Saturday, March 8, 2014

KUNCI SYURGA

Kunci Syurga adalah Kalimah Tayyibah.



Sahabat yang dirahmati Allah,
Terdapat satu dailog di antara seorang pemuda Arab Islam dengan paderi Kristian. Peristiwa ini berlaku disalah satu gereja di Amerika Syarikat. Paderi tersebut memahami bahawa kunci untuk memasuki Syurga adalah Kalimah Tayyibah. Dengan dailog ini semoga kalian dapat memahami bahawa al-Qur'an adalah kita suci yang lengkap dan sempurna dan boleh menyelesaikan semua perso'alaan hidup manusia..

Ada seorang pemuda Arab yang baru selesai pengajiannya di Amerika. Pemuda ini adalah salah seorang yang diberi nikmat oleh Allah berupa pendidikan agama Islam bahkan dia mampu mendalaminya. Selain belajar, dia juga seorang jurudakwah Islam. 

Ketika berada di Amerika, dia berkenalan dengan salah seorang Nasrani. Hubungan mereka semakin akrab, dengan harapan semoga Allah s.w.t. memberinya hidayah masuk Islam. 

Pada suatu hari mereka berdua berjalan-jalan di sebuah perkampungan di Amerika dan melintas dekat sebuah gereja yang terdapat di kampung tersebut. Temannya itu meminta agar dia turut masuk ke dalam gereja. Mula-mula dia keberatan, namun kerana desakan akhirnya pemuda itu pun memenuhi permintaannya lalu ikut masuk ke dalam gereja dan duduk di salah satu bangku dengan hening, sebagaimana kebiasaan mereka. 

Ketika paderi masuk, mereka serentak berdiri untuk memberikan penghormatan lantas kembali duduk. Di saat itu, si paderi agak terkejut ketika melihat kepada para hadirin dan berkata, "Di tengah kita ada seorang Muslim. Aku harap dia keluar dari sini." 

Pemuda Arab itu tidak bergerak dari tempatnya. Paderi tersebut mengucapkan perkataan itu berkali-kali, namun dia tetap tidak bergerak dari tempatnya. Hingga akhirnya paderi itu berkata, "Aku minta dia keluar dari sini dan aku menjamin keselamatannya. " Barulah pemuda ini beranjak keluar. 

Di ambang pintu, pemuda bertanya kepada sang paderi, "Bagaimana anda tahu bahawa saya seorang Muslim?" Paderi itu menjawab, "Dari tanda yang terdapat di wajahmu." 

Kemudian dia beranjak hendak keluar. Namun, paderi ingin memanfaatkan kehadiran pemuda ini dengan mengajukan beberapa pertanyaan, tujuannya untuk memalukan pemuda tersebut dan sekaligus mengukuhkan agamanya. Pemuda Muslim itupun menerima pelawaan debat tersebut. 

Paderi berkata, "Aku akan mengajukan kepada anda 22 pertanyaan dan anda harus menjawabnya dengan tepat." 
Si pemuda tersenyum dan berkata, "Silakan!" 

Si Paderi pun mulai bertanya, "Sebutkan satu yang tiada duanya, dua yang tiada tiganya, tiga yang tiada empatnya, empat yang tiada limanya, lima yang tiada enamnya, enam yang tiada tujuhnya, tujuh yang tiada lapannya, lapan yang tiada sembilannya, sembilan yang tiada sepuluhnya, sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh, sebelas yang tiada dua belasnya, dua belas yang tiada tiga belasnya, tiga belas yang tiada empat belasnya.." 

"Sebutkan sesuatu yang dapat bernafas namun tidak mempunyai ruh! Apa yang dimaksud dengan kubur berjalan membawa isinya? Siapakah yang berdusta namun masuk ke dalam syurga? Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah namun Dia tidak menyukainya? Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dengan tanpa ayah dan ibu!" 

"Siapakah yang tercipta dari api, siapakah yang diazab dengan api dan siapakah yang terpelihara dari api? Siapakah yang tercipta dari batu, siapakah yang diazab dengan batu dan siapakah yang terpelihara dari batu?" 

"Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap besar! Pohon apakah yang mempunyai 12 ranting, setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah naungan dan dua di bawah sinaran matahari?" 


Mendengar pertanyaan tersebut, pemuda itu tersenyum dengan keyakinan kepada Allah. Setelah membaca "Bismillah.. ." dia berkata, 

-Satu yang tiada duanya ialah Allah s.w.t... 

-Dua yang tiada tiganya ialah Malam dan Siang. Allah s.w.t. berfirman, "Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda (kebesaran kami)." (Al-Isra': 12). 

-Tiga yang tiada empatnya adalah kesilapan yang dilakukan Nabi Musa ketika Nabi Khidir menenggelamkan sampan, membunuh seorang anak kecil dan ketika menegakkan kembali dinding yang hampir roboh. 

-Empat yang tiada limanya adalah Taurat, Injil, Zabur dan al-Qur'an. 

- Lima yang tiada enamnya ialah Solat lima waktu. 

-Enam yang tiada tujuhnya ialah jumlah Hari ketika Allah s.w.t. menciptakan makhluk. 

-Tujuh yang tiada lapannya ialah Langit yang tujuh lapis. Allah s.w.t. berfirman, "Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Rabb Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang." (Al-Mulk: 3). 

-Lapan yang tiada sembilannya ialah Malaikat pemikul Arsy ar-Rahman. Allah s.w.t. berfirman, "Dan malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada hari itu lapan orang malaikat menjunjung 'Arsy Rabbmu di atas (kepala) mereka." (Al-Haqah: 17). 

-Sembilan yang tiada sepuluhnya adalah mukjizat yang diberikan kepada Nabi Musa iaitu: tongkat, tangan yang bercahaya, angin taufan, katak, darah, kutu dan belalang. 

-Sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh ialah Kebaikan. Allah s.w.t. berfirman, "Barang siapa yang berbuat kebaikan maka untuknya sepuluh kali ganda." (Al-An'am: 160). 

-Sebelas yang tiada dua belasnya ialah jumlah Saudara-Saudara Nabi Yusuf. 

-Dua belas yang tiada tiga belasnya ialah Mukjizat Nabi Musa yang terdapat dalam firman Allah, "Dan (ingatlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman, "Pukullah batu itu dengan tongkatmu." Lalu memancarlah daripadanya dua belas mata air." (Al-Baqarah: 60). 

-Tiga belas yang tiada empat belasnya ialah jumlah Saudara Nabi Yusuf ditambah dengan ayah dan ibunya. 

-Adapun sesuatu yang bernafas namun tidak mempunyai ruh adalah waktu Subuh. Allah s.w.t. berfirman, "Dan waktu subuh apabila fajarnya mulai menyingsing. " (At-Takwir: 18). 

-Kubur yang membawa isinya adalah Ikan yang menelan Nabi Yunus AS. 

-Mereka yang berdusta namun masuk ke dalam syurga adalah saudara-saudara Nabi Yusuf, yakni ketika mereka berkata kepada ayahnya, "Wahai ayah kami, sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf di dekat barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala." Setelah kedustaan terungkap, Yusuf berkata kepada mereka, "Tak ada cercaan terhadap kamu semua." Dan ayah mereka Ya'qub berkata, "Aku akan memohonkan ampun bagimu kepada Rabbku. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Yusuf:98) 

-Sesuatu yang diciptakan Allah namun tidak Dia sukai adalah suara Keldai. Allah s.w.t. berfirman, "Sesungguhnya sejelek-jelek suara adalah suara keldai." (Luqman: 19). 

-Makhluk yang diciptakan Allah tanpa bapa dan ibu adalah Nabi Adam, Malaikat, Unta Nabi Soleh dan Kambing Nabi Ibrahim. 

-Makhluk yang diciptakan dari api adalah Iblis, yang diazab dengan api ialah Abu Jahal dan yang terpelihara dari api adalah Nabi Ibrahim.. Allah s.w.t. berfirman, "Wahai api dinginlah dan selamatkan Ibrahim." (Al-Anbiya': 69). 

-Makhluk yang terbuat dari batu adalah Unta Nabi Soleh, yang diazab dengan batu adalah tentara bergajah dan yang terpelihara dari batu adalah Ashabul Kahfi (penghuni gua). 

-Sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap perkara besar adalah Tipu Daya Wanita, sebagaimana firman Allah s.w.t. "Sesungguhnya tipu daya kaum wanita itu sangatlah besar." (Yusuf: 28). 

-Adapun pohon yang memiliki 12 ranting setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah teduhan dan dua di bawah sinaran matahari maknanya: Pohon adalah Tahun, Ranting adalah Bulan, Daun adalah Hari dan Buahnya adalah Solat yang lima waktu, Tiga dikerjakan di malam hari dan Dua di siang hari. 

Paderi dan para hadirin merasa takjub mendengar jawapan pemuda Muslim tersebut. Kemudian dia pun mula hendak pergi. Namun dia menghentikan niatnya dan meminta kepada paderi agar menjawab satu pertanyaan saja. Permintaan ini disetujui oleh paderi. 

Pemuda ini berkata, "Apakah kunci syurga itu?" 

Mendengar pertanyaan itu lidah paderi menjadi kelu, hatinya diselimuti keraguan dan rupa wajahnya pun berubah. Dia berusaha menyembunyikan kekuatirannya, namun tidak berhasil. Orang-orang yang hadir di gereja itu terus mendesaknya agar menjawab pertanyaan tersebut, namun dia cuba mengelak. 

Mereka berkata, "Anda telah memberikan 22 pertanyaan kepadanya dan semuanya dia jawab, sementara dia hanya memberi cuma satu pertanyaan namun anda tidak mampu menjawabnya! " 

Paderi tersebut berkata, "Sesungguh aku tahu jawapannya, namun aku takut kamu marah." 

Mereka menjawab, "Kami akan jamin keselamatan anda. " 

Paderi pun berkata, "Jawapannya ialah: Asyhadu An La Ilaha Illallah , Wa Asyhadu Anna Saiyidina Muhammadar Rasulullah." 
Lantas paderi dan orang-orang yang hadir di gereja itu terus memeluk agama Islam.. Sungguh Allah telah menganugerahkan kebaikan dan menjaga mereka dengan Islam melalui tangan seorang pemuda Muslim yang bertakwa. 


NOTA: 
Ini adalah artikel sulung dari qasha dan merupakan sebuah artikel yang cukup bagus. Ia dapat menyedarkan kita agar membaca dan memahami isi kandungan Al-Qur'an bagi membolehkan kita menangkis tohmahan dan menjawab pertanyaan orang-orang kafir. 

Saya pernah membaca dari satu buku bahawa sebenarnya paderi Kristian tahu bahawa Kunci Syurga itu adalah Dua Kalimah Syahadah. Kerana itu (kononnya) apabila nazak seorang Kristian, maka paderi akan datang membisikkan kalimah itu ke telinganya dengan harapan dia akan mati dalam Islam. 

Saya tidak pasti sama ada dakwaan ini (membisikkan ke telinga orang nazak) benar atau tidak. Namun saya pasti ahli kitab Kristian tahu bahawa Kunci Syurga adalah Dua Kalimah Syahadah. Cuma, mereka tidak mahu mengaku (kebenaran Islam) kerana bimbang akan kehilangan pangkat dan kedudukan duniawi. 

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Syurga yang indah ciptaan Allah SWT adalah satu tempat yang disediakan oleh Allah SWT sebagai balasan kepada golongan jin dan manusia yang mengabdikan diri mereka kepada Allah SWT ketika di dunia ini. Sebagaiaman firman Allah SWT yang bermaksud : “Aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaku” (Surah Az-Zariyat ayat 56).

Berdasarkan maksud firman Allah SWT. yang dinyatakan di atas ketahuilah kita bahawa tiada tujuan lain Allah SWT. menjadikan kita di muka bumi ini melainkan semata-mata untuk beribadah kepada-Nya. 

Maksud beribadah atau mengabdikan diri kepada-Nya di dunia ini adalah meragkumi beriman dengan penuh yakin dengan rukun Iman dan rukun Islam , dengan melaksanakan segala perintah-perintah-Nya dan meninggalkan semua larangan-Nya.

Firman Allah SWT yang. bermaksud: “... iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”(Surah Ar-Rum ayat 30)

Terdapat dua kunci yang boleh membuka pintu syurga iaitu :

Pertama : Mengucap dua kalimah syahadah.

Kedua : Bertakwa kepada Allah SWT.

Huraiannya :

Pertama : Mengucap dua kaliamh syahadah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawasanya aku adalah rasul Allah. Tidaklah seorang hamba yang bertemu Allah dengan dua kalimah ini tanpa sebarang syak melainkan akan masuk syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)

Sabda baginda lagi dalam hadis yang lain yang bermaksud:
 “Barangsiapa yang bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan ba­hawa Muhammad adalah utusan Allah, nescaya Allah haramkan ke atasnya neraka.” (Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW telah meletakkan syarat bagi mencapal kelebihan kalimah mulia ini mestilah dengan ilmu. Sabda Nabi SAW dalam hadis riwayat Muslim, yang bermaksud :

“Barangsiapa mati dalam keadaan dia mengetahui bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah, nescaya dia masuk syurga.”

Syahadah atau penyaksian

لا إله إلا الله محمد رسول الله

Membawa maksud: "Suatu iktikad yang kukuh bahawa tiada tuhan yang berhak dan layak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah yang tidak ada sekutu bagi-Nya dan bahawa nabi Muhammad adalah hamba dan pesuruh Allah."

Melaksanakan segala tuntutan dua kalimah syahadah ini adalah dengan membebaskan jiwa raga daripada perhambaan kepada sesama makhluk kepada perhambaan kepada Allah SWT serta mengelakkan diri daripada mengikut petunjuk selain petunjuk Rasulullah SAW.

Kedua : Bertakwa kepada Allah SWT. 

Allah Subhana Wa Ta'ala berfirman maksudnya : “Katakanlah, ‘Mahukah aku kabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?’ Bagi orang-orang yang bertakwa (tersedia) di sisi Tuhan mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, serta pasangan-pasangan yang suci, dan keredaan dari Allah. Dan Allah Maha Melihat hamba-hamba-Nya; (iaitu) orang-orang yang berdoa, ‘Ya Tuhan kami, kami benar-benar beriman, maka ampunilah dosa-dosa kami, dan lindungilah kami dari azab neraka.’ (Juga) orang yang sabar, orang yang benar, orang yang taat, orang yang menginfakkan hartanya, dan orang yang memohon ampunan pada waktu sebelum fajar.” (Surah Ali- Imran [3] ayat 15–17)

Takwa adalah memelihara diri dari seksaan Allah SWT dengan mengikuti segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya; tidak cukup di maksudkan dengan takut saja. Adapun maksud lain dari takwa adalah:

1. Melaksanakan segala perintah Allah SWT.

2. Menjauhkan diri dari segala yang dilarang Allah SWT (perkara-perkara yang di haramkan)

3. Reda (menerima dan ikhlas) dengan hukum-hukum dan ketentuan Allah SWT. Dan reda dengan qada dan qadar-Nya.

Apakah yang dimaksudkan denga takwa? 

Menurut Saidina Ali bin Ali Talib k.wj., takwa adalah takut dari ancaman Allah SWT., beramal sesuai dengan al-Quran, bersyukur dengan nikmat yang banyak, reda dengan yang sedikit dan bersiap-siap untuk masa yang panjang. Ini selaras dengan perintah Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hasyr ayat 18)

Dalam firman Allah SWT yang lain pula: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim.” (Surah Ali- Imran ayat 102)

Individu yang bertakwa adalah insan yang mampu mewujudkan nilai Islam secara menyeluruh dalam dirinya. Pada dirinya terpadu nilai Islam yang akan melaksanakan segala tuntutan Islam, nilai iman yang sempurna keislamannya iaitu membenarkan segala nilai Islam secara total dari sudut hati, fikiran dan fizikal dan nilai Ihsan yang mempunyai nilai iman yang sempurna iaitu menghambakan diri hanya kepada Allah SWT, merasa kehadiran dan pengawasan Allah SWT. serta kebersamaan dengan-Nya. 

Kemudian nilai-nilai Islam ini akan mampu diserapkan dalam keluarga, masyarakat dan umat keseluruhan.

Individu yang bertakwa adalah individu yang mempunyai tahap kematangan yang sempurna. Sifat takwa ini wujud dari amal ibadah yang disertai oleh hati, fikiran dan anggota badan dan menyerah diri secara menyeluruh kepada Allah SWT.

Untuk menjadi hamba yang beriman dan bertakwa adalah beramal untuk kepentingan akhirat dan bukannya nafsu yang meruntun jiwa untuk tunduk kepada kepentingan dunia dan harta benda. Seluruh fizikal, fikiran dan hatinya apabila melakukan sesuatu amal hanyalah menjurus semata-mata untuk mencapai reda Allah SWT iaitu melaksanakan segala yang diperintah dan meninggalkan larangan-Nya. Inilah yang dinamakan sebagai individu yang beriman dan bertakwa dan mempunyai jiwa bebas dan merdeka serta berjiwa besar dan berkepimpinan kerana mampu memimpin dirinya dan menahan diri dari desakan yang bersifat sementara dan mengarahkan tujuan kepada matlamat yang lebih kekal.

Sekiranya hakikat ini benar-benar difahami, sudah tentu tiada yang terlepas pandang berkaitan hakikat iman dan takwa ini.

Menurut Ibnu Taimiyah:
“Orang yang terpenjara adalah orang yang hatinya dihalangi dari Tuhannya, sedangkan orang yang ditawan adalah orang yang ditawan oleh hawa nafsunya”

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita beramal diatas tuntutan dua kalimah syahadah yang sering kita ucapkan berulang-ulang ketika membaca tahyat akhir di dalam solat dan juga menjadikan takwa sebagai pakaian hidup kita. Jika kita istiqamah dan menghayati sepenuhnya dua perkara di atas maka kita telah menyediakan kunci-kunci pintu syurga yang akan kita bawa bersama ketika kita bertemu dengan Allah SWT di hari akhirat nanti.

Wallahua'lam 
Semana kaya atau besar...tetap Allahu Akbar!!!! Ittaqullah!! !!! 
Ya Allah, Kembalikanlah kami dalam keadaan KAU redha seluruh kehidupan kami. amin. 

Kerana Allah SWT kita ditemukan... .Andai Terpisah...Itu ketentuan...


wallahualam...

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML