Tiga Perkara Mendapat Kelazatan iman.
Dari Anas bin Malik r.a dari Nabi s.a.w. bahawasanya baginda bersabda, "Tiga perkara, barangsiapa yang tiga perkara itu ada pada dirinya, ia akan dapat kemanisan iman : Menjadikan Allah dan Rasul-Nya yang paling ia cintai daripada yang lainnya, mencintai seseorang, tidak mencintainya kecuali kerana Allah, dan membenci untuk kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya sebagaimana ia membenci untuk dilemparkan ke Neraka."
(Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)
Sahabat yang di rahmati Allah,
Berdasarkan hadis di atas tiga hal yang mencerminkan wilayah keimanan. Jika seorang Mukmin memilikinya ia akan menikmati rasa dan manisnya iman.
Pertama : "Menjadikan Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada yang lain."
Sesungguhnya manusia apabila telah mengucapkan syahadatain dengan ucapan yang murni dan jujur, ucapan yang sejalan antara lisan dan hati di dalam berikrar, "Aku bersaksi bahawa tiada tuhan kecuali Allah, dan bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya." nescaya ia telah menjadi orang yang beriman dan melaksanakan sepenuhnya ajaran Islam dalam kehidupannya. Dilaksanakan semua amanah dan aktiviti ibadat yang sesuai apa yang diredhai Allah. Ketika mampu melaksanakan semua tanggungjawab tadi maka akan melahirkan pula satu darjat yang tinggi iaitu cinta kerana Allah dan cinta kepada Rasulullah s.a.w.
Jika seseorang memahami makna Laa ilaaha illallaah, percaya bahawa Yang memberi manfaat adalah Allah, Yang memberi bahaya adalah Dia, Yang Maha Tahu Dia, Yang Maha Kuasa Dia, Yang Maha Berbuat sesuatu, tiada sekutu bagi-Nya, tidak beristeri dan tidak pula berputra, jika itu yang diyakini, nescaya ia akan sampai pada darjat cinta kerana Allah.
Juga jika seseorang memahami bahawa "Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya," dalam ertikata bahawa Rasulullah s.a.w telah menerima segala ajaran, perintah dan larangan dari Tuhannya, serta melaksanakan pula segala ajaran tersebut dalam kehidupan nescaya orang itu akan sampai pada darjat mencintai Rasulullah s.a.w.
Jika syahadatain ini telah menguasai perasaan, jiwa dan apa sahaja yang tertanam dalam hati manusia dengan penguasaan yang sempurna dan kukuh, nescaya hasilnya adalah akan dapat dilihat dalam keseluruhan kehidupannya.
Kedua : "Mencintai seseorang, tidak mencintainya kecuali kerana Allah."
Rasulullah s.a.w. telah menjelaskan bahawa hubungan yang kuat dan abadi adalah hubungan cinta dan kasih kepada Allah dan mencari redha-Nya. Apabila cinta seseorang kerana sebab-sebab duniawi bukan kerana Allah, seperti kerana harta, pangkat, keturunan, kecantikan dan sebab-sebab yang lain maka cinta tersebut adalah cinta yang sangat rapuh dan Allah s.w.t. sangat murka dan ianya akan mendapat kehinaan dari Allah s.w.t. di akhirat nanti.
Nabi s.a.w. ada bersabda yang bermaksud, " Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, mereka berjumpa atas kehendak-Nya dan berpisah juga atas kehendak-Nya." (Hadis Riwayat Muttafaq Alaih).
Dalam riwayat yang lain dari Anas bin Malik r.a, bahawasanya ada seorang yang saat itu berada di samping Rasulullah s.a.w. Tiba-tiba ada orang yang lalu. Orang yang ada di samping Rasulullah tadi berkata, "Wahai Rasulullah, aku mencintai orang tadi." Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Apakah engkau telah memberitahukan kepadanya?" Ia menjawab, "Belum." Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, " Beritahukan hal itu kepadanya!." Ketika berjumpa orang tadi, ia berkata, "Aku mencintaimu kerana Allah." Orang tadi menjawab, "Semoga Allah mencintai anda yang telah mencintaiku kerana ingin meraih redha-Nya." (Hadis Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).
Ketiga : "Membenci untuk kembali kepada kekafiran setelah diselamatkan oleh Allah, sebagaimana ia benci untuk dilemparkan ke Neraka."
Sesungguhnya nikmat Islam adalah nikmat termulia. Mereka yang memeluk Islam dan mempunyai aqidah yang murni kerana Allah, maka Allah s.w.t. telah memileh mereka menjadi sebaik-baik umat yang dikeluarkan bagi manusia. Umat yang menjadi pilihan Allah s.w.t. adalah umat yang di selamatkan-Nya daripada syirik dan menuju sebuah hakikat bahawa 'Tidak ada tuhan kecuali Allah dan Muhammad adalah Pesuruh Allah.'
Jika seseorang benci kembali kepada jahiliah sebagaimana bencinya jika ia dilemparkan ke dalam Neraka Jahannam, saat itu ia akan merasakan lazat dan manisnya iman. Kerana ia faham bahawa kehidupan, keamanan dan keselamatan itu ada pada iman. Apabila hubungan hatinya sentiasa terpaut dengan Allah, tunduk dan patuh kepada-Nya, hidup bersama cahaya Kitab-Nya dan Sunnah Rasul-Nya, ia pasti menolak untuk melakukan maksiat dan melakukan kederhakaan kepada Allah s.w.t. Ketiak inilah ia merasakan kelazatan dan manisnya iman dalam perasaan, nurani dan di dalam benaknya.
Sahabat yang dimuliakan,
Akhirkata, berpegang teguhlah kepada tiga perkara seperti hadis di atas dan jangan ragu-ragu. Dan berdo'alah kepada Allah s.w.t. semoga Allah s.w.t. akan tetapkan hati kita untuk istiqamah di atas perkara tersebut dan merasai sebenar-benar kemanisan iman dan keseronokan hidup di dunia ini dan akan terus merasai nikmat sebenar di Syurga Allah di hari akhirat nanti.
No comments:
Post a Comment