Terdapat Tiga Jenis Nafsu Manusia di Jelaskan Oleh Al-Quran
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia yang diciptakan oleh Allah S.W.T mempunyai nafsu. Nafsu yang terdapat pada manusia adalah ujian Allah S.W.T. Jika manusia mampu menguasai nafsunya bermakna dia telah berjalan mengatasi salah satu ujian Allah S.W.T. yang cukup berat ini.
Sekiranya nafsu dididik ke arah kejahatan dan melalui sistem yang jahat, maka nafsu akan menjadi jahat dan liar. Maka akan lahirlah orang yang pandai tetapi jahat, orang bodoh yang jahat, pemimpin yang jahat dan pendidik yang jahat. Ini amat bahaya kepada kehidupan manusia. Sebab itu nafsu perlu dikenali tahap-tahapnya dan tingkatannya. Nafsu secara fitrahnya berwatak jahat, kalau dibiarkan ia tetap jahat, betapalah kalau dididik ke arah kejahatan oleh sistem pendidikan yang jahat dan yang mengajar pun adalah orang yang jahat maka masyarakat akan menuju kepada kehancuran.
Sebab itu Tuhan ingatkan kita tentang ini di dalam firman-Nya: Maksudnya: “Mereka yang berjuang ke jalan Kami, nescaya Kami akan tunjukkan jalan jalanKami. Sesungguhnya Tuhan berserta dengan orang-orang yang berbuat baik.” (Surah al- Ankabut ayat 69)
Sesiapa yang bermujahadah terhadap nafsu, ditingkatkannya daripada jahat kepada baik, maka Allah S.W.T. akan memberi petunjuk kepada jalan yang baik. Itu janji-Nya, sebab itu nafsu perlu dididik dan diasuh mengikut telunjuk iman. Nafsu adalah musuh utama manusia dan musuh kedua manusia baru syaitan. Nafsu adalah musuh dalaman sedangkan syaitan hanya musuh luaran. Bila nafsu sudah ditundukkan dan ia taat kepada perintah Allah S.W.T maka barulah syaitan akan dapat di kalahkan.
Dalam sirah ketika Rasulullah S.A.W dan para sahabat balik dan peperangan Badar, Rasulullah bersabda maksudnya : “Kita baru balik dari peperangan yang kecil kepada peperangan yang maha besar.”
Para Sahabat bertanya : "Apakah peperangan yang maha besar itu ya Rasulullah?”
Jawab baginda : “Perang melawan nafsu.” (Hadis Riwayat Baihaqi)
Sahabat yang dimuliakan,
Dalam Al Quran, nafsu manusia boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu :
1. Nafsu Ammarah Bissu'
2. Nafsu Lawwamah.
3. Nafsu Mutmainnah
Huraiannya adalah seperti berikut :
Pertama : Nafsu Ammarah Bissu' .
Nafsu ini sangat berbahaya apabila melekat pada diri seseorang manusia sebab ia suka mengarahkan manusia kepada perbuatan dan perilaku yang dilarang agama.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Surah Yusof ayat 53)
Nafsu yang paling jahat dan paling zalim. Jika berbuat kejahatan, dia berbangga dengan kejahatannya. Kalau terpaksa susah kerana kejahatannya, dia sanggup. Jika ada orang mengingatkannya tentang kejahatannya, dia akan menjawab, “Siapa yang cuba nak mengalang tindakan ku akan menanggung akibatnya!” Bayangkanlah, kalau orang macam ini jadi pemimpin dan berkuasa.
Nafsu amarah tidak dapat dikawal dgn sempurna oleh hati. Sekiranya hati tidak dapat meminta bantuan ilmu, hikmah kebijaksanaan dan akal, hati akan binasa. Justeru itu, seseorang itu mudah terjerumus ke arah perbuatan yang melanggar syariat, tidak beradab, tidak berperi kemanusiaan, bertindak mengikut sesuka hati, zalim serta pelbagai keburukan dan bencana kepada diri serta persekitaran.
Susah nak tegur orang yang yang sebegini kerana tidak peka dengan kesilapan atau kesalahan yang dilakukan. Keras kepala! Nafsu ammarah menduduki tahap paling rendah dalam kehidupan manusia, malah sebenarnya lebih rendah daripada binatang. Ini kerana binatang tidak mempunyai akal, sedangkan manusia mempunyai akal. Minta Allah jauhkan kita dari nafsu amarah.
Kedua : Nafsu Lawwamah.
Nafsu ini adalah nafsu yang sudah mengenal baik dan buruk. Nafsu tercela kerana kelalaian tuannya melaksanakan peraturan-peraturan Allah.
Nafsu ini mengarahkan pemiliknya untuk menentang kejahatan, tetapi suatu saat jika ia lalai beribadah kepada Allah S.W.T, maka ia akan terjerumus kepada dosa. Orang yang memiliki nafsu ini tidak tetap pendirian untuk menjalankan ketaatan dan meninggalkan perbuatan dosa.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : “(Tetapi) kerana mereka melanggar janjinya, Kami kutuk mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu. Mereka suka merobah perkataan (Allah) dari tempat-tempatnya, dan mereka (sengaja) melupakan sebagian dari apa yang mereka telah diperingatkan dengannya, dan kamu (Muhammad) senantiasa akan melihat kekhianatan dari mereka kecuali sedikit di antara mereka (yang tidak berkhianat), maka maafkanlah mereka dan biarkanlah mereka, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” (Surah al-Maidah ayat 13)
Orang yang memiliki nafsu lawwamah sebegini memiliki jiwa menyesali perbuatan salah lakunya dan berinisiatif untuk kembali ke landasan yang benar.
Contohnya semalam melakukan dosa dan perkara maksiat yang dilarang di sisi agama . Hari ini dia sedar akan kesilapannya kerana terlalu mengikut nafsu, lalu ia insaf dan bertekad untuk tidak mengulanginya lagi. Orang yang banyak dikuasai nafsu lawwamah juga mudah membaiki diri dan mudah terima teguran org lain.
Ia juga tidak mudah hanyut dalam kesesatan yang membinasakan diri baik dalam kehidupan dunia mahupun akhirat. Selain dari itu, nafsu lawwamah juga sering memikirkan baik buruk, halal haram, betul salah, berdosa ataupun tidak dalam segala tindakan. Jelas nafsu Lawwamah ini lebih baik dari nafsu amarah bissu'.
Ketiga : Nafsu Mutmainnah
Nafsu ini adalah nafsu yang membuat pemiliknya tenang dalam ketaatan. Nafsu ini telah mendapat rahmat Allah S.W.T. dan manusia yang mendapatkan nafsu ini akan mendapat reda Allah S.W.T. di dunia dan akhirat. Orang ini akan mendapat "husnul Khatimah" di akhir hidupnya sebagai pintu menuju syurga Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T.: “Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam surga-Ku.” (Surah al-Fajr ayat 27-30)
Orang yang memiliki nafsu mutmainnah dapat mengawal nafsu syahwat dengan baik dan sentiasa cenderung melakukan kebaikan. Juga mereka mudah bersyukur dan qanaah di mana segala kesenangan hidup tidak membuat dia lupa diri, menerima anugerah Ilahi seadanya dan kesusahan yang dialami pula tidak menjadikan dirinya gelisah. Ini disebabkanhatinya ada ikatan yang kuat kepada Allah. Mereka juga mudah reda dengan ketetapan dan ujian Allah.
Imam Al-Ghazali meletakkan nafsu ini di tahap yang tertinggi dalam kehidupan manusia. Semoga Allah S.W.T. golongkan kita dalam nafsu yang hebat ini.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita didik hati dan jiwa kita kepada nafsu mutmainnah iaitu nafsu yang terbaik dan yang paling dicintai Allah.
Nafsu ini adalah nafsu yang paling di redai Allah. Keredaan tersebut terlihat pada anugrah yang diberikan-Nya berupa senantiasa berzikir, ikhlas, mempunyai karomah, dan memperoleh kemuliaan, sementara kemuliaan yang diberikan Allah S.W.T itu bersifat universal, ertinya jika Allah memuliakannya, siapa pun tidak akan boleh enghinakannya, demikian pula sebaliknya orang yang dihinakan oleh Allah S.W.T, siapa pun tidak boleh memuliakannya.
Tujuh Peringkat Nafsu Manusia
Sahabat yang dirahmati Allah,
Semua manusia memiliki nafsu. Nafsu adalah anugrah Allah SWT kepada manusia. Ada nafsu yang mendorong kepada kebaikan dan ada juga nafsu yang mendorongan manusia kepada kejahatan.
Terdapat tujuh peringkat nafsu yang dimiliki oleh manusia. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
1. Nafsu Ammarah
Nafsu yang paling jahat dan paling zalim. Jika berbuat kejahatan, dia berbangga dengan kejahatannya. Kalau terpaksa susah kerana kejahatannya, dia sanggup. Jika ada orang mengingatkannya tentang kejahatannya, dia akan menjawab, "Saya anak jantan." Bayangkanlah, kalau orang macam ini jadi pemimpin dan berkuasa.
2. Nafsu Lawwamah
Nafsu yang mencerca dirinya sendiri. Sentiasa kesal dengan din sendiri. Tidak hendak berbuat jahat tetapi tidak mampu melawan nafsu. Bila melakukan kejahatan, sedih tapi buat lagi. Ada kalanya buat jahat sehingga dikenakan hukuman dalam penjara. Janji tidak buat lagi tapi buat juga. Rasa sedih lagi dan buat jahat bukan kerana seronok tapi lemah melawan nafsu. Walaupun sudah niat tidak mahu buat lagi dan sudah serik, namun terbuat juga lagi. Contohnya, ketika lalu di kebun orang, ternampak limau, rambutan dan sebagainya, walaupun sudah berazam tidak akan mencuri, tetapi ambil dan mencuri lagi. Orang nafsu di peringkat ini sudah mula sedar tetapi tidak larat hendak melawan hawa nafsunya.
3. Nafsu Mulhamah
Erti pada lafaz ialah nafsu yang telah diberi ilham, sudah mula dipimpin, diberi hidayah. Tuhan ambil perhatian sebab dia sudah mula mendidik nafsunya. Apabila seseorang itu bersungguh-sungguh melawan nafsunya, atas belas kasihan Allah maka Tuhan akan pimpin. Oleh kerana baru dididik, ibarat orang berjalan hendak menyeberang dan melintas jalan yang di tengah-tengah ada benteng, dia sudah berada di atas benteng. Ertinya dia sudah di atas sempadan (border).
Kalau tidak ada ribut atau ujian, jika mati insyaAllah selamat. Sebab sudah di atas border tapi belum sampai ke seberang. Namun masih dalam bahaya kerana apabila datang ribut, dia mungkin berbalik semula. Atau bila ujian datang, walaupun tidak jatuh tetapi sudah mula goyang. Orang di atas border ini tidak dikatakan tenang, masih dalam keadaan bahaya. Baru diberi ilham. Bila sudah sampai ke seberang barulah, masuk kawasan selamat dan barulah dikatakan tenang.
4. Nafsu Mutmainnah
Istilah mutmainnah bermaksud tenang, tidak digugat oleh kesenangan dan kesusahan, tidak digugat oleh sihat atau sakit, orang hina atau orang puji. Semuanya sama sahaja. Pujian orang tidak menyebabkan hati terasa sedap dan tidak berbunga. Orang keji, tidak terasa sakit. Tidak ada perasaan hendak marah atau berdendam. Sebab hatinya sudah tenang, perkara positif atau negatif tidak menggugatnya. Orang ini sudah menjadi wali kecil, sudah naik di atas border orang soleh. Nafsu peringkat ini sudah sampai ke kawasan selamat, tidak tergugat lagi.
Maka Tuhan mengalu-alukan ketibaannya, dengan firman-Nya yang bermaksud : "Wahai nafsu (jiwa) yang tenang (suci). Kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dengan (hati) redha dan diredhai (Tuhan). Maka masuklah kamu dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah kamu ke dalam Syurga-Ku." (Surah Al Fajr ayat 27-30)
Dari ayat ini, seolah-olah Tuhan tidak sabar hendak menyambut tetamu-Nya: "Mari-mari, cepat-cepat Aku tidak sabar, Aku hendak jumpa engkau ini."
Kemudian, dalam ayat tadi, Tuhan berfirman:
Maksudnya: "Kembalilah dalam keadaan redha kepada Aku, dan Aku redha dengan engkau." (Al Fajr: 28)
Tuhan mengalu-alukan dan kalau mati pada waktu itu, dia selamat. Oleh kerana dia sudah selamat, sebab itulah Tuhan menyeru. Manakala bagi orang yang nafsunya belum selamat, dia akan mati dalam keadaan jikalau Tuhan hendak azab pun boleh, hendak diampunkan pun boleh.
Semuanya atas sebab keadilan Tuhan. Kalau kita hendak mengharapkan kekuatan diri sendiri, bimbang tidak selamat. Sebab itu kita mesti mencari kekuatan lain. Di antaranya perbanyakkan selawat, berbuat baik, bertawasul dengan guru-guru dan lain-lain, mudah-mudahan itu menyelamatkan. Allah berfirman:
Maksudnya: "Bergaullah dengan hamba-hamba-Ku (iaitu para rasul, para nabi dan wali-wali), dan masuklah ke Syurga. Ku." (Al Fajr: 29-30)
Ertinya, cari-carilah sebab untuk mendapatkan rahmat dan Allah SWT. Bila mencapai peringkat nafsu mutmainnah, baru¬lah selamat. Nafsu-nafsu di bawah daripada peringkat itu tidak selamat.
5. Nafsu Radhiah
Orang yang berada di peringkat nafsu radhiah ini, dia me redhai apa sahaja yang Allah takdirkan kepadanya. Ia terhibur dengan ujian. Ia merasakan ujian adalah hadiah dari Tuhan. Bila orang menghinanya, dia berterima kasih kepada Tuhan dan dia rasa bahagia. Sebab itu mereka yang berada di maqam ini, bila kena pukul, mereka rasa puas. Bila ditampar, seolah-olah minta ditampar lagi. Nafsunya sudah jadi malaikat.
6. Nafsu Mardhiah
Orang yang berada di peringkat nafsu ini ialah apa saja yang mereka lakukan mendapat keredhaan Tuhan. Mereka inilah yang disebut dalam Hadis Qudsi: "Mereka melihat dengan pandangan Tuhan, mendengar dengan pendengaran Tuhan, berkata-kata dengan kata-kata Tuhan."
Kata-kata mereka masin, sebab itu mereka cukup menjaga tutur kata. Kalaulah mereka mengatakan celaka, maka celakalah. Kerana kata-kata mereka, kata-kata yang diredhai Tuhan. Mereka memandang besar apa saja yang Tuhan lakukan.
7. Nafsu Kamilah
Nafsu peringkat ke-5, ke-6 dan ke-7 adalah darjat atau peningkatan kepada nafsu mutmainnah tadi. Bagi nafsu kamilah, manusia biasa tidak boleh sampai ke macam ini. Kamilah hanya darjat untuk para rasul dan para nabi. Manusia biasa hanya setakat peringkat keenam sahaja iaitu mardhiah. Ini sudah taraf wali besar.
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita tingkatkan nafsu kita daripada Ammarah atau Lawwamah kepada nafsu Mutmainnah dan seterusnya kepada nafsu Radhiah dan Mardhiah. Beruntunglah sesiapa yang dipilih oleh Allah SWT untuk dimasukkan kedalam hamba-hamba-Nya yang dirahmati dan diredai-Nya.
Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhan-Mu dengan hati yang reda dan diredai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku." (Surah al-Balad ayat 27-30)
No comments:
Post a Comment