Kisah Luqman al-Hakim Dengan Manusia
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam al-Quran terdapat satu surah yang dinamakan surah Luqman. Di dalam surah ini terdapat banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada kata-kata nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya. Luqman adalah ahli hikmah yang banyak dikurniakan oleh Allah SWT kebaikan dengan kata-kata nasihatnya dan amal perbuatannya untuk mengajak manusia kembali beriman kepada Allah SWT.
Di dalam hadis Nabi SAW terdapat juga beberapa riwayat yang menceritakan kisah Luqman dengan perangai manusia yang dia temui di zamannya. Di dalam setiap zaman perangai manusia ini sama sahaja tidak pernah berubah yang berbeza mungkin kemajuan dan suasannya sahaja.
Kisah Pertama :
Mengikut Ibn Jarir At-Tabari pula, berpandukan riwayat daripada Khalid ar-Raj’ii : Luqman adalah seorang hamba dari Habsyah yang bekerja sebagai seorang tukang kayu. “Pada suatu hari, tuan Luqman menyuruh beliau menyembelih seekor kambing dan membawa kepadanya dua ketul daging yang terbaik.
Perintah itu dilaksanakan Luqman dan dibawa kepada tuannya dua ketul daging terbaik iaitu hati dan lidah. Pada keesokan harinya, tuannya menyuruh beliau menyembelih seekor kambing lain dan membawa kepadanya dua ketul daging terkeji.
Perintah itu juga dilaksanakan oleh Luqman dan dibawa kepadanya dua ketul daging terkeji iaitu hati dan lidah. Tuannya berasa pelik dan bertanya kepada Luqman maksud perbuatannya itu dan Luqman berkata: “Sesungguhnya, bagi orang yang mulia, inilah harta terbaik dimilikinya dan bagi mereka yang keji, inilah harta terkeji terdapat dalam jasadnya.”
Sesuailah dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud :
"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir)
Rasulullah SAW memperingatkan, bahwa bahaya lidah adalah salah satu perkara yang paling baginda khawatirkan. Sebabnya, semua amal akan berguguran jika lidah kita jahat. Suatu kali salah seorang sahabat Sufyan al-Tsaqafi bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, katakan kepadaku dengan satu perkara yang aku akan berpegang dengannya!" Baginda menjawab: "Katakanlah, `Rabbku adalah Allah`, lalu istiqamahlah". Aku berkata: "Wahai Rasulullah, apakah yang paling tuan khawatirkan atasku?". Baginda memegang lidah baginda sendiri, lalu bersabda: “Ini." (Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah).
Begitulah contoh kebijaksanaan Luqman dikurniakan hikmah dari Allah SWT selain mendapat kedudukan dan makam yang amat mulia di sisi Allah SWT.
Kisah Kedua :
Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun berkata, "Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki."
Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di pasar itu berkata pula, "Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu."
Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi, "Lihat itu dua orang menaiki seekor himar, adalah sungguh menyiksakan himar itu."
Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderai."
Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihatai anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah s.w.t. saja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."
Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara iaitu :
Pertama, tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya.
Kedua, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang).
Ketiga, hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya).
Dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."
Sesuailah dengan firman Allah SWT maksudnya : “Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujurat ayat 12)
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita mengambil iktibar dua kisah Luqman al-Hakim yang di atas supaya sentiasa menjaga hati dan lidah kita supaya tidak menjadi sakit dan rosak kerana kedua-duanya jika rosak akan menyebabkan diri kita akan binasa dan dimurkai Allah SWT. Begitu juga jauhilah daripada mengumpat dan berprasanggka buruk kepada saudara kita yang lain. Cepat-ceptlah kita kembali kepada Allah SWT dengan bertaubat dan memohon ampun kepada-Nya.
Kisah Luqman Al-Hakim dan Kata-kata Nasihatnya.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Luqman al-Hakim adalah seorang hamba Allah yang soleh, bertakwa dan ahli hikmah yang diceritakkan sendiri oleh Allah S.W.T. di dalam al-Quran surah Luqman.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami (Allah) telah mengurniakan hikmah (kebijaksanaan) kepada Luqman (Kami katakan) : Hendaklah engkau bersyukur kepada Allah! Siapa yang syukur, sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri, dan siapa yang kufur (ingkar) sesungguhnya Allah itu Terkaya lagi Terpuji.”
(Surah Luqman, Ayat 12)
Di sini Allah mengisahkan tentang Luqman al-Hakim (yakni Luqman yang bijaksana). Dalam tafsir-tafsir ‘al-Khazin’ dan ‘ Hasyiatul Jamal ‘Ala Jalalain’ ada di sebutkan ciri-cirinya,
antara lainnya seperti berikut:-
Bahawasanya Luqman itu adalah anak kepada Faghur bin Nakhur bin Tarikh (Azar), dengan demikian litu Luqman adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim a.s.; atau dikatakan juga
Luqman itu anak saudara kepada Nabi Ayub a.s. Diriwayatkan juga bahawa Luqman telah hidup lama sampai seribu (1,000) tahun sehingga dapat menemui zaman kebangkitan Nabi Daud a.s., bahkan ia pernah juga menolong Nabi Daud a.s. dengan memberikan kepadanya hikmah atau kebijaksanaan. Luqman pernah menjadi kadi, yakni hakim, untuk mengadili perbicaraan kaum Bani Israil.
Para ulama semuanya sepakat mengatakan Luqman itu seorang yang ahli hikmah (bijak bistari), bukan seorang nabi, kerana lafaz hikmah dalam ayat di atas dimaknakan ‘kenabian’. Dan dikatakan juga apabila Luqman disuruh pilih antara hikmah (kebijaksanaan) dengan nubuwwah (kenabian), dipilihnya hikmah.
Adalah diceritakan, bahawa Luqman telah tidur di tengahari lalu kedengaran suara memanggilnya: “Hai Luqman! Mahukah kalau Allah jadikan engkau seorang Khalifah di bumi yang memerintah manusia dengan hukuman yang benar?” Dijawabnya: “Kalau Tuhanku menyuruh pilih, akan saya pilih ‘afiat (selamat) dan saya tidak tidak mahu bala (ujian). Tetapi kalau saya ditugaskan juga saya akan turut. Kerana saya tahu bahawa Allah Taala kalau menetapkan sesuatu kepada saya pasti Dia menolong dan memelihara saya.”
Kemudian dikatakan para malaikat pula bertanya: “Hai Luqman! Adakah engkau suka diberi hikmah?” Dijawabnya: “Sesungguhnya seorang hakim kedudukannya berat, dia akan didatangi oleh orang-orang yang teraniaya dari segenap tempat. Kalau hakim adil akan selamat, dan kalau tersalah jalan akan tersalah pula jalannya ke neraka. Siapa yang keadaannya hidup di dunia, itu lebih baik daripada dia menjadi mulia. Dan siapa yang memilih
dunia lebih daripada akhirat, akan terfitnah oleh dunia dan tidak mendapat akhirat.”
Para malaikat pun takjub mendengarkan kebagusan kata-katanya itu. Apabila Luqman tertidur semula, dia dikurniakan hikmah, lalu terjaga dan berbicara dengan kata-kata yang berhikmah selepas itu. Juga diriwayatkan bahawa Luqman itu seorang hamba bangsa
Habsyi, kerjanya sebagai tukang kayu, tukang jahit dan seorang penggembala kambing. Apabila bertemu dengan seorang lelaki dia bercakap dengan penuh hikmah, sehingga orang lelaki itu takjub lalu berkata: “Bukankah engkau seorang penggembala kambing?” Dijawabnya: “Benar!” Lalu ditanya orang lelaki itu lagi:
“Bagaimana engkau telah dapat mencapai kedudukan engkau yang begini (bijak bistari)?” Luqman menjawab: “Saya mendapatnya dengan bercakap benar, memelihara amanah dan tak ambil tahu apa yang bukan urusan saya.”
Ada juga diriwayatkan bahawa Luqman berasal dari Sudan/Mesir, berkulit hitam, bibirnya tebal dan kulit kakinya pula retak-retak. Juga dikatakan bahawa sebaik-baik orang dari benua Afrika itu adalah 3 orang, iaitu: Bilal bin Rabah, Mahja’ (yakni hamba sahaya Sayidina Umar ibn Khattab) dan Luqman al-Hakim. Orang yang ke empat pula ialah an-Najasyi (Raja
Habsyah yang beriman di zaman Nabi Muhammad S.A.W..)
Luqman Al-Hakim ada memberi nasihat panjang kepada anaknya yang diriwayatkan oleh Al-Muharbi,daripada Sufyan Ats-Thaury.Antara kata-kata hikmahnya adalah:
1. “Hai anakku!Janganlah engkau letakkan kebaikanmu itu, kecuali di sisi penjaganya.Hal ini seperti tidak ada persahabatan antara kambing biri-biri dan serigala.Begitu jugalah tidak ada persahabatan antara orang yang baik dan yang jahat.”
2. “Hai anakku!Jadilah engkau hamba kepada orang yang baik dan janganlah engkau jadi sahabat kepada orang yang jahat.”
3. “Hai anakku!Jadilah engkau orang kaya, niscaya engkau menjadi orang yang dipercayai.”
4. “Hai anakku!Janganlah enkau meminta sesuatu perkara dari belakang dan janganlah engkau menolaknya dari depan.Hal ini kerana yang demikian itu akan memperlekehkan pandangan dan mencela akal fikiranmu.”
5. “Hai anakku!Sekiranya engkau beradab walaupun sedikit, engkau akan peroleh faedah yang banyak.”
6. “Hai anakku!Lakukanlah kebaikan itu untuk ahlinya dan janganlah engkau meletakkannya pada yang bukan ahlinya,niscaya engkau akan rugi di dunia ini dan mengharamkan pahalanya di akhirat kelak.”
7. “Jadilah engkau orang yang bersederhana dan janganlah boros.Juga janganlah engkau memegang harta dengan kedekut dan janganlah memberinya dengan boros”
8. “Hai anakku!Lazimilah dirimu dengan hikmah,nescaya engkau akan memuliakan dengannya kerana tuan bagi akhlak hikmah adalah agama ALLAH”
9. Luqman berkata lagi: “Hai anakku!Ada tiga tanda bagi orang yang berhasad dengki itu.Dia akan mengumpat sahabatnya apabila sahabatnya tiada, akan memujuk apabila dia melihat dan akan bergembira dengan musibah yang menimpa sahabatnya.”
10. Beliau juga berpesan: “Hai anakku!Barang siapa yang memikul sesuatu yang dia tidak terdaya, dia akan menjadi lemah dan barang siapa yang berasa kagum dengan dirinya sendiri akan binasa. Dan barang siapa yang bersikap takbur serta menyombong diri terhadap manusia akan menjadi hina”
11. Seterusnya katanya: “Hai anakku!Janganlah engkau bergaul dengan orang yang bodoh.Walaupun dia memiliki rupa yang indah, namun dia seperti pedang, baik pemandangannya tetapi amat buruk kesannya.”
12. “Hai anakku!Berwaspadalah engkau dari sahabat yang jahat kerana sesungguhnya dia umpama pedang yang dihunuskan (dari sarungnya).Pandangannya mengagumkanmu sedangkan kesannya amat buruk.”
13. Dalam kitab Bahjatul Majalis, Luqman berkata kepada anaknya: “Hai anakku!Merendah dirilah engaku dengan kebenaran,niscaya engkau menjadi manusia yang paling berakal.”
14. “Hai anakku!Barang siapa yang terlalai dalam permusuhan, dia akan dimusuhi dan barang siapa yang melampau dalamnya, dia telah berdosa.Maka berkatalah dengan yang hak walaupun ia terkena dirimu dan janganlah engkau peduli orang yang marah.”
15. “Hai anakku!Janganlah engkau bertengkar dengan orang yang bijaksana serta janganlah engkau bermujadalah dengan orang yang gagap. Juga janganlah engkau bergaul dengan orang yang zalim serta janganlah engkau bersahabat dengan orang yang tertuduh.”
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita sama-sama hayati setiap kata-kata nasihat Luqman Al-Hakim yang penuh hikmah dan bijaksana. Kata-kata beliau berupa mutiara berharga yang tidak pernah rosak walaupun zaman telah berlalu ribuan tahun. Kata-kata tersebut masih relevan dan boleh digunakan sehingga sekarang.
No comments:
Post a Comment