Tuesday, March 11, 2014

AIB YANG HARUS DIDEDAHKAN DAN YANG HARAM DIDEDAHKAN

Mengumpat Dan Mendedahkan Aib Antara Yang Di Haruskan Dan Di Haramkan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah S.A. W. menjelaskan mengenai mengumpat separti sabdanya bermaksud "Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya" (Hadis Riwayat Muslim)

Maka, janganlah mengumpat dan memperkatakan keburukan orang lain yang tidak izinkan syarak. Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : “Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan jangan lah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan orang lain biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya.

Ia di samakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri. Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah SWT biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya diakhirat.

Lihatlah betapa besarnya dosa orang yang mengumpat. Ringan di mulut, berat timbangan dosa di akhirat. Yakni ringan sahaja untuk kita mengumpat, tetapi dosa itu teramat berat dan besar di sisi Allah SWT. Perkara ini terlalu biasa bagi masyarakat kita sehingga tidak sedar akan dosa-dosa dari perbuatan mengumpat.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. "Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat" (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)

Nabi SAW bersabda maksudnya : " Barang siapa menutup aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat." (Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Secara umumnya mengumpat atau mendedahkan aib seseorang itu hukumnya adalah haram. Tetapi di dalam beberapa keadaan atau kes tertentu Islam masih mengharuskannya dengan beberapa syarat yang ketat supaya perkara ini tidak disalah gunakan demi kepentingan golongan tertentu.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Jauhilah perkara-perkara keji yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah. Ini kerana jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla."

(Hadis Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau berkata: “Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya.” Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.)

Firman Allah SWT maksudnya : "Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan buruk sangka (kecurigaan), kerana sebagian dari buruk sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat (49) ayat 12)

Apabila Islam mengharuskan orang untuk menyatakan keburukan orang lain atau mengumpat , orang yang tidak faham atau kurang ilmu serta tidak bertanggungjawab akan mudah menggunakan alasan ini untuk mengumpat. Perbuatan ini lebih menjurus kepada keburukan daripada kebaikan.

Di dalam Islam terdapat perkara-perkara yang mengharuskan atau membolehkan kita untuk mengumpat atau menceritakan keburukan orang lain. Sebagaimana terdapat di dalam beberapa hadis dengan huraian yang jelas dan dapat difahami di dalam kitab-kitab muktabar seperti Riyadhus Salihin karangan Imam Nawawi. Apakah jenis mengumpat yang dibolehkan dan apakah disiplin-disiplin serta prinsip yang membolehkan seseorang itu mengumpat dengan maksud yang dibolehkan oleh syarak. Disiplin-disiplin inilah yang mesti ditekankan secara terperinci sebelum seseorang itu mendedahkan kesalahan orang lain yang mana ia akan dipertanggungjawabkan dan akan dibicarakan di mahkamah Allah pada hari akhirat kelak.

Sahabat yang dihormati,
Di senaraikan tujuh tempat yang dibenarkan mengumpat (ghibah) atau mendedahkan aib seseorang. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama: Mahu mengadu kepada qadi, polis, imam, ketua kampung dan sebagainyanya kerana teraniaya. Ketika mengadu tidak boleh tidak kita terpaksa membuka kezaliman yang telah dilakukan terhadap kita. Dengan membuka keburukan orang berkenaan, barulah pengadilan dapat dilaksanakan.

Mereka-mereka yang dizalimi juga dibenarkan untuk memberitahu kesalahan orang yang menzaliminya kepada orang lain agar pembelaan yang adil dapat dilakukan sebagaimana dalam firman Allah SWT maksudnya : "Allah tidak menyukai ucapan buruk, (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya. Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui (Surah an-Nisa' (4) ayat 148)

Kedua: Mahu mencegah kemungkaran dan kemaksiatan yang berlaku. Keburukan pelaku maksiat itu boleh diceritakan kepada seseorang yang dapat diharapkan boleh menghindarkan kemungkaran itu. Seperti kita melihat sebahagian anak-anak muda di kawasan kita membawa perempuan ajnabi balik ke rumahnya (berkhalwat).Kita hendaklah mencari seseorang yang boleh diharapkan dapat menghalang perkara berkenaan. Kita dibenarkan menceritakan perihal anak-anak muda itu kepadanya.

Daripada Abu Said al Khudri r.a. katanya : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : "Sesiapa dikalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia menegah dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman " (Hadis  riwayat Muslim)

Ketiga: Meminta fatwa dari alim-ulama. Contohnya dalam masalah rumahtangga, jika si suami melakukan sesuatu yang tidak baik kepada isterinya (contoh: tidak beri nafkah), dia boleh mengadu hal kepada ulama/mufti meminta fatwa. “Suami saya tidak memberi saya nafkah selama sekian lama. Apa hukumnya dia melakukan demikian. Apakah yang harus saya lakukan?”

Aisyah r.a. berkata: "Hindun binti Uthbah (isteri Abu Sufian) berkata kepada Nabi SAW.: Sesungguhnya Abu Sufian seorang yang kedekut dan tidak memberi cukup belanja kepada ku dan anak-anakku, kecuali kalau saya ambil di luar pengetahuannya. Nabi SAW. menjawab: Ambillah secukupmu dan ank-anakmu dengan sederhana.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keempat: Memberi peringatan (agar berhati-hati) dan nasihat kepada kaum muslimin tentang kejahatan seseorang. Bahkan jika dapat memberi mudarat kepada seseorang, wajib kita jelaskan keburukannya. Contoh, apabila seseorang datang kepada kita meminta nasihat tentang perkahwinan anak perempuannya. Apakah wajar dikahwinkan dengan si fulan? Sedangkan kita  tahu bahawa si fulan itu adalah seorang yang buruk akhlaknya dan lemah agamanya. Jika memadai dengan kata ‘JANGAN’, hendaklah kita mengatakan begitu sahaja. Jika dirasakan tidak cukup, wajiblah kita  membuka aibnya.

“Fatimah binti Qais berkata: Saya datang kepada Nabi SAW. bertanya tentang dua orang yang meminang saya, iaitu Abu Jahm dan Muawiyah. Maka Nabi SAW. bersabda: Adapun Muawiyah, dia adalah seorang yang miskin, manakala Abu Jahm, dia adalah seorang yang suka memukul isteri.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menunjukkan bahawa Nabi SAW. ada menceritakan keburukan orang lain untuk mencapai maksud yang dibenarkan oleh syarak. Dan tiada pilihan lain melainkan memberitahu aib orang berkenaan.

Kelima: Mencela orang yang secara terang-terangan melakukan kefasikan, bidah dan kezaliman. Contoh, seorang yang secara terang-terangan meminum arak, berjudi, amalkan sihir, ambil rasuah atau melaksanakan projek-projek batil. Yang dibenarkan hanyalah menyebutkan kemaksiatan yang dilakukan secara terang-terangan itu sahaja. Dan diharamkan menyebutkan aib-aib lain.

Yang perlu ditekankan adalah adakah dengan perbuatan mendedahkan kesalahan orang lain ini boleh menyebabkan orang lain berhati-hati atau boleh menyebabkan orang lain berjaga-jaga daripada keburukan yang dibawa oleh orang yang didedahkan keburukan tersebut.

Keenam: Untuk mengenalkan seseorang. Jika seseorang itu memang dikenali dengan julukkan si tempang, si buta dan sebagainya, boleh saudara menyebutkan jolokkan itu dengan niat mengenalkan. Haram jika dengan niat mencemuh. Walaubagaimanapun selagi boleh mengelakkan menyebut julukkan yang  tidak baik itu, elakkan..

Ketujuh : Untuk memilih pemimpin negara dalam pilihanraya demokrasi..

Seseorang pemimpin yang mahu melayakkan dirinya sebagai seorang pemimpin, rakyat perlu tahu latar belakang dan jenis pemimpin yang perlu mereka pilih supaya pemimpin yang dipilih itu nanti adalah seorang pemimpin yang baik dan bersih. Kesilapan rakyat membuat pilihan menyebabkan mudarat yang lebih besar melanda negara jika rakyat tidak di dedahkan keburukan pemimpin tersebut. Tetapi keburukan-keburukan tersebut perlulah mempunyai bukti yang sahih dan tidak boleh membuat tuduhan dan andaian mengikut emosi.

Rakyat perlu juga mengetahui secara jelas cara pentadbiran dan pengurusan yang pernah dilakukan sebelum dipilih semula samaada telus atau berlaku penyelewengan .

Yang perlu ditekankan dan yang paling penting adalah kesahihan sesuatu maklumat. Keburukan atau benda yang tidak baik yang hendak dinyatakan itu mestilah benar dan sahih semata-mata. Jika tidak, ia akan jatuh ke lembah fitnah.

Justeru itu, sasaran ataupun tujuan untuk mendedahkan kesalahan orang itu perlu jelas dan mempunyai matlamat yang dibenarkan. Niat seseorang itu mestilah betul dan ikhlas dalam memperkatakan keburukan seseorang itu. Yakni yang boleh memudaratkan orang ramai jika tidak diperkatakan.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menjauhkan diri daripada mengumpat atau membuka aib seseorang yang boleh mendatangkan dosa kecuali di dalam beberapa perkara yang diharuskan syarak. Untuk itu kita perlu berhati-hati jangan sampai niat yang baik itu bertukar menjadi buruk kerana dorongan nafsu dan godaan syaitan.

Jalan yang paling selamat, adalah jika sesuatu berita itu masih samar-samar dan tidak dapat dipastikan kesahihannya. Jangan terus menyebarkan berita-berita tersebut kerana bimbang kita tidak berada di pihak yang benar. Islam amat menekankan supaya kita berhati-hati terhadap berita-berita yang dibawa oleh orang fasik. Islam juga amat menititberatkan dan menyuruh kita menyemak dan mengkaji dahulu berita-berita yang kita terima. Allah SWT menjelaskan di dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (Surah al-Hujurat (49) ayat 6)

Wallahu’alam..


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML