GAMBAR HIASAN |
Sifat-sifat Mazmumah (Sifat-sifat yang tidak baik)
Sifat Mazmumah ialah sifat-sifat yang tidak baik dan tercela, juga sifat yg patut kita jauhi.
Menurut Imam Ghazali antara sifat-sifat Mazmumah ialah seperti berikut:
1. Gemar Makan dan Minum:
Nabi s.a.w bersabda maksudnya ” Yang terlebih Afdhal(utama) pada Allah s.w.t ialah orang yg banyak berlapar dan banyak tafakur (berfikir sambil meneliti) .Dan yang terlebih benci kepada Allah ialah orang yang banyak makan, banyak tidur dan banyak minum”.
2. Banyak berkata-kata(yg sia-sia):
Telah menjadi lumrah manusia suka berkata-kata, berbual-bual dan bersembang-sembang tetapi biarlah perkataan kita itu tidak sia-sia.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, melainkan bisikan-bisikan daripada yang menyuruh (manusia) bersedekah, atau berbuat makruf, atau mendamaikan manusia”
(Surah AnNisa ayat 114)
3. Marah:
Sifat marah berpunca dari kurang kesabaran dalam menghadapi sebarang keadaan. Orang yang demikian selalunya didorong oleh pengaruh Syaitan yang ingin merosakkan iman dan dirinya.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"
(Hadis Riwayat Baihaqi)
Sabda Nabi s.a.w. lagi yang bermaksud :
"Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
4. Hasad dengki, dan iri hat:
Sifat di atas lahir daripada rasa kurang senang dengan nikmat yang dikecapi orang lain lalu mengharapkan nikmat itu terhapus daripadanya.
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: ” Hasad itu memakan (memusnahkan) kebaikan , sebagaimana api memakan (membakar) kayu.”
5. Kasih kepada harta:
Tiada salah memiliki harta dan kemewahan hidup. Tetapi kemewahan yang membawa kepada sifat bakhil , tamak haloba dan juga membazir dibenci oleh Islam.
6. Takbur:
Banyak sebab yang boleh menyebabkan seseorang itu takbur atau sombong diri seperti nasab keturunan, kuasa pemerintahan, kekayaan, kelebihan ilmu, banyak pengikut dan banyak ibadat.
7. Riyak ;
Riyak pula ditakrifkan sebagai sifat untuk menarik pandangan orang dengan menampakkan pelbagai amalan yang baik dilakukan semata-mata menginginkan pujian, pangkat atau kedudukan.
Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: "Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak."
(Hadis riwayat Imam Ahmad)
Riak ialah memperlihat atau menyempurnakan ibadat dengan tujuan mendapat pujian serta perhatian orang lain seperti solat dan puasa.
Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang lebih aku takutkan daripada Dajal? Kami katakan: Tentu. Baginda bersabda: Syirik yang tersembunyi iaitu apabila seseorang mengerjakan solat lalu dia menyempurnakan solatnya kerana melihat seseorang memandangnya."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
8. Ujub;
Sifat ujub pula ialah berkait rapat dengan takbur dan riyak. Ujub bererti berasa hairan dengan keistimewaan dan kelebihan diri sendiri. Ini juga berkait rapat dengan kelebihan dari segi kecantikan , kepandaian, kekayaan dan lain-lain.
Orang yang terkena penyakit ujub akan memandang remeh dosa-dosa yang dilakukannya dan mengang-gapnya bagai angin lalu. Nabi s.a.w. telah mengabarkan kepada kita dalam sebuah hadis: “Orang yang jahat akan melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di hidungnya, dengan mudah dapat diusirnya hanya dengan mengibaskan tangan. Adapun seorang mukmin melihat dosa-dosanya bagaikan duduk di bawah kaki gunung yang siap menimpanya.”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari)
9. Kasih akan Dunia:
Hati yang sentiasa berpaut kepada kehidupandan kesenangan dunia akan menyebabkan seseorang itu takutkan mati. Hakikat sebenar kehidupan dunia ini telah digambarkan oleh Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :" Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia adalah permainan, senda gurau, perhiasan, bermegah-megah antara kamu dan berlumba-lumba dalam mengumpul harta kekayaan dan anak pinak."
Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka".
Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?"
Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan".
Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?"
Nabi Muhammad s.a.w. menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Kesimpulannya dari catatan ini semoga kita semua dapat menghindarkan diri kita dari mempunyai sifat-sifat mazmumah ini.
No comments:
Post a Comment