Tuesday, March 11, 2014

MENJAUHI PERBUATAN MENGAIBKAN ORANG LAIN

Jauhilah Perbuatan Mengaibkan Sesama Muslim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Orang Mukmin sentiasa menjaga kesucian diri iaitu dengan menjaga akhlak dan keperibadian diri. Tidak menyakiti hati orang lain, sentiasa tolong menolong untuk kebaikan, membantu saudara sesama Mukmin dan menjaga dan menutup keaiban saudaranya. Seorang Mukmin juga akan sentiasa menjaga lidahnya daripada mengumpat, memfitnah, mengadu domba dan mengatakan sesuatu yang menyakiti hati orang lain. Ia perlu berfikir dahulu sebelum mengeluarkan sesuatu perkataan. Sebaik-baiknya berdiam diri sekiranya berkata-kata itu boleh mendatangkan dosa atau fitnah.

Satu lagi sifat orang Mukmun adalah menjaga pandangan matanya tidak mengekori aurat wanita yang bukan mahramnya. Firman Allah s.w.t. maksudnya : 

“Katakanlah kepada lelaki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.” (Surah an-Nur, ayat 30)

Sahabat yang dimuliakan,
Kita sering mendengar di dalam dada akhbar arus perdana bahawa ramai para wanita Muslim di aibkan oleh lelaki Islam sendiri. Bagaimana kemudahan teknologi ICT telah disalah gunakan. Ada lelaki Islam sanggup merakam dibilik tidor atau di tandas dengan mengunakan kamera pintar, merakam gambar-gambar wanita ketika tidak berpakaian atau berpakaian dalam sahaja kemudian gambar terebut disebarkan melalui 'you tube' atau internet semata-mata untuk mengaibkan mereka dan setengahnya pula sanggup memerasa ugut wanita tersebut dengan sejumlah wang jika tidak gambarnya akan disebar luaskan di alam siber!

Setengahnya pula sanggup menggunakan teknologi "super impuse" untuk mereka cipta gambar-gambar seksi semata-mata untuk memalukan wanita Muslim semata-mata kerana wang atau untuk meminta sesuatu agar kehendaknya nafsu serakahnya dipenuhi dengan ugutan kepada wanita tersebut. Perlu diingat perbuatan ini adalah perbuatan terkutuk yang akan dilaknat oleh Allah s.w.t. kerana menyebarkan fitnah dan mengaibkan sesama Muslim.

Mereka yang "mencari makan" dengan cara yang haram ini tidak akan selamat di dunia dan akhirat, di akhirat nanti penjenayah siber ini akan menjadi muflis dan akan dihumbankan ke dalam Neraka Jahanam jika tidak bertaubat kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t akan mendedahkan keaiban dirinya samaada di dunia dan di hari akhirat.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat Muslim). 

Di dalam hal ini Islam amat memandang serius perbuatan terkutuk ini dan ianya dilakukan oleh mereka yang rosak imannya dan tidak takut kepada azab Allah s.w.t. Untuk menjaga fitnah terhadap wanita , Allah s.w.t meminta orang-orang beriman agar menundukkan pandangan matanya bila bertemu dengan wanita-wanita yang bukan mahram semata-mata untuk menghindarkan fitnah dan menjaga hati orang Mukmin supaya tidak tergugat dengan kecantikannya.

Sahabat yang dihormati,
Wanita-wanita Muslim kenalah berhati-hati untuk melatakkan gambar-gambat peribadi di internet supaya ianya tidak disalah gunakan. Terdapat ramai lelaki Islam yang berpenyakit jiwa yang akan menggunakan sekempatan ini untuk mengekplotasikan gambar-gambat tersebut untu memuaskan nafsunya denga tujuan-tujuan tertentu. Wanita-wanita Muslim tidak seharusnya meletakkan gambar lama yang tidak menutup aurat untuk ditonton oleh ribuan pengujung internet, dan setiap mata yang memandangnya wanita tersebut akan mendapat dosa kering yang tidak sepatutnya berlaku. Ia sendiri telah mendedahkan keaiban dirinya sendiri sedangkan Allah s.w.t telah penutupnya. 

Dari hadis yang lain Abu Hurairah r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, " Tahukah kamu apakah ghaibah? Jawab sahabat, "Allah dan Rasul yang lebih mengetahui. " Maka Rasulullah s.a.w. bersabda , "Ghaibah itu jika kamu menyebut (membicarakan) hal keadaan saudaramu yang tidak suka hal itu disebut atau dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghaibah." Lalu Rasulullah s.a.w ditanya," Bagaimana kalau saudaraku itu memang begitu? "Jawab Rasulullah s.a.w " Jika kamu sebut itu benar ada padanya maka itu ghaibah. Tetapi jika ia tidak benar, itu buhtan (membuat kepalsuan untuk memburukkan nama orang lain).


Buhtan adalah perbuatan paling keji kerana membuat kepalsuan untuk memburukkan orang lain, jika mengumpat saja boleh menjuruskan seseorang kedalam kemurkaan Allah s.w.t maka lebih-lebih lagi fitnah akan mendatangkan dosa besar dan mendapat laknat daripada Allah s.w.t.
Sahabat,
Bila kita memperkatakan sesuatu yang benar ada pada diri seseorang juga dilarang. Kerana perbuatan itu boleh menyinggung perasaan orang yang difitnah jika didengarinya. Dan sudah menjadi fitrah manusia ia akan marah kerana perkara tersebut tidak dilakukan sama sekali.

Dari Anas bin Malik r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Empat perkara yang dapat membatalkan wudhu dan boleh menghapuskan amal iaitu ghaibah, dusta , mengadu domba dan memperhatikan kecantikan yang haram dilihat. Dan semua itu dapat menyuburkan bibit-bibit kejahatan sebagaimana air menyuburkan tanaman, dan minum arak itu mengatasi semua dosa-dosa."

Akhirkata, marilah sama-sama kita perbaiki akhlak kita, meningkatkan iman dan takwa dan meninggalkan segala sifat mazmumah termasuk mengumpat dan memfitnah. Kita bina dan menyambungkan silaturahim dan ukhuwah Islamiyah sesama Muslim dalam rangka kita mencari keredhaan Allah s.w.t. Aqidah dan iman yang kuat sahajalah yang dapat menghapuskan sifat buruk ini dari jiwa kita. Untuk mendapatkan aqidah dan iman yang kuat, kita hendaklah sentiasa mengikuti pengajian-pengajian agama dan majlis-majlis ilmu serta bercampur dengan masyarakat yang berpegang dengan al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah s.a.w dan bersahabat dengan orang-orang soleh.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML