Seorang Mukmin adalah Khalifah Allah di Muka Bumi
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT maksudnya : "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan khalifah (pengganti, pemimpin atau penguasa) dibumi' Mereka berkata; Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih, memuji-Mu dan mensucikan nama-Mu? Dia berfirman, 'Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui'." (Surah al-Baqarah ayat 30)
Ulama-ulama ahli sunah wal jemaah telah menyatakan bahawa tegaknya Khilafah Islamiyah adalah janji Allah SWT kepada orang-orang mukmin. Al-Quran telah menyebutkan janji ini (tegaknya kekhilafahan Islam) dengan jelas dan terang.
Allah SWT berfirman :"Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh di antara kalian, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa" (Surah an-Nur (24) ayat 55).
Imam Ibnu Katsir, ketika menafsirkan ayat di atas, menyatakan, “Inilah janji dari Allah SWT kepada Rasulullah SAW, bahawa Allah SWT akan menjadikan umat Nabi Muhammad SAW. sebagai khulafa’ al-ardh; yakni pemimpin dan pelindung kepada umat manusia. Dengan merekalah (para khalifah) akan memelihara negeri dan seluruh hamba Allah akan tunduk kepada mereka.” (Imam Ibnu Katsir, Tafsîr Ibn Katsîr, VI/77).
Imam ath-Thabari juga menyatakan, “Sesungguhnya Allah akan mewariskan bumi kaum musyrik dari kalangan Arab dan bukan Arab kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Sesungguhnya, Allah akan menjadikan mereka sebagai penguasa dan pengaturnya.” (Imam ath-Thabari, Tafsîr ath-Thabari, XI/208).
Janji besar ini tidak hanya berlaku bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh pada generasi para sahabat sahaja, malahan berlaku juga sepanjang masa bagi orang-orang mukmin yang beramal soleh. Imam asy-Syaukani berkata, “Inilah janji dari Allah SWT kepada orang yang beriman kepada-Nya dan melaksanakan amal soleh tentang kekhilafahan bagi mereka di muka bumi, sebagaimana Allah SWT pernah mengangkat sebagai penguasa kepada orang-orang sebelum mereka. Inilah janji yang berlaku umum bagi seluruh generasi umat. Ada yang menyatakan bahawa janji di dalam ayat tersebut hanya berlaku bagi sahabat sahaja. Sesungguhnya, pendapat seperti ini tidak memiliki asas sama sekali. Alasannya adalah iman dan amal soleh tidak hanya dikhususkan pada sahabat sahaja, namun ia juga boleh diraih oleh setiap generasi umat Islam sesudah mereka.” (Imam asy-Syaukani, Fath al-Qadîr, V/241).
Asy-Syahid Sayyid Qutb rahimahullah mentafsirkan dalam kitab tafsir Fi zilalil Quran Surah al-Baqarah ayat 30 :
"Di sini iradat yang Maha Tinggi mahu menyerahkan kepada makhluk yang baru di lahirkan ke alam al-wujud ini teraju khalifah di bumi ini dan kuasa mentadbirkannya. Ia mahu menyerahkan kepadanya urusan menzahirkan kehendak masy'ah Allah dalam kerja-kerja penciptaan, pembentukkan, rombakan, penyusunan, penggubahan dan penukaran (di bumi ini), juga kerja mengeluarkan apa yang ada dibumi ini, iaitu kuasa-kuasa, tenaga-tenaga, harta-harta kekayaan yang terpendam dan bahan-bahan mentah, serta menggunakannya dengan izin Allah untuk melaksanakan tugas khalifah yang agung yang diserahkan Allah kepadanya.
Di sini Allah SWT telah mengumumkan kepada makhluk yang baru ini daya-daya tenaga yang tersembunyi, bakat-bakat yang tersimpan yang menyamai kuasa, tenaga-tenaga, harta-harta kekayaan yang terpendam dan bahan-bahan mentah yang terdapat dibumi disamping mengurniakan kepadanya kekuatan-kekuatan yang tersembunyi yang dapat melaksanakan kehendak masyi'ah Ilahiyah.
Jadi di sana wujudnya persamaan atau keselarasan di antara undang-undang yang mengendalikan makhluk manusia, kekuatan-kekuatan dan daya-daya tenaganya supaya tidak berlaku percangahan di antara dua undang-undang itu, dan supaya daya tenaga manusia tidak hancur lebur di atas batu pejal alam buana yang besar ini.
Jadi darjah makhluk manusia ini amat tinggi di dalam sistem kewujudan di bumi yang luas ini. Itulah penghormatan yang telah dikehendaki Allah yang Maha Pencipta dikurniakan kepada makhluk insan. Semua ini merupakan setengah-setengah saranan dari firman Allah yang Maha Tinggi : " Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di bumi ini"
Apabila kita memikirkan pada hari ini dengan perasan yang insaf dan mata hati nurani yang terbuka, dan melihat (pencapaian-pencapaian dan kemajuan-kemajuan) yang telah di capai di bumi ini melalui daya usaha makhluk insan yang menjadi khalifah di dalam kerajaan bumi yang lebar ini.
Para malaikat tidak nampak hikmat iradat Allah Yang Maha Tinggi yang mahu membangun dan megimarakan bumi ini, menyuburkan hayat dan mempelbagaikannya, melaksanakan kehendak Allah dan undang-undang kewujudan untuk mengembang, memajukan bumi dan mengadakan perubahan-perubahan dengan perantaraan daya usaha khalifah Allah di bumi.
Makhluk insan ini terkadang-kadang bertindak melakukan kerosakan dan pertumpahan darah agar di sebalik kejahatan dan keburukan yang sedikit pada zahir itu dapat di capai kebaikan yang lebih besar dan menyeluruh, iaitu kebaikan, kesuburan dan kemajuan yang berterusan, kebaikan harakat yang meruntuh dan membina, kebaikan usaha dan percubaan yang tidak terhenti, kebaikan hasrat dan cita-cita yang tidak terhenti, kebaikan perubahan dan perkembangan di dalam kerajaan bumi yang besar ini. Di waktu inilah penjelasan dari Allah yang mengetahui segala sesuatu dan akibat-akibat kesudahannya di sampaikan kepada mereka (para malaikat)."
Sahabat yang dimuliakan,
Dari Abu Sa'id Al-Khudry r.a dari Rasulullah SAW. bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya dunia ini adalah manis lagi hijau dipandang. Dan sesungguhnya Allah menjadikan kalian sebagai khalifah di dalamnya, maka Allah akan melihat bagaimana yang kalian perbuat. Kerananya, berhati-hatilah pada dunia dan berhati-hati kepada wanita, kerana sesungguhnya fitnah pertama yang menimpa bani Israel itu adalah fitnah wanita."
(Hadis Riwayat Muslim).
Dalam hadis di atas Allah SWT telah melantik manusia menjadi khalifah Allah di muka bumi. Apakah ciri-ciri seorang khalifah, yang mampu mentadbir muka bumi ini?
Seorang mukmin adalah orang yang layak menjadi khalifah. Seorang mukmin yang kuat akan sentiasa memelihara apa yang bermanfaat baginya di sisi Allah SWT. Ia betul-betul menjaga solat, zakat, puasa dan haji.
Menjaga apa yang bermanfaat bagi dirinya, seperti jujur, sedekah, amanah, amal makruf nahi mungkar dan sentiasa mencari yang halal. Sentiasa mendidik isteri dan anak-anaknya dengan deen dan akidah Islam dan bersikap adil pada semua orang. Menjaga peribadinya dari mengumpat, mengadu domba, hasad dengki, iri hati, sombong dan tidak merendahkan orang lain. Sentiasa menjaga pandangannya tidak memandang yang diharamkan, sentiasa menutup aurat dan sesuatu yang lahir dari lidahnya tidak menyakiti orang lain dan tidak mendatangkan dosa.
Orang mukmin juga tidak merasa lemah dan sentiasa merasa mampu dan keyakinan diri yang kuat untuk melaksanakan amanah yang dipikulkan ke atas dirinya. Ia juga sentiasa berhati-hati di dunia ini, dalam hatinya tidak masuk kecintaan pada dunia tetapi mengunakan sepenuhnya kenikmatan dunia untuk mencapai kebahagiaan di hari akhirat.Ia juga sentiasa berwaspada pada wanita supaya tidak timbul fitnah, kerana sesungguhnya fitnah pertama yang menimpa bani Israel adalah fitnah wanita.
Sahabat yang dikasihi,
Ciri-ciri khalifah juga terdapat dalam sebuah hadis daripada Nabi SAW yang bermaksud :
"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya. Imam (ketua negara) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Suami (bapa) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, wanita pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Orang gaji adalah pemimpin kepada harta benda yang diamanahkan kepadanya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya mengenai kepimpinan kamu".(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan Ahmad)
Setiap kalian adalah pemimpin (khalifah) yang akan mentadbir bumi ini dengan petunjuk Allah SWT (mengikut al-Quran dan sunah) sesuai dengan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan ke atas kalian.
Seorang khalifah Islam mestilah mempunyai empat ciri-ciri berikut :
1. Memimpin dengan perbuatan, tidak hanya bercakap sahaja.
2. Dia tidak hanya memerintah orang lain berbuat sesuatu, tetapi dia sendiri melaksanakannya.
3. Memegang prinsip keadilan. Kepentingan orang-orang yang dipimpin adalah yang lebih utama. Nabi Muhammad SAW mampu menjadi kaya tetapi baginda tidak ingin kepada kekayaan; baginda lebih suka sama dengan orang-orang yang dipimpinannya.
4. Penggunaan pendekatan yang tepat samaada secara inividu dan cara jemaah. Tidak ada benteng pemisah di antara ketua dengan orang dibawah atau dengan orang ramai. Suasanan kekeluargaan dan persaudaraan lebih diutamakan. Perhubungan tidak terlalu formal.
Dalam pada itu harus pula diingat tentang prinsip umum Islam: "Apabila melaksanakan kepemimpinan ini, keseimbangan antara duniawi dan ukhrawi perlu dipelihara." Jika satu dipentingkan manakala yang satu lagi dibiarkan runtuh, maka kehancuran akan terjadi. Islam bukanlah terletak pada nama sahaja.
No comments:
Post a Comment