Amalkan Enam Perkara Untuk Meringankan Musibah
Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Orang mukmin sentiasa reda dengan apa saja ujian atau musibah yang berlaku keatas dirinya. Sifat reda dan sabar ketika menghadapai suasana genting adalah akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah S.W.T.
Menurut Ibn Qayyim dalam kitab Zad al-Ma'ad musibah yang berlaku boleh diringankan dengan enam cara :
1. Mengikut petunjuk Allah dan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya.
2. Mencari ilmu yang syar'i.
3. Bertaubat daripada dosa-dosa.
4. Mengamalkan zikir yang berterusan.
5. Berbuat baik kepada semua makhluk.
6. Melakukan mujahadah.
Huraiannya adalah seperti berikut :
1. Mengikut petunjuk Allah dan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya.
Firman Allah S.W.T maksudnya : "Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredaan-Nya kejalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki mereka kejalan yang lurus."
(Surah al-Maidah ayat 16).
Al-Quran merupakan sumber utama ajaran Islam, di mana di dalamnya terkandung hidayah dan petunjuk bagi setiap muslim dalam menjalani kehidupan agar selamat dan memperoleh kebahagiaan di dunia dan akhirat. Ada beberapa macam hidayah al-Quran kepada manusia iaitu mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya Ilahi. Ajaran al-Quran membimbing manusia agar keluar dari kegelapan yang berupa kekafiran, kesesatan dan kebodohan menuju cahaya Ilahi yang berupa keimanan, keislaman dan ilmu pengetahuan.
Kita perlu mengikhlaskan beribadah kepada Allah S.W.T. Ikhlas selalunya lahir dari hati.yang luhur dan mengharapkan reda Allah S.W.T. semata-mata. Inilah akan menjadi kunci kesempurnaan dan kejayaan segala amal. Allah S.W.T. akan menerima perbuatan atau amal yang dilakukan dengan ikhlas.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu wahai Muhammad dengan membawa kebenaran,oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya"
Ingatlah hak yang wajib dipersembahkan kepada Allah ialah segala ibadat dan amalan yg suci bersih dari segala rupa syirik.
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "...Kemudian Allah bertanya kepada orang yang beribadat dengan ikhlas. Dia menjawab, “Dengan kemuliaan dan ketinggianMu, Engkau lebih tahu apa yang aku kehendaki. Aku menghendaki zikir kepadaMu dan mengharap redaMu.” Allah berfirman maksudnya : “Benar hamba-Ku.” Dia pun dihantar ke syurga. (Hadis Riwayat Thabrani)
2. Mencari ilmu yang syar'i.
Mencari ilmu yang syar'i perlu menghadiri majlis ilmu dan tazkirah yang di adakan di masjid atau di surau. Mendengar dengan khusyuk penyampaian ilmu daripada guru-guru yang arif.
Nabi S.A.W. bersabda yang maksudnya, ”Barangsiapa menuntut ilmu bererti menuntut jalan ke syurga”.
(Hadis Riwayat Muslim)
Imam Asy-Syatiby di dalam kitab Al Muwafaqot, “Ilmu yang muktabar menurut syara’ adalah ilmu yang mendorong pemiliknya untuk beramal, yang tidak membiarkan pemiliknya mengikuti hawa nafsunya bagaimanapun ia, bahkan ia mengikat pengikutnya dengan ilmu tersebut, yang membawa pemiliknya mematuhi aturan-aturan-Nya suka atau tidak suka”.
3. Bertaubat daripada dosa-dosa.
Sebagai seorang hamba kepada Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, tidak ada permohonan yang lebih besar dari permohonan keampunan dari segala noda dan dosa. Setiap satu dosa yang kita kerjakan akan terjadi satu titk hitam pada hati-hati kita. Apabila terlalu banyak dosa yang dilakukan secara sedar atau tidak maka titik-titik hitam itu akan menjadi banyak hingga hati itu menjadi hitam pekat. Apabila hati sudah menjadi hitam maka selaput inilah yang menjadi hijab kepada Allah S.W.T
Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu siang untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu malam, dan membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu malam untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu siang. Hal ini berkekalan sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat."
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :
"Barangsiapa melazimi meminta ampun kepada Allah, nescaya Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dari setiap kesempitan dan menjadikan baginya jalan lapang dari setiap kesusahan serta Allah memberi rezeki kepadanya dari punca yang tidak disangka-sangka."
4. Mengamalkan zikir yang berterusan.
Sifat orang-orang mukmin lidahnya sentiasa basah berzikir kepada Allah S.W.T. Dengan berzikir hati akan menjadi tenteram, bahagia dan damai kerana perhubungan ketika itu adalah perhubungan terus kepada Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.”
(Surah Al Imran Ayat 191)
Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : “Orang yang membaca ‘Laailaha illallah’ di dalam keadaan penuh keikhlasan di dalam hatinya atau iman bersamaan dengan sebiji barli, maka ia akan dikeluarkan dari neraka jahanam. Dan orang yang membaca kalimah ini dan di dalam hatinya terdapat keikhlasan atau iman bersamaan sebesar biji gandum maka ia akan dikeluarkan dari api Neraka Jahanam dan orang yang membaca dengan penuh kebaikan atau iman maka ia juga akan dikeluarkan daripada api Neraka Jahanam”.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah S.W.T. Para malaikat selalu mengelilingi bumi. Para malaikat sentiasa memerhati majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malikat naik ke langit."
5. Berbuat baik kepada semua makhluk.
Menyebabkan dada menjadi lapang. Sifat orang mukmin akan berbuat baik kepada semua makhluk Allah S.W.T. di muka bumi. Samaada kepada manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan. Terutama kepada kedua ibu bapa, saudara mara, jiran tetangga dan anak yatim dan fakir-miskin.
Allah S.W.T. berfirman maksudnya :
“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan dari bisik-bisik mereka, kecuali siapa yang menyuruh bersedekah, kebaikan, atau mendamaikan antara manusia. Dan barangsiapa yang melakukan hal itu dengan mencari reda Allah, maka Kami akan memberikannya pahala yang besar.” (Surah an-Nisa ayat 114)
Allah ‘Azza wa Jalla mengabarkan bahwa semua hal di atas adalah bagi sesiapa pun yang merealisasikannya, serta kebaikan akan mengundang kebaikan dan menolak keburukan. Juga Allah ‘Azza wa Jalla janjikan bagi mukmin yang mengharap pahala-Nya, maka Allah akan memberikan pahala yang besar. Termasuk dari pahala yang besar itu adalah hilangnya kerisauan, kesusahan, kekeruhan hati, dan seterusnya.
6. Melakukan mujahadah .
Dengan melakukan mujahadah seseorang boleh mengikis sifat-sifat negatif yang ada pada dirinya. Pada adatnya tidak mungkin kita sampai pada lapangan makrifat terhadap Allah SWT apabila kita tidak mahu bermujahadah, tidak mahu melihat kelemahan-kelemahan yang terkandung dalam diri kita, lebih-lebih lagi kelemahan itu berupa penyakit hati.
Oleh itu Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Orang-orang yang berjuang di jalan Kami, sesungguhnya Kami akan memberi petunjuk mereka itu pada jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang membuat kebaikan.”
“Mujahadah” yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah memerangi hawa nafsu yang mengatasi segala kelemahan diri untuk mencapai dengan sempurna keredaan Allah SWT. Tegasnya, orang-orang yang mengerjakan sesuatu yang tidak baik bererti ia mendatangkan kekurangan pada peribadinya sendiri. Umumnya tabiat manusia tidak menghiraukan keaiban-keaiban tetapi mengutamakan pada hal-hal yang dianggap baik.
Bermujahadah melawan nafsu bererti berperang dengan diri kita sendiri. Apa yang di sukai oleh hawa nafsu akan disukai oleh diri kita sendiri. Hanya dengan ilmu yang tepat sahaja kita dapat menilai apakah kehendak itu baik atau jahat. Namun setakat tahu buruk atau baiknya belum cukup untuk kita mampu melaksanakan atau meninggalkan. Kita perlu bermujahadah dan terus bermujahadah. Ramai manusia yang tahu tapi tidak mahu melaksanakannya.
Dan ramai juga manusia yang mahu tapi tidak mampu kerana sentiasa mendapat bisikan syaitan , syaitan tidak pernah tidur. Begitu juga nafsu, musuh yang tidak pernah tahu erti lesu. Sedikit sahaja kita terleka, pasti kita di tipu dan dihasutnya.
Sahabat yang dimuliakan,
Apabila hati sentiasa berhubungan dengan Allah S.W.T, berdoa dan bermunajat, Allah S.W.T. akan meringankan segala bebanan dan penderitaan kita. Musibah yang datang juga akan diringankan oleh-Nya. Oleh it marilah kita sama-sama amalkan enam perkara yang tersebut di atas semoga kita menjadi hamba-hamba Allah yang dikasihi dan diredai-Nya.
Musibah Adalah Balasan Tuhan Kepada Kaum Yang Engkar
Sahabat yang dirahmati Allah,
Bila melihat gambar mangsa gempabumi di Haiti yang terbakar kulit ini segera mengingatkan kita akan ayat al Quran yang bermaksud :
"Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
(Surah an-Nisa' ayat 56)
Sanggupkan kita menghadapi seksaan sebegini bukannya sesaat, sejam, sehari... malah setahun tapi silap perhitungan berjuta-juta tahun bahkan mungkin kekal selama-lamanya. Oleh itu marilah kita merenung sejenak setiap tingkah laku kita bermula dari saat ini.. adakah kita mengikuti suruhan-Nya serta menjauhi larangan-Nya? adakah kita mendidik anak-anak serta kaum keluarga kita sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam? adakah kita menutup aurat? adakah kita masih melakukan maksiat? Kalau jawapannya masih lagi kita tidak melakukan ajaran Islam sepenuhnya maka janganlah menyesal kelak kita akan dibakar ke dalam api neraka sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah SWT.
Ketika nyawa sudah tiada maka tidak ada gunanya penyesalan lagi. Kita hanya boleh menyalahkan diri sendiri sahaja kerana Allah sudahpun memberi amaran kepada kita semua sejak ribuan tahun dahulu lagi.
Musibah Penghapus Dosa
Kehidupan manusia memang tidak dapat lari daripada menerima ujian
Setiap ujian yang Allah timpakan kepada manusia mempunyai pelbagai hikmahnya.Allah menguji hamba-Nya dengan penyakit, bencana, kekurangan harta, kematian, kekayaan dan sebagainya untuk melihat sejauh mana tahap keimanan seseorang hambanya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila Allah menyayangi seseorang hamba-Nya, Allah menguji dengan kesusahan sama ada pada diri, keluarga, anak mahupun pada harta-benda supaya dibersihkan daripada dosanya. Sekiranya dosa masih ada Allah akan membuatkan matinya menjadi susah supaya apabila bertemu Allah dalam keadaan tidak berdosa." Begitulah juga sebagai hamba apabila berhadapan dengan ujian dan musibah ia pasti mempunyai pengajaran untuk kebaikan manusia itu sendiri.
Musibah yang didatangkan itu bertujuan keampunan daripada dosa. Allah begitu sayang kepada hamba-Nya melebihi dari kasih sayang yang diberikan oleh seorang ibu kepada anak.
Walaupun hamba-Nya banyak melakukan kemungkaran dan dosa tetapi Allah tetap memberikan peluang untuk bertaubat. Maka nilai kesabaran dan reda ketika menerima ujian akan dinilai Allah sebagai penghapusan dosa.
Pada masa sama ada keterangan dan ayat yang menyatakan dosa menjadi penyebab datangnya bala.
Kalau dilihat sejarah lampau, mengapakah Allah menimpakan azab kepada kaum Nabi Nuh? Pada ketika itu mereka ditimpa ujian banjir besar selama lebih enam bulan. Begitu juga dengan kaum Nabi Luth di mana Allah terbalikkan lapisan bawah bumi naik ke atas, manakala yang atas dibenamkan ke perut bumi. Malah kesannya sehingga kini masih dapat kita lihat Laut Mati di Jordan. Lihat pula kaum Aad dan Thamud mati terkapar terputus jantung mereka kerana terkejut bunyi gempita suara tempikan malaikat. Pernahkah kita membaca sejarah Qarun yang tenggelam bersama kekayaannya hinggakan membentuk satu tasik yang amat besar dengan airnya laksana lautan? Pantai yang bertentangan tidak kelihatan kerana luasnya. Begitu juga Firaun yang gah ingin merebut segala gelaran hinggakan mahu menjadi Tuhan. Akhirnya, dia bukan saja tenggelam keseorangan di dalam laut malah segala kekuasaan, tentera dan gelarannya juga turut sekali lemas. Di sana ada seribu satu cerita kehancuran yang boleh dipelajari. Semua peristiwa ini berpunca kerana dosa.
Sayangnya Allah kepada hambanya ialah segala ditimpa kepada hambanya yang lemah ini, tetap ada kebaikan walaupun sekali imbas nampaknya amat memilukan. Mereka yang mendapat petunjuk menyedari hikmah di sebalik ujian. Ujian ada dua jenis. Pertama namanya bala dan yang kedua ibtila. Ibtila adalah kepayahan dan bencana yang menimpa dalam bentuk 'ujian' manakala bala ialah bencana dan kesusahan ditimpa dalam bentuk 'hukuman'. Ibtila yang melanda selepas menderita kepayahan dan keperitan adalah hukuman kepada mereka yang ingkar. Maka kita perlu sentiasa mengingati setiap tragedi seperti kejadian gempa bumi itu sebagai muhasabah diri. Sama-sama kita bertaubat atas dosa silam yang pernah dilakukan.
Keinsafan yang dikongsi di sini ialah kita tidak mempunyai kuasa, kita adalah insan lemah dan masih banyak lagi perkara yang 'ghaib' yang gagal dikesan oleh radar dan kecanggihan zaman moden sekarang(akhir zaman). Bukan saja tidak sempat bersedia untuk mengelak musibah malah ramalan kita juga tidak tentu tepat dan berkesan. Petanda awal muncul tidak sempat dibaca. Allah yang Maha Kuasa. Sebagai hamba amat malang jika kita hendak beradu kuasa dengan Allah. Allah amat penyayang. Namun, Allah sangat marah kepada yang ingkar dan tidak ikut petunjuk selepas diberi peringatan.
Allah ada peraturan yang mesti diikuti. Kalau orang langgar peraturan jalan raya ada akibatnya, langgar peraturan kerja ada kesannya apatah lagi melanggar peraturan Allah. Hanya kepada Allah tempat kita kembali merayu kerana Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan hamba-Nya. Disamping berdoa kita juga perlu berusaha keras menyelesaikan masalah yang dihadapi.janganlah kita ada perasaan buruk sangka terhadap Allah apabila musibah menimpa diri kita,sebaliknya kita renungi hikmah di sebalik musibah yang menimpa diri kita.mudah-mudahan kita menjadi seorang hamba Allah yang bersyukur.....insya'ALLAH......Amin.
DALAM hidup ini Allah sentiasa menguji kita. Ujian Allah pelbagai dan orang yang diuji Allah juga pelbagai. Ada yang diuji Allah dengan musibah seperti kematian orang disayangi, kebakaran, kemalangan, kehilangan, bencana alam dan yang selalu diuji Allah kepada kita ialah dengan mendatangkan sakit. Tidak seorang pun daripada kita yang hidup di dunia ini terlepas daripada menerima ujian Allah. Yang membezakannya hanya bentuk ujian itu. Ada yang ringan dan ada yang berat ujiannya.
Walau apa saja yang kita alami di dunia ini, ia adalah sunnatullah yang telah ditetapkan menurut hikmah-Nya sebagai cubaan dan ujian. Dalam al-Quran banyak disebut mengenai ujian Allah ini. Dengan kata lain, manusia sentiasa diuji oleh Allah dengan pelbagai bentuk sama ada manusia suka atau tidak Allah tetap mengujinya.
Al-Quran dalam surah Al-Anbiya ayat 35 Allah berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.”
Dalam surah Al-A’raf ayat 168 pula Allah berfirman yang bermaksud: “Dan, Kami cuba mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).”
Melihat dua firman Allah di atas, jelas bahawa pelbagai penyakit yang menimpa umat Islam itu adalah sebahagian daripada cubaan ataupun ujian Allah yang diberikan kepada hamba-Nya. Sesungguhnya cubaan dan ujian itu adalah sunnatullah yang telah ditetapkan berdasarkan rahmat dan hikmah-Nya, di mana di dalamnya terkandung kebaikan dan rahmat bagi hamba-Nya. Harus kita ingat bahawa Allah memberikan hidayah dan taufik kepada setiap hamba-Nya dengan jalan yang berbeza-beza. Salah satunya dengan mendatangkan musibah sakit kepada hamba-Nya.
Kita hendaklah sentiasa bersangka baik dengan Allah terutama ketika kita ditimpa musibah sakit atau musibah lain. Ujian sakit yang diberikan-Nya itu tanda kasih sayang-Nya dari Khalik kepada makhluk-Nya. Allah selalu mencintai hamba-Nya yang sabar, ikhlas dan redha. Dan sebagai hamba-Nya yang beriman, kita hendaklah selalu memuji Allah yang tak pernah putus-putus memberi rahmat kepada kita hatta ketika kita sakit.
Sehubungan itu, Rasulullah s.a.w.bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya, besarnya pahala sesuai dengan besarnya cubaan. Sesungguhnya, jika Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menguji mereka. Barang siapa yang reda dengan musibah itu maka baginya keredaan Allah. Dan barang siapa yang marah (tidak reda) dengan musibah berkenaan, maka baginya kemurkaan Allah.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)
Sabda Rasulullah lagi yang maksudnya: “Setiap sesuatu itu mempunyai hakikat dan tidaklah seorang hamba mencapai hakikat iman sehingga dia menyedari musibah yang menimpanya bukan untuk menyalahkannya dan kesalahan yang dilakukannya bukan sebab untuk ditimpakan musibah kepadanya.”
Syuraih rahimahullah berkata: “Aku benar-benar ditimpa musibah. Namun aku memuji kerana empat perkara. Aku memuji kerana musibah itu, bukan yang paling kuat, kerana kau dianugerahkan kesabaran menghadapinya. Kerana aku diberi taufik untuk mengucapkan ‘Ina lillahi wa inna ilaihi raji’un’ sehingga aku boleh memohon pahala, dan kerana musibah itu tidak dijadikan pada agamaku.”
Sementara Al Ghazali rahimahullah pula berkata: “Setiap musibah dan penyakit harus digambarkan ada yang lebih besar lagi. Sebab ketetapan Allah tidak boleh dicegah. Sekiranya Allah melipat ganda dan menambahkannya apakah yang boleh menolaknya? Walaupun demikian, dia tetap harus bersyukur kerana hal ini bukan yang paling besar di dunia.
Jadi, tidak seorang pun ditimpa musibah, melainkan dia harus melihat hal Allah yang boleh menimpakan musibah yang lebih besar lagi di dunia pun di akhirat.”
Sebenarnya ada hikmah bagi orang mukmin bila ditimpa sakit kerana dalam sakit itu terkandung pahala dan keampunan serta sekali gus mengingatkan kepada kita akan kekuasaan dan kebesaran Allah. Dan darjat yang tinggi Allah berikan kepada mereka yang tabah dan sabar dalam menghadapi musibah sakit ini, dengan syarat pesakit tidak melupakan kewajipan solat lima waktu. Betapa pun sakit itu tidak membolehkan kita untuk berdiri atau bersuci, namun kita tidak boleh meninggalkannya hanya atas sebab itu.
Sesungguhnya solat adalah jalan terbaik mendekatkan diri kita dengan Allah, di mana hanya Dia saja tempat untuk kita mohon pertolongan bila ditimpa musibah. Hanya Allah saja yang boleh membantu dan memberikan pertolongan kepada kita.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Solatlah di atas tanah selama kamu mampu. Jika tidak, cukup kamu memberi isyarat dengan menggerakkan badan dan lakukanlah sujudmu lebih rendah daripada rukukmu.”
(Hadis riwayat Thabrani dan disahihkan oleh Al-Albani).
Sementara Allah berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: “Bertakwalah kepada Allah menurut kesanggupanmu.”
(Surah At-Taqhaabun ayat 16)
Sama ada berat atau ringan sakit yang kita alami, semuanya cubaan dan ujian Allah kepada kita. Tapi kita tidak perlu bersangka buruk terhadap Allah kerana Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit itu tanpa ubatnya. Ertinya setiap penyakit yang ada di dunia ini ada ubatnya disediakan oleh Allah. Hanya mati saja tidak ada ubatnya.
Dari Abu Hurairah r.a. dia berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Allah tidak menurunkan penyakit melainkan pasti menurunkan ubatnya.”
(Hadis riwayat Al Bukhari)
Selain ubat, do'a juga penting untuk cepat menyembuhkan penyakit. Berdo'a bererti memohon kepada Allah yang Maha Mengetahui penyakit yang kita deritai dan Dia yang Maha Berkuasa dapat menyembuhkannya. Bersungguh-sungguhlah berdoa kepada Allah.
Firman Allah dalam al-Quran surah Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai Aku, maka sesungguhnya Aku ini dekat. Aku mengabulkan permintaan orang yang berdoa, jika ia benar-benar memohon pada-Ku.”
No comments:
Post a Comment