Hayatilah Lima Ciri-ciri Orang Bijaksana
أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Kata-kata hikmah yang dituturkan oleh sahabat-sahabat Rasulullah SAW adalah satu kata-kata nasihat yang cukup bermakna dan memberi kesan kepada hati-hati kita untuk diamalkan.
Saidina Uthman bin Affan r.a berkata : "Antara tanda-tanda orang yang bijaksana itu ialah:
Pertama : Hatinya selalu berniat suci.
Kedua : Lidahnya selalu basah dengan zikrullah.
Ketiga : Kedua matanya menangis kerana penyesalan (terhadap dosa).
Keempat : Segala perkara dihadapaiya dengan sabar dan tabah.
Kelima : Mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia."
Huraiannya :
Pertama : Hatinya selalu berniat suci.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Padahal mereka hanya diperintah menyembah Allah, dengan ikhlas mentaati-Nya semata-mata kerana (menjalankan) agama.."
(Surah al-Bayyinah ayat 5)
Dalil lain membuktikan tentang wajibnya niat ialah ijmak ulama iaitu kata sepakat daripada imam-imam mujtahid yang hidup dalam satu zaman, dan tidak seorang pun daripada mereka yang membantah tentang wajibnya niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT di dalam setiap ibadah yang dilaksanakan.
Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Apabila hati sentiasa berniat suci, bersih daripada riak, sombong dan takbur maka inilah yang membawa nilai kepada amalan seseorang muslim itu.
Kedua : Lidahnya selalu basah dengan zikrullah.
Orang mukmin yang bijaksana sentiasa membasahkan lidahnya dengan memuji dan memuja Allah SWT, menyebut nama-Nya yang mulia setiap masa siang dan malam.
Firman Allah SWT maksudnya : “Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang, dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada bahagian yang panjang di malam hari.” ( Surah al-Insan ayat 25-26)
“Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.” (Surah al-A’raf, ayat 205)
Dari Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Ibn Majah, diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a: Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman : "Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingati-Ku di majlis, nescaya Aku juga akan mengingatinya di dalam suatu majlis yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekatiKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya seperti berlari-lari anak."
Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda :
الحمد لله تملأ الميزان,وسبحان الله والحمد لله تمللآن أو تملأ ما بين السماوات والأرض
Maksudnya : "Alhamdulillah memenuhi Mizan, dan Subhanallah serta Alhamdulillah keduanya memenuhi apa yang ada diantara langit dan bumi." (Hadis Riwayat Muslim).
Ketiga : Kedua matanya menangis kerana penyesalan (terhadap dosa).
Nabi S.A.W. bersabda yang maksudnya : "Tiap mata pasti akan menangis pada hari kiamat, kecuali mata yang dipejamkan dari segala yang haram dan mata yang berjaga malam dalam jihad fisabilillah dan mata yang mentitiskan air mata walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah." (Hadis Riwayat Abu Naim)
Dari Sayyidina Khalid bin Al-Walid Radiallahu’anhu telah berkata : Telah datang seorang arab desa kepada Rasulullah SAW. yang mana dia menyatakan tujuannya : "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kedatanganku ini adalah untuk bertanya kepada engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku di dunia dan akhirat". Maka baginda SAW telah berkata kepadanya : "Tanyalah apa yang engkau kehendak."
Dia berkata : "Siapa yang terselamat daripada dosa?"
Baginda S.A.W menjawab : "Orang yang sentiasa mengalir air mata penyesalan, mereka yang tunduk pada kehendakNya dan mereka yang ditimpa kesakitan."
Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Tidak ada sesuatu yang paling disukai Allah SWT selain daripada dua titisan dan dua kesan. Dua titisan itu ialah titisan air mata yang keluar kerana takutkan Allah SWT dan titisan darah yang tumpah di dalam perjuangan di jalan Allah. Manakala dua kesan ialah kesan berjuang di jalan Allah SWT dan kesan kerana menunaikan kefarduan yang telah difardhukan oleh Allah.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Tangisan dapat memadamkan api neraka. Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan terkotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan di rahmati. Tidaklah ada sesuatupun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka."
Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :"Bahawa tidak akan masuk neraka orang yang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya."
Keempat : Segala perkara dihadapaiya dengan sabar dan tabah.
Allah SWT. menetapkan martabat seseorang pada maqam-maqam tertentu.Namun amalan-amalan yang dilakukan olehnya tidak membolehkannya mencapai martabat yang ditetapkan. Untuk membolehkan hamba berkenaan mencapai martabat tadi, Allah SWT akan mengujinya, mungkin dengan menurunkan bala ke atasnya, seperti sakit, kemalangan jalan raya, kehilangan pancaindera dan sebagainya. Apabila diberi ujian maka Allah SWT akan memberi kesabaran. Dengan ini hamba berkenaan akan mencapai martabat tersebut. Demikianlah kehendak Allah SWT terhadap hambanya yang dikasihi.
Sayyidatina Aishah ada berkata, bahawa baginda Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: "Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri,ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa. "
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam sebuah hadis lain Rasulullah SAW. juga pernah bersabda yang bermaksud: "Rintihan orang sakit tercatat sebagai tasbih, kegelisahan dan jeritannya sebagai tahlil, nafasnya seumpama sedekah, tidurnya sebagai ibadah dan kegelisahannya,daripada satu,bahagian ke satu bahagian lain adalah bagaikan jihad kerana Allah SWT dan ditulis baginya sebaik-baik amalan yang pernah dilakukan semasa sihat."
Tidak dinafikan bahawa setiap sesuatu itu berlaku, mempunyai sebab musabab,dan boleh dikaitkan dengan tingkah laku manusia, namun pada hakikatnya di sebalik fakta-fakta yang dapat diterima akal rasionalnya, qada dan qadar Ilahi itu mengandungi rahsia-rahsia Ilahiyah yang tidak difahami oleh manusia. Orang mukmin akan sentiasa bersifat sabar, tenang dan istiqamah walaupun menghadapi berbagai dugaan dan cabaran dalam kehidupan dan perjuangan.
Kelima : Mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia.
Kehidupan di dunia merupakan permainan dan senda gurau. Ada kalanya menang ada kalanya kalah. Susah dan senang silih berganti. Senangnya merupakan kesenangan yang menipu, sedihnya merupakan kesengsaraan sementara. Itulah di namakan kehidupan di alam fana. Sungguh berbeda dengan kehidupan sejati dan abadi di akhirat nanti. Barangsiapa senang, maka ia akan selamanya senang (Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam golongan ini). Barangsiapa menderita, maka ia akan menderita selamanya (na’udzu billahi min zalik).
Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau. Dan jika kamu beriman serta bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak akan meminta harta-hartamu." (Surah Muhammad ayat 36)
Apabila kalian merasai kesukaran dan menghadapi banyak masaalah hidup di dunia ini, janganlah berputus asa dan rasa kecewa kerana sesungguhnya Allah SWT adalah tempat bergantung dan tempat di letakkan sepenuh pengharapan. Berdoalah bersungguh-sungguh kepada-Nya.
Allah SWT menjadikan kehidupan ini dan semua yang ada padanya sebagai ujian kepada menusia, dan dapat menilai siapakah manusia yang paling baik amalannya. Di akhirat nanti kedudukan manusia ditentukan beradasarkan apa yang mereka lakukan ketika di dunia dan akhir kesudahan kehidupan mereka. Kehidupan didunia hanyalah sementara sahaja.
Sabda Rasulullah SAW :
كن في الدنيا كأنك غريب أو عابر سبيل, إذا أمسيت فلا تنتظر الصباح, وإذا أصبحت فلا تنتظر المساء, مثلي والدنيا كمسافر جلس يستظل تحت شجرة ثم قام وتركها
Maksudnya; "Jadilah engkau di dunia seolah-olah orang berjalan, diwaktu petang engkau tidak menunggu pagi dan apabila diwaktu pagi tidak menunggu petang, Perumpamaan aku dan dunia seperti orang musafir duduk berteduh dibawah pokok kemudian bangun dan meninggalkannya. "
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita amalkan 5 perkara ciri-ciri orang yang bijaksana seperti kata-kata Saidina Uthman bin Affan r.a . Orang yang bijaksana adalah orang mukmin yang niat hatinya semata-mata kerana Allah SWT, sentiasa berzikir kepada Allah SWT, sentiasa menitiskan air mata penyesalan, bersabar dengan dugaan dan mengutamakan akhirat lebih daripada kehidupan di dunia yang fana ini. Berfikiran jauh, yakin dengan janji-janji Allah SWT, tidak mudah kecewa di dunia ini apabila di uji dengan kesusahan dan kemiskinan.
No comments:
Post a Comment