Saturday, March 8, 2014

KHAUF DAN RAJAK

Khauf (Bimbang) dan Raja' (Mengharap) Kepada Allah S.W.T.


Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Menurut Imam Abu Bakr al-warraq (guru al-Ghazali) : "Apabila engkau dengar perihal kaum kafir akan berkekalan di dalam neraka, maka jangan engkau, kerana engkau orang Islam, berasa aman dan terselamat atau terlepas daripada pembalasan seperti orang-orang kafir itu. Sebabnya, urusanmu dan dirimu itu masih di dalam ancaman bahaya. Engkau belum tahu bagaiaman keadaanmu di hujung hayatmu nanti dan betapa nasib dirimu dalan suratan di Lauhul-Mahfudz. Sebab itu, janganlah berasa sedap hati dengan masa gemilangmu sekarang. Di sebalik kegemilangan itu berkemungkinan besar tersembunyi kecelakaan".

Imam al-Ghazali pula berkata, "Jangan terpesona, terpedaya dan berasa terlalu sedap hati dan aman dengan nikmat Islam dan nikmat terlepas daripada kemungkaran, kerana kelurusan di pangkal jalan tidak semestinya lurus juga di hujung jalan. Ambillah iktibar daipada kisah-kisah di kalangan golongan 'abidin dahulu yang dengan tak semena-mena menjadi sesat di hujung jalan, lalu ditimpa 'kecelakaan' pada saat terakhir hayatnya".

Kita tidak boleh berperasaan terlalu yakin yang nikmat Islam yang kita miliki sekarang dapat kekal sehingga akhir hayat kita.

Untuk mengatasi perasaan terlalu yakin ini, kita mesti mempunyai perasaan khauf dan raja'. 


Khauf ialah perasaan bimbang, takut atau cemas kepada Allah. 

Raja' ialah perasaan mengharap kepada Allah.


Biasanya khauf dan raja' juga disebut dengan istilah "harap-harap cemas".


Kita juga kena sentiasa menaruh perasaan cemas, perasaan kalau-kalau, perasaan mana tahu, kerana kuasa mutlak adalah milik Allah.

Selayaknya sebagai hamba kepada Allah, kita kena sentiasa menaruh perasaan mengharap.

Mari pastikan perasaan khauf dan raja' ini telah kita miliki.

Seorang Mukmin Akan Sentiasa Rasa Takut (Khauf) Kepada Allah S.W.T.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hati dan jiwa seorang mukmin yang bertakwa kepada Allah S.W.T. akan sentiasa khauf iaitu rasa gementar dan rasa gerun akan kekuatan dan kebesaran Allah S.W.T. serta takut akan kemurkaan-Nya dengan mengerjakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
      
Firman Allah S.W.T.  yang bermaksud : “Dan kepada Akulah ( Allah ) sahaja hendaklah kamu merasa gerun dan takut bukan kepada sesuatu yang lain”.
( Surah Al-Baqarah ayat 40 )

Seseorang itu tidak akan merasai takut kepada Allah S.W.T.  jika dia tidak mengenal dan mengetahui akan sifat-sifat ketuhanan dan sifat -sifat kesempurnaan bagi zat-Nya. Contoh jika kita meyakini bahawa Allah S.W.T. Maha Melihat dan Maha Mendengar maka akan timbul rasa takut dihati kita untuk melakukan maksiat, dosa dan kemungkaran. Walau pun manusia tidak nampak tetapai Allah Maha Melihat dan memerhatikan sahaja perbuatan kita.

Begitu juga Allah S.W.T Maha Mendengar tuturkata dan perbicaraan kita yang boleh mendatangkan dosa, hinggakan bisikan hati kecil kita Dia tetap mendengarnya, oleh itu kita tidak boleh lari daripada pengetahuan Allah S.W.T.

Orang jahil akan membuat sesuatu perbuatan dan amalan tanpa merujuk adakah perbuatan tersebut dilarang oleh Allah S.W.T. atau tidak. Itu sebab orang jahil akan membuat sesuatu perkara maksiat atau dosa tidak ada perasaan takut dan dia melanggarnya tanpa rasa bersalah. Oleh itu ilmu adalah satu perkara penting untuk kita pelajari kerana dengan mengetahui hukum hakam dan jenis-jenis seksaan yang akan diterima di hari akhirat nanti seseorang itu akan berfikir dua kali sebelum melakukan tindakan yang bertentangan dengan kehendak Allah S.W.T. Dalam satu hadis Nabi S.W.T. salah seorang yang akan dimasukkan ke dalam neraka tanpa hisab adalah orang jahil yang melakukan maksiat tanpa mengetahui bahawa perkara itu boleh mendatangkan dosa. Dengan kejahilannya tidak boleh dijadikan alasan untuk melepaskan diri daripada balasan Allah di hari akhirat nanti kerana keengganannya menuntut ilmu.

Sahabat yang dimuliakan,           
Martabat manusia ditentukan oleh akhlaknya. Bermula daripada pendidikan awal di dalam keluarga. Menanamkan sifat yang jujur. Membentuk akhlak umat harus bermula dengan menanam sahsiah pada keluarga. Pembinaan kerohanian anggota keluarga dilaksanakan dengan tarbiah dan pembentukkan nilai-nila murni dengan menanamkan rasa khauf (takut) kepada Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. :

تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ 

Maksudnya : "Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdoa kepada Tuhan mereka dengan penuh rasa takut (khauf) dan harap, dan mereka menafkahkan sebagian dari rezki yang Kami berikan kepada mereka" (Surah as-Sajadah ayat 16)

Kata khauf yang bererti takut, terdapat di dalam Al Quran sebanyak 134 kali, dan juga  kata “Khasy-syah” yang juga bererti takut terdapat sebanyak 84 kali. Allah SWT menjadikan kehidupan di dunia ini ibarat ruang ujian, yang harus ditempuh oleh manusia.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Mahasuci Allah yang menguasai (segala) kerajaan, dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu, yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Mahaperkasa, Maha Pengampun." (Surah al-Mulk ayat 1-2)    

Rasa takut (khauf) merupakan sifat kejiwaan dan kecenderungan dan tertanam di dalam hati manusia, dan memiliki peranan penting dalam kehidupan kejiwaan manusia. 
Sayyidina Ali bin Abi Thalib k.wj.  berkata: “MAN KHAAFA AAMANA”, barangsiapa yang takut, aman!”
Kalau kita tidak takut hujan, kita tidak akan sedia payung, bila kita tidak takut sakit kita tidak berupaya meningkatkan kesihatan kita.

Islam tidak memandang rasa takut yang ada dalam diri manusia sebagai aib yang harus dihilangkan. Namun demikian, rasa takut akan menjadi sesuatu yang buruk apabila seseorang tidak mampu mengatur dan menyalurkan rasa takutnya, apalagi bila rasa takut itu jadi penghalang kemajuan, kebebasan dan kehormatannya. 

Ali bin Abi Thalib k.wj menasihati kita: “Kalau kalian bertekad melakukan sesuatu, maka arungilah. Kerana bayangan bencana terlihat lebih besar dari yang sebenarnya.”
Jadi sesungguhnya menunggu datangnya bencana lebih buruk dari bencana itu sendiri. Kerana lebih baik kita melakukan persiapan dan menyusun kekuatan batin menghadapi sesuatu yang akan datang. 

Al Quran telah menggambarkan rasa takut yang timbul pada jiwa para rasul dan hamba-hamba Allah yang soleh, meskipun mereka adalah manusia pilihan yang terkenal suci dan bersih. Allah SWT berfirman:

وَأَوْحَيْنَا إِلَى أُمِّ مُوسَى أَنْ أَرْضِعِيهِ فَإِذَا خِفْتِ عَلَيْهِ فَأَلْقِيهِ فِي الْيَمِّ وَلاَ تَخَافِي وَلاَ تَحْزَنِي إِنَّا رَادُّوهُ إِلَيْكِ وَجَاعِلُوهُ مِنَ الْمُرْسَلِينَ

Maksudnya : “Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: 'Susukanlah dia, dan apabila kamu takut (khawatir) maka hanyutkanlah ia ke dalam sungai (Nil). Dan janganlah kamu takut dan (jangan pula) bersedih hati. Kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang) dari para rasul." (Surah al Qashash ayat 7) 

Takut (al khauf) adalah masaalah yang berkaitan dengan kejadian yang akan datang. Khauf merupakan salah satu syarat iman dan melaksanakan hukum-hukumnya. 

Takut kepada Allah adalah rasa takut yang harus dimiliki setiap hamba. Kerana rasa takut itu mendorong untuk meningkatkan amal kebaikan dan bersegera dalam meninggalkan semua yang dilarang-Nya. Rasa takut kepada Yang Maha Kuasa adalah salah satu tanda keimanan kepada-Nya. Dengan adanya rasa takut, timbul rasa harap (rajaa’) akan maghfirah (ampunan), ‘inayah (pertolongan), serta rahmat Allah dan reda-Nya. Sehingga hakikat "iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’iin" (kepada Engkaulah kami sembah dan kepada Engkaulah kami minta pertolongan) benar-benar terpahat dalam hati seorang hamba. 

Di saat manusia merasakan getaran rasa takutnya kepada Allah, maka saat itu bererti mereka memiliki rasa takut pula akan ancaman azab yang Allah sediakan bagi orang-orang yang durhaka kepada-Nya. Makrifah (pengetahuan) akan sifat Allah akan mengantarkan ke dalam pengetahuan tentang azab-Nya.

Seorang hamba yang soleh, dan merealisasikan hakikat kehambaannya dengan senantiasa mengamalkan perintah-Nya dan mengamalkan pula semua ajaran rasul-Nya, pasti akan memilki rasa takut yang mendalam terhadap azab yang mengancamnya. Sikap ini akan melahirkan selalu waspada, sehingga tidak ada amal atau prilaku yang mengarah kepada hal-hal yang menjadikan Allah murka dan menjadikan dirinya durhaka kepada Allah. 
Allah SWT berfirman: 
قُلْ إِنِّي أَخَافُ إِنْ عَصَيْتُ رَبِّي عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ

Maksudnya : “Katakanlah: 'Sesungguhnya aku takut akan seksaan hari yang besar jika aku durhaka kepada Tuhanku.” (Surah az Zumar ayat 13)

Sahabat yang dikasihi,
Sesungguhnya rasa takut kepada Allah itu merupakan salah satu perasaan yang diciptakan dalam diri manusia untuk memotivasi seseorang menjaga nilai-nilai Ilahi. Orang yang benar dalam jiwanya rasa takut kepada Allah S.W.T. akan merasakan rahmat-Nya, baik dalam kehidupan duniawi maupun ukhrawi.

Marilah kita bina rasa takut dan gerun kepada Allah S.W.T. akan menghindarkan diri kita daripada melakukan perkara yang ditegah oleh-Nya dan seterusnya patuh dan tekun mengerjakan perkara yang disuruh-Nya dengan hati yang khusyuk dan ikhlas.

Seorang Mukmin Sentiasa Memiliki Sifat Khauf (Takut) dan Sifat Rajak (Mengharap )

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dalam usaha mendidik diri dan berhadapan dengan pelbagai rintangan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT, terdapat dua sifat yang sering menjadi pendorong dalam beribadah.

Dengan adanya dua sifat ini, seseorang mukmin mampu menyingkirkan rasa bosan dan rasa malas untuk beribadah. Namun kewujudan kedua-dua sifat ini belum tentu menjamin kejayaan jika seseorang mukmin tidak tahu menggunakan sifat-sifat tersebut. Sifat-sifat tersebut ialah Khauf (takut) dan Rajak (mengharap).

Seorang mukmin yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT perlulah ada dua sifat ini terhadap Allah Azzawajalla iaitu perasaan khauf ( takut) dan rajak (mengharap).

Khauf (takut) di saat kematian tidak mendapat husnul khatimah dan takut kepada seksaan hari akhirat iaitu ketika diPadang Mahsyar, Mizan, Siratul Mustakim dan seksaan api neraka yang amat dahsyat dan menyeksakan.

Rajak (mengharap rahmat) dan kasih sayang Allah SWT semoga terpilih disaat kematian mendapat husnul khatimah dan termasuk di dalam golongan orang-orang muttaqin dan solihin dihari akhirat nanti dan diizinkan memasuki syurga Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam surah Az-Zumar, ayat 9 :

يَحْذَرُ الْآَخِرَةَ وَيَرْجُو رَحْمَةَ رَبِّهِ

" Takutkan akhirat (azab di sana) dan mengharapkan rahmat Tuhannya "

Dari Anas r.a berkata, Suatu hari Rasulullah SAW menemui seorang lelaki yang sedang nazak, Rasulullah SAW  berkata kepadanya : "Bagaimanakah keadaan kamu ?"

Lelaki itu menjawab : " Aku takut (khauf) dan aku berharap (rajak) "

Maka Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "Tidak berhimpun di hati seorang hamba seperti keadaan ini, melainkan Allah azza wajalla akan memberikan apa yang diharapkannya, dan memeliharanya dari apa yang ditakutkan."
(Hadis riwayat At-Tirmizi)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa untuk menjadi hamba Allah SWT yang diredai-Nya maka perlu ada pada diri seorang mukmin itu dua sifat iaitu :

Pertama : Khauf (takut).

Kedua : Rajak (mengharap)

Huraiannya :

Pertama : Khauf (Takut)

Khauf membawa erti takut kepada Allah SWT atau pun perasaan bimbang. Ianya merupakan suatu sifat atau perasaan yang datang dalam diri seseorang mukmin.

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya orang yang berhati-hati kerana takut (khasyah) Rabb mereka. Dan orang-orang yang beriman terhadap ayat-ayat Rabb mereka. Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan (sesuatupun) dengan Rabb mereka, Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut (kerana mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Rabb mereka. Mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya." (Surah al-Mukminun ayat 57-61)

Di dalam kitab Musnad Imam Ahmad dan Sunan at-Tirmidzi dari Aisyah r.ha yang berkata: "Aku bertanya kepada Rasulullah tentang ayat ini. (Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut) (Al-Mukminun: 60), apakah mereka adalah orang-orang yang berzina, minum khamr dan mencuri?"

Baginda menjawab, "Tidak wahai (Aisyah) anak Abu Bakar As Siddiq, akan tetapi mereka adalah orang-orang yang berpuasa, melaksanakan solat, bersedekah dan mereka khawatir (amalan mereka) tidak diterima."

Al-Hasan berkata, "Mereka telah beramal demi Allah dengan semua ketaatan-ketaatan dan mereka telah bersunggah-sungguh padanya, serta mereka takut (seandainya amalan-amalan mereka) ditolak. Sesungguhnya seorang mukmin itu menggabungkan antara berbuat baik dengan takut (tidak diterima amalannya), sedangkan orang munafik menggabungkan antara berbuat buruk dengan (merasa) aman (dari seksa Allah)."

Rasa khauf atau takut kepada Allah SWT ini wajib ditanam di dalam diri sebab Allah Maha Hebat seksaan~Nya kepada orang-orang yang menderhakai~Nya. Orang yang derhaka ialah orang yang melanggar larangan Allah dan meninggalkan suruhan Allah.

Dengan adanya rasa takut kepada Allah, seorang mukmin akan berusaha untuk mentaati perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan Allah SWT. Lantas, perbuatan amal kebajikan yang dilakukan atas dasar khauf, bukanlah sebenarnya mengharapkan pahala dari Allh SWT, sebaliknya adalah untuk mengharapkan keampunan Allah atas dosa-dosa yang telah dilakukan.

Rasa khauf atau takut yang dituntut ialah yang menghalang seseorang dari melakukan dosa. Imam Ibnu Abil `Izzi al Hana berkata, "Seorang hamba wajib untuk takut dan berharap (kepada Allah), dan sesungguhnya takut yang terpuji dan yang sebenarnya adalah yang menghalangi pemiliknya dari apa-apa yang diharamkan oleh Allah. Apabila (takut) itu melewati batas, dikhawatirkan dia terjatuh pada sikap putus asa."

Sikap takut yang tidak diimbangi dengan rasa harap, akan menyebabkan seseorang berputus asa dari rahmat Allah.

Kedua : Rajak (Mengharap)

Firman Allah Taala, “…Janganlah kamu berputus asa dari mengharap rahmat Allah. Sesungguhnya tiada yang berputus asa dari mengharap rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.” (Surah Yusuf ayat 87)

Allah SWT. berfirman:

قُلْ يَاعِبَادِي الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنفُسِهِمْ لاَتَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللهِ إِنَّ الله
َ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا  إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ {53}

Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas (melakukan dosa) terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu terputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah Az Zumar ayat 53)

Rajak ialah rasa pengharapan. Mengharapkan kepada Allah. Harapan seorang makhluk kepada Allah SWT sebagai Pencipta. Mengharapkan kurniaan Allah di dunia mahu pun di akhirat. Rasa rajak mesti mengiringi rasa khauf. Rasa pengharapan mesti mengiringi rasa takut. Agar Perasaan takut tidak menjerumuskan seseorang ke lembah putus asa. Begitu juga rasa harap mesti diringi dengan rasa khauf, agar seseorang mukmin tidak terlalu yakin dengan amal perbuatan. Tidak terlalu yakin akhirnya menjerumuskan diri ke arah bongkak, ujub, takbur dan riyak.

Demikianlah bahawa khauf (takut) terhadap seksa Allah SWT di akhirat, di saat berdiri di hadapan mahkamah Rabbul `Alamin dan takut apabila amalan-amalan kebaikannya tidak diterima oleh Allah SWT itu juga harus diiringi dengan rajak (berharap) terhadap rahmat dan ampunan-Nya serta diterimanya amalan-amalannya di sisi Allah SWT. Sebagaimana banyak sekali nash-nash yang menggabungkan antara khauf dan rajak di dalam kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya.

Tujuan di dalami bab ini adalah wajib atas seorang hamba untuk takut terhadap Allah SWT dan berharap kepada-Nya. Jika hamba tersebut melihat kepada dosa-dosanya, dan kepada keadilan Allah serta kerasnya seksaan Allah, dia takut terhadap Rabbnya. Jika dia melihat kepada kurnia-Nya yang umum dan yang khusus dan kepada ampunan-Nya yang luas, dia akan berharap. Jika dia dibimbing untuk menjalankan ketaatan, dia berharap kepada Rabbnya mendapatkan kesempurnaan nikmat tersebut, iaitu diterimanya (amalan) ketaatannya, dan takut (amalan ketaatannya) ditolak disebabkan adanya kekurangan.

Jika dia mendapatkan ujian (iaitu) dengan berbuat maksiat, dia berharap kepada Rabbnya supaya taubatnya diterima dan kemaksiatannya dihapuskan. Dia juga takut mendapatkan hukuman atau seksa atas kemaksiatan itu disebabkan lemahnya taubat dan kecenderungan kepada dosa. Di saat mendapatkan kenikmatan dan kesenangan, dia berharap kepada Allah supaya hal itu tetap dan bertambah serta mendapatkan bimbingan atau taufiq untuk mensyukurinya. Dan dia takut hilangnya hal tersebut disebabkan kurangnya syukur.

Maka seorang mukmin muwahhid (yang beriman lagi bertauhid) di dalam seluruh keadaannya selalu bersifat takut (khauf) dan berharap (rajak). Inilah yang wajib dan inilah yang akan bermanfaat, dan dengannyalah kebahagiaan akan terjadi. Yang ditakutkan atas seorang hamba adalah dua akhlak yang buruk, iaitu rasa takut menguasai dirinya sehingga dia putus asa dari rahmat Allah dan sikap berharap yang membawanya sampai merasa aman dari azab neraka Allah dan seksa-Nya.

Abu Ali ar-Rudzabari berkata, Khauf (takut) dan rajak (berharap) seumpama dua sayap burung, apabila keduanya sempurna, maka sempurnalah burung itu dan sempurnalah terbangnya. Dan apabila satu dari kedua (sayap) nya kurang, maka terjadilah kekurangan padanya (burung itu). Dan apabila kedua (sayap)nya tiada. jadilah burung itu di ambang kematian.

Walaubagaimanapun, ketika di saat ambang kematian, hendaklah seseorang tersebut meletakkan rasa rajak seratus peratus akan keampunan Allah. Berbaik sangka dengan Allah, agar dihujung kalimah kita nanti, Allah mengampuni diri kita dan memasukkan kita di dalam golongan kekasih Allah SWT.

Sahabat yang dihormati,
Menurut Imam Abu Bakr al-Warraq (guru Imam al-Ghazali) : "Apabila engkau dengar perihal kaum kafir akan berkekalan di dalam neraka, maka jangan engkau, kerana engkau orang Islam, berasa aman dan terselamat atau terlepas daripada pembalasan seperti orang-orang kafir itu. Sebabnya, urusanmu dan dirimu itu masih di dalam ancaman bahaya. Engkau belum tahu bagaiaman keadaanmu di hujung hayatmu nanti dan betapa nasib dirimu dalan suratan di Lauhul-Mahfudz. Sebab itu, janganlah berasa sedap hati dengan masa gemilangmu sekarang. Di sebalik kegemilangan itu berkemungkinan besar tersembunyi kecelakaan".

Imam al-Ghazali pula berkata, "Jangan terpesona, terpedaya dan berasa terlalu sedap hati dan aman dengan nikmat Islam dan nikmat terlepas daripada kemungkaran, kerana kelurusan di pangkal jalan tidak semestinya lurus juga di hujung jalan. Ambillah iktibar daipada kisah-kisah di kalangan golongan 'abidin dahulu yang dengan tidak semena-mena menjadi sesat di hujung jalan, lalu ditimpa 'kecelakaan' pada saat terakhir hayatnya".

Oleh itu marilah sama-sama kita merasa takut dengan azab dan seksaan Allah SWT kerana dosa dan maksiat yang kita lakukan, pada masa yang sama kita mengharapkan rahmat dan belas kasihan Allah SWT mengampunkan semua dosa-dosa kita, menerima taubat kita kepada-Nya sebagai hamba yang dhaif dan banyak kesalahan. Mengharapkan pengampunan dan reda-Nya samaada di dunia dan akhirat.

Tanda seorang hamba itu takut kepada Allah SWT dia banyakkan beristighfar supaya terampun segala dosa-dosanya : "Astaghfirullahal Adzim aladzi laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaihi"

Dari Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah lebih suka menerima taubat seorang hamba-Nya melebihi kesenangan seorang yang menemukan kembali tiba-tiba untanya yang telah hilang daripadanya di tengah hutan.” (Bukhari – Muslim)

 Doa Taubat :

"Tuhanku aku tidak layak untuk syurga-Mu, tetapi aku tidak pula sanggup menanggung seksa neraka-Mu, dari itu kurniakanlah ampunan kepadaku, ampunkanlah dosaku, sesungguhnya Engkaulah Pengampun dosa-dosa besar........"

Tanda seorang hamba itu mengharapkan rahmat Allah SWT dia banyak berdoa supaya di kurniakan Allah SWT kebaikan di dunia dan akhirat dan terpelihara daripada seksaan api
neraka.

Firman Allah SWT maksudnya : “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri. Dan jika sekiranya Engkau tidak mengampunkan kami di atas kezaliman yang telah kami lakukan, dan jika sekiranya Engkau tidak memberi rahmat kepada kami, maka nescaya kami akan termasuk dikalangan orang-orang yang rugi di sisi Allah SWT.”…(Surah al-Araaf ayat 23)

Ayat ini dirakam Allah ketika Nabi Adam a.s berdoa dan merintih apabila dia dikeluarkan dari syurga. Dari doa ini kita boleh lihat betapa pentingnya yang kata “rahmat” Allah Itu. Sehingga disebut rugi sekiranya kehidupan kita tidak dirahmati oleh Allah SWT.

Sebagimana firman Allah S.W.T. yang bermaksud :“Dan di antara mereka ada yang berdoa ; ‘Ya Tuhan kami kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa api Neraka.” (Surah al-Baqarah ayat 201)

Doa mohon perlindungan daripada keburukan :

"Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih, Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung padaMu dari hati yang tidak khusyuk, doa yang tidak didengar, jiwa yang tidak merasa puas, dan ilmu yang tidak bermanfaat. Aku memohon perlindunganMu daripada empat macam keburukan ini."

Wallahua'lam..



No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML