Fitrahnya, manusia diciptakan dengan dikurniakan akal dan nafsu. Mengikut hawa nafsu boleh diertikan sebagai mengikut sesuatu yang disenangi jiwa tanpa pertimbangan akal yang sihat, mengendahkan hukum syariat dan tidak mempertimbangkan akibat yang muncul.
Hawa nafsu mendorong manusia larut dalam kemewahan, terpedaya dalam kerehatan dan hiburan, mengejar kuasa, pengaruh dan kedudukan, wanita dan kecantikan, emas perhiasan dan pelbagai kilauan dunia yang sementara.
Al-Quran menegah kita mengikut hawa nafsu kerana ia menyimpang dari kebenaran (4:135) bahkan menyesatkan manusia dari jalan Allah (38:26) ; (28:50). Rasulullah s.a.w juga mengingatkan kita bahawa orang yang cerdas ialah mereka yang mengawal diri dari mengikut hawa nafsu manakala mereka yang lemah adalah mereka yang menuruti hawa nafsu.
Dalam satu hadith riwayat Abu Daud, Rasulullah s.a.w berpesan bahawa akan muncul dari umat baginda, orang-orang yang mengabdikan diri mengikut hawa nafsu sebagaimana anjing mengabdikan diri kepada tuannya.
FAKTOR mendorong manusia mengikut hawa nafsu termasuklah cara pendidikan dari kecil yang terlalu dimanjakan. Ibu bapa yang mudah memenuhi kehendak anak-anak gagal mengajar anak untuk mengawal kemahuannya dan membiasakan diri untuk bersabar.
Bergaul dengan mereka yang bergelumang menuruti hawa nafsu juga sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran dan kecenderungan seseorang. Manusia mengikut hawa nafsu semata-mata akibat kurang mengenali Allah dan hari Akhirat.
Kita juga boleh lalai jika kita mula mengabaikan tanggungjawab kepada masyarakat, yakni kurang membuat kebajikan serta tidak endah akan realiti masyarakat yang memerlukan. Manusia yang terlalu cintakan dunia dan melupai akhirat akan tewas dalam pertimbangan antara keperluan dan kehendak.
Tidak mengetahui akan akibat buruk hawa nafsu juga penyebab manusia jatuh ke dalam lubuk kejahatan.
Antara AKIBAT buruk mengikut hawa nafsu adalah kurangnya ketaatan kepada Allah samada dalam melaksanakan amal mahupun menjauhi dari dosa dan perbuatan terlarang.
Hati menjadi keras atau mati, lalu gagal membezakan kebenaran dari kebatilan. Hati yang keras juga mudah meremehkan dosa dan tidak segan silu kepada Allah dalam kemaksiatan.
Mereka juga boleh menyesatkan orang lain dalam kehanyutan nafsunya. Mereka yang mengikut hawa nafsu mudah melakukan bid’ah, tidak mendapat hidayah dan bantuan Allah dalam kepayahan hidupnya.
PENYEMBUH bagi penyakit mengikut hawa nafsu ini tidak lain adalah mengenali Allah dan hakikat diri. Di samping itu, kita hendaklah sentiasa mengingati kesan buruk menuruti hawa nafsu, tidak rapat dengan mereka yang mengikuti hawa nafsu dalam tindak-tanduknya, bingkas menjalankan tanggungjawab sebagai ahli masyarakat terutamanya melalui kerja amal da’wah serta membaca dan mencontohi kisah-kisah para mujahid dalam sejarah Islam.
Haruslah juga kita sentiasa berwaspada dengan kemanisan dunia dan bersungguh-sungguh memohon pertolongan Allah agar diberi hidayah dan kekuatan dalam mentaatiNya.
Ingatlah bahawa “Ketenangan hanya dengan mengikut syariat, bukan mengikut hawa nafsu”.
(Ringkasan buku “Menggapai Ridha Ilahi” tulisan Sayyid Nu)
No comments:
Post a Comment