Friday, March 14, 2014

PEMIMPIN DALAM ISLAM

Orang Mukmin Akan Berhati-hati Memilih Pemimpin Kerana Semuanya Akan di Pertanggungjawabkan di Hari Akhirat

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap amalan hidup kita daripada sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya semuanya akan di hisab di hari akhirat nanti. Tidak sedikit pun akan dibiarkan oleh Allah SWT, jika baik, mulia, dan mendatangkan manfaat akan diberi balasan pahala yang setimpal malahan mungkin akan dilipat gandakan oleh Allah SWT akhirnya menuju ke syurga. Begitu juga jika buruk, bermaksiat dan mendatangkan mudarat maka ianya akan dihisab dan dibalasi dengan dosa dan akhirnya akan mendapat balasan neraka.

Firman Allah SWT maksudnya : "Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).'' (Surah al-Zalzalah ayat 7).

Manusia adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah SWT. yang mempunyai akal fikiran. Mereka mampu menentukan dan membezakan sesuatu perkara sama ada baik atau buruk dan sama ada ia menjadi suruhan atau larangan-Nya. 

Oleh sebab itu, manusia bukanlah dicipta dengan sia-sia ataupun tanpa matlamat dan tujuan. Bahkan mereka dijadikan untuk beribadah kepada Penciptanya yang merupakan tujuan utama kehidupan ini.

Manusia perlu bijak menyesuaikan aktiviti dan amalannya dengan tujuan hidup yang jelas bersesuaian dengan fitrah dan kehendak Tuhan. Ini kerana segala perbuatan mereka itu akan dinilai dan dibalas sama ada dosa atau pahala, walaupun kebaikan dan kejahatan yang mereka lakukan hanyalah sebesar zarrah atau sebesar biji sawi sekalipun.

Sedangkan sekecil-kecil perbuatan pun mendapat balasan, apatah lagi jika ia melakukan sebesar-besar perbuatan. Sudah tentu syurga atau neraka adalah tempat yang sesuai bagi mereka. Walau bagaimanapun, kebanyakan mereka alpa dan hanya mengejar kehidupan duniawi sahaja sedangkan balasan akhirat adalah lebih indah dan kekal abadi. 

Ini dijelaskan oleh Allah SWT. dalam surah an-Nisa ayat 134 yang bermaksud: "Sesiapa yang mahukan pahala (balasan) dunia sahaja (maka rugilah ia), kerana di sisi Allah disediakan pahala (balasan) dunia dan akhirat. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar lagi sentiasa Melihat.''

Dosa dan pahala ialah balasan mereka yang melakukan sesuatu untuk memenuhi matlamat ibadah atau sebaliknya dalam bentuk zahir dan batin, gerak anggota atau gerak hati. 

Persoalan balasan baik dan buruk ini ditimbulkan semata-mata mahu mendidik umat Islam supaya melakukan sesuatu yang tidak bercanggah dengan kehendak agama, seterusnya dapat menjamin kebahagiaan hidup masyarakat seluruhnya dengan undang-undang dan peraturan Ilahi.

Sahabat yang dimuliakan,
Salah satu tanggungjawab besar yang perlu kalian mengambil perhatian adalah cara kalian memilih pemimpin. Kalian pasti akan ditanya dan kalian tidak akan dapat melarikan diri di akhirat nanti. Jika betul cara kalian membuat pilihan maka kalian akan terselamat daripada azab yang besar nanti dan jika kalian tersilap atau kalian memilih hanya berdasarkan nafsu dan emosi, kalian tidak melihat syarat-syatar dan ciri-ciri yang Islam gariskan maka kalian akan ditanya, bertanggungjawab dan akan mendapat seksaan yang azab disediakan oleh Allah SWT.

Dalam zaman moden ini tangan kalian cukup memainkan peranan yang penting. Tangan dan jari-jari yang kalian gunakan untuk memangkah dan membuat pilihan akan menjadi saksi dihadapan Allah SWT bahawa siapakan pemimpin yang telah di pilih? Jika tersalah pilih pemimpin tersebut tidak akan dapat menolong kalian dan masing-masing akan dipertanggunjawabkan di atas kesalahan yang telah dilakukan.

Pengertian amanah bererti menempatkan sesuatu pada tempatnya yang wajar, seperti sesuatu kedudukan tidak diberikan kecuali kepada orang yang betul-betul berhak dan yang betul-betul mampu menunaikan tugas dan kewajipannya dengan benar.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah SAW  membaca ayat ini: "Yang bermaksud: 'Pada hari itu bumi menceritakan beritanya'. Kemudian baginda bertanya:" Adakah kamu tahu apakah yang akan diberitahu oleh bumi itu nanti?" 

Para sahabat menjawab:" Allah SWT. dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui."

Baginda SAW. bersabda: "Sesungguhnya berita yang akan disampaikan oleh bumi ialah bumi menjadi saksi terhadap semua perbuatan manusia, sama ada lelaki ataupun perempuan terhadap apa yang mereka lakukan di atasnya." 
Bumi akan berkata: 'Dia telah melakukan itu dan ini pada hari itu dan ini'. Itulah berita yang akan diberitahu oleh bumi."
(Hadis riwayat Imam Tirmizi). 

Bukan setakat bumi yang akan menjadi saksi tetapi tempat mengundi, peti undi, pencil yang digunakan, hari, masa, tahun,  anggota-anggota lain seperti mata, kaki, telinga , hidung dan kakitangan SPR yang bertugas akan menjadi saksi kepada setiap individu yang membuat pilihan.

Sekiranya kita telah mengundi selama 5 penggal maka setiap penggal akan di hisab satu persatu dan penyiasatan dan pengadilan cukup teliti dah halus hinggakan tidak ada satu pun perkara akan tercicir.

Ketika itu dimanakah kalian hendak meminta pertolongan kerena kesilapan orang yang kalian pilih? Pemimpin yang kalian pilih telah melepaskan diri, dia juga tidak terlepas dengan kesalahan dan kesilapan yang dia lakukan.

Firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 161 yang bermaksud : " Tidak mungkin seorang Nabi mengkhianati dalam urusan rampasan perang itu, maka pada hari kiamat dia akan datang membawa apa yang dikhianatinya; kemudian tiap-tiap diri akan diberi pembalasan tentang apa yang ia kerjakan dengan (pembalasan) setimpal, sedangkan mereka itu tidak teranayai ".

Apakan syarat-syarat pemimpin yang telah Islam tetapkan? Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut :

1. Pemimpin mestilah orang beriman dan bertakwa dan terikat kesetiaan kepada Allah.  

2. Mempunyai akhlak Islam tidak terlibat dengan rasuah, jenayah, konsperasi mengaibkan seorang muslim, isterinya menutup aurat dan berpegang teguh dengan ajaran Islam.

3. Bersikap jujur dan amanah dan tidak menzalimi rakyat dengan tidak berlaku adil di dalam pembahagiaan kekayaan hasil bumi dengan melanggar perjanjian yang telah dipersetujui bersama.

4. Mengutamakah rakyat tidak  mengutamakan kroni dan kelompok tertentu di dalam pembahagian projek, jawatan dalam pentadbiran dan sumbangan kebajikan atau subsidi.

5. Pemimpin terikat dengan peraturan Islam, boleh menjadi pemimpin selama ia berpegang pada perintah syariat. Ketika mengendalikan urusannya ia harus patuh kepada adab-adab Islam, khususnya ketika berurusan dengan rakyat dan dengan negara lain.

6. Pembawa Amanah dan mendaulatkan undang-undang Islam, tidak menolak hukum hudud dan tidak memperkecilkan kemapuan syariat Islam dalam mentadbir negara. Pemimpin menerima kekuasaan sebagai amanah dari Allah SWT yang disertai dengan tanggungjawab yang besar. Al-Quran memerintahkan pemimpin melaksanakan tugasnya untuk Allah SWT dan menunjukkan sikap baik kepada rakyatnya sebagaimana Firman Allah SWT maksudnya :

“Iaitu orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka, nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah perbuatan yang mungkar, dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” (Surah Al-Hajj, ayat 41).

Pemimpin seharusnya memperlakukan manusia secara adil dan tidak berat sebelah tanpa mengira suku bangsa, warna kulit, keturunan dan lain-lain. Al-Quran memerintahkan agar kaum muslimin berlaku adil bahkan ketika berurusan dengan para penentang mereka.

Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu berlaku adil.” (Surah An-Nisa’, ayat 58).

Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil lebih dekat kepada takwa.” (Surah Al-Ma’idah, ayat 8.)

“Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah walaupun terhadap dirimu sendiri, ibu-bapa, dan kaum kerabatmu, sama ada ia kaya atau miskin, kerana Allah akan melindungi.” (Surah An-Nisa’, ayat 135).

Selain memenuhi prinsip keadilan yang menjadi asas tertegaknya masyarakat Islam. Pemimpin Islam juga mesti menyelesaikan pelbagai perbezaan pendapat atau pengaduan orang ramai. Hak rakyat untuk bersuara dan menyatakan pandangan atau menegur pemimpin perlulah di ambil perhatian. Pemimpin tidak boleh bersilap kasar dan keras (tidak kena tempat) dengan memaksa rakyat dengan kekerasan (memaksa rakyat dengan keputusannya). Pemimpin Islam tidak boleh hanya melaungkan selogan-selogan kosong untuk mengutamakan rakyat tetapi apabila berlaku perbezaan pendapat dengan rakyat mengambil sikap tidak mahu bertolak ansur.

7. Pemimpin yang dipilih mestilah mengutamakan pendidikan Islam sebagai asas untuk menguatkan akidah dan akhlak Islam, bukannya pemimpin yang menggalakan hiburan melampau batas, tidak kawal rancangan television yang merosakkan akidah umat Islam dengan cerita hantu dan tahyul, membina banyak pusat-pusat hiburan, kelab malam, meluluskan lesen-lesen judi dan arak dan membiarkan dan menggalakkan pergaulan bebas lelaki dan wanita. Pemimpin yang gemar pada hiburan dan melanggar syariat perlu segera ditukar.

Kalian semua boleh menilainya, jangan mudah menerima berita fitnah yang mengaibkan ulama dan membenci pendakwah Islam  yang banyak diwar-warkan akhbar arus perdana dan propaganda menentang hukum-hukum Islam.

Sahabat yang dihormati,
Mungkin ada bertanya bangaimana disatu-satu tempat itu tidak terdapat ciri-ciri pemimpin Islam yang dinyatakan di atas? Sedangkan kita perlu buat pemilihan?
Jika kesemua calon didapati tidak mempunyai ciri-ciri yang layak untuk memegang kerusi tersebut, maka seorang muslim hendaklah memilih calon yang paling kurang mudarat atau bahayanya terhadap rakyat dan umat dibandingkan yang lain. 

Ini berasaskan kaedah syarak “Mudarat yang lebih besar dihilangkan dengan mudarat yang lebih ringan”, atau “Memilih bahaya yang paling ringan”. 

Kaedah ini dipakai apabila kita berhadapan dengan pilihan yang kesemua buruk, maka kita memilih apa yang mudarat atau bahayanya itu paling minima. 

Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya) “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati (bulan haram); katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke al-Masjid Al-Haraam, serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah, dan (ingatlah), angkara fitnah (kerosakan) itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati)…” (Surah al-Baqarah ayat 217). 

Ayat ini jelas memberitahu bahawa dosa-dosa itu walaupun besar, namun nilainya tidak sama. Ertinya, apabila bertembung kita memilih atau menentukan yang paling kurang bahaya atau mudaratnya supaya tindakan kita dapat meminimakan bahaya.

Pemimpin (calun) yang kurang mudarat (kurang bahaya)  itu ciri-cirinya adalah :
1. Pemimpin yang ada perjanjian dengan pemimpin Islam untuk berkongsi kuasa dan matlamat yang sama iaitu membenteras rasuah dan menghapuskan ketidak adilan kepada rakyat.

2. Bersetuju memberi hak yang lebih luas dari segi agihan kekayaan dan membenarkan  rakyat bersuara dan berhimpun secara aman .

3. Bersetuju untuk memulihkan dan memperkasakan sistem keadilan di dalam setiap bidang kementerian dalam kerajaan  yang dibentuk. Terutama untuk menghapuskan tangkapan tanpa perbicaraan.

4. Pemimpin tersebut hendaklah menghormati hak umat Islam yang termaktub di dalam perlembagaan dan undang-undang syariat.

Jika pemimpin tersebut mempunyai ciri-ciri tersebut maka boleh dipilih sebagai sokongan untuk menguatkan pemimpin Islam yang akan mentadbirkan negara.

Nabi SAW semasa hijrah daripada Mekah ke Madinah pernah meminta tolong lelaki Yahudi yang baik peribadinya untuk menunjukkan jalan pintas ke Madinah supaya perjalanan baginda dan Saidina Abu Bakar tidak tergendala dipertengahan jalan daripada gangguan kafir Quraisy Mekah. Dalam keadaan kita kurang kemampuan dan kekuatan ketika ini boleh digunkan kekuatan orang bukan Islam untuk membantu kita untuk mencapai matlamat utama keredaan Allah SWT.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita bermuhasabah dan lihat balik segala amalan kita sebelum ini yang mungkin tanpa kita sedari telah memberi saham kepada pemimpin yang gagal melaksanakan hukum-hukum Allah SWT dan masih kuat mempertahankan undang-undang ciptaan manusia. Mungkin kita banyak dipengaruhi oleh akhbat arus perdana yang banyak menyelewengkan fakta dan banyak menabur fitnah. Kali ini berilah peluang kepada saudara-saudara kita yang berusha dan bekerjakeras untuk menegakkan keadilan Islam dan menghidupkan roh pendidikan Islam yang telah lama di tinggalkan. Yakinlah apa yang kalian lakukan ini untuk mendaulatkan Islam akan mendapat rahmat dan keberkatan di sisi Allah SWT. 

Jika kalian ditanya nanti di akhirat apakah usaha dan peranan kalian untuk menegakkan hukum-hukum Allah?  Kalian bisa menjawab bahawa kalian telah menggunakan tangan kalian untuk membuat pemilihan terbaik. Kalian tidak akan ditanya samaada berjaya atau tidak yang penting tugas dan tanggungjawab kalian telah kalian penuhi. Ini adalah jihad dan pengorbanan kalian yang besar disisi Allah SWT. Buatlah sesuatu perubahan dan berdoalah kepada Allah SWT semoga Allah SWT mengizinkan ISLAM berkuasa memerentah dan mentadbirkan negara mengikut syariat Allah SWT.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML