Kisah-kisah Ulama Silam
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Terdapat tiga kisah-kisah ulama silam yang boleh kita jadikan sebagai pengajaran .
Pertama :Kisah bagaimana syaitan menipu Sheikh Abd Qadir al-Jalani.
Pada satu ketika, saya ternampak suatu cahaya terang benderang yang memenuhi seluruh langit. Kemudian suatu bentuk manusia kelihatan di dalamnya dan ia berkata :
"Wahai Abd Qadir, akulah Allah, Tuhanmu. Aku telah menghalalkan segala perkara yang haram bagimu."
Saya menjawab, "Berambuslah wahai syaitan."
Sebaik saja saya mengucapkan kata-kata tersebut, cahaya di langit tadi bertukar menjadi gelap dan bentuk manusia itu mendesir menjadi asap.
Kemudian saya terdengar seorang berkata :
"Wahai Abd Qadir, aku telah menyesatkan tujuh puluh ahli Sufi dengan cara ini, tetapi Allah telah menyelamatkan kamu disebabkan ilmu dan takwamu."
Mendengar kata-kata itu, saya pun membalas, "Tidak. Itu cuma rahmat Allah Ta'ala."
Sesudah Syeikh Abd Qadir menceritakankan peristiwa tersebut, salah seorang pendengar bertanya, "Bagaimana kamu tahu itu adalah syaitan?"
"Ketika dia berkata dia telah menghalalkan bagi saya perkara yang haram." jawab Syeikh Abd Qadir.
Beliau selalu memberitahu muridnya bahawa apa-apa amalan yang bercanggah dengan suruhan Allah, maka sudah tentu itu adalah amalan syaitan. Dalam hal yang demikian, hendaklah seseorang kembali kepada ajaran syariat, mengukuhkan iman dan melawan kecenderungan nafsu dengan bersungguh-sungguh. Apa jua yang tidak dibenarkan oleh syariat sudah tentu menyesatkan.
Kisah Kedua :Ketakwaan Ibrahim Adham.
Ibrahim Adham mengambil upah menjaga dusun delima. Tetapi dia tidak pernah memakan walau sebiji pun buah delima di dusun itu.
Apabila ditanya tuan punya dusun itu, dia berkata :
"Tuan mengupah saya untuk menjaga dusun ini supaya subur dan berbuah banyak. Tetapi tuan tidak pernah menyatakan keizinan supaya saya merasai buahnya."
Kisah Ketiga : Keperibadian Sayyidina Ali Zainal Abidin r.a.
Sayyidina Ali Zainal Abidin bin Sayyidina Hussein bin Sayyidina Ali r.a. digelar sebagai As-Sajjad (orang yang kuat mendirikan solat). Beliau adalah seorang ahli ibadah yang taat kepada Allah dan Rasulnya. Dilahirkan di kota Madinah pada tahun 33 H.
Beliau solat sunat seribu rekaat sehari semalam dan tidak pernah meninggalkan qiamullail. Ali Zainal Abidin adalah seorang yang khusyuk dalam solat. Dia sangat takut kepada Allah. Ketika beliau berwuduk wajahnya menjadi pucat dan gementar seluruh tubuh badannya.
Apabila di tanya, "Kenapa wajah tuan menjadi pucat dan seluruh anggota badan tuan mengeletar?"
Beliau menjawab, "Tahukah kamu saya akan berdiri di hadapan siapa?"
Pernah pada suatu ketika, beliau baru melangkah keluar dari masjid, seorang lelaki menemuinya dan mengeluarkan kata-kata yang tidak baik padanya. Namun beliau tidak membalas dengan kata-kata yang serupa. Tetapi dia bertanya : "Apa lagi yang tuan tidak ketahui mengenai diri saya. Adakah tuan memerlukan sesuatu sehingga saya dapat membantu tuan?"
Lelaki tersebut merasa malu. Malah beliau memberinya seribu dirham kepada lelaki tersebut. Lelaki tersebut bertambah malu lalu berkata : "Saya bersaksi bahawa tuan adalah cucu Rasulullah," Demikian tinggi akhlak Sayyidina Ali Zainal Abidin r.a yang membalas tuba dengan susu.
Setiap malam beliau memikul sendiri guni berisi makanan untuk disedekahkan kepada fakir miskin di kota Madinah. Apabila ditanya mengapa beliau berbuat demikian, cicit Nabi yang mulia ini hanya berkata : "Memberi sedekah secara sembunyi-sembunyi dapat memadamkan murka Allah."
Beliau juga tidak pernah menagih hutang, sangat menyayangi binatang. Malah beliau tidak pernah memukul kudanya ketika menungganginya sama ada dalam perang atau ketika mengerjakan haji.
Beliau meninggal dunia di kota Madinah pada 94 Hijrah dan di semayamkan di perkuburan Baqi', dekat makam Sayyidina Hasan. Tiada warisan yang paling mulia selain ilmu yang di tinggalkannya kepada kita.
No comments:
Post a Comment