al Quran imamku" ertinya bahawa Al Quran yang penuh dengan bimbingan kehidupan yang merupakan panduan hidup bagi umat seluruh alam, serta tidak mengambil ketetapan hukum dan panduan hidup melainkan dengan berpandukan Al Quran.

Sedangkan makna "Baitullah kiblatku" ertinya bahawa Baitullah yang merupakan rumah Allah, adalah tempat ibadah yang mulia dan suci. Walau apapun bangsa kita, tanah kelahiran kita mahupun di mana kita berada, di waktu solat kita tetap akan menuju arah yang satu, ke Baitullah. Ini menunjukkan kesatuan hati ummah seluruh alam, dan apabila hati kita disatukan maka Islam akan teguh.





29. Beriman setelah Murtad
Soalan: 
Apakah hukum orang yang murtad setelah ia kembali masuk Islam. Bagaimana pandangan Ustaz dari sisi Islam?

Zakshah, Gombak

Jawapan: 
Jika seseorang itu telah melakukan murtad iaitu keluar dari Islam, kemudian ia merasa bahawa dirinya telah melakukan kesalahan yang besar, akhirnya ia bertaubat kembali kepada Allah dengan memeluk Islam, maka hendaklah umat Islam menerimanya kembali, kerana ia telah menemui jalan yang benar setelah sesat.

Dalam Islam sendiri menganjurkan agar orang yang murtad itu segera bertaubat dan mengucap dua kalimah syahadah, jika ia tetap dalam kemurtadannya maka pujuklah ia agar kembali ke dalam Islam. Jika setelah dinasihati, dipujuk dan diberi nasihat tidak memberikan perubahan pendiriannya, maka penjarakanlah ia, jika setelah dipenjara dan diberi makanan yang enak-enak serta dinasihati kembali, namun masih tetap merasa senang dengan kemurtadannya, maka ketika itu boleh dilaksanakan hukum bunuh terhadapnya.





30. Akidah Dalam Kehidupan Insan
Soalan: 
Boleh tak saya tahu kepentingan akidah di dalam kehidupan dan kesan syahadah kepadan umat muslim? Diharap tuan dapat memberikan saya senarai terperinci mengenai hal yang tersebut diatas ataupun berikan senarai buku yang membolehkan saya untuk mendapatkannya berserta harga buku tersebut.

Dayang Saibillah , K Kinabalu

Jawapan: 
Akidah atau keyakinan atau iman kepada Allah merupakan asas dalam kehidupan insan. Jika keimanan ini tidak wujud dalam diri seseorang maka tidak ada nilai seseorang itu hidup di dalam dunia ini. Kerana pembahasan iman dan syahadah ini terlalu luas maka kami anjurkan kepada anda untuk membaca buku berkaitan tentang akidah atau keimanan ini.





31. Iman dan Takwa Benteng Ketahanan Ummah
Soalan: 
Mengapakah dikatakan iman & takwa benteng ketahanan umat sejagat? 

Jawapan: 
Iman dan takwa merupakan kekuatan asas yang mesti dimiliki oleh setiap umat Islam. Jika iman dan takwa telah tumbuh dalam diri kita, maka seseorang itu telah mengetahui akan hakikat dan tujuan hidupnya.

Kembali ke atas ↑


32. Pemimpin Bertakwa Umat Sejahtera
Soalan: 
Apakah yang dimaksudkan dengan 'pemimpin bertakwa umat sejahtera'?

Jawapan: 
Pemimpin yang bertakwa adalah pemimpin yang menjalankan tugas kepimpinannya sesuai dengan ketentuan Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan menjalankan amanah kepimpinan itu sebagai suatu tanggungjawab bukan sebagai suatu peluang untuk melakukan sesuatu sesuai dengan kehendak hati dan nafsu. Mereka menegakkan amar makruf dan mencegah kemungkaran, menyerahkan hak orang dipimpinnya sesuai dengan ketentuan syarak, tidak berbuat zalim, serta memperhatikan kebajikan masyarakt atau rakyat jelata.

Pemimpin yang bertakwa juga menjalankan dan menegakkan hukum-hukum Allah di muka bumi ini serta tidak mempermaikan dan mempersenda hukum tersebut dengan jalan merubah suai dengan kehendak hawa nafsu. Jika segala kebaikan telah diterapkan dalam kepimpinannya, maka secara otomatik umat akan sejahtera dibawah panji ulil amri yang beriman.





33. Pengurusan Berkualiti Dalam Islam
Soalan: 
Bagaimanakan pengurusan berkualiti menurut Islam?

Jawapan: 
Islam memakai konsep sederhana dalam kehidupan. Sederhana dalam Islam bukanlah bererti membuang kewajipan dan menggantikannya dengan sesuatu yang menghancurkan kewajipan tersebut. Sederhana dalam Islam ertinya meletakkan sesuatu itu pada tempatnya. Sederhana dalam Islam bukanlah bererti menurunkan status wajib kepada sunat atau memudahkan sesuatu yang telah ditetapkan oleh syarak tetapi sederhana dalam Islam adalah melaksanakan tanggungjwab sesuai dengan ketentuan yang telah digariskan.

Kembali ke atas ↑



34. Bertaubat Setelah Murtad
Soalan: 
Kemusykilan saya takut diri saya murtad. Macam mana jikalau saya murtad dan saya nak kembali ke jalan Allah s.w.t ?

Sani, KL

Jawapan: 
Menurut Sayyid Hawa ada 20 perkara yang membatalkan syahadah yang menyebabkan seseorang itu menjadi murtad. Jadi jika kita melakukan salah satu perkara yang menyebabkan kita murtad hendaklah kita segera bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat. Banyakkan beristighfar, kerjakan solat serta perkara yang difardhukan kepada kita. Tinggalkan segala larangan dan segala maksiat, agar kehidupan kita kembali bersih dan mengesakan Allah SWT. 

DN 302 Murtad - Kesan & Kisah Mengenainya





35. Orang Kafir Akan Dimasukkan ke dalam Neraka
Soalan: 
Saya berminat ingin mengetahui akan apa yang difirmankan Allah SWT dalah surah Yaasiin, ayat 12 (harap sila rujuk). Dinyatakan bahawa Allah azza wajalla akan menghidupkan kembali SELURUH manusia yang telah mati dan Allah SWT juga mencatatkan akan segala perbuatan mereka. Saya musykil, akan pendapat-pendapat yang mengatakan bahawa orang kafir akan terus dimasukkan ke dalam api neraka tanpa sebarang pengadilan. Namun ayat tersebut menyatakan SELURUH manusia, apakah seluruh manusia tersebut termasuk yang kafir bersekali?

Abdul Halim, KL

Jawapan: 
Banyak ayat-ayat Al Quran dengan jelas mengatkan bahawa orang-ornag kafir akan dimasukkan ke dalam neraka. Sebab bagi orang-orang kafir sudah jelas keingkarannya terhadap Allah, samada diadili ataupun tidak di Padang Mahsyar nanti bagi mereka tetap telah disediakan neraka sebagai seksaan. Betapapun diadakan pengadilan kepada mereka tidak ada amal kebaikan bagi mereka untuk menebus kemusyrikan mereka itu dan akhirnya merekapun dicampakkan di dalam api neraka. Firman Allah maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang kafir sama saja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan mereka tidak juga akan beriman. Allah telah mengunci mati hati mereka serta penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka seksa yang amat berat". (Al Baqarah 6-7)     Sebelumnya kita lihat maksud surah Yaasin ayat 12: "Sesungguhnya Kamilah (Allah) yang menghidupkan orang-orang yang mati dan menuliskan apa-apa yang telah mereka usahakan dan juga bekas-bekas pekerjaan mereka. Dan tiap-tiap sesuautu itu Allah perkirakan di dalam kitab yang terang".

Sesudah Allah nyatakan tentang amaran dan khabar gembira pada ayat sebelumnya, maka Allah menjelaskan pula bahawa Dia berkuasa menghidupkan orang-orang yang sudah mati. Setengah ahli tafsir menambahkan boleh juga maksud 'menghidupkan orang yang telah mati' maksudnya hati yang sudah mati kerana pada mulanya dalam kekufuran dapat dihidupkan-Nya dengan dianugerahkan taufik dan hidayah, lalu diisi dengan keimanan sebagai roh atau jiwa yang baru.

Allah juga menyatakan bahawa Dia akan menuliskan apa-apa yang mereka usahakan samada amalan baik ataupun jahat. Begitu juga bekas-bekas usaha mereka yang baik seperti ilmu yang diajarkan, sedah diberikan kepada masjid dan surau dan sebagainya. Begitu juga bekas-bekas usaha yang jahat seperti membuat pakatan yang jahat, menyediakan hotel khas untuk orang berzina, tempat berjudi, dan tempat minuman yang memabukkan. Selagi tempat ini masih ada, walaupun ia telah meninggal dunia maka dosa-dosa yang dilakukan orang lain dia masih tetap menerima saham dosa tersebut.

Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Barangsiap membuat amalan kebajikan di dalam Islam maka akan didapati pahalanya dan juga pahala orang yang mengerjakan selepasnya dengan tidak berkurang sedikitpun dari pahala mereka. Dan barangsiapa membuat atau memulakan perbuatan jahat di dalam Islam maka akan didapati dosanya dan juga dosa orang yang mengerjakan selepasnya dengan tidak berkurang sedikitpun dari dosa mereka". (Riwayat Muslim)     Tidaklah bertentangan dengan setengah pendapat mengatakan bahawa orang kafir akan terus masuk ke dalam neraka. Ini disebabkan bagi orang kafir dihisab atau tidak dihisab bagi mereka tetap akan menerima seksaan neraka seperti yang dijanjika Allah dalam ayat-ayat Al Quran. Sedangkan bagi orang muslim, akan dikira amal kebaikan dan kejahatannya walaupun sebesar zarah sekalipun kerana mereka masih mempunyai tempat untuk berpaut iaitu iman kepada Allah. Tergantunglah kepada ketentuan yang akan mereka terima jika amalan baik melebihi amalan jahat, maka mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Sebaliknya jika amalan jahat melebihi amalan baik, maka mereka akan dilebur terlebih dahulu ke dalam api neraka sehingga masa yang ditentukan, barulah setelah itu dimasukkan ke dalam syurga. Itulah perbezaannya antara orang kafir dengan orang-orang muslim. Wallahu a'lam.




36. Sifat Dua Puluh (Mengenal Sifat-sifat Allah)
Soalan: 
Saya ada kemusykilan ustaz tentang sifat dua puluh? Adakah sifat dua puluh sifat Allah swt atau sifat kita dan bagaimana nak kenal Allah dan bagaimanakah cara-caranya?

Azmi, Singapura

Jawapan: 
Sesungguhnya sifat-sifat Allah SWT itu bukan saja berjumlah sebanyak 20 sifat. Jumlah sifat-sifat Allah SWT banyak sekali tetapi tidak ada siapa yang emngetahuin jumlah yang sebenarnya kecuali hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Allah SWT bersifat dengan segala sifat kesempurnaan kerana selain dari sifat 20 masih kita temui sifat-sifat Allah Yang Maha Agung itu dalam Nama-Nama Allah yang indah atau Asmaul Husna.

Di dalam Al Quran masih banyak kita jumpai sifat-sifat Allah yang tidak termasuk dalam sifat 20 dan Asmaul Husna. Walaupun demikian ada 20 sifat yang wajib diketahui, dikalangan ulama terkenal dengan sebutan "Sifat Dua Puluh", iaitu Dua puluh sifat yang wajib bagi Allah, dua puluh sifat yang mustahil bagi Allah dan satu sifat yang jaiz atau harus bagi-Nya.

Sifat 20 yang kita pelajari dalam ilmu Tauhid ini merupakan sifat-sifat Allah sedangkan sifat manusia merupakan anugerah yang Allah berikan kepada kita. Bayangkan saja Rasulullah mengumpamakan keseluruh nikmat yang ada di dunia ini diibaratkan hanya setitik air dari samudera yang luas, begitu besar kekuasaan dan Maha Agungnya Allah. Jadi Sifat 20 tersebut menunjukkan Maha Besarnya Allah dan Agungnya Allah, sedangkan diri kita dengan segala sifat dan kelebihan hanya merupakan serpihan kecil dari nikmat-nikmat Allah.

Rukun agama terdiri dari Iman, Islam dan Ihsan. Dalam iman tersimpan keyakinan yang teguh tentang kebenaran wujudnya Allah. Di dalam Islam terkandung kesetiaan dan ketulusan hamba dalam mengabdikan diri kepadaNya. Di dalam Ihsan tersimpan keharmonian hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan sesama manusia dan hubungan manusia dengan makhluk yang lain. Ketiga aspek ini merupakan sumber untuk mengetahui akan hakikat Allah. Wallahu a'lam.




37. Rantai Berukir Nama Allah
Soalan: 
Apa hukumnya jika seorang lelaki memakai rantai yang berukirkan nama Allah dengan tujuan agar sentiasa mengingati Allah?

Hadi, KL

Jawapan: 
Memakai rantai yang diukir nama Allah dengan tujuan mengingat Allah merupakan perkara bid'ah. Seharusnya setiap insan berkewajipan mengingat Allah setiap masa dan dimanapun mereka berada. Bahkan lelaki memakai rantai telah menyerupai wanita perbuatan semacam ini sangat dibenci oleh Rasulullah SAW.

Kembali ke atas ↑



38. Dipaksa Murtad
Soalan: 
Sekiranya seorang yang beragama Islam dipaksa keluar dari agama Islam atau sekiranya dia enggan,dia akan di bunuh. Apakah yang harus dilakukan olehnya? Adakah hal ini termasuk dalam hukum darurat dalam Islam?

Badariah, Shah Alam

Jawapan: 
Berjuang menegakkan kebenaran merupakan tanggungjawab setiap umat Islam, apatahlagi berjuang mempertahankan aqidah Islamiyah yang telah tersemat didalam jiwa merupakan perkara yang wajib. Begitu ramai para sahabat Rasulullah SAW wafat diujung tombak lantaran mempertahan ketauhidan yang ada di dalam jiwanya. Walaupun mereka dipaksa agar meninggalkan ajaran Islam yang mulia dan jangan mengucapkan lagi akan kalimah tauhid namun mereka tetap dengan pendiriannya, akhirnya mereka mati dalam keadaan syahid memperjuangkan akidah dan keyakinannya.

Jika anda berhadapan dengan ancaman dan paksaan dari pihak tertentu yang memaksa anda agar keluar dari agama Islam maka menjadi kewajipan anda untuk mempertahankannya. Pertama, negara kita adalah negara merdeka yang memiliki hukum dan undang-undang yang menjaga hak setiap individu, maka segeralah melaporkan perkara ini kepada pihak yang berkenaan seperti jabatan agama Islam ataupun pihak polis. Kedua, anda juga boleh membuat pilihan yang bijak seperti memberitahukan hal ini kepada ahli keluarga ataupun berpindah dari tempat sekarang ke tampat yang lebih selamat dalam negara ini. Maka tidak timbullah istilah darurat jika masih ada alternatif lain yang dapat kita lakukan. Jangan biarkan orang kafir menguasai diri kita, kerana perkara itu hanya menjatuhkan martabat dan kemuliaan ajaran Islam sekaligus menjatuhkan ketinggian martabat keinsanan anda sendiri. Wallahu A'lam.

DN 146 Sifat 20 - Sifat-sifat Allah & Mentauhidkan Diri KepadaNya

Kembali ke atas ↑



39. Antara Kalimah Syahadah Nabi Muhammad dan Nabi Isa
Soalan: 
Kalau kalimah Nabi Muhammad dilafazkan: "ASY-HADU ALLA-ILAHA ILLALLAHU WA ASY-HADU ANNA MUHAMMADAR-RASULULLAH", bagaimanakah pula kalimah Nabi Isa dilafazkan?

N. Millip, K Kinabalu

Jawapan: 
Kalimah tauhid atau syahadah menunjukkan kepada penolakan terhadap kemusyrikan. Sebab tauhid itu merupakan pengakuan terhadap ke-Esaan Allah SWT. Tidak ada tuhan melainkan Allah yang Maha Esa dan Maha Kuasa. Jika ada orang yang menyembah selain daripada Allah, maka ia tergolong kepada orang-orang yang musyrik. Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan Tuhan-mu adalah Tuhan Yang Maha Esa , tidak ada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang" (Al Baqarah 163). Kalimah syahadah kalimah pengakuan seorang hamba terhadap ke-Esaan Allah dan kerasulan utusan yang ditunjuk oleh Allah SWT. Menurut setengah ulama ada yang mengatakan bahawa kalimat tauhid ini sama saja semenjak Nabi Adam as sehinggalah Nabi Muhammad. Cuma dalam syahadah Rasul disebutkan ketika zaman Rasul tersebut. Jika pada zaman Nabi Adam as, maka syahadah Rasulnya dengan meneybutkan  "Adam Rasulullah Alaihi Salam" dan jika nabi Isa maka disebut dengan "Isa Rasulullah Alaihi Salam". 

Namun setelah berakhirnya perjuangan menegakan tauhid oleh semua rasul tersebut maka berakhirlah pengamalan ucapan syahadah rasulnya dan terakhir sekali disempurnakan ajaran Islam (tauhid) itu oleh Nabi Muhammad SAW. Setelah diutus Nabi Muhammad SAW maka tidak bolehlah dipakai syahadah Rasul yang sebelum baginda.

Kembali ke atas ↑



40. Kenapa Nabi Muhammad dan Bukan Nabi Isa atau Yang Lainnya
Soalan: 
Mengapakah penyampaian agama Islam lebih cenderung atau ditekankan hanya kepada Nabi Muhammad dan tidak ditekankan bersama nabi-nabi yang terdahulu seperti Nabi Isa a.s. sedangkan ianya tidak kurang pentingnya dari segi keagamaan?

N. Millip, K Kinabalu

Jawapan: 
Seluruh para nabi yang diutuskan oleh Allah SWT mengajarkan ajaran tauhid atau ajaran Islam (selamat sejahtera). Di dalam Islam dengan jelas menegaskan agar para pengikutnya beriman dengan para nabi yang diutuskan oleh Allah tersebut semenjak daripada Nabi Ada as. hinggalah kepada Nabi Muhammad SAW. Maka tidak timbul istilah bahawa Islam tidak menekankan atau tidak mengambil berat terhadap nabi-nabi terdahulu. Al Quran sebagai sumber kitab ajaran Islam (tauhid) yang dibawa oleh nabi Muhammad SAW merupakan kitab yang lengkap dan sempurna. Di dalamnya terkandung ajaran yang pernah disampaikan didalam Zabur nabi Daud, kitab Taurat nabi Musa, dan kitab Injil yang dibawa oleh nabi Isa as.

Di dalam al Quran telah dijelaskan bahawa agama yang paling benar adalah agama Islam. Sedangkan Islam adalah miliki seluruh nabi dan rasul. Maka tidak timbul ada agama lain selain Islam. Kristian, Yahudi atau yang lainnya bukanlah agama disisi Allah. Istilah agama Kristian atau agama orang Yahudi timbul setelah adanya penyelewengan yang dilakukan oleh pengikut Nabi Isa ataupun pengikut Nabi Musa. Pada asasnya Nabi Musa, Nabi Isa serta nabi-nabi yang lain mengajarkan agama Islam (agama yang membawa selamat dan sejahtera). Bahkan di dalam kitab Zabur, Taurat dan Injil yang asal dengan terang-terang menyebutkan bahawa ajaran tauhid atau Islam yang mereka bawa itu pada suatu saat nanti akan disempurnakan oleh seorang rasul yang bernama Muhammad.

Setelah diutusnya Nabi Muhammad SAW sebagai rasul yang terakhir, maka seluruh umat di dunia ini diperintahkan oleh Allah agar mengikut ajaran yang sempurna dan lengkap tersebut. Akhirnya ramai para pendita yang mengetahui akan kehadiran Nabi Muhammad tersebut memeluk Islam setelah lama dalam penantian. Walaupun begitu ramai juga para pendita yang menafikan kerasulan Nabi Muhammad, bukan kerana mereka tidak percaya kebenarannya tetapi lantaran mereka tidak suka bahawa Rasul yang mereka tunggu itu lahir bukan dari keturunan mereka sendiri.

Kembali ke atas ↑



41. Kesan Hubungan Islam dengan Kristian
Soalan: 
Tidakkah ini akan menambahkan suasana ketegangan dan permusuhan diantara para penganut agama Islam dengan para penganut agama Kristian di masa-masa akan datang jika perkara begini berterusan? Sebagai contohnya orang-orang Islam tidak boleh memakan daging binatang yang disembelih oleh orang bukan Islam. Diharap kalian dapat memberikan penjelasan terhadap kemuskilan saya melalui soalan-soalan saya diatas?

N. Millip, K Kinabalu

Jawapan: 
Telah dijelaskan bahawa agama Islam yang dibawa oleh nabi Muhammad SAW adalah menyempurnakan agama Islam yang di bawa oleh nabi Isa Alahi salam. Bahkan dalam Kitab Injil yang dibawa oleh Nabi Isa dengan tegas menjelaskan bahawa sesudah baginda akan diutus seorang Rasul yang akan menyempurnakan ajaran Islam (tauhid) yang baginda bawa. Bahkan dengan jelas pula disebut nama Rasul yang akan diutus oleh Allah nanti.

Pada zaman Nabi Muhammad SAW dengan jelas pula baginda bersabda bahawa sembelihan ahli kitab (iaitu orang-orang Kristian yang beriman kepada Allah dan Nabi Isa serta beriman dengan kemunculan  Nabi Muhammad SAW sebagai rasul) boleh dimakan. Namun para ahli kitab ini akhirnya memeluk ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad, kerana mereka mengetahui bahawa Islam telah lengkap dan sempurna dengan diutusnya nabi yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW. Maka tidak timbullah orang Kristian sekarang ini merasa kecil hati dengan tidak bolehnya orang Islam memakan sembelihan mereka sebab sembelihan mereka tidak lagi mengikut syariat Islam baik yang dibawa oleh Nabi Isa mahupun Nabi Muhammad SAW.

Kembali ke atas ↑



42. Antara Syiah dan Sunni, Mana Satu?
Soalan: 
Pak kiyai yang saya hormati, selama ini saya belum tahu tentang mazhab atau siapakah imam saya..dan saya sebenarnya pingin memilih agama Islam yang sunni atau syiah. Dua-duanya sama Islam, pedomannya sama juga quran dan sunnah. Tapi kok praktiknya lain. Menurut pak kiyai sendiri bagusnya saya masuk sunni atau syiah?

Moci, Indonesia

Jawapan: 
Agama Islam adalah yang benar dan lurus, tidak ada agama yang diterima disisi Allah melainkan Islam. Semenjak dari Nabi Adam hinggalah Nabi Muhammad SAW semua ajaran yang dibawa oleh para Rasul tersebut adalah Islam. Setelah wafatnya Rasulullah SAW maka timbullah berbagai mazhab dalam Islam. Sebetulnya terbentuknya mazhab dalam Islam bukanlah membangkitkan perkara yang pokok, tetapi lebih banyak mebincangkan perakara yang bersifat cabang atau hal yang kecil-kecil, sedangkan masalah aqidah tidak disinggung kerana ia merupakan perakara asas yang wajib diimani oleh seluruh umat Islam.

Imam atau pemimpin umat Islam adalah Rasulullah SAW. Segala ajaran yang dibawa baginda mengandungi segala aspek kehidupan dan memberikan pedoman hidup demi kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Dengan mengikuti sunnah Rasulullah SAW maka setiap individu telah menempuh jalan kebenaran dan akhirnya akan memperoleh tempat kembali yang mulai di akhirat kelak iaitu syurga.

Ajaran Islam yang dibawa oleh ulama Sunni maksudnya ulama yang menjalankan Islam mengikuti Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Kebenaran dan nilai ajarannya tidak mengandung khurafat dan taksuf yang berlebih-lebihan terhadap seseorang sehingga mengatasi kelebihan yang Rasulullah SAW. Sedangkan kebanyakan ajaran yang terkandung di dalam ajaran Syiah lebih mengagung-agungkan orang-orang tertentu dan bahkan menganggap malaikat Jibril telah tersilap dalam menyampaikan wahyu kepada Nabi Muhammad. Menurut sebahagian mereka, yang berhak menerima wahyu dan menjadi nabi bukanlah Nabi Muhammad tetapi orang lain.

Banyak lagi ajaran-ajaran yang mereka bawa merupakan rekaan di kalangan ulama mereka yang tidak arif tentang agama. Mungkin juga tujuan asal kerana politik dan sebagainya sehingga kesannya begitu mendalam terhadap umat Islam itu sendiri. Untuk lebih memahami akan hakikat Syiah dan Sunni tidak memadai dalam ruangan tanya jawab ini, ada baiknya membaca buku-buku yang membahas perkara tersebut dan merujuk kepada ahli agama yang arif tentang masalah ini.

Masuklah dan peluklah agama Islam, insya Allah, anda akan menemukan sesuatu yang berharga dalam hidup anda. Pelajari Islam dengan sebenarnya dan jangan sekedar menilai Islam ini dari sikap dan tingkah laku segelintir umatnya yang sekarang ini telah banyak yang ingkar, tapi nilailah ajaran Islam itu secara jujur iaitu menurut konsep dan asas serta pokok-pokok ajarannya. Pelajarilah Islam yang dibawa dan dikembangkan oleh ulama Sunni, terutama di daerah kita konsep Ahlussunnah wal Jamaah (Sunni) lebih jelas dan mudah difahami sehingga tidak mengelirukan fikiran yang ingin mempelajarinya. Wallahu A'lam.

DN 092 Roh Kalimah Tauhid
DN 146 Sifat 20 - Sifat-sifat Allah & Mentauhidkan Diri KepadaNya

Kembali ke atas ↑



43. Mengharapkan Doa Si Mati
Soalan: 
Bolehkah kita yang masih hidup, berdiri di sisi kubur seorang islam dan meminta supaya Ahli kubur tersebut berdoa untuk kita kepada Allah walau untuk apa tujuan sekalipun?

Rahmat, KL

Jawapan: 
Orang yang telah meninggal dunia terputus segala amalannnya, mereka hanya menunggu masa untuk dihisab segala sesuatu yang pernah dikerjakan ketika hidup di dunia. Sebetulnya orang yang hiduplah yang mesti mendoakan orang telah meninggal dunia bukan orang yang telah meninggal dunia yang mendoakan untuk orang yang hidup. Sangatlah keliru dan boleh merosakkan amalan dan aqidah jika seseorang mengharapkan doa daripada kubur orang yang telah mati. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑


44. Ingkar Sunnah
Soalan: 
Apakah dalil atas nas yang dapat tuan berikan kepada orang-orang yang tidak mempercayai hadis?

Rahmat, KL

Jawapan: 
Seseorang yang tidak mengikut sunnah Rasulullah SAW dan mengingkarinya maka mereka tidak ke dalam umat Rasulullah SAW. Mereka akan dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang sesat dan ingkar. Sunnah bermaksud sesuatu yang diperolehi dari Rasulullah SAW baik berbentuk perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat kelakuan mahupun perjalanan hidup samada sebelum baginda dilantik sebagai Rasul ataupun selepasnya.

Disisi Ulama Usul, sunnah bermaksud sesuatu yang dinakalkan dari Rasulullah SAW baik berupa perkataan, perbuatan mahupun pengakuan. Umpamanya Rasulullah SAW bersabda: "Bandingan seorang mukmin itu dengan seorang mukmin yang lain ibaratkan satu binaan yang kukuh, yang saling kuat menguatkan antara satu sama lain".

Dari sudut perbuatan pula ialah amalan Rasulullah SAW ketika menunaikan fardhu Haji, solat, mengambil wuduk, berpuasa dan amalan-amalan lain yang menjadi ikuatan kepada umat Islam. Sunnah dalam bentuk pengakuan pula ialah diamnya baginda SAW terhadap sesuatu perbuatan yang berlaku dihadapan baginda, seperti peristiwa para sahabat memakan daging Dab di hadapan baginda, walaupun baginda tidak turut memakannya, namun baginda tidak pula melarang para sahabatnya daripada berbuat demikian.

Jadi segala hadis yang telah disampaikan Rasululah itu adalah sunnah yang merupakan segala pedoman yang telah diajarkan dan ditunjuk oleh Allah. Jadi mengingkari sunnah atau hadis sama dengan mengingkari kebenaran yang dibawa Rasulullah dan ajaran Islam itu sendiri.

Kembali ke atas ↑



45. Amalan Sihir Pekerjaan Musyrik
Soalan: 
Di sini saya ingin mengutarakan satu kemusykilan mengenai masalah sihir dikalangan masyarakat melayu kini. Antaranya: 
1. Apakah hukumnya jika seseorang itu menganiaya orang lain dengan menggunakan ilmu sihir ini seperti tuju-tuju, santau dan sebagainya? 
2. Apakah terdapat kisah-kisah atau dalil-dalil yang mengatakan bahawa sihir ini wujud dan adakah terdapat kisah bahawa Nabi Muhammad S.A.W menghadapi masalah ini di zaman baginda? 
3. Apakah hukumnya jika mangsa sihir memulangkan ( sihir ) apa yang telah dianiaya terhadapnya kepada tukang sihir tersebut? 
4. Bagaimanakah cara untuk kita melindungi diri dari perbuatan sihir ini? Adakah doa-doa dan wirit-wirit yang boleh diamalkan selain berlindung dari Allah S.W.T.? 
5. Apakah tanda-tanda orang mengamalkan ilmu sihir? Adakah kita dapat mengenalinya?

Saya berharap pihak tuan dapat memberikan gambaran yang sewajarnya agar masalah yang saya hadapi ini mendapat jalan penyelesaiannya. Keperihatinan pihak tuan adalah amat saya hargai. Sekian terima kasih.

Fazli, Subang

Jawapan: 
Mengamalkan ilmu sihir hukumnya haram kerana menggunakan unsur jahat seperti iblis syaitan untuk menghancur kehidupan orang lain. Semenjak manusia wujud di dunia ini perbuatan sihir ini telah diajarkan oleh iblis dan syaitan kepada manusia yang mudah digodanya. Lebih ketara lagi ketika Firaun cuba menentang Nabi Musa as. Disaat itu Firaun mengumpulkan para ahli sihirnya untuk menentang mukjizat Nabi Musa as. namun sihir-sihir yang dikeluarkan oleh tukang sihir Firaun tersebut dapat ditewaskan oleh mukjizat Nabi Musa as. Kebanyakan ahli sihir firaun tersebut beriman kepada Nabi Musa. Rasulullah SAW juga pernah dicuba oleh orang Yahudi untuk menyihir baginda, namun usaha tersebut tidak berhasil, kerana diri Rasulullah SAW dijaga oleh Allah SWT.

Banyak dalil-dalil al Quran yang menceritakan tentang wujudnya sihir ini seperti yang tercantum dalam surah Al Baqarah ayat 102, Yunus ayat 77, Thaha ayat 67 hingga 69, surah Al A'raf ayat 117 hingga 112.serta banyak lagi yang lain. Di dalam hadis juga ada diterangkan tentang perbuatan sihir ini. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Barangsiapa yang belajar sebahagian ilmu nujum, maka ia belajar sebahagian dari sihir, semakin bertambah ilmu tersebut maka akan semakin bertambah pula ilmu sihirnya". (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)     Ibnu Qayyim berkata bahawa menyingkirkan sihir dari orang yang terkena sihir itu ada dua macam. Pertama, menyingkirkan sihir dengan perbuatan sihir, cara ini termasuk perbuatan syaitan. Kedua, menyingkirkan sihir dengan membaca ayat-ayat al Quran, doa-doa atau zikir-zikir yang seperti ini dibolehkan. Dengan demikian pengubatan sihir yang dibolehkan adalah pengubatan dengan menggunakan ayat-ayat Al Quran, doa-doa, zikir dan sebagainya yang disyariatkan oleh agama.

Sedangkan pengubatan sihir yang diharamkan adalah menghilangkan sihir dengan sihir pula kerana cara ini sudah pasti menjadikan syaitan sebagai sahabat dengan cara mendekatkan diri kepada mereka serta mencari keredhaan mereka.  Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Pengubatan sihir (dengan menggunakan sihir) itu adalah dari perbuatan syaitan". (Ahmad dan Abu Daud)

 Tanda-tanda orang mengamalkan ilmu sihir ini mereka tidak menjalankan perintah agama seperti solat serta amalan yang lainnya, kerana jika mereka mengerjakan perintah agama dengan betul dengan sendirinya syaitan yang menjadi temannya akan lari tidak akan mampu bekerjasama dengannya. Kerjasama antara tukang sihir dengan syaitan ini menyebabkan tukang sihir tersebut akan melakukan pekerjaan-pekerjaan yang bersifat kemusyrikan dan kekafiran baik secara tersembunyi mahupun secara terang-terangan, sebagai balas jasa syaitan akan melayani tukang sihir tersebut.

Banyak ayat-ayat Al Quran dan zikir-zikir yang boleh diamalkan dalam menangkis serangan sihir ini. Bagi umat Islam yang sentiasa menjalankan perintah agama dengan betul, seperti solat lima waktu, puasa, zakat dan sebagainya maka tidak mudah ditembusi oleh angakra jahat sihir ini. Walaupun begitu Rasulullah SAW menunjukkan ayat-ayat tertentu dalam menangkis kejahatan syaitan dan sihir tersebut. Seperti banyak membaca surah Al Ikhlas,Al Falaq dan surah An Nas dan ayat Kursi.

DN 194 Mencegah & Merawat Sihir, Gangguan Jin & Syaitan
Kembali ke atas ↑



46. Antara Takdir dan Doa
Soalan: 
Apakah segala yang berlaku dalam hidup kita ini adalah ketentuan Allah? Mampu atau tidak doa mengatasi ketentuan yang telah ditetapkan itu?

Nadia, Kuantan

Jawapan: 
Takdir-takdir untuk makhluk telah di tulis di Luh mahfuz. Seperti yang diterangkan oleh Ibnu Abbas bahawa setelah Allah menjadikan Qalam maka Allah berfirman kepadanya: Tulislah, kemudian pena itu menuliskan apa yang akan terjadi sampai hari kiamat. Pena itu menulis di Luh Mahfuz iaitu papan tulis yang terpelihara. Takdir yang tertulis di Luh Mahfuz masih menerima perubahan kerana ada takdir tertulis di situ yang sudah dan ada takdir yang belum putus. Takdir ini dinamakan "takdir Mu'allaq". Umpamanya ada seseorang yang ditakdirkan usianya 60 tahun, tetapi jika ia menghubungkan silaturrahim yang sudah putus maka umurnya ditambah oleh Allah SWT.

Ada orang yang sudah dituliskan akan dimasukkan ke dalam neraka, tetapi jika ia banyak berdoa kepada Allah, agar dijauhkan dari neraka ia akan dimasukkan ke dalam syurga. Takdir yang semacam ini ditulis juga dalam Luh Mahfuz. Firman Allah SWT maksudnya: "Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki), dan disisiNya terdapat ummul Kitab (Luh Mahfuz). (Ar Ra'd ayat 39)

Menurut Tafsir Qurtubi, semua takdir Allah yang telah tertulis di Luh Mahfuz itu boleh dihapus oleh Allah jika Ia menghendaki, ataupun Allah tetapkan saja sesuai dengan kehendakNya. Kemudian yang dapat merubah takdir yang tertulis dalam Luh Mahfuz itu adalah doa dan perbuatan baik. Rasulullah SAW bersabda: "Tiada yang boleh menolak takdir selain doa, dan tiada yang boleh memanjangkan umur kecuali perbuatan baik". (Riwayat Tirmizi)

Begitu juga menghubungkan silaturrahim boleh juga mengubah takdir. Umur yang pendek boleh dipanjangkan oleh Allah, rezeki yang sukar akan dimudahkan oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Dari Anas bin Malik beliau berkata, Bersabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa yang suka banyak rezekinya dan lambat datang ajalnya maka hendaklah ia menghubungkan silaturrahim". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

 DN 146 Sifat 20 - Sifat-sifat Allah & Mentauhidkan Diri KepadaNya

Kembali ke atas ↑



47. Dajjal (666)
Soalan: 
Tolong beri penjelasan tentang DAJJAL?

Yatim, Johor

Jawapan: 
Al Masih Dajjal maksudnya menyesatkan. Ketika dunia hampir dengan kiamat yang datang nanti adalah Dajjal yang menyesatkan manusia ataupun mengkafirkannya. Dajjal banyak menipu manusia dan yang paling teruk sekali dia  mendakwa dirinya sebagai Tuhan yang menciptakan alam ini. Setelah beberapa tahun lamanya Dajjal hidup di dunia dan manusia sudah hampir semuanya menjadi kafir, barulah Nabi Isa as. diperintahkan turun ke dunia untuk membunuh Dajjal itu.

Dajjal memang banyak membawa fitnah dan keburukan, sesuai dengan sabda Rasulullah SAW maksudnya: "Tidak ada fitnah (bencana) yang paling buruk semenjak Nabi Adam sampai hari kiamat, selain daripada fitnah yang dibawa al masih Dajjal" (Riwayat Hakim). Mengenai asal Dajjal ini para ulama berbeza pendapat. Menurut satu pendapat, Dajjal dari golongan jin iaitu termasuk cucu iblis. Menurut pendapat yang lain pula Dajjal adalah dari jenis manusia iaitu cucu Adam as.. Pendapat yang lain mengatakan ayahnya manusia sedangkan ibunya adalah jin. Sebenarnya Dajjal adalah syaitan, samada ia dari jenis manusia, dari jin ataupun campuran dari keduanya. Dajjal akan turun di akhir zaman, tidak pasti apakah Dajjal itu sudah lama wujud atau hanya akan lahir di akhir zaman yang dijanjikan tersebut.

Tipu Daya Dajjal

Untuk mengetahui ciri-ciri Dajjal secara lebih terperinci maka Rasulullah SAW telah menerangkannya dalam khutbah baginda sebagai berikut: "Sesungguhnya tidak ada fitnah atau kerosakan di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah Nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi angkatan kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kewafatanku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin. " "Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Iraq dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Disini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya. " "Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah tidak ada lagi nabi sesudahku. Setelah itu nanti ia mengaku sebagai tuhan. Ingatlah Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca mahupun buta huruf. " "Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang diseksanya dengan nerakanya hendaklah ia meminta pertolngan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk. " "Diantara tipu dayanya juga dia berkata kepada orang Arab: 'Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagau tuhanmu ?'. Orang Arab itu akan berkata: "Tentu". Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya, sifat-sifatnya dan suaranya sama. Kemudian ibu bapanya berkata kepadanya: 'Wahai anakku, ikutilah dia sesungguhnya dialah tuhanmu'. " "Tipu daya Dajjal yang lain iaitu ia bunuh seseorang kemudian dibelah dua. Setelah dia katakan kepada orang ramai: 'Lihatlah apa yang akan aku lakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan ku hidupkan dia semula.' Dengan izin Allah, orang mati tadi hidup semula. Kemudian Dajjal itu bertanya: 'Siapa tuhanmu?'. Orang yang dibunuh itu kebetulan orang beriman menjawab: 'Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah'. Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga. " Sabda Rasulullah SAW lagi: "Diantara tipu daya Dajjal juga, apabila disuruh langit menurunkan hujan, tiba-tiba hujanpun turun. Dia suruh bumi mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya, tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling hebat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai tuhan, maka disebabkan demikian tanaman-tanaman mereka semuanya musnah. " "Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak di datangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kita Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah. "Dalam hadis yang lain disebutkan: "Dari Anas bin Malik katanya Rasulullah SAW bersabda: 'Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta yang dipercayai dan orang jujur yang tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai '. Wallahu A'lam.

DN 189 Menunggu Kedatangan Imam Mahdi, Dajjal, Nabi Isa a.s.

Kembali ke atas ↑


48. Putus Asa Dari Rahmat Allah
Soalan: 
Ustaz, saya sering terkeliru dengan persoalan takdir. Adakah apa yang berlaku pada kita telah ditakdirkan segalanya? Dan salahkah andainya saya menyalahkan takdir itu terutama perkara buruk berlaku kerana kata orang, yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk dari diri kita sendiri. Tetapi perkara yang buruk itu berlaku bukankah dengan izin Allah ? Kadangkala saya hampir berputus asa kerana dalam hidup saya apa yang saya impikan tidak tercapai.

Bila membuat perbandingan dengan kawan-kawan, saya merasakan yang mereka jauh bernasib baik. Saya selalu bertanya, kenapa mereka mampu mendapat apa yang mereka inginkan, walaupun mereka tak pernah berhajat sedemikan ? Saya tahu , putus asa adalah sifat yang tidak disukai olehNya. Tetapi sebagai seorang manusia saya tak mampu untuk menghilangkan perasaan itu apabila melihat keadaan mereka yang lebih bernasib baik.

Nur Farhana, Muazam Shah

Jawapan: 
Walaupun takdir Allah telah ditetapkan terhadap seseorang, namun tidak seorang makhlukpun dapat mengetahui tentang takdir yang akan diterimanya. Apakah dia menjadi orang kaya ataupun miskin, mahupun berumur panjang ataupun pendek, sejahtera ataupun celaka. Oleh sebab itu masih diberikan harapan dan kesempatan untuk beramal, kerana begitulah hikmah yang diberikan Allah tentang takdir ini.

Setiap kali menyebut tentang takdir pasti akan timbul pertanyaan tentang apa gunanya usaha jika takdir telah menentukannya begitu. Sebenarnya kita diperintahkan oleh Allah dan Rasul supaya percaya kepada takdir bahkan termsuk dalam satu rukun iman. Kita harus percaya dan menerima semua ini kerana usaha atau beramal itu adalah perintah Allah dan Rasul kepada kita, ini adalah soal ibadah bukan soal iktikad.

Kita tidak mengetahui apa yang ditakdirkan untuk kita dan Allah pun tidak pernah memberitahukan kepada kita. Kerana kita tidak tahu maka kita serahkan segalanya kepada Allah. Kemudian kita berusaha menuju ke arah kebaikan, agar kita ditakdirkan sesuai dengan fitrah kita. Beramal dan berusaha itu bukanlah melawan takdir tetapi termasuk juga dalam takdir.

Jangan jadikan kesenangan dunia sebagai ukuran dan kemudian dengan cepat membuat kesimpulan bahawa takdir kita tidak baik dan sebagainya. Allah SWT menyuruh hambanya berusaha dan bekerja dan akan memberikan sesuatu itu sesuai dengan ketentuan-Nya. Maka sebagai seorang hamba kita harus menerima segala yang telah dianugerahkan Allah tersebut, mungkin itulah yang terbaik untuk kita yang kita sendiri tidak mengetahui hikmah disebalik kesederhanaan ataupun kekurangan yang diberikan kepada diri kita itu.

Semua takdir Allah yang telah tertulis di Luh Mahfuz itu boleh dihapuskan oleh Allah jika Ia menghendaki ataupun Allah tetapkan saja sesuai dengan kehendakNya. Kemudian yang dapat merubah takdir yang tertulis dalam Luh Mahfuz itu adalah doa dan perbuatan baik. Rasulullah SAW bersabda: "Tiada yang boleh menolak takdir selain doa dan tiada yang boleh memanjangkan umur kecuali perbuatan baik". (Riwayat Tirmizi)

Jadi banyaklah berusaha dan berdoa agar Allah SWT memberikan kurnia nikmatNya yang penuh berkah bukan nikmat yang akan menyesatkan dan melupakan kita terhadapNya. Jangan berputus asa atas rahmat Allah, kerana orang yang berputus asa atas rahmat-Nya akan memperoleh kemurkaan Allah dan memperoleh azab yang pedih. Yang penting dalam kehidupan ini adalah keberkatan hidup bukan kemewahan duniawi yang hanya bersifat sementara, kemungkinan akan melalaikan dan melupakan kita.

DN 263 Rahmat Disebalik Dugaan

Kembali ke atas ↑


49. Tanda-Tanda Kiamat
Soalan: 
Saya ingin bertanya pasal tanda-tanda kecil Hari Kiamat. Benarkah semua tanda-tanda kecil Hari Kiamat sudah berlaku? Bilakah tanda-tanda besar akan berlaku? Jikalau boleh, berikan contoh-contoh Hari Kiamat?

Muhammad Imran, Shah Alam

Jawapan: 
Menjadi keyakinan kita bahawa kiamat pasti akan beralaku, namun kita tidak diberitahu bilakah kiamat itu akan berlaku. Cuma di dalam al Quran dan hadis ada disebutkan tanda-tanda sebelum kiamat itu terjadi. Semoga dengan panduan terhadap tanda-tanda tersebut memberikan suatu peringatan buat kita yang sentiasa lupa dan bersedia menanti hari yang paling menakutkan itu. Bagi orang yang beriman menganggap itu adalah tanda-tanda kekuasaaan Allah yang perlu dihadapi dengan amal takwa dan hati yang tenang.

Disebutkan dalam sebuah hadis bahawa suatu hari Rasulullah SAW dihadapan orang ramai dikunjungi oleh malaikat Jibril as. dan bertanya: "Wahai Rasulullah SAW bilakah datangnya hari kiamat ?. Rasulullah SAW menjawab: "Tidaklah yang ditanya itu lebih mengerti daripada yang bertanya., tetapi saya hendak memberitahukan kepadamu tentang tanda-tandanya, iaitu apabila hamba sahaya wanita melahirkan tuannya, itulah diantara tanda-tandanya. Dan juga apabila orang-orang yang tidak beralas kaki, telanjang dan pengembala kambing telah menjadi pemimpin-pemimpin manusia. Begitu juga apabila pengembala kambing sudah bermegah-megahan dalam bangunan-bangunan pencakar langit, maka itulah tanda-tandanya" (Riwayat Ibn Abi Syaibah). Dalam hadis yang lain dari Anas as. bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Bahawasanya setengah dari tanda-tanda hari kiamat ialah: ilmu diangkat, nampaknya kebodohan, perzinaan tersebar luas, khamar diminum dengan berleluasa, kaum wanita lebih banyak jumlahnya sehingga perbandingan 50 wanita dengan seorang lelaki" (Bukhari dan Muslim). Banyak lagi tanda-tanda kecil kiamat tersebut, seperti yang dijelaskan dalam hadis-hadis Rasulullah SAW. Dalam hadis yang lain juga diterangkan tentang tanda-tanda besar menjelang kiamat seperti, matahari terbit dan muncul dari arah barat, munculnya binatang ajaib yang dapat berbicara, keluarnya imam mahdi, keluarnya al masih Dajjal, keluarnya bangsa Ya'juj Ma'juj, turunnya Nabi Isa as. keluarnya asap atau awan, rosaknya Kaabah, lenyapnya al quran dari mushaf dan hati serta kebanyakan manusia menjadi kafir.

Mengenai tanda-tanda datangnya hari kiamat itu telah diingatkan oleh Allah dalam Al Quran iaitu: "Maka tidaklah yang mereka tunggu-tunggu melainkan hari kiamat (iaitu) kedatangannya kepada mereka dengan tiba-tiba, kerana sesungguhnya telah datang tanda-tandanya. Maka apakah faedahnya bagi mereka kesedaran mereka itu apabila hari kiamat sudah datang" (Muhammad ayat 18).

DN 102 Peringatan di Akhir Zaman
DN 024 Persediaan di Hari Kematian & Pengadilan di Hari Kebangkitan

Kembali ke atas ↑


50. Menyesali Kehidupan Tidak Sebaik Insan Lain
Soalan: 
Adakah berdosa bagi kita yang sentiasa menyesali kehidupan yang tidak sebaik insan lain. Perasaan itu timbul kerana melihat insan-insan sekeliling yang lebih baik nasibnya. Namun, bukanlah menyalahkan takdir, sebaliknya kita menyalahkan diri kita sendiri lantaran kelemahan yang kita ada?

Zulaikha, Kuantan

Jawapan: 
Menyesali kehidupan yang telah dianugerahkan Allah SWT kepada kita bererti melawan dan menentang takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Padahal nikmat kesenangan dan kesusahan merupakan sunnah atau ketentuan Allah yang mesti dihadapi oleh setiap insan. Sebagai seorang insan dituntut agar sentiasa bersyukur dengan ketentuan kehidupan tersebut. Kita disuruh bekerja dan berikhtiar, setelah itu banyaklah berdoa sedangkan hasilnya kita serahkan kepada Allah SWT.

Hindarilah sifat putus asa kerana sifat tersebut menjauhkan rahmat Allah untuk kita sebaliknya bersabarlah dengan ketentuan hidup yang telah digarikan untuk kita. Jika kesenangan atau kekayaan yang berbentuk harta menjadi ukuran untuk menyesali kehidupan ini, maka jelaslah sifat tersebut merupakan sifat yang tercela dan sangat rendah martabat kita disisi Allah. Bagi Allah, insan yang mulia disisinya adalah insan yang bertaqwa. Bertaubatlah dan banyaklah berserah diri kepadaNya serta bersyukurlah dengan nikmat yang cukup banyak yang telah dianugerahkan kepada kita, seperti nikmat kehidupan, kesihatan serta nikmat-nikmat yang lain yang sukar kita sebutkan satu persatu.

 DN 263 Rahmat Disebalik Dugaan

Kembali ke atas ↑





51. Nilai Manusia di sisi Allah SWT
Soalan: 
Bagaimanakah kita mengetahui ukuran kita di sisi ALLAH S.W.T?

Nazri, Sunway

Jawapan: 
Tidak ada perbezaan antara seseorang dengan orang lain, antara lelaki dan wanita, antara yang muda dan tua disisi Allah melainkan ketaqwaannya. Jadi yang menjadi kadar ukuran seorang insan di sisi Allah bukan terletak pada kekayaannya, ketinggian pangkat dan darjatnya serta kecantikannya tetapi ukuran yang paling utama adalah taqwa kepada Allah SWT.

Berdasarkan firman Allah dalam surah Al Hujarat ayat 13 maksudnya: "Hai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal".

Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak melihat tubuh kamu, keturunan atau harta kekayaanmu. Akan tetapi Allah melihat kepada hati. Siapa yang memiliki hati yang soleh, Allah akan mengasihaninya. Sesungguhnya kamu anak Adam, dan orang yang paling Allah cintai ialah yang paling besar taqwanya". Wallahu A'lam.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML