Saturday, March 8, 2014

KEAMPUNAN ALLAH

Allah Suka Memberi Keampunan



Sahabat yang dirahmati Allah,
Dalam sebuah hadis Qudsi Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :
"Wahai anak Adam!
Setiap kali engkau memohon dan mengharap kepada-Ku, Aku tetap mengampunimu atas segala dosa yang engkau lakukan, dan Aku tidak peduli.

Wahai anak Adam!
Andaikata dosa-dosamu sampai setinggi langit, kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampunimu.


Wahai anak Adam!
Andai kata engkau datang kepada-Ku dengan dosa sepenuh bumi, kemudian engkau menemui-Ku, sedang engkau tidak menyekutukan Daku dengan sesuatu pun, nescaya Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi pula."

(Riwayat at-Tirmizi daripada Anas r.a.)

Kefahaman atau pengajaran yang sangat jelas menghuraikan Hadis Qudsi di atas ialah menggambarkan betapa Allah s.w.t. sangat suka memberi keampunan dan kemaafan. Allah sentiasa menunggu hamba-hamba-Nya yang mahu bertaubat serta memohon keampunan kepada-Nya.

Allah bersifar Al-Ghaffar, ertinya Yang Maha Pengampun. Keluasan maghfirah-Nya tiada batas. Sehinggakan seseorang yang berulang kali membuat dosa dan berulangkali bertaubat tetap juga diampuni oleh Allah s.w.t. selagi dosa itu bukan mensyirikkan-Nya.

Selalulah beristighfar dan meminta ampun kepada Allah s.w.t. Kita tidak akan terlepas daripada dosa, samaada di sedari atau tidak. Dan tidak ada yang lebih bahagia selain mereka yang mendapat rahmat dan keampunan Allah s.w.t. Lebih-lebih lagi keampunan yang diperolehi pada saat-saat terakhir hidupnya.

Sahabat yang dimuliakan,
Allah s.w.t menyuruh kita bersifat pengampun kerana orang yang boleh memaafkan kesalahan orang lain, kesalahannya mudah diampunkan oleh Allah. Pernah berlaku seorang sahabat Nabi s.a.w. tidak mahu memaafkan khadamnya yang menyebarkan fitnah terhadap seorang isteri Nabi. Lalu turun perintah Allah s.w.t. agar orang-orang Mukmin memberi maaf dan berlapang dada. Sambil Allah s.w.t. bertanya : "Apakah kamu tidak menyukai Allah menutup (kesalahan, aib dan dosa) kamu? Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(Surah An-Nur ayat 22)

Ertinya, orang yang boleh mencontohi sifat mulia ini tidak akan mendedahkan aib atau keburukan orang lain kerana tidak mahu aib dan keburukannya didedahkan oleh Allah s.w.t. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : "Tidak seorang manusia pun menutupi aib orang lain di dunia kecuali Allah menutupi aibnya pada Hari Qiyamat."
(Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a)

Akhirkata, marilah sama-sama kita muhasabah diri kita setiap hari. Mohonlah ampun kepada Allah setiap masa dan saat. Basahkan lidah kita dengan beristighfar dan bertaubat kepada Allah s.w.t. samaada dosa-doas kecil atau di atas kelalaian kita tidak melaksanakan amanah dan perintah-perintah Allah. Orang Mukmin merasai dosa yang kecil dilakukan seolah-olah besar seperti gunung. Tetapi orang fasik merasai dosa besar yang dilakukan hanya kecil seperti lalat dan tak rasa bersalah.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML