Saturday, March 8, 2014

KEMUNGKARAN

Orang Mukmin Akan Mencegah Kemugkaran Samaada Dengan Kuasa, Lidah Dan Hati

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Sabda Rasulullah SAW :

َنْ اَبِى سَعِيدِ الْخُدْرِي قَالَ سَمِعْتُ

رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرهُ بِيَدِهِ

فَاِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَاِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ

فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ اَضْعَفُ الاِيمَانِ

Maksudnya : "Daripada Abu Said al Khudri r.a. katanya : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : "Sesiapa dikalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia menegah dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman " (Hadis sahih riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa setiap muslim adalah berkewajipan mencegah kemugkaran. Tanggungjawab mencegah kemungkaran adalah kerana kemungkaran ialah setiap perbuatan yang diharamkan oleh syariat Islam sama ada terhadap Allah, manusia dan alam sekitar. Oleh itu mencegah kemugkaran yang berlaku di dalam masyarakat adalah melalui tiga cara iaitu :

1. Mengubah dengan tangan

2. Mengubah dengan lidah

3. Mengubah dengan hati

Huraiannya :

1. Mengubah dengan tangan

Maksud Mengubah dengan tangan (kuasa) yang ada pada seseorang mengikut kemampuannya dan bidang kuasa masing-masing

Setiap orang hendahlah mencegah kemungkaran yang berlaku dikalangan ahli atau orang dibawah tanggungjawabnya. 

Contohnya :
Bapa cegah kemungkaran keluarganya.
Guru cegah kemungkaran murid-muridnya.
Ketua negara cegah kemungkaran rakyatnya.

...لُلُّلُمْ رَاعٍ وَلُلُّلُمْ مَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِّيَّتِهِ ....

...setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap orang yang dibawah pimpinannya.... (Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Aishah r.a. yang disebut oleh Ibnu Majah di dalam kitabnya bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud; "Suruhlah kamu kepada yang baik dan cegahlah kamu daripada kemungkaran, sebelum berlaku bahawa kamu berdoa, tetapi tidak diperkenankan kepada kamu." 

Seseorang itu jika melihat kemungkaran berlaku di hadapan matanya, sekiranya boleh diubah dengan tangan, makan gunakanlah ia, jika berkuasa berbuat demikian. 

Sekiranya cegahan dibuat dengan tangan, berlaku tindakan yang lebih besar fitnahnya maka ia adalah dilarang kerana kita hendaklah mengelak fitnah yang lebih besar. 

Ertinya jika menggunakan tangan, kemungkaran itu berhenti, maka adalah wajar cegahan dengan tangan digunakan. Sesetengah ulama mengatakan bahawa yang mempunyai kemampuan itu adalah kerajaan. Dia berupaya menyuruh kepada perkara yang baik dan mencegah kemungkaran dengan tindakan undang-undang. 

Pemerintah mesti mencegah kemungkaran, iaitu mengenakan tindakan undang-undang mengikut hukum Islam terhadap segala kesalahan jenayah dan maksiat kerana inilah maknanya mengubah dengan tangan. 

Dan antara orang yang mampu mengubah dengan tangan juga adalah ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Jika anak-anak mereka melakukan kemungkaran termasuk tidak mengerjakan solat maka menjadi tanggungjawab ibu bapa menggunakan kuasa yang ada pada mereka termasuk menggunakan tangan bagi mengubah perbuatan mungkar yang dilakukan oleh anak-anak mereka. 

Nabi SAW. bersabda yang bermaksud; "Suruhlah anak kamu mengerjakan sembahyang ketika umurnya tujuh tahun. Pukullah mereka bila umurnya 10 tahun (jika tidak mengerjakan sembahyang)." 

Begitulah juga dalam perkara yang lain. Apabila seseorang anak itu mencapai umur 10 tahun, maka diizinkan mengenakan tindakan memukul ketika melakukan kesalahan yang bercanggah dengan hukum agama. Pukulan yang dibuat ialah pukulan mendidik, bukan pukulan marah dan geram yang mencederakan tubuh badan anak berkenaan.  

Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian di sini ialah berlemah lembut dalam mencegah perkara mungkar dan menyuruh pelakunya melakukan kebaikan, Rasulullah SAW telah mewasiatkan kita supaya berlembut, baginda menjelaskan bahawa Allah SWT suka akan kelembutan dalam semua perkara, sifat lemah lembut itu akan menghiasi apa sahaja yang disertainya, jika sifat ini tidak ada pada sesuatu perkara, maka akan hilanglah serinya.
  
2. Mengubah dengan lidah

Mencegah dengan lidah bermaksud memberi nasihat dan bimbingan yang baik. Setiap orang hendahlah mencegah kemungkaran yang berlaku dikalangan ahli atau orang dibawah tanggungjawabnya.

Seruan Nabi SAW adalah :
Kita disuruh menyeru manusia kepada melakukan kebaikan dan mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran.

Jika kita meninggalkan kedua-duanya , maka Allah SWT akan menjadikan orang-orang yang jahat sebagai pemimpin kita. Ketika itu juga doa-doa dikalangan kita juga tidak lagi mustajab.
  
3. Mengubah dengan hati.

Mencegah dengan hati bermaksud membenci kemungkaran dan menjauhkannya. Mencegah dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman.

Kesannya : Kemungkaran hanya tidak belaku pada dirinya sahaja dan kemungkaran tidak akan hilang atau berkurangan. Pencegahan ini adalah jalan terakhir dan perlu di dahulukan pencegahan dengan tangan dan dengan lidah.

 Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita berusaha mencegah segala bentuk kemugkaran yang berlaku di hadapan kita samaada kemugkaran itu kecil atau besar dan gunakanlah cara terbaik dan hikmah. Pencegahan pertama untuk mencegah dengan tangan adalah tanggungjawab ketua negara. Oleh itu berusahalah dengan cara terbaik dan dibenarkan syarak supaya pemimpin kita adalah pemimpin yang beriman dan bertakwa supaya segala bentuk maksiat di dalam negara dapat dicegahnya dengan kuasa ditangan. Salah satu cara adalah memenangi pilihan raya. Kedua sebagai seorang pendakwah kita perlulah berusaha mencegah segala maksiat dengan lidah atau nasihat yang baik, samaada dengan tulisan atau ceramah yang disampaikan. Sebarkanlah ilmu yang bermanfaat supaya umat Islam dapat di sedarkan dengan ajaran Islam dan gembirakanlah dengan balasan syurga untuk mereka yang bertakwa di takutkan dengan seksaan neraka bagi mereka yang fasik dan kafir. Dan terakhir cegahlah kemungkaran itu dengan hati jika tidak mampu hendak cegah dengan kuasa dan lidah , ini adalah selemah-lemah iman dan tidak ada lagi iman selepas ini.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML