Saturday, March 8, 2014

KISAH NABI IBRAHIM A.S

Kisah Nabi Ibrahim a.s. Dengan Bapanya Di Hari Akhirat

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Abu Hurairah r.a : Nabi SAW bersabda, “(Nabi) Ibrahim bertemu dengan bapanya Aazar pada hari kiamat. Pada muka Aazar terdapat tanda-tanda legam bagaikan terkena asap (akibat ketakutan terhadap kedahsyatan hari kiamat tersebut) dan dicemari dengan debu. Lalu Ibrahim berkata kepadanya, ‘Tidakkah aku telah memberitahumu agar jangan mengingkari daku (seruan dakwahku)?’

Bapanya pun menjawab, ‘Maka pada hari ini aku tidak akan mengingkari kamu.’

Ibrahim pun berkata padanya, ‘Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah berjanji denganku agar tidak menghinakan daku pada hari di mana semua manusia dibangkitkan (dari kubur masing-masing), maka apakah kehinaan yang lebih dahsyat dari kehinaan yang menimpa bapaku yang terjauh dari rahmat (syurga)Mu?’

Allah Azza wa Jalla berfirman : ‘Sesungguhnya aku mengharamkan syurga itu ke atas orang-orang kafir.’

Kemudian dikatakan kepada Ibrahim, ‘Wahai Ibrahim, apakah yang berada di bawah kedua kakimu?’

Lalu Ibrahim pun melihat ke bawah kedua-dua kakinya dan baginda mendapati seekor serigala hutan yang diselaputi oleh tanah berlumpur. Kemudian serigala itu ditangkap dengan dipegang kakinya lalu dicampakkan ke dalam api neraka.”

(Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan seumpamanya dikeluarkan oleh Al-Hakim di dalam Al-Mustadrak dan diringkaskan oleh Al-Bukhari. Dikeluarkan oleh An-Nasa’i di dalam kitab sunannya (As-Sunan Al-Kubra), seperti yang dikatakan oleh Al-Mazzi di dalam kitab Tuhfatul Asyraf)

Sahabat yang dikasihi,
Berdasarkan hadis qudsi diatas jelaslah kepada kita bahawa seorang anak yang soleh (walau pun dia seorang Nabi) tidak mampu memberi pertolongan kepada bapanya yang kafir untuk terselamat daripada seksaan api neraka.

Hadis di atas menjelaskan secara mendalam mengenai orang yang ingkar kepada Allah SWT pada hari kiamat. Kata-kata Nabi Ibrahim a.s pada bapanya bukanlah cercaan, tetapi seolah-olah menyesali sikap bapanya yang enggan menerima dakwahnya semasa hidup di dunia.

Bapa Nabi Ibrahima.s. (Aazar) adalah pembuat patung berhala. Baginda telah berdakwah dan mengajak bapanya yang syirik untuk kembali beriman kepada Allah SWT tetapi beliau enggan dan menentang dakwah baginda.

Keimanan pada hari kiamat adalah tidak bermanfaat kerana tidak beriman ketika hidup di dunia. Bapa tidak dapat memberi manfaat, anak  tidak dapat memberi manfaat , isteri dan suami juga masing-masing tidak akan dapat menolong jika mereka kufur dan syirik kepada Allah SWT. Janji Allah benar bahawa dosa yang tidak akan diampunkan adalah dosa syirik kepada-Nya.

Betapa hinanya orang-orang kafir akan ditukarkan jasad mereka berupa serigala hutan yang berlumpur seperti jasad Aazar yang tukarkan oleh Allah SWT kepada seekor serigala hutan , sehingga Nabi Ibrahim a.s tidak mengenalinya. Inilah hakikat hari kiamat, hubungan kekeluargaan tidak mempunyai erti apa-apa, yang tinggal hanya keimanan yang diadili pada hari kiamat.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita beriman dengan iman yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT dan rukun-rukun iman yang enam. Jauhkan daripada syirik dan menyekutukan kepada Allah SWT kerana mereka yang syirik akan mendapat kehinaan dan penyesalan yang tiada kesudahan dan ketika itu pengakuan beriman tidak akan diterima oleh Allah SWT.Hanya amalan yang ikhlas dan tidak bercampur dengan syirik, riak dan takbur akan diterima oleh Allah SWT.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML