Enam Cara Boleh Menjana Pahala Di Laman Sosial Facebook
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Satu ketika, terdapat cubaan dari sesetengah orang Islam ingin memulaukan laman sosial Facebook kerana selain ia adalah ciptaan seorang bukan Islam, ia banyak membawa kelalaian kepada umat. Beberapa laman sosial yang agak Islamik diwujudkan. Namun mungkin kerana kurang daya tarikan, ia kurang mendapat sambutan dan akhirnya berkubur begitu sahaja. Facebook juga yang menjadi pujaan hati orang-orang Islam. Yang jelasnya, buat masa sekarang Facebook sudah menjadi kegilaan ramai orang termasuk umat Islam.
Tidak kisahlah ia ciptaan siapa, alangkah baik dan beruntungnya jika seseorang Muslim dapat menjana pahala mudah dengan kemudahan laman sosial ini. Sekurang-kurangnya daripada 3-4 jam seseorang menghadap Facebook dalam satu hari, ada juga pahala yang tercatit di buku amalan, yang diharapkan dapat meneutralkan balik dosa-dosa yang terhasil disebabkan Facebook.
Beberapa amalan mudah dan mampu dibuat oleh sesiapa sahaja untuk menjana kebaikan dan pahala melalui Facebook adalah seperti berikut:
1. Update status anda dengan pengisian yang bermanfaat. Contohnya, menulis di status anda beberapa potong maksud ayat al-Quran, hadis, kata-kata salaf, yang anda rasakan ia akan memberi kesan kepada orang yang membacanya. Jika anda mempunyai 1000 friends, andaikata hanya 10% yang membacanya, ada sudah dikira menyebarkan kebaikan kepada 100 orang dengan cara yang cukup mudah.
Jika daripada 100 orang yang membacanya, hanya 10% yang terkesan dan mengamalkan kandungan status anda, anda sudah dikira menjadi penyebab kebaikan kepada 10 orang, dengan cara yang tidak disangka-sangka.
Tapi awas! jangan terlalu boros dalam membuat pengisian, nanti friends anda akan boring membaca status anda, kerana sudah menjadi tabiat manusia cepat boring dan jemu dengan perkara yang berterusan dan sekata. Pilihlah pengisian yang betul-betul berkualiti dan berkesan. Dan variasikan ia samada dengan tulisan, gambar, video, dan lain-lain.
2. Jika anda terbaca status orang lain yang sangat bermanfaat dan boleh memberi kesan kepada orang lain, apa salahnya anda sebarkan status tersebut. Gunakan kemudahan share untuk tujuan perkongsian, atau copy paste sahaja apa yang anda ingin kongsikan dengan friends anda. Lebih-lebih lagi, bagi pemegang akaun Facebook yang mempunyai list friends yang ramai, boleh membantu menyebarkan kebaikan yang ada pada status seseorang yang mempunyai bilangan friends yang ciput. Mudah-mudahan termasuk dalam bekerjasama dalam dakwah.
3. Anda yang mempunyai maklumat tentang program-program ilmu (yang betul-betul), bolehlah mengiklankan program tersebut di laman Facebook masing-masing dengan memberikan tajuk, nama penceramah, dan jadual pengajian. Manalah tahu, ada kalangan friends kita yang tinggal berhampiran dengan lokasi dan mempunyai kelapangan, boleh mengambil faedah dari majlis-majlis yang berkat.
4. Atas semangat silaturrahim dan atas kesedaran betapa besarnya kewajipan mengeratkan silaturrahim, alangkah baiknya jika setiap kelurga mempunyai group tersendiri yang boleh menghimpunkan segala suku-sakatnya. Dalam group seperti ini, banyak kebaikan dapat dibuat, contohnya bertanya khabar antara ahli keluarga, mengupdate berita-berita keluarga, menyelesaikan permasalahan ahli keluarga secara tertutup dan macam-macam. Walaupun perkara kecil, namun siapa sangka dengan semangat silaturrahim, Allah Taala akan memberkati hidup seseorang.
5. Jika anda mempunyai komen bernas dan bernilai terhadap sesuatu kandungan status orang lain, lakukanlah dengan penuh adab dan sopan seolah-olah anda sedang bercakap dengannya. Mungkin anda yang berpengetahuan tinggi boleh membuat penambahan maklumat, pembetulan kesilapan, pencerahan terhadap kekeliruan, dan lain-lain. Malahan, mungkin komen-komen untuk tujuan tersebut boleh sampai ke tahap fardhu kifayah jika di sana terdapat keperluan mendesak dari sudut Syarak, dan tiada yang boleh melakukannya kecuali anda.
6. Jika mereka yang mempunyai kemusykilan agama, boleh juga menggunakaan laman Facebook sebagai tempat perbincangan. Tulislah soalan anda, dan tag kan ustaz-ustaz Facebook yang dipercayai dan mempunyai masa untuk melayan soalan anda. Mudah-mudahan, ini sebagai satu cara melaksanakan arahan Allah SWT supaya bertanya kepada ahli ilmu dalam perkara-perkara yang tidak diketahui.
Sahabat yang dikasihi,
Semoga dengan melakukan perkara-perkara kecil di atas ketika melayari Facebook, akan ada insan-insan yang beroleh kebaikan dari dakwah kita, akan ada pahala-pahala tercatat di buku amalan baik kita, akan ada dosa-dosa dihapuskan dari buku amalan jahat kita. Mudah-mudahan Facebook yang dicipta oleh seorang bukan Muslim menjadi satu sebab kebaikan kepada seseorang Muslim.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment