Kisah Muaz bin Jabal r.a
Muas bin Jabal adalah sahabat Nabi s.a.w. yang sangat alim dan juga pakar dalam persoalan halal dan haram. Bukan mudah untuk mendapat pengikhtirafan seumpama itu.Ketinggian iman dan takwa sebab utama seseorang hamba sepertinya sangat dikasihi Allah dan Rasul-Nya.Bukan mudah seseorang mendapat pengiktirafan seumpama itu, lebih-lebih lagi lidah Rasulullah sendiri yang memberi pengiktiraf tersebut.
Muas bin Jabal, sahabat mulia al-Ansar ini turut serta berbai'ah dengan Rasulullah pada peristiwa Bai'ah Aqabah kedua. Berdasarkan penyertaan dan kondisi itu, dia tergolong daripada kalangan as-Sabiqunal Awwalun iaitu sahabat golongan awal. Selepas itu dia tidak menoleh kebelakang lagi. Dia tidak pernah terlepas dan ketinggalan untuk bersama dengan Rasulullah s.a.w. di dalam apa jua sempena dan peristiwa, di dalam suka dan duka, di dalam ketawa dan air mata.
Kerana keterampilan dan kewibawaannya dalam ilmu fikah dan ilmu wahyu, maka Nabi s.a.w. mengutuskannya ke Yaman sebagai guru pendidik umah. Diterima perlantikan itu dengan penuh ikhlas, beramanah dan bertanggungjawab, bahkan dia sangat berbahagia melaksanakan amanat Nabawi itu. Ikhlas dan tingginya ilmu dan imannya itu disifatkan oleh seseorang temannya : "Seolah-olah terbit dari mulutnya cahaya dan permata yang berkilau."
Semua kemuliaan yang dicapainya adalah kerana ketelusan iman dan kemantapan akidahnya, serta ketinggian budinya hasil siraman hidayah Allah, juga berkat didikan serta kasih sayang Rasulullah s.a.w.
Rasulullah s.a.w. sangat sayang padanya. Limpahan ilmu pengetahuan yang dicapainya hingga menjadi 'lampu ummah' pada sebahagian besar usianya bermula seawal usia kanak-kanaknya lagi. Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. bersabda : "Wahai Muaz, demi Allah, aku sangat mengasihi kamu, maka kamu jangan lupa membacakan setiap kali selepas solat : 'Ya Allah ya Tuhanku, tolonglah daku untuk mengingati-Mu, untuk mensyukuri nikmat-Mu dan untuk mengelokkan ibadahku pada Mu." (Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Imam Ahmad."
Kita dapat mengambil pengajaran dari sirah ringkas Muaz bin Jabal adalah :
1. Ketinggian iman dan takwa menjadi sebab utama seseorang hamba Allah sangat dikasihi Allah dan Rasul-Nya.
2. Kerana dorongan iman dan takwa, seseorang Muslim berusaha untuk menjadi seorang yang terbaik dan melakukan usaha (kerja) yang baik.
3. Kerana suluhan iman dan takwa, hidup seorang Muslim menjadi terarah dan bermatlamat. Seluruh umur menjadi berkat dan segala usaha membuahkan manfaat.
No comments:
Post a Comment