Saturday, March 8, 2014

KISAH IBU TUNGGAL

Kisah Ibu Tunggal Yakin Jaminan Rezeki Daripada Allah SWT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Suatu ketika Madinah di timpa kemarau berpanjangan. Bekalan makanan terutamanya gandum makin berkurangan. Harga barang-barang keperluan turut melambung naik. Bagi yang hartawan sibuk membeli dan menyimpan bekalan makanan yang dikhuatiri akan habis di pasaran. Sedangkan rakyat yang miskin berbelanja hanya seadanya sahaja. Tidak tentu bagaimana nasib mereka jika mungkin di pasar kehabisan makanan. Begitu sekali keadaan yang berlaku, kaum yang berada seolah-olah sangat takut jika terpaksa berhadapan dengan kebuluran.

Di sebuah ladang, seorang tuan ladang yang kaya sedang kebingungan. Setiap tahun hasil ladangnya di bahagi tiga . Sepertiga untuk keperluan keluarga sendiri, sepertiga untuk di sedekahkan kepada fakir miskin dan anak-anak yatim dan sepertiga lagi untuk benih tanaman musim berikutnya.

Di sebabkan kemarau, hasil ladangnya turut terjejas dan berkurangan. Sukatan yang biasa di gunakan mengalami masaalah untuk mencukupkan pembahagian . Jika diagihkan sepertiga untuk fakir miskin dan sepertiga untuk keperluan keluarga, yang selebihnya tidak mencukupi untuk sukatan benih tanaman berikutnya. Jika dikurangkan simpanan untuk makanan sepanjang tahun , dikhuatiri keluarganya menghadapi kekurangan makanan. Jika di ambil sedikit bahagian untuk fakir miskin, bererti dia mencuri sedekah yang sudah di janjikan. Masaalah ini sangat memeningkan kepala. Tuan ladang lantas pergi meminta nasihat dari ulama sufi.

Ulama sufi itu mencadangkan kepada tuan ladang : “Di hujung kampung ada seorang ibu tunggal yang kematian suaminya  dengan tujuh orang anak yang masih kecil. Pergilah ke rumah mereka dan berikanlah sedekah makanan.”

Tuan ladang mengikut sahaja cadangan ulama sufi tersebut. Dia segera menuju ke rumah ibu tunggal miskin yang di maksudkan dengan membawa gandum untuk di sedekahkan.

Ibu tunggal : “Ada apa urusan tuan datang ke pondok saya malam begini?”

Tuan ladang : “Saya membawa gandum untuk keperluan makan anak-anakmu.”

Ibu tunggal : “Anak-anak saya sudah tidur.”

Tuan ladang : “Kamu ambil dan simpan sahaja untuk keperluan hari esok.”

Ibu tunggal :” Apakah tuan dapat menjamin anak-anak saya masih hidup lagi esok.?”

Tuan ladang : “Insya Allah, mudah-mudahan masih hidup lagi esok.”

Ibu tunggal : “Jika demikian, hanya Allah sahaja yang dapat menentukan bagaimana keadaan hari esok. Tuhan Yang Maha Pemurah yang menentukan hidup anak-anak saya. Maka Dia jugalah yang akan memberikan rezeki untuk mereka, bukannya tuan. Dalam keadaan kemarau dan semua orang menghadapi kesulitan mendapat bekalan makanan saya tidak dapat menerima pemberian ini. Masih ada orang miskin lain yang lebih memerlukannya untuk makan malam ini. Sudah tentunya tidak patut saya menghalang keutamaan orang lain.

Setiap patah kata-kata ibu tunggal beranak tujuh itu memberi kesan mendalam kepada tuan ladang. Spontan jelas dalam jiwa dan fikirannya, ibu tunggal tersebut berkeyakinan penuh kepada ketentuan rezeki dari Allah. Tidak sedikit pun merasa khuatir walau dalam keadaan genting. Malahan masih mampu mengutamakan keperluan orang lain. Tuan ladang merasa tidak patut sama sekali bagi dirinya yang jauh lebih berkemampuan dari ibu tunggal miskin itu di kalahkan oleh keyakinan yang lemah. Sepatutnya dengan limpahan rezeki yang Allah kurniakan, dia tunduk dan patuh sebagai hamba kepada Yang Maha Pemurah. Juga dengan senang hati mengagih-agihkan rezeki yang telah Allah amanahkan.

Pertemuan dengan ibu tunggal tersebut juga mendorong tuan ladang bersegera membahagikan sepertiga bahagian hasil tuaian tanamannya kepada fakir miskin dan anak-anak yatim ,seperti selalunya. Juga sepertiga untuk benih tanaman berikutnya. Manakala untuk keperluan makanan keluarganya, memadai dengan jumlah yang selebihnya. Kini dia telah benar-benar meyakini agihan rezeki yang adil dari Yang Maha Pemurah. Tiada lagi kekhuatiran di hatinya setelah dia meletakkan kedudukan dirinya sebagai hamba kepada Yang Maha Pemurah.

Sahabat yang dimuliakan,
Apakah keyakinan dan iman kita sama dengan ibu tunggal yang mempunyai tujuh anak pergantungannya hanya kepada Allah SWT seperti kisah di atas? Atau adakah setiap hari apabila keluar bekerja mencari rezeki kita hanya bergantung kepada usaha dan kepandaian kita berniaga dan kecerdikan kita mengaut keuntungan tanpa bergantung langsung dengan Allah SWT?

Perkara inilah yang perlu kita bermuhasabah kerana betapa ramai orang yang berusaha tetapi hati kecilnya tidak pernah merasai bahawa rezeki yang dia perolehi itu datangnya daripada kehendak dan ketentuan daripada Allah SWT.

Kehidupan orang mukmin berbeza dengan kehidupan orang kafir kerana oarng mukmin berusha dan berikhtiar dalam rangka ibadah tetapi pada masa yang sama yakin janji-janji rezeki daripada Allah SWT dan rasa bersyukur apabila usaha dan hajatnya tercapai dan bersabar dan reda jika apa yang diusahakan tidak berhasil. Sebaliknya orang kafir meletakkan usahanya 100% tidak ada langsung mengaitkan usahanya dengan ketentuan rezeki daripada Allah SWT.

Islam sememangnya menganjurkan umatnya sentiasa gigih berusaha mencari rezeki juga membaiki cara hidup. Namun sepenuh pengharapan positif mestilah di serahkan kepada Allah, yang menetapkan kadar rezeki setiap hamba-Nya. Usah sekali-kali kekhuatiran terhadap kepentingan diri sendiri menghalang kita memenuhi hak dan amanah yang telah Allah SWT tetapkan. Sentiasalah ingat kita ini juga adalah hamba kepada Yang Maha Pemurah. Keadaan ini kekal dan tidak berubah sehingga tiba hari perhitungan.

Rasulullah SAW  mengajar kita berdoa untuk memohon kepada Allah SWT. agar mendapat peluang perniaggan dan rezeki yang lumayan, maksudnya :

"Ya Allah, jadikanlah aku antara kalangan hamba-Mu yang mendapat bahagian (pencapaian) yang hebat pada nur yang Engkau kurniakan sebagai hidayah, dan rahmat yang Engkau kurniakan, dan rezeki yang Engkau sebarkan, dan mudharat yang Engkau selamatkan (daripada menimpa hamba-hamba-Mu), dan bala yang Engkau angkatkan (daripada menimpa hamba-hamba-Mu), dan fitnah yang Engkau jauhkan (daripada menimpa hamba-hamba-Mu), dan keburukan yang Engkau hindarkan (daripada menimpa hamba-hamba-Mu)."
(Hadis Riwayat Ibn Abi Syaibah dan al-Tabrani)

Sahabat yang dikasihi,
Pengajaran-pengajaran yang boleh di ambil daripada kisah di atas adalah :

1.Sikap tidak mementingkan diri sendiri dan mementingkan keperluan orang lain adalah satu peribadi yang mulia dan di tuntut oleh Islam.

2.Apabila menghadapi sesuatu masaalah kita di galakkan merujuk permasaalahan kita kepada orang yang lebih arif dan berilmu supaya masaalah tersebut dapat di atasi dengan baik.

3.Sedekah kepada fakir miskin dan anak-anak yatim adalah amalan mulia dan akan di beri ganjaran pahala yang besar oleh Allah SWT.

4.Keyakinan kita yang mutlak bahawa rezeki itu datang dari Allah SWT yang bersifat Maha Pemurah adalah dari keimanan kita kepada Tauhid Rububiyah dan sebagai hamba Allah kita di minta berikhtiar tetapi segala keputusan dan ketetapan datang dari Allah SWT.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML