Kisah Kemuliaan Dan Kebaikan Nabi Yahya A.S. Di Dalam Al-Quran
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT maksudnya : "Hai Yahya, ambilah al-Kitab (Taurat) itu dengan sungguh-sungguh. Dan Kami berikan kepadanya hikmah selagi ia masih anak-anak, dan rasa belas kasihan yang mendalam dari sisi Kami dan kesucian (dari dosa). Dan ia adalah seorang yang bertakwa, dan banyak berbakti kepada kedua orang tuanya, dan bukanlah ia orang yang sombong dan derhaka. Kesejahteraan atas dirinya pada hari ia dilahirkan, dan pada hari itu ia meninggal dan pada hari ia dibangkitkan kembali." (Surah Maryam ayat 12-15)
Nabi Yahya a.s. adalah anak tunggal dan anak kesayangan Nabi Zakariah a.s. Nabi Yahya a.s. diberi rasa cinta dari sisi Allah SWT. Al-Hanan ialah ilmu yang luas yang terkandung di dalamnya sesuatu kecintaan yang dalam terhadap makhluk dan alam. Hanan ialah salah satu dari tingkat cinta yang bersumber dari ilmu. Yahya a.s. adalah seorang Nabi yang menjadi cermin dari ibadah, zuhud, dan cinta. Nabi Yahya a.s. mengungkapkan cinta kepada semua makhluk. Ia dicintai oleh manusia, burung-burung, binatang buas, bahkan gurun dan gunung. Darah Nabi Yahya a.s. tertumpah ketika baginda berusaha mempertahankan kebenaran yang disampaikannya di istana raja yang zalim. Peristiwa dahsyat itu berkaitan dengan fitnah seorang penari pelacur. Para ulama banyak menyebutkan keutamaan Nabi Yahya a.s.. Baginda hidup sezaman dengan Nabi Isa a.s. dan termasuk kerabat dekatnya dari sisi ibu (anak ibu saudaranya).
Ada hadis yang meriwayatkan bahawa Nabi Yahya a.s. dan Nabi Isa a.s. pernah bertemu pada suatu hari. Lalu Isa berkata kepada Yahya, "Mintakanlah ampun bagiku wahai Yahya. Sesungguhnya engkau lebih baik daripada aku". Yahya berkata: "Mintakanlah ampun bagiku wahai Isa kerana engkau lebih baik daripada aku." Isa berkata: "Tidak, engkaulah yang lebih baik daripada aku. Engkau mengucapkan salam kepadaku sedangkan Allah SWT mengucapkan salam kepadamu." Kisah tersebut menunjukkan keutamaan Nabi Yahya a.s. ketika Allah SWT menyampaikan salam kepadanya pada hari ia dilahirkan, pada hari ia wafat, dan pada hari ia dibangkitkan kembali di hari akhirat dalam keadaan hidup.
Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah pergi dan menemui para sahabatnya. Pada suatu hari, baginda mendapati mereka sedang menyebut-nyebut keutamaan para nabi. Ada yang mengatakan, Musa kalimullah (seorang nabi yang diajak bicara oleh Allah SWT). Ada yang mengatakan, Isa ruhullah (tiupan roh Allah SWT). Dan ada juga yang mengatakan, Ibrahim khalilullah (seorang kekasih Allah SWT).
Demikianlah para sahabat berbicara tentang para nabi lalu Rasulullah SAW menemui mereka. Ketika Rasul SAW mendapati mereka tidak menyebut nama Yahya, baginda berkata: "Di manakah putera seorang syahid yang mendapatkan banyak penderitaan, yang memakan pohon kerana takut dosa, di manakah Yahya bin Zakaria?."
Di beritakan ketika datanglah musim semi (peralihan daripada musim sejuk ke musim panas) di Palestin dan bumi tampak semakin menghijau dan langit semakin terang. Bulan dengan cahayanya menembus puncak-puncak pohon dan kebun. Bunga-bunga mawar dan jeruk semakin berkembang dan baunya tersebar ke udara. Dan burung- burung yang sedang berterbangan tampak bernyanyi dan melantunkan lagu-lagu kegembiraan di tengah-tengah suasana yang ceria dan penuh keindahan.
Kemudian lahirlah Yahya a.s. Kelahiran Yahya a.s. dipenuhi banyak mukjizat. Baginda lahir ketika ayahnya Zakaria a.s. berusia lanjut masih belum dikurniakan oleh Allah SWT zuriat keturunan. Baginda lahir melalui doa yang suci yang bersumber dari hati Nabi Zakaria a.s. yang suci dan tulus. Nabi Yahya a.s. lahir di tengah-tengah masa yang dipenuhi dengan puncak kesucian sebagaimana juga dihiasi dengan puncak kezaliman. Maryam adalah simbol puncak kesucian di zamannya. Mihrabnya penuh dengan bau yang harum yang memancarkan kalimat- kalimat solat yang terus menerus dan zikir yang bersumber dari hati yang suci. Masjid tampak dipenuhi dengan gelombang orang-orang yang solat dan orang-orang mukmin yang berzikir. Namun nun jauh di sana masih terdapat pemerintah yang zalim .
Yahya a.s. dilahirkan dan masa kecilnya tidak seperti lazimnya masa yang dilalui oleh anak-anak. Umumnya anak-anak ketika itu bermain hal-hal yang tidak berguna, sedangkan Yahya a.s. nampak serius sejak baginda kecil. Anak-anak kecil suka dan bergembira dan terhibur ketika mereka menyiksa binatang, sementara Yahya justru memberi makan bintang- binatang dan burung dari makanannya sebagai bentuk belas kasihan darinya, bahkan terkadang Yahya a.s. sendiri makan dari daun-daun pohon atau buahnya. Ketika baginda masuk usia dewasa, maka cahaya wajahnya semakin bersinar dan hatinya penuh dengan hikmah dan cinta kepada Allah SWT serta kedamaian. Yahya a.s. adalah seseorang yang menyukai membaca sejak usia kanak-kanak. Baginda rajin membaca dan menuntut ilmu.
Firman Allah SWT :
يَا يَحْيَى خُذِ الْكِتَابَ بِقُوَّةٍ وَآتَيْنَاهُ الْحُكْمَ صَبِيًّا (12)
Maksudnya : "Hai Yahya, ambillah Al Kitab (Taurat) itu dengan sungguh-sungguh. Dan Kami berikan kepadanya hikmah selagi ia masih kanak-kanak,(Surah Maryam (19) ayat 12)
Tafsirannya :
"Hai Yahya! Ambillah kitab Taurat yang merupakan nikmat besar dari Tuhan kepada Bani Israel dengan penuh perhatian dan sungguh-sungguh dan amalkanlah isinya dengan tulus ikhlas. Kemudian Allah SWT mengungkapkan sifat-sifatnya yang sangat terpuji yang patut ditiru oleh sekalian pengikutnya. Di antaranya, Allah SWT telah memberikan kepadanya hikmah dan pengertian yang sangat mendalam tentang agama dan kegairahan untuk mengamalkan segala amal kebaikan walaupun usianya baru sekitar tujuh tahun. Diriwayatkan bahawa baginda pernah dikerumuni oleh anak-anak sebayanya dan diajak supaya main bersama-sama, lalu baginda menjawab, "Kita ini diciptakan Tuhan bukan untuk main-main. Marilah ikut bersama saya solat".
وَحَنَانًا مِنْ لَدُنَّا وَزَكَاةً وَكَانَ تَقِيًّا (13)
Maksudnya : "dan rasa belas kasihan yang mendalam dari sisi Kami dan kesucian (dari dosa). Dan ia adalah seorang yang bertakwa"(Surah Maryam (19) ayat 13)
Tafsirannya :
"Dan telah Kami jadikan pula Yahya itu seorang yang penuh rasa belas kasihan kepada sesama manusia terutama fakir miskin seperti yang dimiliki oleh Nabi Muhammad SAW.
Dalam ayat yang lain dalam firman Allah SWT:
فبما رحمة من الله لنت لهم
Maksudnya : "Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah, kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. (Surah Ali Imran ayat 159)
Dan lagi Firman Allah SWT:
لقد جاءكم رسول من أنفسكم عزيز عليه ما عنتم حريص عليكم بالمؤمنين رءوف رحيم
Maksudnya : "Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.
(Surah at- Taubah ayat 128)
Sifat Nabi Yahya juga, suci dari syirik dan selalu menjauhkan diri dari setiap perbuatan yang menyebabkan kemurkaan Allah. Dan baginda selalu bertakwa, melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.
وَبَرًّا بِوَالِدَيْهِ وَلَمْ يَكُنْ جَبَّارًا عَصِيًّا (14)
Maksudnya : "dan seorang yang berbakti kepada kedua orang tuanya, dan bukanlah ia orang yang sombong lagi durhaka"(Surah Maryam (19) ayat 14)
Tafsirannya :
"Dan baginda selalu berbakti kepada kedua orang tuanya, kerana berbakti kepada mereka itu dijadikan amal kebaikan kedua setelah beribadah kepada Allah."
Firman Allah SWT dalam ayat yang lain :
وقضى ربك ألا تعبدوا إلا إياه وبالوالدين إحسانا
Maksudnya : "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu. (Surah al-Isra' ayat 23)
Di antara sifat Nabi Yahya ialah tidak sombong terhadap manusia di-sekelilingnya, selalu merendahkan diri, seperti sifat Nabi Muhammad SAW dalam firman Allah:
واخفض جناحك لمن اتبعك من المؤمنين
Maksudnya : "Dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu. iaitu orang-orang yang beriman. (Surah as-Syu'ara ayat 215)
Dan firman Allah SWT :
ولو كنت فظا غليظ القلب لانفضوا من حولك
Maksudnya : "Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar. tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. (Surah Ali Imran ayat 159)
Oleh kerana sifat sombong ini sangat terkutuk, maka yang menyebabkan Iblis dikutuk pula kerana ia berlaku sombong, tidak mahu sujud menghormati Nabi Adam a.s, atas perintah Allah SWT. Dan yang terakhir disebutkan pula di-antara sifat Nabi Yahya itu ialah tidak pernah mendurhakai perintah Allah SWT.
وَسَلَامٌ عَلَيْهِ يَوْمَ وُلِدَ وَيَوْمَ يَمُوتُ وَيَوْمَ يُبْعَثُ حَيًّا (15)
Maksudnya "Kesejahteraan atas dirinya pada hari ia dilahirkan, dan pada hari ia meninggal dan pada hari ia dibangkitkan hidup kembali."(Surah Maryam (19) ayat 15)
Tafsirannya .
"Kemudian Allah menerangkan pahala atas kebaikan Nabi Yahya a.s. itu kerana ketaatan dan kesolehannya dengan sebutan keselamatan, kesejahteraan atas dirinya pada hari ia dilahirkan ke dunia dan pada hari ia wafat (meninggalkan dunia yang fana ini) dan pada hari ia dibangkitkan hidup lagi pada hari kiamat. Disebutkannya tiga peristiwa ini, kerana setiap manusia pada ketiga waktu itu sangat memerlukan rahmat dan kasih sayang Allah SWT.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita hayati kisah di atas yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Peribadi mulia salah seorang Rasul pilihan-Nya iaitu Nabi Yahya a.s.
Kesimpulan daripada peribadi Nabi Yahya dapat disimpulkan seperti berikut :
1. Mengambil kitab suci yang diturunkan oleh Allah SWT dengan bersungguh-sungguh.
2. Mempunyai belas kasihan sesama manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan dan alam semesta.
3. Bersih daripada dosa (tidak melakukan dosa)
4. Seorang yang bertakwa kepada Allah SWT.
5. Tidak menderhakai Allah SWT.
6. Sangat takut kepada Allah SWT dan sering menangis.
7. Berbakti kepada kedua ibu bapanya.
8. Tidak menyombongkan dirinya.
9. Tidak suka membuang masa dengan sia-sia sejak kecil lagi.
Dalam ayat ke 15 Surah Maryam, Allah SWT menyatakan kepada baginda, "Kesejahteraan atas dirinya pada hari ia dilahirkan, dan pada hari ia meninggal dan pada hari ia dibangkitkan hidup kembali."
No comments:
Post a Comment