Siapakah Musuh Utama Kalian di Dunia ini ?
Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Kalian sentiasa dikelilingi musuh-musuh yang tidak kelihatan, mereka tidak pernah leka atau alpa untuk memantau perjalanan hidup kalian.Tunggu apabila sedetik kalian leka atau lupa maka jaruam beracun akan dicucuk dihati kalian, hingga hati kalian menjadi kebas dan keras dan tidak berupaya untuk mengingati Allah, tidak merasai takut akan azab Allah SWT. dan tidak takut untuk membuat maksiat. Hati yang sakit ini akan bertambah sakit dan ditambah dengan kuman-kuman yang datang kemudian yang dibawa oleh musuh-musuh kalian itu.
Ingatlah! Iblis dan syaitanlah musuh kalian yang utama, bala tenteranya ramai datang silih berganti, mereka ada shif bertukar-tukar staf waktu siang dan malam. Kalaulah ditakdirkan kalian boleh melihat wajah mereka dan boleh hitung bilangan mereka, kalian akan terkejut melihat wajah mereka yang hodoh dan bilangan mereka memenuhi kamar tidur, ada yang tergantung disiling, dibumbung, ditandas, didapur dan dihalaman rumah.
Sahabat yang dimuliakan,
Jangan kalian bimbangi tipu daya mereka. Mereka telah mendedahkan pekerjaan jahat mereka kepada Junjungan Besar Rasulullah SAW. Kalian telah kenal rahsia mereka, tektik dan teknik mereka menjalankan perang saraf, godaan dan hasutan ! Dari itu jangan terpedaya dengan pujukan dan tipu helah mereka ini.
Walaupun mereka berpengalaman beribu tahun, memahami saikologi manusia tetapi mereka juga ada kelemahan dan kebodohan. Mereka kalah pada hati-hati yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT. Mereka akan lemah berhadapan dengan hati yang luhur dan ikhlas pada Allah SWT. Mereka akan kepanasan apabila lidah sentiasa berzikir kepada Allah SWT., sentiasa membaca al-Quran dan sentiasa istighfar kepada Allah SWT.
Ingatlah! Dihati kalian itu ada kamar, akan diisi dengan salah satu daripadanya samaada fujur atau takwa, apabila kamar di hati kalian itu diisi dengan zikir dan mengingati Allah, ia akan terisi dengan sifat takwa, maka malaikatlah yang akan menetap dikamar itu dan larilah syaitan kerana kepanasan, tetapi bila kalian leka dan tidak berzikir, sentiasa buat dosa, maka akan terbinalah fujur dan syaitan akan meletakkan belalainya. Oleh itu janganlah kalian leka untuk berzikir dan mengingati Allah, kerana hati yang sentiasa mengingati Allah akan membuatkan hati menjadi bersih dan sejahtera, dan segala racun-racun yang dicucuk oleh syaitan itu boleh menjadi penawarnya.
Sahabat!
Sentiasalah untuk memohon ampun kepada Allah SWT, memohon agar Allah membebaskan diri kalian daripada seksaan api neraka, memohon semoga doa dan hajat-hajat kalian diperkenaankan Allah SWT, memohon agar kalian tetap istiqamah dengan Islam, dengan ibadah, dengan zikirullah, dengan amal soleh, dengan dakwah, dengan jihad dan mohon semoga Allah melindungi kalian daripada dorongan nafsu amarah dan godaan syaitan laknatullah.
Ingat sahabat!
Musuh-musuh kalian tak pernah leka dan alpa dengan perancangan jahat mereka .Mereka akan bermasyuarat dan menyusun perancangan rapi bagaimana hendak memesungkan dan memalingkan hati anak Adam dari mengingati Allah dan dari melaksanakan amal soleh.
Oleh itu ada tujuh cara dan strategi yang perlu kalian lakukan untuk tetap kekal menjadi mukmin beriman dan bertakwa . Langkah-langkah tersebut adalah seperti berikut :
1.Betulkan niat: Masuklah kalian dalam Islam keseluruhannya dalam akidah, ibadah dan amal perbuatan. Pastikan buat semua yang wajib dan fardu dan tinggal semua yang haram, syubhah, makruh dan maksiat. Isikan dihati kalian dengan sifat-sifat mahmudah iaitu sifat warak, zuhud, baik sangka, sabar, tawaduk, izzah,tawakkal, lemah lembut, rendah diri dan salim pada masa yang sama buangkan sifat-sifat mazmumah iaitu sifat sombong, bongkak, takbur, ujub, iri hati dan hasad dengki.
2.Pertingkatkan keimanan dan kefahaman Islam: Dengan mengikuti majlis-majlis ilmu di masjid atau di surau, usrah dan halaqah, kursus motivasi, rehlah dan muqayam. Jadikan media dalam internet yang mengandungi pengajaran dan ilmu Islam sebagai teman setia kalian.
3.Pastikan solah fardu lima waktu: Di laksanakan dimasjid secara berjemaah dan akifkan diri kalian mengikuti program-program yang dianjurkan pihak masjid , NGO Islam, Jemaah Islam dan badan amal.
4.Pilih sahabat-sahabat yang baik dan soleh : Sahabat yang boleh menasihatkan kalian bila kalian lupa dan tersilap. Nasihat menasihat ini amat berguna untuk kalian terhindar dari melakukan kesalahan dan dosa.
5. Dekatilah alim ulama, ustaz atau ustazah dan guru-guru motivasi : Jadikan mereka sebagai murabbi (pendidik) yang sentiasa menjadi penasihat. Biah yang soleh (suasana yang baik) ini amat penting untuk meneruskan kerja-kerja dakwah dan tarbiah.
6.Teruskan amalan sunat : Kerjakan amalan-amalan sunat umpama solat tahajjud, solat witir, solat duha, bacaan Al-Quran dan zikrullah .
7.Sentiasa menyedari kehadiran Iblis dan syaitan :Iblis dan syaitan yang menggoda dan mendatangkan was-was dalam hati kalian. Apa sahaja rasa hati yang tak baik, tindakan gopoh-gapah dan menangguhkan urusan kebajikan, tidak menyegerakan taubat, solah, sedekah, bayar hutang, bermalas-malas adalah datangnya dari hasutan iblis dan syaitan. Jika sudah mengenali mereka ayuh jangan tunggu-tunggu lagi, terus kalian bekerja dan melaksanakan amal soleh tanpa berlengah-lengah lagi semoga kalian mendapat rahmat dan pertolongan dari Allah SWT.
No comments:
Post a Comment