Tuesday, March 11, 2014

MUHASABAH

Muhasabahlah Dirimu Setiap Hari



Wahai Sahabatku yang dirahmati Allah,
Ingatlah ketika Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
(Surah al-Hasyr ayat 18)

Ayat di atas mengingatkan  agar selalu muhasabah diri.
Kamu ibarat pedagang di dunia ini :
Ajaran Islam dan segala hukumnya adalah modalmu.
Keikhlasan, ketaatan dan istiqamah adalah strategimu.
Pahala dan keampunan dari Allah adalah untungmu.
Keredhaan Allah adalah matlamatmu.
Tempoh perniagaanmu hanya seumur hidupmu sahaja.
Jika kamu beruntung dan berjaya hendaklah kamu bersyukur kepada Allah s.w.t. sambil mengucap 'Alhamdulillah.'

Sahabat yang dimuliakan,
Hayatilah firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Dan (ingatlah), tatkala Tuhanmu memaklumkan :' Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti kami akan menambah (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih."

Jika ditakdirkan kamu kurang bernasib baik dalam hidup ini, rugi atau gagal apa yang dihajatkan maka janganlah lemah dan patah semangat, perbaikilah langkah kamu sambil memohon ampun kepada Allah. Mungkin ada dosa-dosamu yang menyebabkan kegagalan ini. Ucaplah istighfar agar Dia mengampunkan dosa-dosamu dan segala keterlanjuranmu.

Sahabat,
Kamu adalah batu-bata yang menegakkan bangunan Islam.
Jangan biarkan masamu walaupun sedikit berlalu begitu sahaja.
Gunakanlah masa itu untuk menghitung diri, hingga kamu ketahui amalan mana yang harus dipelihara atau diperelokkan dan amal mana yang harus ditinggalkan.
Dengan demikian, kamu dapat meneruskan langkah-langkah sebagai seorang yang beriman dengan lebih mantap untuk hari esok yang pastinya lebih mencabar akalmu, jiwamu dan syaksiahmu.

Ingatlah pesanan Saydina Umar al-Khattab r.a :
"Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab (Allah) dan timbanglah dirimu sebelum ditimbang (Allah) serta bersiap-siaplah untuk menghadapi hari peperiksaan yang paling besar (hari kiamat)".

Kerana itu sahabatlah yang diharapkan untuk membawa kebenaran dan kejayaan Islam!
Oleh itu berilah perhatian yang sungguh-sungguh akan semua pesanan ini.
Lantaran itu, fikirkan sedalam-dalamnya mengenai :

Pertama : Gerak hatimu.
Adakah gerak hati dan niatmu ikhlas kerana Allah s.w.t. dalam melakukan sesuatu kerja. Adakah hatimu ada perasaan takabur dan ujub?.Ingatlah perasaan takabur dan ujub akan menghapuskan pahala dan amalan kebaikan.

Kedua : Perkara yang memenuhi akalmu.
Adakah kamu faham perbedzaan antara fikrah Islam dengan fahaman-fahaman sekular yang lain seperti nationalis, sosialis, kapitalis dan komunis? Untuk menjadi Muslim yang tulin dan baik, maka fahaman-fahaman yang sesat ini perlulah dijauhi dan dihindari agar ia tidak mempengaruhi akal dan fikiranmu sehingga ianya boleh membei kesan dalam kehidupan untuk menjadi hamba Allah s.w.t.

Oleh itu tingkatlah ilmu pengetahuan Islam, hadirlah dimajlis-majlis ilmu dan membaca buku-buku karangan ulama'-ulama' yang muktabar supaya ilmu dan fikrahmu benar-benar tulin yang tidak dipengaruhi dengan fahaman-fahaman sekular.

Ketiga : Kerjaya dan perniagaanmu.
Adakah semua kerja kamu semata-mata untuk menimbunkan kekayaan hingga melupakan perjuangan menegakkan agama Islam? Adakah kerja-kerja kamu menguntungkan atau merugikan Islam? Adakah kamu memperolehi rezeki dari sumber yang halal? Adakah dengan rezeki yang kau terima ada memberikan sedekah dan infak dijalan Allah?

Oleh itu ingatlah semua rezeki datangnya dari Allah s.w.t, kita akan ditanya dari mana sumber datangnya rezeki dan kemana ianya digunakan.

Keempat : Ibdah kamu kepada Allah.
Adakah kamu tunaikan solah lima waktu dengan sempurna, tepat waktunya dan khusyuk? Adakah kamu tunaikan secara berjemaah di masjid? Dan adakah kamu tunaikan zakat jika simpananmu mencukupi? Adakah kamu menjaga hubungan kamu dengan Allah setiap masa dan ketika, dan merasai bahawa Allah s.w.t. memerhatikan setiap pergerakanmu setiap masa dan ketika?. Ingatlah bahawa kita diciptakan Allah s.w.t. adalah semata-mata untuk memperhambakan diri kepada-Nya.

Kelima : Aktiviti dan tugas harianmu.
Adakah kamu telah melaksanakan tugasmu terhadap orang tuamu, rakan-rakanmu, jiranmu, anak-anak yatim dan masyarakat sekelilingmu? Adakah kamu menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah dan melaksanakan amal ma'aruf nahi mungkar? Semua amal-amal kebajikan yang kamu laksanakan akan dikira sebagai amal soleh dan amal kebajikan yang akan dapat membantumu ketika kamu berhadapan dengan Allah dihari akhirat nanti.

Wahai sahabatku,
Memanfaatkanlah sisa-sisa usiamu yang tinggal dengan berusaha memperbaiki diri.
Hiasilah diri kalian dengan akhlak Islam, melahirkan contoh dan peribadi yang mulai untuk menjadi ikutan oleh orang lain.

Jangan pandang dan buangkan jauh-jauh budaya serta akhlak yang bukan datang dari al-Qur'an dan Sunnah Nabi s.a.w. Jauhkan diri dari budaya barat dan timur yang bertentangan dengan Islam.

Juga sentiasalah kalian merasakan Allah sentiasa mengawasimu. Dialah Penguasa dan Pemilik segala yang ada di langit dan di bumi, baik yang nampak oleh mata zahirmu atau yang tidak kelihatan.

Ingatlah! CCTV Allah merakamkan setiap masa dan ketika dan malaikat pencatat amal tidak pernah rehat mencatat amal kebaikan dan keburukanmu. Setiap anggotamu (melainkan mulut) dan bumi yang kau pijak akan menjadi saksi di hadapan Allah di atas setiap perbuatan dan niat-niatmu ketika di dunia.

Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya berita yang akan disampaikan oleh bumi ialah bumi menjadi saksi terhadap semua perbuatan manusia, sama ada lelaki ataupun perempuan terhadap apa yang mereka lakukan di atasnya." 
Bumi akan berkata: 'Dia telah melakukan itu dan ini pada hari itu dan ini'. Itulah berita yang akan diberitahu oleh bumi." 
(Hadis riwayat Imam Tirmizi).

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud "Akan dihadapkan pada hari kiamat seorang hamba, lalu ia meihat dalam suratan amalnya ada haji, umrah, jihad, zakat dan sedekah, maka ia berkata dalam hatinya; dari mana semua itu padahal aku tidak berbuat semua itu, mungkin ini bukan suratan amalku. Maka Allah berfirman;' Bacalah itu suratan mu, semasa hidupmu dulu sering berkata, andainya aku mempunya harta nescaya aku jihad. Aku mengetahui akan niatmu itu, maka Aku beri pada mu pahala semua itu."

Akhirkata, fahamai dan amalkanlah apa yang dinyatakan oleh hadis Nabi s.a.w.
Dari Syadad bin Aus r.a. berkata, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : " Orang yang pandai adalah yang menghisab (menilai) dirinya sendiri serta beramal untuk kehidupan sesudah kematian. Sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikuti hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah s.w.t.)
(HR. Imam Turmudzi, ia berkata, ‘Hadits ini adalah hadis hasan’)

Semoga sahabatku sentiasa mendapat petunjuk dan rahmat dari Allah s.w.t.

Muhasabah Diri Setiap Hari.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Syadad bin Aus r.a. berkata, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : " Orang yang pandai adalah yang menghisab (menilai) dirinya sendiri serta beramal untuk kehidupan sesudah kematian. Sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikuti hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah s.w.t.)
(HR. Imam Turmudzi, ia berkata, ‘Hadits ini adalah hadis hasan’)

Gambaran Umum Hadis.
Hadis di atas menggambakan hidup di dunia merupakan rangkaian dari sebuah perancangan dan tujuan besar seorang hamba, iaitu mencari keredhaan Rabbnya. Dan dalam menjalankan tujuan tersebut, seseorang tentunya harus memiliki matlamat (ghayah), perencanaan (ahdaf), strategi (takhtith), pelaksanaan (tatbiq) dan penilaian (muhasabah).

Perkara terakhir merupakan pembahasan utama yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis ini. Bahkan dengan jelas, Rasulullah s.a.w. mengaitkan muhasabah dengan kejayaan, sedangkan kegagalan akan berlaku apabila mengikuti hawa nafsu dan banyak angan-angan.

Sahabat yang dimuliakan,
Hadis di atas dimulakan oleh Rasulullah dengan sabdanya, "Orang yang pandai (berjaya) adalah yang menghisab (menilai) dirinya sendiri serta beramal untuk kehidupan setelah kematian." Ungkapan sederhana ini sungguh menggambarkan sebuah pandangan jauh yang harus dimiliki seorang Muslim.
Seorang Muslim tidak seharusnya hanya berwawasan sempit dan terbatas, sekedar pemenuhan keinginan untuk jangka waktu terdekat sahaja. Namun lebih dari itu, seorang Muslim harus memiliki pandangan dan perancangan untuk kehidupannya yang lebih kekal abadi. Kerana orang yang berjaya adalah yang mampu mengatur keinginan yang sementara demi keinginan jangka panjangnya.
  
Orang bertakwa adalah yang ‘rela’ mengorbankan keinginan duniawinya, demi tujuan yang lebih mulia, ‘kebahagian kehidupan ukhrawi.’
Dalam Al-Qur’an, Allah s.w.t. seringkali mengingatkan hamba-hamba-Nya mengenai matlamat besar ini, di antaranya adalah dalam al-Qur'an Surah Al-Hasyr ayat 18–19.

Muhasabah inilah yang digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai kunci pertama dari kejayaan. Selain itu, Rasulullah s.a.w. juga menjelaskan kunci kejayaan yang kedua, iaitu tindakkan selepas muhasabah. Maknanya setelah muhasabah harus ada tindakan untuk memperbaikinya.
  
Dalam hal ini diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya dalam hadis di atas dengan 'dan beramal untuk kehidupan sesudah kematian.’ Potongan hadis yang terakhir ini diungkapkan Rasulullah s.a.w. adalah penjelasan tentang muhasabah. Kerana muhasabah juga tidak akan memberi makna jika kita tidak memperbaikinya.
Terdapat hal menarik yang tersirat dari hadis di atas, khususnya dalam penjelasan Rasulullah s.a.w. mengenai kejayaan. Orang yang pandai senantiasa menilai terhadap amalnya, serta beramal untuk kehidupan jangka panjangnya iaitu kehidupan akhirat. Dan penilaian tersebut dilakukan untuk kepentingan dirinya, dalam rangka peningkatan kepribadiannya sendiri.

Sementara itu orang yang gagal disebut sebagai orang yang lemah kerana mengikuti hawa nafsunya, membiarkan hidupnya tidak memiliki matlamat, tidak memiliki perancangan, tidak ada tindakan dari perancangan.
  
Sedangkan orang yang lemah juga  memiliki banyak angan-angan dan khayalan, 'berangan-angan terhadap Allah.’ Maksudnya, adalah sebagaimana dikemukakan oleh Imam Al-Mubarakfuri dalam Tuhfatul Ahwadzi, sebagai berikut:" Dia (orang yang lemah), bersamaan dengan lemahnya ketaatannya kepada Allah dan selalu mengikuti hawa nafsunya, tidak pernah meminta ampun kepada Allah, bahkan selalu berangan-angan bahwa Allah akan mengampuni dosa-dosanya."

Kepentingan Muhasabah:
Imam Turmudzi setelah meriwayatkan hadits di atas, juga meriwayatkan ungkapan Umar bin Khattab dan juga ungkapan Maimun bin Mihran mengenai keperluan dari muhasabah.

1. Mengenai muhasabah, Umar r.a. mengemukakan:
"Hisablah (periksalah) diri kalian sebelum kalian dihisab, dan berhiaslah (bersiaplah) kalian untuk hari akhirat (yaumul hisab). Dan bahwasanya hisab itu akan menjadi ringan pada hari qiamat bagi orang yang menghisab dirinya di dunia."

Sebagai sahabat yang dikenal yang berpandangan jauh, Umar memahami benar kepentingan dari muhasabah ini. Pada kalimat terakhir pada ungkapan di atas, Umar mengatakan bahwa orang yang biasa menghisab dirinya akan meringankan hisabnya dihari akhirat kelak. Umar faham bahwa setiap insan akan dihisab, maka iapun memerintahkan agar kita menghisab diri kita sebelum mendapatkan hisab dari Allah s.w.t.

2. Sementara Maimun bin Mihran r.a. mengatakan:
"Seorang hamba tidak dikatakan bertakwa hingga ia menghisab dirinya sebagaimana dihisab pengikutnya dari mana makanan dan pakaiannya".

Maimun bin Mihran merupakan seorang tabiin yang cukup masyhur. Beliau wafat pada tahun 117 H. Beliau pun sangat memahami kepentingan muhasabah, sehingga beliau mengaitkan muhasabah dengan ketakwaan. Seseorang tidak dikatakan bertakwa, hingga menghisab dirinya sendiri. Kerena beliau melihat salah satu ciri orang yang bertakwa adalah orang yang senantiasa memereksa amal-amalnya. Dan orang yang bertakwa, pastilah memiliki matlamat, iaitu untuk mendapatkan redha Ilahi.

3. Keperluan lain dari muhasabah adalah kerena setiap orang kelak pada hari akhirat akan datang menghadap Allah s.w.t. secara sendiri-sendiri untuk mempertanggung jawabkan segala amal perbuatannya. Allah s.w.t. menjelaskan dalam Al-Qur’an yang maksdunya :  “Dan tiap-tiap mereka akan datang kepada Allah pada hari qiamat dengan sendiri-sendiri.”
(Surah Maryam ayat 95).
Aspek-Aspek Yang Perlu Kita Bermuhasabah :
Terdapat beberapa aspek yang perlu di muhasabah oleh setiap Muslim, agar ia menjadi orang yang pandai dan berjaya :
1.Aspek Ibadah
Pertama kali yang harus dinilai oleh setiap Muslim adalah aspek ibadah. Karena ibadah merupakan tujuan utama diciptakannya manusia di muka bumi ini. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Adz-Dzaariyaat ayat 56, maksudnya, "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."

 2. Aspek Pekerjaan dan Rezeki.
Aspek kedua ini sering kali diambil ringan, atau bahkan ditinggalkan dan tidak dipedulikan oleh kebanyakan kaum muslimin. Kerena sebagian mereka menganggap bahwa aspek ini adalah urusan duniawi yang tidak memberikan pengaruh pada aspek ukhrawinya.
  
Sementara dalam sebuah hadis, "Dari Ibnu Mas’ud r.a dari Nabi Muhammad saw. bahawa beginda bersabda : ‘Tidak akan bergerak tapak kaki anak Adam pada hari kiamat, hingga ia ditanya tentang lima perkara; umurnya untuk apa dihabiskannya, masa mudanya, kemana dipergunakannya, hartanya dari mana ia memperolehnya dan ke mana dibelanjakannya, dan ilmunya sejauh mana diamalkannya ."
(Hadis Riwayat  Turmudzi).

3.Aspek Kehidupan Masyarakat Islam .
Aspek yang tidak kurang penting untuk dinilai adalah aspek kehidupan sosial, dalam hubungan muamalah, akhlak dan adab dengan sesama manusia. Kerena kenyataannya aspek ini juga sangat penting, sebagaimana yang digambarkan Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis :
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”
Sahabat-sahabat baginda menjawab :
“Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari qiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.”
(Hadis Riwayat Muslim dan Turmizi)

Kita perlu berhati-hati supaya tidak menjadi orang yang muflis sebagaimana digambarkan Rasulullah s.a.w. dalam hadits di atas. Datang ke akhirat dengan membawa pahala amal ibadah yang begitu banyak, namun bersamaan dengan itu, ia juga datang ke akhirat dengan membawa dosa yang bersangkut paut dengan orang lain secara negatif ; mencaci, mencela, menuduh, memfitnah, memakan harta tetangganya, mengadu domba dsb. Sehingga pahala kebaikannya habis untuk menutupi keburukannya. Bahkan kerena kebaikannya tidak cukup untuk menutupi keburukannya tersebut, maka dosa-dosa orang-orang yang dizaliminya tersebut diberikan pada dirinya. Hingga jadilah ia tidak memiliki apa-apa, selain hanya dosa dan dosa, akibatnya ia dicampakkan ke dalam api Neraka. Na’udzubillah min zalik.

4. Aspek Dakwah
Aspek ini sesungguhnya sangat luas untuk dibicarakan. Kerena menyangkut dakwah dalam segala aspek; sosial, politik, ekonomi, dan juga yang bersangkut paut dari da’wah itu sendiri mengajak orang pada kebersihan jiwa, akhlak yang mulia, memakmurkan masjid, menyempurnakan ibadah, melahirkan budi pekerti yang luhur, taat pada Allah, banyak istighfar dan taubat dsb.

Tetapi yang cukup penting dan perlu di ambil perhatian adakah kita telah bermuhasabah  aspek dakwah in, adakah kita telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang besar ini iaitu amal maaruf dan nahi mungkar. Segala kekurangan dan kesilapan dalam kita menjalankan tugas ini perlulah dibaiki segera supaya kita dapat melaksanakan amanah ini. Allah s.w.t akan perhatikan adakah kita benar-benar telah menjalankan tugas dengan ikhlas dan jujur.



Jadilah Hamba Kepada Yang Maha Pemurah

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Suatu ketika Madinah di timpa kemarau berpanjangan. Bekalan makanan terutamanya gandum makin berkurangan. Harga barang-barang keperluan turut melambung naik. Bagi yang hartawan sibuk membeli dan menyimpan bekalan makanan yang dikhuatiri akan habis di pasaran. Sedangkan rakyat yang miskin berbelanja hanya seadanya sahaja. Tidak tentu bagaimana nasib mereka jika mungkin di pasar kehabisan makanan. Begitu sekali keadaan yang berlaku, kaum yang berada seolah-olah sangat takut jika terpaksa berhadapan dengan kebuluran.

Di sebuah ladang, seorang tuan ladang yang kaya sedang kebingungan. Setiap tahun hasil ladangnya di bahagi tiga . Sepertiga untuk keperluan keluarga sendiri, sepertiga untuk di sedekahkan kepada fakir miskin dan anak-anak yatim dan sepertiga lagi untuk benih tanaman musim berikutnya.

Di sebabkan kemarau, hasil ladangnya turut terjejas dan berkurangan. Sukatan yang biasa di gunakan mengalami masaalah untuk mencukupkan pembahagian . Jika diagihkan sepertiga untuk fakir miskin dan sepertiga untuk keperluan keluarga, yang selebihnya tidak mencukupi untuk sukatan benih tanaman berikutnya. Jika dikurangkan simpanan untuk makanan sepanjang tahun , dikhuatiri keluarganya menghadapi kekurangan makanan. Jika di ambil sedikit bahagian untuk fakir miskin, bererti dia mencuri sedekah yang sudah di janjikan. Masaalah ini sangat memeningkan kepala. Tuan ladang lantas pergi meminta nasihat dari ulama sufi.

Ulama sufi itu mencadangkan kepada tuan ladang : “Di hujung kampung ada seorang janda dengan tujuh orang anak yang masih kecil. Pergilah ke rumah mereka dan berikanlah sedekah makanan.”

Tuan ladang mengikut sahaja cadangan ulama sufi tersebut. Dia segera menuju ke rumah janda miskin yang di maksudkan dengan membawa gandum untuk di sedekahkan.

Janda : “Ada apa urusan tuan datang ke pondok saya malam begini?”

Tuan ladang : “Saya membawa gandum untuk keperluan makan anak-anakmu.”

Janda : “Anak-anak saya sudah tidur.”

Tuan ladang : “Kamu ambil dan simpan sahaja untuk keperluan hari esok.”

Janda :” Apakah tuan dapat menjamin anak-anak saya masih hidup lagi esok.?”

Tuan ladang : “Insya Allah, mudah-mudahan masih hidup lagi esok.”

Janda : “Jika demikian, hanya Allah sahaja yang dapat menentukan bagaimana keadaan hari esok. Tuhan Yang Maha Pemurah yang menentukan hidup anak-anak saya. Maka Dia jugalah yang akan memberikan rezeki untuk mereka, bukannya tuan. Dalam keadaan kemarau dan semua orang menghadapi kesulitan mendapat bekalan makanan saya tidak dapat menerima pemberian ini. Masih ada orang miskin lain yang lebih memerlukannya untuk makan malam ini. Sudah tentunya tidak patut saya menghalang keutamaan orang lain.

Setiap patah kata-kata janda beranak tujuh itu memberi kesan mendalam kepada tuan ladang. Spontan jelas dalam jiwa dan fikirannya, janda tersebut berkeyakinan penuh kepada ketentuan rezeki dari Allah. Tidak sedikit pun merasa khuatir walau dalam keadaan genting. Malahan masih mampu mengutamakan keperluan orang lain. 

Tuan ladang merasa tidak patut sama sekali bagi dirinya yang jauh lebih berkemampuan dari janda miskin itu di kalahkan oleh keyakinan yang lemah. Sepatutnya dengan limpahan rezeki yang Allah kurniakan, dia tunduk dan patuh sebagai hamba kepada Yang Maha Pemurah. Juga dengan senang hati mengagih-agihkan rezeki yang telah Allah amanahkan.

Pertemuan dengan janda tersebut juga mendorong tuan ladang bersegera membahagikan sepertiga bahagian hasil tuaian tanamannya kepada fakir miskin dan anak-anak yatim ,seperti selalunya. Juga sepertiga untuk benih tanaman berikutnya. Manakala untuk keperluan makanan keluarganya, memadai dengan jumlah yang selebihnya. Kini dia telah benar-benar meyakini agihan rezeki yang adil dari Yang Maha Pemurah. Tiada lagi kekhuatiran di hatinya setelah dia meletakkan kedudukan dirinya sebagai hamba kepada Yang Maha Pemurah.

Sahabat yang dimuliakan,
Bagaimana sikap kita menghadapi kegawatan ekonomi pada masa ini? Dan menghadapi kegawatan gaya hidup yang mencabar, dan bagaimana bentuk keyakinan di hati kita? 

Islam sememangnya menganjurkan umatnya sentiasa gigih berusaha mencari rezeki juga membaiki cara hidup. Namun sepenuh pengharapan positif mestilah di serahkan kepada Allah, yang menetapkan kadar rezeki setiap hamba-Nya. 

Usah sekali-kali kekhuatiran terhadap kepentingan diri sendiri menghalang kita memenuhi hak dan amanah yang telah Allah tetapkan. Sentiasalah ingat kita ini juga adalah hamba kepada Yang Maha Pemurah. Keadaan ini kekal dan tidak berubah sehingga tiba hari perhitungan.

Rasulullah SAW  mengajar kita berdoa untuk memohon kepada Allah SWT. agar mendapat peluang perniaggan dan rezeki yang lumayan, maksudnya :

"Ya Allah, jadikanlah aku antara kalangan hamba-Mu yang mendapat bahagian (pencapaian) yang hebat pada nur yang Engkau kurniakan sebagai hidayah, dan rahmat yang Engkau kurniakan, dan rezeki yang Engkau sebarkan, dan mudharat yang Engkau selamatkan (daripada menimpa hamba-hamba-Mu), dan bala yang Engkau angkatkan (daripada menimpa hamba-hamba-Mu), dan fitnah yang Engkau jauhkan (daripada menimpa hamba-hamba-Mu), dan keburukan yang Engkau hindarkan (daripada menimpa hamba-hamba-Mu)." (Hadis Riwayat Ibn Abi Syaibah dan al-Tabrani)

Sahabat yang dikasihi,
Pengajaran-pengajaran yang boleh di ambil daripada kisah di atas adalah :

1.Sikap tidak mementingkan diri sendiri dan mementingkan keperluan orang lain adalah satu peribadi yang mulia dan di tuntut oleh Islam.

2.Apabila menghadapi sesuatu masaalah kita di galakkan merujuk permasaalahan kita kepada orang yang lebih arif dan berilmu supaya masaalah tersebut dapat di atasi dengan baik.

3.Sedekah kepada fakir miskin dan anak-anak yatim adalah amalan mulia dan akan di beri ganjaran pahala yang besar oleh Allah SWT.

4.Keyakinan kita yang mutlak bahawa rezeki itu datang dari Allah SWT yang bersifat Maha Pemurah adalah dari keimanan kita kepada Tauhid Rububiyah dan sebagai hamba Allah kita di minta berikhtiar tetapi segala keputusan dan ketetapan datang dari Allah SWT.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML