Tuesday, March 11, 2014

TUJUH NASIHAT

Tujuh Nasihat Untuk Merasai Takut Kepada Allah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Ibrahim bin Adham berkata, "Telah datang kepadaku beberapa orang tetamu, dan saya tahu mereka itu adalah wakil guru (ahli sufi). Saya berkata kepada mereka, berikanlah nasihat yang berguna kepada saya, yang akan membuat saya takut kepada Allah S.W.T.

Lalu mereka berkata, "Kami wasiatkan kepada kamu 7 perkara, iaitu :

1. Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan sangat kesedaran hatinya.
2. Orang yang banyak makan janganlah kamu harapkan sangat kata-kata himat darinya.
3. Orang yang banyak bergaul dengan manusia janganlah kamu harapkan sangat kemanisan ibadahnya.
4. Orang yang cinta kepada dunia janganlah kamu harapkan sangat khusnul khatimahnya.
5. Orang yang bodoh janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.
6. Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan sangat kelurusan agamanya.
7. Orang yang mencari keredaan manusia janganlah harapkan sangat akan keredaan Allah daripadanya."

 Huraiannya :

1. Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan sangat kesedaran hatinya.

Orang yang banyak berbicara perkara-perkara yang tidak berfaedah tidak boleh diharapkan kesedaran hatinya kepada Allah SWT. Kerana hati yang sentiasa ingat kepada Allah SWT dan ingat kepada kematian banyak berzikir dan akan berkata perkara-perkara yang mendatangkan faedah kepada diri sendiri dan orang lain.

Setiap manusia dikurniakan oleh Allah SWT lidah. Lidah adalah daging yang lembut terletak di dalam mulut manusia. Walaupun lidah tidak bertulang tetapi lidah boleh mendatangkan dua akibat (kesan) yang besar iaitu samaada ke syurga atau ke neraka. Jika digunakan dengan baik dan jujur maka lidah akan membawa pelakunya insya Allah ke syurga atau sebaliknya lidah yang disalah gunakan akan membawa pelakunya ke neraka. Nabi SAW pernah memberi isyarak kepada sahabat bahawa dua anggota manusia yang banyak membawa ke neraka iaitu lidah dan kemaluan.

Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud : "...sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia mengucapkan perkataan yang baik atau diam". (Hadis Riwayat Muttafaq 'alaih)

Di dalam hadis sahih riwayat Bukhari Nabi SAW bersabda kepada Mu'az bin Jabal sambil memegang lidahnya yang bermaksud : "Engkau wajib menahan ini. Maka aku berkata, ya Rasulullah, kami sentiasa mengotakan apa yang kami kata. Nabi berkata, 'ibumu telah kehilangan engkau, wahai Mu'az. Bukanlah manusia di bantingkan muka mereka ke dalam neraka disebabkan angkara lidah mereka?". (Hadis Riwayat Bukhari)

2. Orang yang banyak makan janganlah kamu harapkan sangat kata-kata himat darinya.
 Orang yang banyak makan akan mematikan kejernihan hatinya kepada Allah SWT.

Sabda Nabi SAW: “Barang siapa yang sedikit makan, maka perutnya akan sihat dan hatinya akan bersih. Sebaliknya barang siapa yang banyak makan, maka perutnya akan ditimpa sakit dan hatinya keras.” (Hadis riwayat Huzaifah).

Rasulullah SAW  bersabda maksudnya : "Orang Mukmin makan menggunakan sebuah perut, sedangkan orang kafir itu makan menggunakan tujuh buah perut" (Hadis Riwayat Bukhari)


Hadis yang lain Nabi SAW  bersabda maksudnya : "Tiadalah wadah yang diisi anak Adam yang lebih buruk daripada perutnya sendiri, dimana dia menyangka bahawa dengan beberapa suap makanan, maka punggungnya (kekuatannya) akan dapat tegak kembali. Seandainya dia terpaksa bersikap demikian juga, maka (isilah perutnya) sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan yang sepertiga lagi (kosongkan) untuk pernafasan (bernafas)." (Hadis Riwayat Turmudzi)

Rahsia Rasulullah SAW menjaga kesihatan rohani dan jasmani untuk menyampaikan seruan Allah kepada umatnya ialah sabda Baginda bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak akan makan melainkan apabila sudah terasa lapar dan apabila kami makan, tidak pernah sampai kenyang.”

Hukama’ ada berkata: “Kesihatan itu adalah mahkota di atas kepala orang yang sihat dan ia tidak dapat dilihat melainkan orang yang sakit dan perut adalah kepala segala penyakit dan pencegahan itu adalah kepala segala ubatan.” 

3. Orang yang banyak bergaul dengan manusia janganlah kamu harapkan sangat kemanisan ibadahnya.

 Banyak bergaul dengan manusia yang berbagai ragam sedikit sebanyak akan mempengaruhi hatinya dan khusyuknya ketika beribadah kepada Allah SWT. Rakan atau teman yang tidak baik boleh mempengaruhi hati dan hubungan kita dengan Allah SWT.

Nabi SAW juga mengajarkan kepada kita agar bersahabat dengan orang yang dapat memberikan kebaikan dan sering menasehati kita.

مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ ، وَكِيرِ الْحَدَّادِ ، لاَ يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ ، أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ ، وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً

Maksudnya : “Seseorang yang duduk (berteman) dengan orang soleh dan orang yang buruk (jahat) adalah bagaikan berteman dengan pemilik minyak wangi dan tukang besi. Jika engkau tidak dihadiahkan minyak wangi olehnya, engkau boleh membeli darinya atau sekurang-kurangnya dapat baunya. Adapun berteman dengan tukang besi, jika engkau tidak mendapati badan atau pakaianmu hangus terbakar, paling kurang engkau dapat baunya yang tidak elok.” (Hadis Riwayat Imam al- Bukhari dari Abu Musa.)

Ibnu Hajar Al Asqolani mengatakan, “Hadis ini menunjukkan larangan berteman dengan orang-orang yang dapat merusak agama maupun dunia kita. Dan hadis ini juga menunjukkan dorongan agar bergaul dengan orang-orang yang dapat memberikan manfaat dalam agama dan dunia." (Fathul Bari, Ibnu Hajar Al Asqolani, 4/324, Darul Ma’rifah, Beirut, 1379)

4. Orang yang cinta kepada dunia janganlah kamu harapkan sangat khusnul khatimahnya.

Sesiapa yang cintakan dunia, dia akan melupakan kehidupan di hari akhirat. Cinta dunia bermaksud hati dan jiwanya tertawan dengan keindahan dunia, harta, wanita dan pangkat kedudukan. Dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memilikinya walaupun terpaksa menggunakan cara yang diharamkan oleh Allah SWT, baginya kematian, azab kubur, hari akhirat masih jauh dan dia tidak lagi puas menikmati keseronokan dunia hinggakan hawa nafsunya menjadi tuhan yang disembah dan diikuti. Jika dia tidak segera bertaubat dan insaf terhadap dirinya dia amat sukar untuk mendapat husnul khatimah diakhir hayatnya nanti.

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
"Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka".
Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?"
 Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan".
 Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?"
Nabi Muhammad SAW  menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".
(Hadis Riwayat Abu Daud)

5. Orang yang bodoh janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.

Saidina Umar r.a begitu takut akan munculnya ulama yang fasiq dan ahli ibadah yang jahil. Begitu juga ada disebut dalam hadis, dari Anas r.a. berkata, bersabda Rasulullah SAW, "Selagi akan ada di akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasiq". (Hadith riwayat Ibnu Ady)

Jangan lah pula kerana kita takut digelar sebagai orang alim yang fasiq hingga kita sanggup menjadi jahil selama-lamanya. Ianya adalah pilihan kita sendiri, dan jika menuntut ilmu perlulah ikhlas kerana Allah SWT bukan kerana dunia semata. Jika menjadi ulama kerana dunia, maka ditakuti akan tergolong dalam ulama yang disebut dalam hadis di atas.

Orang bodoh (jahil) apabila beribadah tidak di takuti oleh syaitan kerana amal ibadah yang dikerjakan tanpa ilmu amat mudah disesatkan oleh syaitan kerana ibadah tersebut tidak sah kerana tidak memenuhi rukun dan syarat sah ibadah tersebut, jika ibadahnya tidak diterima Allah SWT bagaimana boleh hatinya hidup , bersih, sejahtera dan yakin kepada Allah SWT? Tidak mungkin perkara ini boleh berlaku.

6. Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan sangat kelurusan agamanya.


Orang yang berkawan dengan orang zalim pasti akan melakukan kezaliman juga kerana seseorang akan mengikut agama sahabatnya. Sekurang-kurangnya dia akan bersyubahat dengan orang yang melakukan kezaliman tadi. Bagaimana kita boleh percaya kelurusan agama orang seperti ini?

Orang yang melakukan kezaliman ketika di dunia ini akan menjadi muflis di hari akhirat nanti terutama yang dizalimi ini adalah rakyat jelata yang ramai bilangannya. Jika di dunia ini mereka tidak minta ampun kepada orang yag dizalimi maka orang yang dizalimi akan menuntut dimahkamah Allah SWT

Rasulullah SAW bersabda maksudnya  : “Seorang mukmin akan dibebaskan dari api neraka, lalu mereka diberhentikan di atas jambatan (qanthrah) antara syurga dan neraka, mereka akan saling diqisas antara satu sama lainnya atas kezaliman mereka di dunia. Setelah mereka bersih dan terbebas dari segalanya, barulah mereka diizinkan masuk syurga. Demi Zat yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, seorang diantara kalian lebih mengenal tempat tinggalnya di syurga daripada tempat tinggalnya di dunia”.(Hadis Riwayat Bukhari).

7. Orang yang mencari keredaan manusia janganlah harapkan sangat akan keredaan Allah daripadanya.

Orang yang sentiasa mengharapkan keredaan manusia dengan membuat sesuatu amal kerana riak  maka amalannya tidak akan diterima oleh Allah SWT. Amalannya di dunia umpama debu yang berterbangan kerana di akhirat nanti Allah SWT tidak akan terima amalan tersebut.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Yang paling saya takutkan terhadap umatku adalah syirik kecil (ashghar)". Para sahabat bertanya, "Apakah syirik kecil itu hai Rasulullah?" Maka, baginda menjawab, "Riak".

Allah berfirman kepada mereka pada hari kiamat ketika semua manusia telah diberikan semua balasannya, 'Pergilah kepada orang-orang yang kalian beramal di dunia kerananya, dan lihatlah apakah kalian akan mandapatkan balasan dari mereka?"
(Hadis Riwayat Ahmad)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menjauhi daripada tujuh sifat mazmumah yang dinyatakan di atas dan beramal dengan amal-amal soleh yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Sentaiasalah kita bermuhasabah dan berhati-hati di dalam kehidupan ini supaya kita terselamat daripada godaan hawan nafsu dan tertipu dengan keseronaokan dunia yang sementara ini dan kita berjaya menjadi hamba Allah SWT yang beriman dan bertakwa dan mendapat kebahagiaan yang hakiki di hari akhirat nanti.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML