Rasulullah SAW Membawa Rahmat Untuk Sekelian Alam
Kita sekarang lebih kenal artis daripada Rasulullah SAW....
Assalammualaikum kepada sahabat dan sahabiah yang di rahmati ALLAH SWT sekalian.Selawat serta Salam buat junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW,kaum keluarga dan para sahabat Baginda.
Sahabat yang dimuliakan,
Kita sekarang lebih kenal artis daripada Rasulullah SAW, lebih menyambut Hari Valentine daripada menyambut Maulidur Rasul. Pelik! Pelik! Seseorang itu tidak akan menyambut kelahiran Rasulullah SAW jika tiada perasaan cinta terhadap baginda. malahan sesetengahnya langsung tidak mempedulikan Rasulullah SAW, seolah-olah tiada apa-apa keistimewaan dengan kelahiran dan pengutusannya.
Menyedihkan lagi, sebahagian daripada umat Islam lebih mengingati kelahiran paderi "St. Valentino" daripada mengingati Rasulullah SAW, lebih mengingati biodata para artis daripada biodata Rasulullah SAW. Beginikah kecintaan kita kepada seorang kekasih dan utusan ALLAH SWT? Justeru itu kita harus berasa bertanggungjawab untuk memaparkan biodata dan kronologi hidup Baginda SAW untuk tatapan dan ingatan kita bersama agar kita lebih mencintai kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW.
Bersempena sambutan Maulidur Rasul pada kali ini marilah kita sama2 sentiasa menggigati baginda disetiap hari dalam kehidupan. menggigati Rasulullah SAW bukan hanya bila tibanya Maulidur Rasul tetapi disetiap saat dan detik agar kecintaan kita pada baginda bertambah utuh... Insya'ALLAH. “Persefahaman Asas Perpaduan Ummah” salam Maulidur Rasul 1433 H, buat semua umat Islam yang menyangi kekasih ALLAH SWT.
BIODATA RASULULLAH S.A.W.
Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
Tarikh lahir : Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masehi (dikenali sebagai Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Kaabah)
Tempat lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.
Nama bapa : Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
Nama ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf.
Pengasuh pertama : Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba
perempuan bapa Rasulullah SAW).
Ibu susu pertama : Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).
Ibu susu kedua : Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali
Halimah As-Saadiah. Suaminya bernama Abu Kabsyah).
CARA RASULULLAH SAW BERBICARA
Hasan Bin Ali meriwayatkan :
"Saya pernah bertanya kepada bapa saudaraku, Hindun bin Abu Halah yang sangat pandai menggambarkan sesuatu. Saya katakan kpdnya, `gambarkanlah kepadaku bagaimana cara Rasulullah SAW berbicara!'
Ia berkata,
"Rasulullah SAW adalah seorang yamg nampak selalu prihatin dan sentiasa berfikir. Baginda lebih banyak diam dan berbicara hanya seperlunya. Baginda memulai dan mengakhiri pembicaraan baginda dengan menyebut nama ALLAH. Ucapan baginda selalu padat, terperinci dan jelas, tidak lebih dan tidak kurang, tidak kasar dan tidak merendahkan".
Baginda selalu mensyukuri nikmat walaupun sedikit dan sama sekali tidak pernah mencelanya. Baginda tidak pernah mencela dan memuji makanan. Urusan dunia beserta isinya tidak pernah membuatkan baginda marah. Jika kebenaran dilanggar, baginda tidak akan diam hingga kebenaran itu ditegakkan. Baginda juga tidak pernah marah dan tidak pula memperjuangkan kepentingan peribadi.
Ketika menunjuk sesuatu, baginda selalu menggunakan seluruh tangannya. Dalam keadaan ta'jub atau terkejut, baginda selalu membalik (tapak tangannya). Ketika berbicara terbiasa menggunakan
tangan untuk memperjelas perkataan dengan cara memukul-mukul tapak tangan kanan ke tapak jempol kiri.
Ketika marah, baginda berbalik dan berpaling. Ketika senang, baginda menundukkan pandangan. Ketawa beliau adalah senyuman dan gigi baginda nampak seperti butiran salji." (HR Tirmizi)
CARA RASULULLAH SAW BERGURAU
Hasan Al Bashri meriwayatkan :
"Seorang perempuan yg sudah tua mendatangi Rasulullah SAW seraya berkata, `Wahai Rasulullah, doakanlah agar saya boleh masuk syurga.'
Baginda menjawab,
`Wahai Ummu Fulan! Syurga tidak dihuni oleh perempuan yang sudah tua.'
Mendengar hal itu, perempuan itu segera bergegas sambil menangis. Maka Rasulullah SAW berkata,
`Beritahukan kepada perempuan itu bahawa ia tidak akan masuk syurga dalam keadaan tua.
ALLAH SWT berfirman, `Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari itu) secara langsung; lalu kami jadikan mereka perawan-perawan yang penuh cinta (dan) sebaya umurnya.' (QS Al Waqiah 35 -37)" (HR Tirmizi dan Thabrani)
KEHIDUPAN RASULULLAH SAW
Aisyah meriwayatkan :
"Kami, keluarga Muhammad, pernah tidak menyalakan api (memasak makanan) selama sebulan penuh. Kami hanya makan kurma dan air." (HR Tirmizi, Ahmad, Ibnu Sa'ad dan Ibnu Hibban)
KEWAFATAN RASULULLAH SAW
Qasim Bin Muhammad meriwayatkan bahwa Aisyah berkata :
"Saya melihat Rasulullah SAW pada hari kewafatan baginda. Di sisi baginda, terdapat sebuah bejana yang berisi air. Baginda memasukkan tangan ke bejana itu, kemudian mengusap wajah dengan air, lalu berdoa, 'Ya ALLAH, bantulah aku mengatasi sakratulmaut." (HR Tirmizi, Ibnu Majah, Ahmad dan Ibnu Sa'ad)
KETIKA SAKARATUL MAUT
Seterusnya Rasulullah SAW bersabda: "Beritahu kepadaku wahai Jibril, apakah yang telah disediakan ALLAH untukku di sisinya?"
Jibril pun menjawab: "Bahawasanya pintu-pintu langit telah dibuka, sedangkan malaikat-malaikat telah berbaris untuk menyambut rohmu."
Baginda SAW bersabda: "Segala puji dan syukur bagi Tuhanku. Wahai Jibril, apa lagi yang telah disediakan ALLAH untukku?"
Jibril menjawab lagi: "Bahawasanya pintu-pintu Syurga telah dibuka, dan bidadari-bidadari telah berhias, sungai-sungai telah mengalir, dan buah-buahnya telah ranum, semuanya
menanti kedatangan rohmu."
Baginda SAW bersabda lagi: "Segala puji dan syukur untuk Tuhanku. Beritahu lagi wahai
Jibril, apa lagi yang disediakan ALLAH untukku?"
Jibril menjawab: "Aku memberikan berita gembira untuk tuan. Tuanlah yang pertama-tama diizinkan sebagai pemberi syafaat pada hari kiamat nanti."
Kemudian Rasulullah SAW bersabda: "Segala puji dan syukur aku panjatkan untuk Tuhanku. Wahai Jibril beritahu kepadaku lagi tentang khabar yang menggembirakan aku."
Jibril a.s. bertanya: "Wahai kekasih ALLAH, apa sebenarnya yang ingin tuan tanyakan" ?
Rasulullah SAW menjawab: "Tentang kegelisahanku. Apakah yang akan diperolehi oleh orang-orang yang membaca Al-Quran sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berziarah ke Baitul Haram sesudahku?"
Jibril menjawab: "Saya membawa khabar gembira untuk baginda. Sesungguhnya ALLAH telah berfirman: Aku telah mengharamkan Syurga bagi semua Nabi dan umat, sampai engkau dan umatmu memasukinya terlebih dahulu."
Maka berkatalah Rasulullah SAW : "Sekarang, tenanglah hati dan perasaanku. Wahai Malaikat Maut dekatlah kepadaku."
Lalu Malaikat Maut pun mendekati Rasulullah SAW.
Ali r.a. bertanya: "Wahai Rasulullah SAW, siapakah yang akan memandikan baginda dan siapakah yang akan mengafaninya?"
Rasulullah SAW menjawab: "Adapun yang memandikan aku adalah engkau wahai Ali, sedangkan Ibnu Abbas menyiramkan airnya dan Jibril akan membawa hanuth (minyak wangi) dari dalam Syurga."
Kemudian Malaikat Maut pun mulai mencabut nyawa Rasulullah SAW. Ketika roh baginda sampai di pusat perut, baginda berkata: "Wahai Jibril, alangkah pedihnya maut."
Mendengar ucapan Rasulullah SAW itu, Jibril a.s. memalingkan mukanya.
Lalu Rasulullah SAW bertanya: "Wahai Jibril, apakah engkau tidak suka memandang mukaku?"
Jibril menjawab: "Wahai kekasih ALLAH, siapakah yang sanggup melihat muka baginda, sedangkan baginda sedang merasakan sakitnya maut?"
Akhirnya roh yang mulia itupun meninggalkan jasad Rasulullah SAW....
WARISAN RASULULLAH SAW
Amr Bin Harith meriwayatkan :
"Rasulullah S.A.W. tidak meninggalkan sesuatu sebagai harta warisan selain sebilah pedang, seekor baghal dan sebidang tanah yang dijadikan sedekah." (HR Tirmizi, Ibnu Sa'ad dan Ahmad)
BERMIMPI MELIHAT RASULULLAH SAW
Abu Hurairah meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW bersabda :
"Barangsiapa melihatku di dalam mimpi, maka ia benar-benar telah melihat diriku kerana syaitan tidak dapat menyerupaiku." (HR Tirmizi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ahmad)
Ya ALLAH, Ya Rahman Ya Rahim....tempatkanlah Nabi Muhammad SAW di tempat yang tinggi di SyurgaMu di samping mendapat kelebihanMu. Angkatkanlah baginda ke makam yang terpuji yang telah Engkau janjikan. Kurniakanlah Syafaat NabiMu kepada kami di akhirat nanti dan kami juga mengharapkan untuk dapat minum di Telaga Al Kauthar yang diberikan kepada hambaMu yang mulia Muhammad Al Mustofa SAW.
Memperingati Hari Kelahiran Nabi s.a.w. Membawa Cinta dan Kasih Kepada baginda.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah, segala puji dan puja kita rafaakkan kepada Allah s.w.t. yang telah memberikan pelbagai nikmat kepada kita. Selawat dan salam buat junjungan besar tercinta Nabi Muhammad s.a.w. penutup sekalian para Nabi dan Rasul, penunjuk jalan al-haq dan daie sepanjang jalan.
Setiap 12Rabiul Awal kita menyambut hari keputeraan baginda Rasulullah s.a.w. Keputeraan Rasulullah dan pengutusan baginda kepada kita merupakan satu nikmat kubra buat umat sejagat. Ini kerana kelahiran baginda memberikan petanda risalah dan penyelamat umat dari dibelenggu arus jahiliyah dan kekufuran.
Kedatangan dan pengutusan baginda membawa agama Islam ini merupakan satu nikmat agung kepada umat Islam. Ini kerana dengan agama Islam mereka terselamat daripada menjalani kehidupan dalam alam kekufuran dan kejahilan, seperti menyembah berhala, roh nenek moyang dan sebagainya. Islam menyelamatkan kita dari melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak diterima akal yang sejahtera itu. Alangkah beruntungnya kita dengan nikmat Islam ini, sehinggakan jika tiada nikmat di atas dunia ini selain Islam, maka yang demikian itu pun sudah mencukupi melayakkan umat Islam berada di atas memimpin bangsa-bangsa lain.
Sahabat yang dimuliakan,
Saban tahun kita menyambut dan mengenang kelahiran Nabi s.a.w., namun harus kita bertanya kepada benak fikiran kita sejauh mana kita telah mencontohi dan mengimplimentasi pusaka peninggalan baginda s.a.w.di dalam kehidupan kita. Saban tahun juga bermakna Rasulullah s.a.w. semakin jauh dari kita., namun spirit dan ruh perjuangan baginda tetap membara dalam sanubari kita.
Marilah kita menggali semula mutiara keindahan hidup baginda s.a.w. Mari kita susuri dan teladani qudwah dakwah dan perjuangan baginda bagi kita memacu semula gerakan pencerahan dan pembangunan semula satu nahdah (peradaban). Biarpun jasad baginda jauh beribu-ribu batu, namun jiwa,perjuangan baginda tetap mekar dan dekat di hati kita.
Justeru ketibaan bulan Rabiul Awal ini semestinya memberikan kita kesedaran betapa mengamalkan ajaran Islam sebenar dalam kehidupan peribadi, berkeluarga, masyarakat dan bernegara merupakan tuntutan yang amat mendesak ke atas umat Islam. Usaha ini perlu dimulakan dengan teladan daripada mereka yang bergelar pendakwah. Sesungguhnya dakwah yang paling berkesan ialah dengan tindakan dan contoh teladan. Kesan yang ditinggalkan oleh tindakan dan teladan ke dalam hati berkali ganda lebih hebat daripada kesan yang ditinggalkan oleh kata-kata nasihat.
Marilah sama-sama kita kembali menghayati akhlak Islam dalam segenap lapangan kehidupan. Akhlak Islam adalah berasaskan akidah yang sejahtera. Tanpa aqidah tauhid, sebarang perbuatan yang dipandang baik, sama ada dalam soal peribadi atau kepimpinan, merupakan akhlak yang pincang, kerana mengetepikan ketuhanan Allah Yang Maha Esa, Yang Maha Mengetahui perkara yang baik dan buruk bagi hamba-Nya.
Seterusnya mantapkanlah akhlak itu dengan ibadah yang betul dan berterusan. Dirikanlah solat kerana ia mencegah perbuatan mungkar, tunaikanlah zakat kerana ia menyucikan jiwa dan harta, berpuasalah kerana ia membenihkan ketakwaan. Ibadah-ibadah sunat mampu memantapkan lagi akhlak seseorang hamba.Teruskanlah dan amalkanlah sunnah Nabi s.a.w. dalam kehidupan kita, tanda kita cinta dan kasih kepada Junjungan Besar Rasulullah s.a.w. Tujuh amalan sunnah Nabi s.a.w. yang tidak pernah baginda tinggalkan iaitu solat malam, solat berjemaah, membaca al-Qur'an, solat duha, beristighfar, berwudhu' dan bersedekah.
Sahabat yang dihormati,
Akhir sekali renungilah perumpamaan berikut, yang diberikan oleh Allah s.a.w. kepada generasi para sahabat, menggambarkan kedudukan yang mereka capai pada masa itu di hadapan kaum-kaum yang bukan Islam.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir, dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat pada muka mereka, dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh daripada kalangan mereka, keampunan dan pahala yang besar.”
(Surah al-Fath: 29)
Sambutan Maulidur Rasul Melahirkan Rasa Cinta Kepada Rasulullah SAW Dan Menghayati Perjuangan Baginda.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya. " (Surah at-Taubah ayat 33)
Apabila tiba hari kelahiran Rasulullah S.A.W, 12 Rabiul Awal, umat Islam di Malaysia khususnya akan mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul seperti mengadakan perarakan, selawat, ceramah dan program-program mengingati junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Akan tetapi malangnya, ianya berterusan selama seminggu sahaja, paling lama pun sebulan. Selepas tu selawat, masjid dan surau yang penuh kembali sepi. Tunggu maulidurrasul tahun depan pula baru orang kembali ke masjid dan berarak sambil berselawat. Ianya berterusan begitu dan rancangan tv juga pada awal maulidur rasul menayangkan cerita berunsur Islam, selepas seminggu kemudian rancangan maksiat dan budaya hedonisme kembali merancakkan arena hiburan tanah air.
Sememangnya Maulidur Rasul ini tiada di zaman Rasulullah SAW dan para-sahabat, ini kerana pada ketika itu mereka menyayangi Rasulullah S.A.W malahan sentiasa mengamalkan sunah baginda S.A.W. Akan tetapi zaman kita kini bagaimana? Tujuan kita mengadakan sambutan Maulidur Rasul adalah ingin mewujudkan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW. Zaman kini melihatkan kepada kita ada insan yang mengaku ummat Rasulullah S.A.W akan tetapi tidak pun mengetahui sirah dan tidak juga mengamalkan sunah Rasulullah S.A.W. Zaman kini juga melihatkan manusia semakin ramai manusia melakukan maksiat malahan berbangga dengan kemaksiatan. Ianya semakin menepati sabda Baginda SAW bermaksud:
“Ketika dunia berada hampir di penghujungnya, kamu dapati maksiat dilakukan secara terang terangan. Zina dilakukan dengan sewenang-wenangnya persis seperti perilaku haiwan. Yang tinggal hanyalah manusia yang keji dan buruk perangainya. Ketika itulah berlakunya kiamat.” (Hadis Riwayat Muslim)
Sayang seribu kali sayang apabila sambutan Maulidur Rasul yang disambut secara besar-besaran tetapi tidak mengetuk pintu hati kecil kita untuk lebih mencintai Rasulullah S.A.W. Sunah Rasulullah S.A.W semakin dilupai. Pada malam atau hari Jumaat umat Islam tidak mengamalkan amalan Nabi SAW membaca surah al-Kahfi, pagi-pagi yang kita lalui tidak disemai dengan solat sunat Duha, zikir dan istighfar yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W telah diganti dengan muzik yang melalaikan..Sunnah yang paling besar malah ianya adalah tuntutan Allah S.W.T ialah meninggikan Kalimah Tauhid serta dan tugas amar makruf nahi mungkar tidak kita laksanakan. Banyak lagi amalan sunah Rasullah S.A.W yang kita tidak terapkan dalam kehidupan seharian.
Sahabat yang dimuliakan,
Sempena sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini perlulah kita berazam dan bermuhasabah diri sejauh mana kasihnya kita kepada Rasulullah S.A.W. Sebanyak mana sunah Rasulullah yang telah kita amalkan serta sedalam mana sirah Rasulullah S.A.W yang telah kita kuasai.
Rasulullah S.A.W berpesan agar umatnya sentiasa martabatkan Kalimah Tauhid sejajar dengan sabda Rasulullah S.A.W maksudnya :
“Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunahku.” (Hadis Riwayat Abu Daud).
Sesungguhnya, baginda Rasulullah SAW telah berjaya membawa transformasi murni kepada umat Islam sejagat. Terbukti apabila kegelapan jahiliah terhapus apabila berhadapan dengan sinar risalah nubuwah. Transformasi insani ini lahir daripada kasih sayang dan keperihatinan baginda terhadap kesejahteraan umat sebagaimana yang disebutkan di dalam Al-Quran, surah at-Taubah ayat ke-128 yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”
Objektif diadakan sambutan Maulidur Rasul ialah untuk mengembalikan ingatan kita umat akhir zaman terhadap junjungan besar kita Muhammad Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasalam. Dengan mengingatinya akan menambahkan lagi perasaan cinta kasih kepadanya serta mengenang, menghargai serta mengambil iktibar kisah suka duka perjuangannya.
Upacara sambutan Maulidur Rasul adalah harus selagi ia tidak melibatkan unsur-unsur pembaziran dan tiada aktiviti yang melanggar syariat. Malah jika perisian sambutan itu ada unsur ilmu dan ibadah ia tetap diberi ganjaran pahala oleh Allah Subhanahu Wa Taala.
Upacara memperingati hari kelahiran Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasalam ini telah dilakukan sejak 300 tahun sesudah Rasulullah wafat. Diantara pembesar yang menganjurkan sambutan ini ialah Raja Al-Mudhaffar Abu Sa `id Kaukabri ibn Zainuddin Ali bin Baktakin (549 H. w.630 H.), penguasa Irbil, Iraq. Dan seterusnya ia terus berkembang sehinggalah sekarang.
Sahabat yang dihormati,
Pendapat yang mengatakan sambutan Maulidur Rasul adalah bidaah dhalalah adalah satu tuduhan yang tidak berasas kerana ulama-ulama muktabar dahulu tidak mengharamkannya.
Contohnya :
1. Ibnu Hajar al-Haithami berpendapat: “Bidaah yang baik itu sunnah dilakukan, begitu juga memperingati hari maulid Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam.”
2. Imam Suyuti berkata: “Menurut saya asal perayaan maulid Nabi Salallahu ‘Alaihi Wasalam, iaitu manusia berkumpul, membaca al-Quran dan kisah-kisah teladan Nabi Salallahu ‘Alaihi Wasalam sejak kelahirannya sampai perjalanan hidupnya. Kemudian dihidangkan makanan yang dinikmati bersama, setelah itu mereka pulang. Hanya itu yang dilakukan, tidak lebih. Semua itu tergolong bidaah hasanah. Orang yang melakukannya diberi pahala kerana mengagungkan darjat Nabi Salallahu ‘Alaihi Wasalam, menampakkan suka cita dan kegembiraan atas kelahiran Nabi Muhamad Salallahu ‘Alaihi Wasalam yang mulia.”
3. Syeh Azhar Husnain Muhammad Makhluf berkata: “Menghidupkan malam Maulid Nabi dan malam-malam bulan Rabiul Awal ini adalah dengan memperbanyak zikir kepada Allah, memperbanyak syukur dengan nikmat-nikmat yang diturunkan termasuk nikmat dilahirkannya Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasalam di alam dunia ini. Memperingatinya sebaiknya dengan cara yang santun dan khusyuk dan menjauhi hal-hal yang dilarang agama seperti amalan-amalan bidaah dan kemungkaran. Dan termasuk cara bersyukur adalah menyantuni orang-orang susah, menjalin silaturrahim. Cara itu walaupun tidak dilakukan pada zaman Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasalam dan tidak juga pada masa salaf terdahulu tetapi baik untuk dilakukan termasuk sunnah hasanah.”
Dalil-dalil yang membenarkan melakukan perayaan Maulid Nabi Salallahu ‘Alaihi Wasalam:
1. Anjuran bergembira atas rahmat dan kurnia Allah kepada kita. Allah SWT berfirman:
قُلْ بِفَضْلِ اللّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُواْ هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ
Maksudnya : “Katakanlah: Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.” (Surah Yunus ayat 58).
2. Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasalam sendiri mensyukuri atas kelahirannya. Dalam sebuah Hadis dinyatakan:
عَنْ أَبِيْ قَتَادَةَ الأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ: أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ عَنْ صَوْمِ الْإِثْنَيْنِ فَقَالَ فِيْهِ وُلِدْتُ وَفِيْهِ أُنْزِلَ عَلَيَّ . رواه مسلم
Dari Abi Qatadah al-Anshori r.a. sesungguhnya Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasalam pernah ditanya mengenai puasa hari Isnin. Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasalam menjawab: “Pada hari itu aku dilahirkan dan wahyu diturunkan kepadaku.” (Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa’i, Ibnu Majah, Ahmad, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, Ibnu Abi Syaibah dan Baghawi).
3. Diriwayatkan dari Imam Bukhari bahawa Abu Lahab setiap hari Isnin diringankan seksanya dengan sebab memerdekakan budak Tsuwaybah sebagai ungkapan kegembiraannya atas kelahiran Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasalam. Jika Abu Lahab yang bukan muslim dan al-Quran jelas mencelanya, diringankan seksanya lantaran ungkapan kegembiraan atas kelahiran Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasalam, maka bagaimana dengan orang yang beragama Islam yang gembira dengan kelahiran Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasalam.
Sahabat yang dikasihi, .
Walaupun sambutan Maulidur Rasul ini adalah satu adat sahaja tapi ia adalah adat yang bersifat ibadah dan wajar diteruskan daripada membiarkan hari-hari berlalu dengan kelekaan duniawi.
Kita juga dianjurkan untuk meningkatkan amalan-amalan fardu dan sunat tanpa mengira masa dan di bulan manapun di sepanjang tahun. Dalam mengerjakan sesuatu amalan, kualiti ibadah juga perlulah diambil kira. Niat dan keikhlasan mempunyai pengaruh yang amat besar dalam menentukan nilai ibadah kita. Diantara syarat sesuatu ibadah itu diterima ialah niat. .
Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasalam sendiri dalam sebuah hadisnya pernah bersabda.
عَنْ أَمِيْرِ الْمُؤْمِنِيْنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ : إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى . فَمَنْ كان هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ.
Dari Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khottob radiallahuanhu, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasalam bersabda : “Sesungguhnya setiap perbuatan (amal) bergantung niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keredaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keredaan) Allah dan Rasul-Nya.”
Niat itu akan menggambarkan keikhlasan. Kerja yang ikhlas akan membawa kepada kesempurnaan dan kepuasan yang seterusnya akan menghasilkan ketenangan dunia dan akhirat. Semoga kita sama-sama dapat meningkatkan amalan ibadat agar mempunyai bekalan untuk dibawa ke perkampungan akhirat kelak, In syaa Allah.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam bishowab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
No comments:
Post a Comment