Sirah Sahabat : Juwaibar Munajat di Malam Pertama
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Begitu jauh Juwaibar merenung kehadapan.Meskipun dia termasuk dikalangan sahabat-sahabat yang baru memelik Islam, jiwanya sungguh bahagia dapat membantu perjuangan Rasulullah s.a.w menyebarkan Islam . Kehidupannya dibangsal As-Suffah yang menempatkan saudara baru yang memeluk Islam tidak sedikitpun merasa susah.
Cuma dia merasa terharu apabila Rasulullah SAW mencadangkan sesuatu yang tidak diduganya. Rasulullah SAW berkata kepada Juwaibar, : “Wahai saudaraku yang setia, aku fikir sekiranya engkau berumah tangga, insya Allah masa depanmu akan bertambah baik dengan adanya isteri yang menguruskan keperluanmu.”
Alangkah terkejutnya Juwaibar mendengar kata-kata Rasulullah SAW. Dia sedar akan wajahnya yang hodoh, bertubuh pendek serta berkulit hitam.
“Wahai Rasulullah, siapalah yang sudi berkahwin dengan saya. Wajah saya hodoh serta bukan daripada keluarga yang terhormat. Saya juga tidak punya wang untuk dijadikan hantaran,” begitu sayu jawapan Juwaibar pemuda Bani Yamamah.
Rasulullah SAW tersenyum simpul dan dengan tenang memujuk Juwaibar, “Wahai Juwaibar, dengan Islam Allah SWT mengangkat martabat kaum yang tertindas menjadi orang yang mulia. Semua manusia sama nilainya di sisi Allah SWT. Putih mahupun hitam, Quraisy mahupun Ajam semuanya anak cucu Adam a.s. Di sisi Allah SWT. yang paling mulia adalah orang yang paling bertakwa. Demi Allah dengan ketakwaan dan keikhlasan engkau termasuk seorang daripada sahabatku yang terhormat.”
Kelu lidah Juwaibar. Menitis air matanya mendengar kata-kata penghargaan Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w terus menyambung lagi, “Ketua kabilah Bayadlah bernama Ziyad bin Labid terkenal dengan kuat beribadah dan keluarganya pula daripada kalangan yang terhormat. Pergilah bertemu Ziyad dan katakan aku meminta dia mengawinkan anak perempuannya yang bernama Zulfar denganmu.” Tergamam Juwaibar. Meskipun hatinya berbunga gembira dengan pujukan Rasulullah s.a.w, namun dia khuatir akan penerimaan Ziyad.
“Ya Allah berilah petunjuk kepadaku. Apa yang harus kulakukan. Apakah Ziyad akan memerima lamaran yang Rasulullah cadangkan? Aku tidak sanggup mengingkari perintah Rasulullah.? Juwaibar terus merintih sambil mengumpul kekuatan untuk melaksanakan perintah Rasulullah s.a.w. Akhirnya digagahi juga langkahnya menuju kerumah Ziyad bin Labid.
Hatinya merasakan bahawa tentunya Ziyad akan menolak lamaran itu disebabkan jurang perbedzaan antara Juwaibar dan Zulfar. Kemiskinan hidupnya tidak pernah mendorong Juwaibar memikirkan untuk hidup berumah tangga. Dia sudah cukup bahagia dengan sentiasa bersungguh-sungguh mentaati perintah Allah s.w.t. serta gigih membantu seruan Rasulullah s.a.w. Keseronokan bagi Juwaibar dirasai apabila sepenuh masanya diisi dengan beribadah kepada Allah s.w.t.
Langkah kaki Juwaibar terasa amat longlai bilamana terpandang kelibat Ziyad duduk berbual bersama kabilahnya. Ditabahkan juga hatinya demi ketaatan kepada Rasulullah s.a.w. Dengan tenang Juwaibar menyampaikan salam Rasulullah SAW. “Wahai Ziyad yang dimuliakan Allah, saya diminta oleh Rasulullah SAW untuk menyampaikan pesanan baginda kepada tuan. Bolehkah saya sampaikan ditempat yang lebih tertutup?”
“Katakanlah sahaja di sini, dihadapan kabilah saya.” Sahut Ziyad tanpa teragak-agak.
“Bukankah di antara kita tidak ada rahsia yang patut disembunyikan. Bagi saya menerima pesanan daripada Rasulullah SAW merupakan satu penghormatan daripada baginda.” Begitu bersinar-sinar wajah Ziyad bin Labid.
Semua mata tertumpu kearah Juwaibar. Terasa payah Juwaibar menyusun sebaik-baik perkataan untuk menyampaikan pesan Rasulullah s.a.w. Dengan suara yang tersekat-sekat Juwaibar berkata, “Rasulullah meminta agar mengahwinkan Zulfar,…putrimu dengan saya…”
“Apakah hanya untuk urusan itu Rasulullah s.a.w mengutusmu? “ tanya Ziyad terkejut. Dia tidak tergamak untuk mengahwinkan Zulfar yang cantik jelita dengan pemuda bernama Juwaibar. Dia berharap semuga anaknya hidup bahagia. Ziyad mengerutkan keningnya lalu menjawab, “Aku tidak akan mengahwinkan Zulfar kecuali dengan pasangan yang sekufu dengannya. Biar aku pastikan dahulu kebenaran kata-katamu daripada mulut Rasulullah s.a.w.”
Alangkah malunya Juwaibar. Dengan perasaan bercampur baur ditinggalkannya Ziyad serta kabilahnya yang masih terkebil-kebil. Meskipan hatinya luka, dia terus memujuk dirinya dengan keyakinan yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.
“Demi Allah, al-Quran diturunkan Allah sebagai petunjuk dan Muhammad diangkat menjadi Rasul bukan untuk orang yang rendah pendiriaannya…”
Juwaibar tidak menyedari Zulfar terdengar rungutannya. Putri Ziyad yang cantik lagi bertakwa itu bergegas menghampiri ayahnya lantas bertanya, “Apakah yang ayah perkatakan kepada Juwaibar sehingga mengecewakannya?”
“Dia mengaku diutus Rasulullah menyuruh ayah mengahwinkanmu dengannya.”Jawab Ziyad dengan nada yang lemah.
“Ayah tidak boleh bersangka buruk terhadapnya. Mustahil Juwaibar berani berbohong atas nama Rasulullah. Panggillah dia semula,”rayu Zulfar dengan penuh yakin.
Akhirnya Ziyad mengalah. Dia menyuruh seorang sahabatnya memanggil semula Juwaibar. Kalau diikutkan hati, malas rasanya Juwaibar berpatah balik. Tetapi kerana menghormati Ziyad, diturutinya juga permintaan itu.Setibanya Juwaibar, Ziyad berkata, “Tunggulah sebentar aku ingin menemui Rasulullah. Tunggu hingga aku pulang semula.”
Setelah sampai dihadapan Rasulullah SAW Ziyad lantas bertanya, “Ya Rasulullah benarkah engkau memerentahkan Juwaibar untuk bertemuku? Benarkah engkau menyuruhku mengahwinkan Zulfar dengan Juwaibar, sedangkan Zulfar ingin ku kawinkan dengan pemuda yang sekufu dengannya?”
Rasulullah SAW. merenung Ziyad dengan pandangan tajam lalu berkata, “Ketahuilah wahai Ziyad, Juwaibar adalah seorang yang bertakwa. Setiap pemuda yang bertakwa sedarjat dengan gadis yang bertakwa. Sudah tentunya mereka sekufu. Tetapi barangkali engkau merasa darjatmu lebih rendah kerana iman Juwaibar lebih tinggi di sisi Allah.”
Ziyad tidak mampu menyangkal penjelasan Rasulullah SAW. Dia termenung memikirkan apa yang diperkatakan Rasulullah SAW. Terlalu buruk pandangannya terhadap Juwaibar. Sedangkan anak gadisnya yang berwajah jelita lebih meyakini keutamaan takwa. Akhirnya Ziyad bersetuju menerima lamaran Juwaibar.
Hari bahagia yang dinanti-nantikan pun tiba. Persiapan dipihak keluarga Zulfar sungguh meriah. Seluruh kabilah Bayadlah bergotong-royong membina rumah besar untuk pasangan pengantin. Berbagai-bagai bentuk kemewahan disediakan. Segalanya bagaikan mimpi buat Juwaibar. Harta kekayaan serta isteri jelita umpama syurga yang dihamparkan. Hati siapa yang tak seronok dengan keadaan yang demikian.
Manakala dipihak Zulfar, kegembiraannya bukan pada harta serta kemewahan. Zulfar merasa bahagia dengan beroleh suami yang bertakwa. Keindahan cahaya takwa dalam diri Juwaibar menawan pandangan mata serta menambat kecintaan hati Zulfar. Apalah ertinya wajah tampan seandainya jiwa ketandusan iman. Keimanan dan ketakwaan dapat menjamin jiwa sentiasa damai dan gembira. Itulah puncak kebahagiaan.
Namun sesuatu yang aneh berlaku dalam rumahtangga yang baru didirikan oleh Juwaibar. Setelah beberapa hari dinikahkan, Juwaibar tidak menghiraukan isterinya Zulfar. Setiap malam dia asyek membaca Al-Qur’an dan solat sunat sehingga ke subuh. Begitulah perlakuannya sehingga merunsingkan Zulfar. Perkhabaran hal Juwaibar itu akhirnya sampai juga kepada pengetahuan Rasulullah s.a.w.
Rasulullah SAW. memanggil Juwaibar dan bertanya kepadanya, “Apakah engkau tidak sukakan perempuan?”
“Bukan begitu ya Rasulullah. Tetapi tidak layakkah saya bersyukur kepada Allah? Saya seorang pemuda miskin, hitam, lagi hodoh. Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang telah mengurniakan saya seorang isteri jelita di samping harta yang banyak dan rumah yang besar. Izinkanlah saya menyatakan rasa syukur saya sekurang-kuramgnya selama tiga malam berturut-turut. Sesudah itu akan saya laksanakan tanggung jawab sepatutnya.” Juwaibar merayu kepada Rasulillah SAW.
Rasulullah SAW. sungguh terharu mendengar penjelasan sahabatnya Juwaibar. Mendalam sungguh ketakwaan Juwaibar hinggakan sepenuh keseronokannya diabdikan dalam munajat kehadrat Allah SWT.Cinta kasih Ilahi telah memenuhi segenap hati Juwaibar bertepatan dengan maksud firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 152 :“Ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari nikmat-Ku.”
Sahabat yang dimuliakan,
Berbahagialah setiap muslimah yang beroleh pasangan hidup seumpama Juwaibar. Ketakwaannya menguasai seluruh keseronokan, kegembiraan serta kebahagiaan.Itulah yang akan mampu membawa setiap insan kepada kebahagiaan yang abadi di hadapan Rabbul Izzati.
Pengajaran yang boleh dijadikan iktibar sirah di atas adalah :
1.Sesorang muslim yang ingin mencari pasangan hidup, mestilah mengutamakan faktor agama iaitu mereka-mereka yang beriman dan bertakwa kepada Allah.
2.Kedua ibu bapa pula untuk memilih calun menantu mestilah utamakan faktor takwa, jangan di pandang pada harta, pangkat dan fizikal semata-mata. Tetapi apabila ada kesemua faktor-faktor tadi ianya adalah lebih baik.
3.Apabila Allah SWT. mengkurniakan harta yang tidak di sangka-sangka, isteri yang solehah dan pangkat kedudukan dalam masyarakat maka kita hendaklah bersyukur kepada Allah SWT.
No comments:
Post a Comment