Cari dan Hayatilah Lailatul Qadar Di 10 Malam Terakhir Ramadan.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Kita telah berada dipenghujung fasa ke 2 Ramadan iaitu Maghfirah (keampunan daripada Allah SWT). Kita akan masuk fasa ke 3 iaitu Pembebasan Daripada Api Neraka.
Dalam fasa ke 3 ini iaitu bermula 21 Ramadan hingga 30 Ramadan selain daripada fasa pembebasan daripada api neraka dalam fasa ini juga merupakan 10 malam terakhir Ramadan iaitu terdapat satu malam kemuliaan (Lailatul Qadar) di dalamnya. Sesiapa yang bertemu malam tersebut dengan ibadah yang khusyuk, istiqamah dan bermunajat bersungguh-sungguh kepada Allah SWT maka ibadahnya lebih baik daripada 1000 bulan.
Beribadah selama 1000 bulan (83 tahun 4 bulan) adalah jangka masa yang terlalu lama untuk umat Nabi Muhammad SAW berbanding umat-umat sebelum baginda SAW. Umat terdahulu umur mereka hingga mencecah ratusan tahun dan ada yang hampir 1000 tahun, maka sudah tentu ibadah mereka melebihi 1000 bulan. Secara umumnya kebanyakkan umur umat Nabi Muhammad SAW dapat hidup sekitar 60 an hingga 70 an. Jarang kita temui seseorang itu dapat hidup di antara 80 an hingga 90 an .
Sifat Allah SWT Maha Pengasih dan Maha Penyayang telah mengurniakan satu malam di bulan Ramadan yang dipanggil 'Lailatul Qadar'. Malam yang penuh berkat dan mulia ini adalah malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Maksudnya pada malam tersebut seolah-olah kita sedang beribadah sepenuh masa dengan khusyuk, tawaduk, ikhlas dan di terima pula ibadah tersebut lebih baik masa selama 1000 bulan. Bayangkan jika seseorang hamba Allah itu selepas mendapat sahaja 'Lailatul Qadar' dia dipanggil pulang oleh Allah SWT maka jaminannya adalah syurga insya Allah.
Sahabat yang dimuliakan,
Apakah dia 'Lailatul Qadar itu?
Lailatul Qadar adalah malam yang penuh berkat. Al-Quran diturunkan sekali gus pada malam kemuliaan dari Loh Mahfuz ke Baitul Izzah.
Lailatul Qadar juga adalah satu malam berlaku di bulan Ramadan (terutama 10 malam terakhir), malam itu adalah lebih baik daripada seribu bulan yang membawa maksud bahawa setiap amalan yang termakbul pada malam itu samalah dengan amalan yang setara dengannya sebanyak amalan seribu bulan.(83 tahun 4 bulan)
Ketika berlakunya Lailatul Qadar para Malaikat dan roh diturunkan ke dunia pada malam tersebut. Sejahtera malam itu hingga terbit fajar (masuknya waktu Subuh).
Lailatul Qadar adalah satu malam untuk Allah berikan kelebihan berlipat ganda kepada orang yang meyakini janji Allah. Mereka bersungguh merebut peluang di penghujung Ramadan yang tidak diperoleh pada bulan lain
Nabi SAW bersabda: “Apabila malam akhir Ramadhan maka menangislah langit dan bumi serta malaikat kerana musibah yang menimpa umatku.”
Sahabat bertanya: Apakah musibah itu?
Rasulullah menjawab: “(Musibah) kerana perginya Ramadan kerana dalam bulan ini doa dimakbulkan semua sedekah di terima dan semua kebaikan dilipat gandakan pahalanya serta seksaan ditolak.” (Hadis diriwayatkan oleh Jabir)
Apakah amalan-amalan yang perlu dilakukan pada malam kemuliaan ini (Lailatul Qadar)?
Sebaik-baik amalan adalah :
1. Berikhtikaf di masjid .
Daripada Abi Hurairah r.a telah berkata : “Bahawa Nabi SAW beriktikaf pada setiap kali Ramadan pada 10 hari, tetapi beriktikaf 20 hari pada tahun kewafatan Baginda SAW.” ( Hadis Riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Ibn. Majah)
2. Berdoa dan bermunajat.
Rasulullah SAW amat menyukai dan menyuruh umatnya berdoa pada Lailatul Qadar dengan meminta keampunan kepada Allah. Lailatul Qadar adalah satu saat yang makbul dan sesiapa yang berdoa dan bertepatan doanya dengan Lailatul Qadar, maka pastilah doanya dikabulkan Allah. Oleh kerana itu perbanyakkanlah doa pada malam itu, khususnya pada:
Masa berlalunya separuh malam. Ketika berada pada bahagian malam yang akhirnya.
Dalam sebuah hadis riwayat Tirmizi, Ahmad dan Ibn Majah bahawa Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, sekiranya aku berada pada Lailatul Qadar (bertepatan dengan malam Qadar), maka apa yang aku perlu buat?
Baginda menjawab: “Bacalah:
اَللَّهُمَّ اِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّىْ وَاغْفِرْلِى.
“Allahumma innaka ‘afuwun karim tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni wagh’firli”
Ya Allah! Sesungguhnya Dikaulah Maha Pengampun, Maha Pemurah lagi suka mengampun. Maka ampunilah dan lindungilah diriku.
Doa lain yang baginda baca ialah seperti berikut yang bermaksud: "Wahai Tuhan kami,
anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan kebajikan di akhirat, dan
peliharalah kami dan siksa neraka." (Surah Al-Baqarah ayat 201).
3. Solat terawih dan solat tahajud.
Daripada Aishah r.a telah berkata : “Bahawa Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh akhir Ramadhan , baginda menghidupkan malam (qiam dan membantu ahli keluarga untuk merebut kebaikan), mengejutkan ahli keluarganya dan mengikat pakaiannya (bersungguh-sungguh dalam beribadat dan melakukan kebaikan).” ( Muttafaqun alaih)
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa bangun pada malam lailatulqadar kerana dorongan iman dan mengharapkan pahala, maka diampunkan dosa-dosanya terdahulu.” (Muttafaqun ‘alaih)
4. Membaca al-Quran dan memahami maksudnya :
Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa beribadat sesaat pada malam Qadar, kira-kira selama seorang penggembala memerah susu kambingnya, maka adalah lebih disukai Allah daripada berpuasa setahun penuh. Demi Allah yang telah mengutus daku dengan hak menjadi nabi, sesungguhnya membaca satu ayat dari al-Quran pada malam Qadar adalah lebih disukai Allah daripada mengkhatamkannya pada malam-malam yang lain.“
5. Berzikir dengan bertahlil, bertahmid dan bertakbir.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredaan Ilahi (ketakwaan), maka akan dihapuskan semua dosanya yang telah lalu.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)
6. Berselawat kepada Rasulullah SAW.
Allah SWT berfirman maksudnya : “Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya”.
(Surah al-Ahzab ayat 56)
Berselawat ke atas Rasulullah SAW bermakna kita berdoa memohon supaya Allah melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita, Nabi Muhammad SAW.
Nabi SAW bersabda maksudnya : " Siapa berselawat kepada Nabi SAW sekali. nescaya dia akan di selawatkan Allah dan para Malaikat-Nya sebanyak 70 kali." (Hadis Riwayat Ahmad)
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan amal ibadah kita di sepuluh malam yang terakhir ini kerana ibadah di waktu ini ada dua kebaikan menanti iaitu Pembebasan daripada api neraka dan mendapat Lailatul Qadar.
Berusahalah banyakkan berikhtikaf di masjid kerana suasana di masjid lebih tenang, damai dan tenteram. Perbagaikan beribadah seperti solat tahajud, solat taubat, solat hajat, berzikir, membaca al-Quran, berdoa dan berselawat kepada Nabi SAW. Yakinlah kalian semua akan bertemu Lailatul Qadar pada tahun ini dan doa-doa kalian semua akan diterima oleh Allah SWT.
Kita masih memiliki 3 malam ganjil lagi yang ditekankan oleh Rasulullah SAW sebagai masa terpenting untuk bertemu Lailatul Qadar iaitu malan 25, 27 dan 29.
Berdasarkan hadis riwayat Bukhari di bawah secara khusus Nabi SAW menjelaskan bahawa Lailatul Qadar kemungkinan besar berada di dalam malam ke 25, 27 dan 29. berbandiang malam ke 21 dan 23.
‘Ubadah bin as-Shamit berkata: “Bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam keluar akan memberitahukan tentang Lailatul Qadr, lalu ada dua lelaki di antara kaum muslimin bertengkar maka baginda bersabda: “Sesungguhnya aku keluar untuk memberitahukan kalian tentang Lailatul Qadr. Tetapi sesungguhnya si Fulan dan si Fulan bertengkar sehingga diangkatlah (ilmu tentang waktu Lailatul Qadr). Namun mudah-mudahan hal itu lebih baik bagi kalian. Carilah Lailatul Qadr pada malam tujuh, sembilan dan lima (yang terakhir).” (Hadis riwayat Bukhari).
Dalam riwayat yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Aku keluar untuk mengkhabarkan kepada kamu berkenaan Lailatul Qadar, tetapi ada dua orang sedang berselisih sehingga pengetahuan berkenaannya tidak diberikan. Mudah-mudahan ini lebih baik bagi kamu, carilah di malam 29, 27, 25 (dan dalam riwayat lain, pada malam ke tujuh, sembilan dan lima).” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/232)
Oleh itu saya berpesan pada diri saya sendiri dan kepada kalian semua anggaplah malam ini (25 Ramadan) seolah-olah malam Lailatul Qadar dan buatlah persiapan serapi mungkin kerana jika jatuh Lailatul Qadar pada malam ini sungguh besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Segala amal ibadah, solat fardu dan solat terawih, solat tahajjud, berdoa dan munajat, zikir, bacaan al-Quran, sedekah dan amal-amal soleh yang lain fadilatnya lebih baik daripada 1000 bulan. Maksud lebih baik daripada 1000 bulan adalah amalan kita kebaikannya melebihi 1000 bulan.
Imam Nawawi rahimahullah, berkata: "Malam Lailatul Qadar dapat disaksikan oleh orang yang dikehendaki Allah pada tiap-tiap tahun dalam bulan Ramadan, sebagaimana yang telah diterangkan dengan jelas dalam hadis-hadis Rasulullah SAW. dan diberitakan juga oleh orang-orang yang soleh ...." (Al-Majmu' 6:403)
Kemudian Imam Nawawi menyebutkan penjelasan Imam Al-Mawardi rahimahullah, dalam kitabnya "Al-Hawi": Bahawa orang yang dapat menyaksikan malam Lailatulqadar, elok ia menyembunyikan perkara-perkara yang telah disaksikan (supaya ia terselamat dari perasaannya) dan hendaklah ia berdoa (pada saat yang berkat itu) dengan ikhlas dan sepenuh-penuhnya yakin, dengan permohonan yang disukainya mengenainya agama dan dunianya dan biarlah kebanyakan doanya itu untuk (kebaikan dan keselamatan) agama dan hari akhirat."
Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir bulan Ramadan sehingga Imam Malik dan Imam Syafie berkata : “Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu.” Ertinya orang yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian daripada Lailatul Qadar, apalagi mereka mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.
Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar itu adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah sebagaimana doa yang diajarkan Rasulullah SAW kepada Aishah. Doanya berbunyi :
“Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa’ fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini).”
Pada malam al-Qadar Allah akan mengabulkan semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia. Ibnu Abbas berkata: "Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa 1. orang meminum arak, 2. anak yang derhaka kepada ibu bapa, 3. orang yang selalu bertengkar dan 4. mereka yang memutuskan silaturahim.”
Sahabat yang dimuliakan,
Pernah berlaku Lailatul Qadar di zaman Nabi SAW pada siang harinya matahari diliputi kabus hingga cahayanya tidak menyilaukan.
Ubay bin Ka’b berkata: “Demi Allah, sesungguhnya aku mengetahui bila Lailatul Qadar itu, iaitu malam yang kami diperintahkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam untuk solat padanya. Iaitu malam yang esok paginya (adalah hari ke) dua puluh tujuh. Adapun tandanya adalah matahari akan terbit pada pagi harinya dalam keadaan putih tidak menyilaukan.” (Hadis Riwayat Muslim no. 762, Tirmidzi, Abu Dawud, al-Humaidi dan lainnya).
Jika amalan kita bertepatan dengan malam al-Qadar, maka amalan tersebut adalah bersamaan 1000 bulan iaitu amal soleh yang kita kerjakan bermula daripada masuk sahaja waktu magrib hinggalah masuk waktu subuh .
Tanda awal malam tersebut adalah Lailatul Qadar hati kita akan tenang, gembira dan apa saja amalan yang kita kerjakan akan melahirkan kekusyukan dan keseronokan. Hati mukmin yang bersih dan sejahtera akan dapat merasai kehadiran malaikat rahmat dan malaikat Jibril kerana malaikat membawa aura atau gelombang/ cahaya putih yang mulia yang akan mengucap salam sejahtera kepada mukmin yang sedang beribadah kepada Allah SWT.
Beruntunglah jika saat kehadiran Lailatul Qadar kita sedang berdoa dan bermunajat kepada Tuhan Rabbul Jalil kerana mustajab doa ketika itu. Mintalah kepada Allah SWT kebahagiaan dunai dan akhirat dan di bebaskan daripada seksaan api neraka. Dan mohon diampunkan Allah SWT segala dosa-dosa kita yang telah lalu, di kekalkan dalam iman dan Islam, dijauhi daripada musibah dan bencana. Di kurniakan anak-anak yang soleh dan solehah dan isteri yang solehah dan di kurniakan Syurga Firdaus yang tinggi di akhirat nanti.
No comments:
Post a Comment