Jagalah Lidah Kalian Supaya Terselamat Daripada Kemurkaan Allah
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Kita mungkin pernah mendengar ungkapan-ungkapan sepert 'lidah tidak bertulang' atau lidah itu lebih tajam daripada pedang. Daripada ungkapan-ungkapan itu nyatalah tugas lidah atau tutur kata amat besar dalam hidup manusia. Kesan terlanjur cakap tidak kurang yang tergadai maruah dan kerana mulut atau tutur kata juga menjadikan badan binasa.
Abu Hurairah berkata : Rasulullah SAW ditanya mengenai hal apakah yang paling menyebabkan banyak orang masuk syurga. Rasulullah menjawab : "Takwa dan akhlak yang baik." Kemudian Rasulullah ditanya mengenai apakah yang menyebabkan manusia ramai masuk neraka. Rasulullah SAW menjawab : "Dua lubang iaitu lubang mulut dan kemaluan." (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Ahmad)
Bagi orang yang beriman, lidah yang dikurniakan Allah itu tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya digunakan untuk mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhikmah.Oleh itu, Islam menganjurkan bagi manusia untuk berdiam daripada mengucap perkataan sia-sia.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sebagai jalan selamat, ajaran Islam sejak mula lagi menganjurkan kepada kita agar tidak terlalu banyak bercakap kecuali percakapan yang jelas ada manfaatnya. Bahkan apabila berdiam diri itu sama saja manfaatnya dengan manfaat menutur percakapan, maka dalam kedudukan begini, adalah lebih utama bagi seseorang itu untuk diam sahaja. Sebab kadang-kadang apabila percakapan yang harus itu tidak dapat dikawal, ia boleh membawa kepada yang haram dan dilarang oleh ajaran Islam.
Manusia tidak dapat mengalahkan syaitan kecuali dengan diam kerana ia dapat mengelakkan daripada perkataan yang sia-sia, mengumpat dan fitnah. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa nabi menyuruh umatnya memelihara lidah dari perkataan yang keji dan buruk.
Sabdanya yang bermaksud : “Simpanlah lidahmu kecuali untuk kebaikan. Sesungguhnya dengan demikian kamu dapat mengalahkan syaitan.” Di dalam percakapan terdapat bencana dan di dalam diam terdapat kebahagiaan kerana itulah keutamaan diam amat besar."
Firman Allah yang bermaksud : “Tiada suatu ucapan yang diucapkannya melainkan ada didekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir” (Surah Qaaf, ayat 18)
Antara bahaya lidah adalah berkata tentang sesuatu yang tidak penting kerana ia mensia-siakan waktu dan menyebabkan dirinya dihitung. Modal seorang manusia adalah waktu-waktunya. Apabila ia menggunakan untuk sesuatu yang tidak penting dan bernilai, nescaya ia telah mensia-siakan modal pokoknya. Kerana itulah
Rasulullah bersabda yang bermaksud : “ Termasuk dalam kebaikan Islamnya seseorang adalah meninggalkan sesuatu yang tidak penting baginya.” (Hadis Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah)
Oleh kerana lidah boleh membawa kepada perkara yang baik dan buruk, maka kita hendaklah berhati-hati dalam menggunakan lidah. Dalam hubungan lain, kita hendaklah berhati-hati apabila bertutur. Kesan tersalah cakap boleh membawa sakit hati kepada orang lain. Tidak kurang pula yang membawa kesusahan dan kerugian.
Sebaik-baik cara mengawal diri daripada perkara-perkara yang tidak diingini ialah dengan diam. Diam dalam erti kata tidak bercakap dalam perkara yang sia - sia dan tidak baik.
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah benci kepada orang yang buruk budi pekertinya serta kotor lidahnya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Di dunai ini terdapat tiga jenis manusia, iaitu yang mendapat pahala, selamat daripada dosa dan binasa.
Orang yang mendapat pahala sentiasa mengingati Allah, berzikir, mengerjakan solat dan sebagainya. Orang yang selamat daripada dosa ialah mereka yang diam, manakala orang yang binasa sentiasa melakukan perkara mungkar, maksiat dan tidak mengawal lidahnya dengan baik.
Kita dapat mengenal peribadi seseorang daripada percakapannya. Orang yang tinggi akhlak selalunya bercakap hal yang baik saja, tidak menyakiti hati orang lain, tidak mengucapkan perkataan kotor dan tidak banyak bercakap. Mereka mengawal lidah sebaik-baiknya.
Nabi SAW bersabda maksudnya :"Apabila kamu melihat orang mukmin itu pendiam dan mempunyai kehormatan diri, maka dekatilah dia! kerana ia akan mengajarkan ilmu-hikmah.’ (Hadis Riwayat Ibnu Majah dari Ibnu Khallad.)
Nyatalah orang yang beriman akan menggunakan lidah dan bercakap hanya untuk perkara-perkara yang berfaedah. Setiap patah yang hendak diucapkan difikir semasak-masaknya supaya setiap patah yang ditutur itu berfaedah dan mendapat pahala. Kita juga dapat mengenal peribadi seseorang daripada percakapannya, Kerana, semakin banyak kita bercakap, semakin banyaklah kesilapan. Orang-orang munafik pula akan bercakap apa sahaja tanpa memikirkannya terlebih dahulu.
Sahabat ya ng dimuliakan,
Seorang ahli sufi yang terkenal, al-Hassan al-Basri pula pernah menyebutkan, orang yang tidak menjaga lidahnya ialah orang yang tidak memahami agamanya. Oleh itu, sebagai orang Islam, kita hendaklah menjaga lidah kita daripada bertutur perkara-perkara yang sia-sia dan tidak berfaedah seperti mengumpat, mencaci dan berbohong.
Untuk menjaga keharmonian hidup dalam masyarakat amatlah penting kira mengawal lidah agar tidak timbul perselisihan dan perbalahan. Sebuah masyarakat yang aman dan harmoni terbentuk kerana ahlinya hidup kasih mengasihi antara satu sama lain, tidak menghasut dan mempelagakan antara satu sama lain.
Luqmanul Hakim pernah ditanya: "Apakah falsafah hidupmu?" Beliau menjawab: "Aku tidak bertanya sesuatu yang telah memadai bagiku dan aku tidak memberatkan diriku akan sesuatu yang tidak penting bagiku."
Tidak syak lagi penyalahgunaan lidah dan percakapan itu bukan sahaja menjadikan seseorang itu menerima seksaan Allah malah kesannya amat buruk kepada masyarakat. Kesan percakapan yang tidak sihat dan tuduh menuduh, umpat mengumpat dan hasut menghasut menjadikan sebuah masyarakat huru hara dan porak peranda.
Tanda seseorang cenderung untuk memasuki neraka apabila hidupnya di dunia cukup suka buat fitnah, laman-laman sosialnya dipenuhi gosip dan berita fitnah, maki hamun, menyebarkan vedio /gambar-gambar lucah, menuduh seseorang berzina atau liwath tanpa empat orang saksi, cepat membuat tafsiran seseorang itu sesat tanpa usul periksa. Perlu diingat apabila seseorang salah membuat tafsiran sesuatu ucapan tanpa dirujuk kepada ucapan sebenar apa yang dimaksudkan oleh seseorang maka ketika itu dia telah jatuh buat fitnah dan akan mendapat dosa besar.
Sebenarnya Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi kita umat Islam sebagai seorang muslim yang bertakwa menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.
Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah Al-Hujraat: ayat 6)
Banyak pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan (Nauzubillah), banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu (Astagfirullah). Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan atau parti tertentu. Pada masa sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu.
Oleh itu kita sebagai umat Islam hendaklah berhati-hati apabila bercakap. Sebelum berkata, fikirlah dulu buruk baiknya kerana jika tersilap kata buruk padahnya. Peribahasa kita ada menyebut: ":Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya."
Salah satu sebab seseorang akan menjadi muflis di hari akhirat adalah kerana lidah yang tidak dikawal suka memfitnah, mengumpat, mengadu domba, mendedahkan aib orang lain dan suka berdusta dan menjadi saksi palsu.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Suatu hari seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW seraya berkata, “Ya Rasulullah! Sungguh si fulanah itu terkenal banyak solat, puasa, dan sedekahnya. Akan tetapi juga terkenal jahat lidahnya terhadap jiran tetangganya.”. Maka berkatalah Rasulullah SAW kepadanya, “Sungguh ia termasuk ahli neraka”.
Kemudian lelaki itu berkata lagi, “Kalau si fulanah yang satu lagi terkenal sedikit solat, puasa dan sedekahnya, akan tetapi ia tidak pernah menyakiti tetangganya.” Maka Rasulullah SAW berkata, “Sungguh ia termasuk ahli syurga.” (Hadis Riwayat Muslim).
Kisah dalam hadis tersebut memberi pelajaran akan bahaya lidah. Betapa jika tidak dikawal lidah itu dengan iman, lidah boleh menjerumuskan ke dalam neraka. Meskipun seseorang itu ahli ibadah, banyak solat, puasa, akan tetapi bila tidak mampu menjaga lidahnya dari memfitnah, berbohong dan hasad-dengki maka amalannya akan menjadi sia-sia.
Oleh sebab itu, lidah boleh menjadi alat untuk taat kepada Allah, dan boleh pula untuk memuaskan hawa nafsu. Lidah boleh digunakan untuk membaca al-Quran, hadis dan nasihat menasihati tetapi lidah juga boleh berubah menjadi "batu api" memfitnah dan mengadu domba. Memfitnah, bersaksi palsu, mengumpat, mendedahkan aib orang lain, dan boleh memecah belahkan umat Islam. Lidah yang jahat ini boleh mendatangkan huru-hara dan pergaduhan di dalam masyarakat.
Rasulullah SAW memperingatkan, bahawa bahaya lidah adalah salah satu perkara yang paling baginda khawatirkan. Sebabnya, semua amal akan terhapus dan berguguran jika lidah kita jahat.
Suatu kali salah seorang sahabat Sufyan al-Tsaqafi bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, katakan kepadaku dengan satu perkara yang aku akan berpegang dengannya!" Baginda menjawab: "Katakanlah, 'Rabbku adalah Allah', lalu istiqamahlah". Aku berkata: "Wahai Rasulullah, apakah yang paling tuan khawatirkan atasku?". Baginda memegang lidah baginda sendiri, lalu bersabda: “Ini." (Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah).
Sahabat yang dimuliakan,
Bentuk kejahatan lidah itu ada dua iaitu :
Pertama : Lidah yang banyak bicara kebatilan
Kedua : Lidah yang diam terhadap kebatilan dan diam untuk mengatakan kebenaran.
Huraiannya :
Pertama : Lidah yang banyak bicara kebatilan.
Kejahatan lidah memang boleh menjadi setajam pedang. Jika kita tidak hati-hati menggunakannya, maka ketajamannya boleh menumpahkan darah, sebagaimana pedang menusuk tubuh manusia. Boleh juga pula lidah itu membiarkan ‘api’ yang membakar semakin besar.
Maka, ada dua bahaya besar yang boleh menimpa lidah kita. Boleh kerana banyak bicara yang tidak perlu dan menyesatkan atau diam terhadap kebenaran. Dua-duanya adalah sumber kerusakan.
Imam Abu Ali ad-Daqqaq pernah mengatakan: "Orang yang berbicara dengan kebatilan adalah syaitan yang berbicara, sedangkan orang yang diam dari kebenaran adalah syaitan yang bisu."
Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang bangkrup di kalangan umatku adalah orang yang pada hari kiamat nanti datang membawa pahala solat, zakat dan puasa, namun di samping itu ia membawa dosa mencela, memaki, menuduh zina, memakan harta dengan cara yang tidak benar, menumpahkan darah, dan memukul orang lain.” (Hadis Riwayat Muslim)
Bahaya lidah adalah kerana tersebarnya kebatilan agama yang diakibakan oleh lidah mengucapkan kata-kata yang batil ataupun banyak bicara pada hal-hal yang tidak bermanfaat. Kedua-duanya merosakkan masyarakat dan hubungan baik dengan orang lain.
Oleh sebab itu, jika kita tidak tahu terhadap suatu persoalan sebaiknya diam terlebih dahulu sebelum memperoleh jawaban daripada orang yang ahli. Jika tidak, kata-kita kita yang tidak berdasarkan ilmu itu boleh mengkelirukan dan menyesatkan.
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaknya ia berkata yang baik atau diam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Kedua : Lidah yang diam terhadap kebatilan dan diam untuk mengatakan kebenaran.
Apabila melihat sesuatu kebatilan, maksiat dan perkara mungkar maka lidah perlulah digunakan untuk membetulkan keadaan atau memberi nasihat yang baik. Lidah tidak boleh berdiam diri sahaja.
Apa saja perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT, dikategorikan sebagai kemungkaran. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa melihat dengan penilaian Islam dalam setiap hal yang kita hendak lakukan.
Dari Abu Sa’id Al Khudri radhiyallahu anhu, dia berkata : Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : “Barang siapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya (mencegahnya) dengan tangannya (kekuasaannya), jika dia tak mampu, maka dengan lidahnya (menasihatinya), dan jika tak mampu juga, maka dengan hatinya (merasa tidak senang dan tidak setuju), dan demikian itu adalah selemah-lemah iman”. (Muttafaqun Alaih)
Lebih baik lidah berfungsi memberi nasihat jika kita bertemu sesuatu kemugkaran sekiranya kita tidak mempunyai kuasa . Tetapi lebih baik diam jika dihadapkan terhadap persoalan yang belum kita ketahui. Walaubagaimana pun perlu diingatkan bahawa kita tidak boleh diam selamanya. Kita wajib mencari tahu jawaban yang belum kita ketahui.
Firman Allah SWT maksudnya : “Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan, dan hati nurani, semua itu akan diminta pertanggungjawabannya."(Surah al-Israk ayat 36).
Kita mesti bertanya kepada ahlinya terhadap suatu persoalan. Allah SWT memberi arahan: “Bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nahl ayat 43).
Janganlah memberi fatwa, jika kita tidak tahu hukumnya, jangan pula menyebarkan maklumat yang kita belum pasti sahih dan daripada mana asal-usulnya. Kerana jika kita tersalah memberi fatwa akan mengakibatkan gugurlah seluruh amal-ibadah kita. Begitu juga jika kita terus menerima berita fitnah tanpa diketahui sumber berita tersebut menyebabkan kita telah melakukan kezaliman terhadap orang yang tidak berdosa.
Sahabat yang dikasihi,
Kerosakan masyarakat boleh berlaku di sebabkan banyaknya perkataan batil yang diucapkan samaada berbentuk fitnah atau perkataan kotor dan mengaibkan orang lain. Ramai orang bicara dan menjelaskan sesuatu tanpa ilmu agama. Hukum hakam agama dipermainkan, hukum hudud dipertikaikan, ulama dihina dan di pelecehkan. Kerana tidak berdasarkan ilmu, maka pembicaraannya boleh menyesatkan, mencerai-beraikan ukhuwah, dan memutuskan silaturahim.
Kerosakan juga berlaku apabila kebenaran yang disembunyikan dan kebatilan yang dibiarkan. Ini akibat lidah yang diam terhadap kebatilan. Imam Ibn Hajar dalam kitab al-Shawa’iq al-Muhriqah mengatakan, orang yang dilaknat Allah adalah seorang berilmu (ulama) yang mendiamkan terhadap bidaah agama yang dilakukan oleh umat Islam sedangkan dia mengetahuinya.
Dalam hadis tersebut di atas, Rasulullah SAW tidak sekedar memerintahkan untuk diam, akan tetapi hadis itu memberi pelajaran kita untuk tidak berkata kecuali yang baik dan benar. Kita tidak diperintah untuk terus menjadi ‘orang yang diam’. Orang yang terus-menerus diam adalah orang yang bodoh. Rasulullah SAW tidak mengajarkan untuk berdiam diri sahaja.
Sering kali kita mendengar keluhan saudara-saudara kita: “Saya masih jahil tidak tahu apa-apa”. Kata-kata ini terus ia ulang-ulangi. Islam tidak mengajarkan kita untuk terus berdiam diri tetapi perlu menuntut ilmu supaya bertambah ilmu dan kefahaman kita mengenai agama.
Kita perlu memberi nasihat jika nasihat itu amat diperlukan. Sebab, jika kita terus berdiam diri kemugkaran akan terus bermaharajalela. Padahal kita dituntut untuk mendakwahkan kebaikan, menyebarkan hikmah dan meluruskan kebatilan. Sufyan ats-Atsauri Rahimahullah berkata:“Ibadah yang pertama kali adalah diam, kemudian menuntut ilmu, mengamalkan, menghafal dan menyampaikannya.”
Jadi kerosakan agama itu boleh berlaku disebabkan ucapan oleh mulut-mulut yang tidak berilmu, boleh juga disebabkan didiamkannya kebatilan oleh orang-orang yang berilmu. Sama-samalah kita bermuhasabah diri kita sendiri dan menjaga lidah-lidah kita semata-mata untuk mencari keredaan Allah SWT.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud :"Wahai orang-orang yang beriman bertakwalah kepada Allah dan jadikanlah kamu bersama-sama orang yang benar"
(Surah Al-Taubah ayat 119)
Allah s.w.t sentiasa bersifat benar,begitu juga para rasul bersifat sidek.Mereka memperjuangkan agama yang benar (Islam) dan mengajak manusia kepada kebenaran.Mereka berjuang melupuskan segala pendustaan,kepalsuan dan kepura-puraan dalam hidup.Mereka memperjuangkan keadilan dan nilai kemanisan hidup berteraskan kebenaran.
Apabila kebenaran di abaikan maka muncullah manusia yang sentiasa menjadikan pendustaan amalan kehidupan mereka seharian.Secara tidak langsung membawa kepada kemusnahan keamanan ummat manusia.Kebenaran tergambar pada sifat ikhlas,jujur dan didikasi.Benar pada niat dan kemahuan fikiran dan tindakkan dan benar pada kata-kata pernyataanya.
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud : "Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebajikkan dan kebajikan itu membawa kepada Syurga. Seorang yang sentiasa berlaku benar, nescaya akan tercatat di sisinya Allah s.w.t sebagai sidek (org yg benar) dan sesungguhnya bohong membawa keburukkan dan keburukkan itu membawa ke Neraka. Seseorang yang suka berbohong, nescaya tercatat disisi Allah s.w.t sebagai kazab(pembohong)''
Kemanisan hati budi manusia sentiasa mengakui kebenaran dan menolak pembohongan atau pendustaan.Hati budi itu dibantu oleh akal untuk mengakui dan menerima kebenaran dan menolak pendustaan.Akal dapat membezakan antara kebaikkan benar dan keburukkan dusta.Manusia menolak kebenaran kerana nafsu amarah.Contohnya Abu Lahab yang menentang Rasulullah s.a.w. Hati budinya mengakui kebenaran Rasulullah tetapi nafsu amarah menolak kebenaran itu.
Firman Allah s.w.t maksudnya : "Nilai benar menjadi asas segala nilai dalam hidup manusia''
(Surah Al-Taubah ayat 119)
''Ya Tuhanku! Masukkanlah aku melalui tempat masuk yang benar dan keluarkanlah aku melalui tempat keluar yang benar, dan berilah aku daripada-Mu kekuasaan yg dapat menolong''
(Surah Al-Isra' ayat 80)
~~KEBAIKKAN BENAR~~
1-Kebenaran menjadi teras hidup manusia dalam hubungan dengan Allah s.w.t dan manusia.
2-Mertabat orang yang berlaku benar setaraf dengan para syuahadah dan solehin.
3-Dipercayai dan di hormati oleh orang lain.
4-Berkualiti dan bernafaat dalam setiap kerja dan tindakkan.
5-Diampuni dihormati dan diberkati oleh Allah s.w.t.
6-Dapat mencapai kejayaan hidup didunia dan akhirat.
7-Menjadi tokoh dan pemimpin yang baik dan mulia
8-Pemikiran yang jelas dan bernas
9-Jiwa tenang dan tenteram.
~~SASARKAN DIRI SUPAYA BENAR~~
1-Beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t
2-Mengikut hadis dan sunnah Rasulullah
3-Berilmu dan berbudaya ilmu
4-Berakal dan berfikiran terbuka
5-Berhemah tinggi dan berakhlak mulia
6-Berlaku adil dan bertanggungjawab
7-Berwaspada,teliti,sistem ,etik dan tidak terburu-buru membuat sesuatu keputusan.
8-Memohon taufik dan hidayah kepada Allah s.w.t melalui cara solat hajjat dan istikharah serta do'a.
Sahabat tersayang lilahitaala,
Jadikanlah bersikap benar sebagai pakaian peribadi kita. Walaupun berhadapan dengan kepayahan dan keperitan...itulah dinamakan perjuangan hati...Semoga kita mendapat hidayah dengan terhidangnya nota kecil ini..untuk saya dan untuk sahabat semua.
Wallahu a'lam
No comments:
Post a Comment