Saturday, March 8, 2014

KISAH SAHABAT ~ PENCURI KURMA

Kisah Pencuri Kurma di Zama Nabi SAW
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Pada suatu hari Abu Hurairah telah diserahkan tugas oleh Nabi SAW untuk menjaga kurma orang berzakat pada bulan Ramadan. Tiba-tiba datang seorang tua lalu terus mengambil buah kurma lalu terus dimakannya. Abu Hurairah terus menangkap orang tua itu lalu hendak dibawa mengadap Rasulullah SAW.

Tetapi orang tua itu mengeluh dan minta dikasihani seraya berkata : "Aku adalah orang yang sangat miskin lagi banyak anak, kerana itu aku sangat memerlukan makanan ini, anakku menangis dirumah kerana perutnya lapar."

Mendengar kata-kata orang tua itu, Abu Hurairah berasa terharu dan akhirnya dia melepaskan orang tua itu. Keesokan pagi Abu Hurairah telah ditanya oleh Nabi SAW :
"Apakah yang telah dilakukan oleh tawananmu semalam?"

Maka Abu Hurairah menjawab, "Dia aku lepaskan kerana mengeluh sebab anaknya dirumah sedang menunggu makanan darinya."

"Nanti, malam ini dia akan datang lagi." kata Rasulullah.

Mendengarkan kata-kata Rasulullah itu maka Abu Hurairah pun berjaga malam itu dengan bersungguh-sungguh. Pada malam itu orang tua itu datang lagi dan mengambil kurma dengan kedua belah tangannya. Maka Abu Hurairah pun segera menangkapnya dan kemudian hendak membawanya mengadap Rasulullah, tetapi dia minta maaf dan benar-benar memerlukan makanan itu untuk keluarganya, bahkan dia berjanji tidak akan kembali lagi.

Abu Hurairah berasa kasihan terhadap orang tua itu dan akhirnya dia pun dilepaskan semula .Keesokan harinya Abu Hurairah ditanya kembali oleh Rasulullah : "Hai Abu Hurairah, apakah engkau lakukan terhadap tawananmu semalam?"

Abu Hurairah menjawab :"Dia ku lepasakan kerana benar-benar memerlukan makanan dan benar-benar miskin. Lagi pun dia sangat berhajat kepada makanan itu untuk keluarganya yang lapar. Dia berjanji tidak akan kembali lagi."

Rasulullah berkata, "Dia berdusta, dia akan kembali malam ini."

Oleh kerana Nabi berkata lelaki itu akan kembali lagi maka Abu Hurairah berjaga dengan lebih berwaspada. Kata-kata Rasulullah memang benar pada malam itu orang tua itu datang lagi dan mengambil kurma dengan banyaknya. Maka Abu Hurairah pun segera bertindak dan menangkapnya untuk dihadapkan kepada Rasulullah SAW. Lantas dia meminta maaf dan berjanji tidak akan kembali. Tetapi kali ini Abu Hurairah tidak mahu melepaskannya dan berkata : "Kamu telah berjanji tetapi tidak menepati."

Orang tua itu menjawab, "Jika anda melepaskan aku nescaya aku ajarkan padamu doa yang sangat berguna bagimu."

"Apakah doanya itu?" tanya Abu Hurairah.

"Jika kamu akan tidur ditempat tidurmu, maka bacalah ayat Al-Kursyi sesungguhnya kamu akan dijaga oleh malaikat yang ditugaskan oleh Allah untuk menjagamu. Dan semalaman itu kamu tidak akan didekati oleh syaitan hingga pagi hari," jawab orang tua itu.

Kemudian keesokan paginya seperti biasa Abu Hurairah ditanya lagi oleh Nabi SAW  tentang tawanannya.

"Hai Abu Hurairah, apakah yang telah dilakukan oleh tawananmu semalam?"

Jawab Abu Hurairah, "Ya Rasulullah, dia telah mengajarkan doa padaku yang sangat berguna padaku."

Rasulullah SAW  bertanya, "Apakah doa yang telah diajarkan kepadamu itu?"

"Dia berkata, sebelum aku tidur bacalah ayat Al-Kursyi terlebih dahulu kerana barangsiapa yang membaca ayat tersebut maka Allah menyuruh malaikat menjaganya hingga pagi dan tidak didekati oleh syaitan."

Rasulullah SAW berkata, "Dia telah berkata benar kepadamu, padahal dia adalah pendusta. Tahukah kamu siapakah orang tua itu?"

Jawab Abu Hurairah, "Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui."

Rasulullah berkata, "Ketahuilah Abu Hurairah, orang tua itu adalah syaitan."

Sahabat yang dimuliakan,
Bagaimana liciknya iblis laknatullah untuk menipu sahabat Nabi SAW hingga tiga kali berjanji untuk tidak mencuri kurma dalam simpanan baitulmal tetapi dia mungkiri. Mungkin ada hikmah di balik peristiwa ini apabila iblis laknatullah menceritakan kebaikan ayat Kursyi bahawa sesiapa yang mengamalkan sebelum tidur dia akan dijaga oleh malaikat dan dia terhindar daripada gangguan syaitan dan iblis. Semoga kita dapat amalkan ayat Kursyi setiap hari dan terhindar daripada godaan dan hasutan iblis dan syaitan.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML