Jauhi Lima Golongan Yang Akan Menjadi Muflis di Hari Akhirat
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Kehidupan masa kini dizaman ICT dan teknologi tanpa sempadan, seseorang itu boleh mencari kebaikan dan pahala dengan mudah atau menghimpun dosa-dosa besar tanpa disedarinya.
Apabila seorang penguna internet menyebarkan informasi dan ilmu yang bermanfaat untuk dikongsikan bersama dengan penguna internet yang lain, disitu terbuka ruang kebaikan dan pahala disisi Allah SWT. Satu butang di klik sahaja boleh dikongsikan bersama ratusan ribu pengguna diseluruh dunia. Inilah kelebihan dunia alam siber yang dicipta oleh manusia. Di zaman tahun 80 an atau 70 an keadaan seperti ini tidak pernah dirasai oleh generasi masa itu, kerana penggunaan talipon bimbit, komputer, internet dan sistem satilet jarang digunakan. Perhubungan masa itu banyak menggunakan surat menyurat atau perjumpaan secara fizikal. Penyampaian maklumat hanya bergantung kepada surat akhbar, radio dan television. Manakala ilmu pula di perolehi melalui kuliah di masjid atau membaca buku-buku sahaja.
Begitu juga sebaliknya dengan kecangihan teknologi masa kini seseorang boleh menghimpun dosa besar yang banyak apabila suka melayari gambar-gambar lucah, menyebarkan fitnah, mendedahkan aib seseorang dan mengajak kepada perbuatan mungkar dan maksiat.
Seorang pengguna internet samaada melalui blog atau facebook hanya menulis dua atau tiga baris perkataan yang berbentuk fitnah atau berita palsu kemudian disebarkannya hanya dengan di klik satu butang sahaja maka dalam masa beberapa saat sahaja berita tersebut boleh diterima oleh ratusan ribu manusia di seluruh dunia maka pada saat itu juga dosa-dosanya datang mencurah-curah dan dicatat oleh malaikat pencatat amal (Raqib dan Atid), sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud ; "(Ingatlah) ketika dua malaikat mencatat (perbuatannya) yang satu duduk disebelah kanan dan yang satu duduk disebelah kiri." (Surah Qaf ayat 17).
Semua pahala dan kebaikannya dicatat oleh malaikat sebelah kanannya (Raqib) manakala dosa dan keburukannya akan di catat oleh malaikat yang duduk sebelah kirinya (Atid).
Kenapakan manusia tidak merasa takut dengan dosa dan seksaan Allah SWT yang dahsyat dihari akhirat nanti apabila dia berseronok-seronok untuk menjatuhkan maruah seseorang dengan berita fitnah atau mengaibkan orang lain? Bukan itu sahaja malahan melalui internet juga seseorang amat mudah untuk "bercinta" dengan isteri orang atau suami orang dan meruntuhkan rumah tangga orang lain, ini juga satu dosa yang besar disisi Allah SWT.
Semasa peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW di nampakkan beberapa seksaan-seksaan yang akan di terima umatnya di hari akhirat nanti kerana dosa-dosa yang pernah mereka lakukan di dunia. Salah satu seksaan yang dahsyat yang akan diterima oleh umatnya adalah mereka yang suka bermusuhan sesama saudara muslim dan suka cari aib orang lain dan didedahkan kepada orang ramai.
Nabi SAW bersabda maksudnya : "...ada sekelompok lagi kukunya terbuat daripada tembaga api neraka, panjang kukunya lalu mencakar-cakar mukanya.dan mengoyak-ngoyakan mukanya sendiri, hancur muka dan dikembalikan lagi ke bentuk asal begitulah berulang-ulang. Ini balasan untuk mereka yang sentiasa bermusuh-musuhan sesama saudara muslim, suka cari aib orang lain, menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri."
Sahabat yang dimuliakan,
Setiap hari apabila kita baca sahaja akhbar arus perdana atau berita dalam blog dan facebook kita akan bertemu berpuluh-puluh berita-berita fitnah memfitnah, mengaibkan orang lain, tuduh menuduh, hina menghina, cabar mencabar, maki-hamun, dan berbagai-bagai andaian yang negatif dilemparkan kepada golongan yang lain.
Masing-masing rasa bangga dan riak di atas usaha-usaha mereka mengaibkan orang lain. Perkara yang paling mendukacitakan ada terdapat pemimpin lama (umur melebihi 80an) tetapi masih suka membuat fitnah dan tuduhan kepada musuh politiknya. Sedikitpun tidak merasa bersalah dan tidak mahu bertaubat diatas segala kesalahan-kesalahannya masa lampau kerana mungkin dia merasakan umurnya masih panjang lagi. Ingatlah pesan Nabi SAW kepada Saidina Ali k.w yang bermaksud : "Wahai Ali ! Sebaik-baik manusia di sisi Allah SWT. adalah yang memberi kemanfaatan bagi manusia. Adapun seburuk-buruknya di sisi Allah adalah orang yang berumur panjang tetapi buruk amal perbuatannya."
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :
“Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”
Sahabat-sahabat baginda menjawab :
“Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”
Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.”
(Hadis Riwayat Muslim dan Turmizi)
Dalam hadis di atas Nabi SAW menyatakan secara khusus mereka yang akan menjadi muflis di hari akhirat adalah mereka yang suka :
1. Kesalahan memaki hamun orang ini.
2. Menuduh orang itu.
3. Memakan harta orang orang ini.
4. Menumpah darah orang itu dan
5. Memukul orang.
Huraiannya :
1. Kesalahan memaki hamun orang ini.
Golongan yang suka memaki hamun orang lain adalah pemimpin dan ahli-ahli politik (dalam ceramah dan kempennya terutama menjelang pilihan raya), wartawan politik dan penulis blok (penyokong pemimpin tertentu) . Apabila terkeluar daripada lidah mereka perkataan maki-hamun langsung tidak pernah teringat akan seksaan Allah SWT di akhirat.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor (maki hamun).” (Hadis Riwayat Ibnu Mas'ud)
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Bukankah manusia terjerumus ke dalam neraka kerana tidak dapat mengendalikan lidahnya?”. (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Nabi SAW berwasiat kepada Saidina Ali k.w maksudnya : "Wahai Ali ! Janganlah engkau mencaci-maki orang Islam atau mencaci-maki binatang kerana cacian itu akan kembali dirimu sendiri. Wahai Ali ! Kuasailah lisanmu dan biasakanlah dia mengucapkan yang baik, kerana tidak ada yang lebih berbahaya bagi manusia pada hari kiamat yang melebihi ketajaman lisannya. Wahai Ali ! Jauhilah tukang caci-maki kerana ia suka membuka aib orang dan ia tidak akan masuk syurga."
2. Menuduh orang itu.
Golongan yang suka menuduh orang lain atau membuat fitnah adalah :
2.1. Pemimpin dan ahli politik (tuduhan ini dibuat supaya menjatuhkan maruah musuh politiknya supaya rakyat mengalihkan sokongan kepada kumpulannya)
2.2. Wartawan akhbar (ketua pengarang dan wartawan). Menyerang habis-habisan parti lain yang bukan parti yang mereka sokong. Manipulasi ucapan seseorang dengan andaian-andaian negatif.
2.3. Wartawan hiburan yang suka memfitnah para aris untuk melariskan jualan majalah hiburan mereka.
2.4. Penulis blog yang "mencari makan" dan mendapat upah daripada golongan tertentu terutama daripada parti politik. Penulis ini tidak beretika semasa menulis kerana fitnah yang ditulis tidak mempunyai bahan bukti yang sahih dan hanya berbentuk sangkaan dan andaian sahaja.
2.5. Ahli perniagaan dan individu tertentu.
Golongan ini sanggup membuat sumpah palsu menggunakan al-Quran . Sumpah palsu ini pula dilakukan dimasjid untuk megelirukan orang ramai. Golongan ini juga sanggup membuat vedio seks palsu, mengadakan sidang akhbar menuduh seseorang melakukan zina dan liwath tanpa membawa empat orang saksi yang adil.
2.6. Pengguna internet yang tidak berakhlak.
Golongan ini adalah golongan yang suka mengaibkan rakannya yang lain melalui status dan wall rakannya dan membuat tuduhan dan fitnah kerana sifat marah dan benci kepada seseorang. Kadangkala dia sanggup meyebarkan cerita palsu kepada rakan-rakan orang yang di bencinya supaya maruh dirinya tercalar dan dia merasa puas hati. Inilah sifat yang paling buruk dan bukan daripada akhlak Islam. Sifat suka mengaibkan orang lain akan menyebabkan aibnya akan didedahkan oleh Allah SWT di dunia dan akhirat.
2.7. Bekas pemimpin politik dan pensyarah universiti (bahagian penyiaran atau undang-undang)
Golongan ini kadangkala berat sebelah apabila membuat komen dan ulasan terhadap seseorang individu dan mudah membenarkan tuduhan yang diterimanya melalui media masa. Apabila mereka membenarkan berita fitnah, mereka juga termasuk di dalam golongan yang buruk akhlaknya.
2.8. Suami dan isteri yang tidak bersefahaman yang sedang untuk bercerai.
Golongan ini suka mendedahkan keburukan pasangan masing-masing di dalam facebook atau akhbar untuk mencari pubisiti dan simpati orang lain. Jika tidak berhati-hati akan mendapat dosa besar di sisi Allah SWT iaitu suami akan menjadi dayus dan isteri pula akan menjadi nusyuz.
Rasulullah SAW pernah bertanya sahabatnya: "Adakah aku belum pernah menerangkan kepadamu orang yang paling jahat daripada kamu?" Sahabat menjawab: "Belum!", lalu Nabi bersabda bermaksud: "Mereka yang berjalan ke sana ke mari membawa fitnah, mereka yang membuat kerosakan antara sesama sahabat dan mereka yang mencari-cari kekurangan pada orang yang tidak bersalah." (Hadis riwayat Ahmad)
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Tidak akan masuk syurga pembawa fitnah"
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Yang paling dikasihi oleh Allah di antara kamu adalah : mereka yang baik akhlak, yang merendahkan sayapnya (diri), yang suka dengan orang dan yang disukai orang. Manakala yang dimurkai oleh Allah adalah : mereka yang pergi membawa fitnah, yang menceraiberaikan di antara saudara dan mencaci orang yang tidak bersalah akan kesalahannya" (Hadis riwayat Tabharani dan Abu Hurairah r.a.)
3. Memakan harta orang orang ini.
Golongan yang suka mengambil harta orang adalah golongan peragut, pencuri, perompak, menipu dalam perniagaan, pemimpin yang mengambil harta dan tanah rakyat (memberikan kepada kroninya sahaja bukan kepada mereka yang layak) dan mengambil rasuah ( untuk berlaku tidak adil)
Dari Abu Salamah r.a., terdapat banyak permusuhan antara dirinya dengan orang banyak. Hal ini diberitakannya kepada Aisyah r.a. Aisyah berkata: Hai Abu Salamah! Hindarilah perbuatan mengambil tanah orang lain! Nabi SAW pernah bersabda: "Barangsiapa yang mengambil tanah orang lain tanpa hak agak sejengkal, maka akan dikalungkan kepadanya tujuh lapis bumi."(Hadis Riwayat Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang merosak nama baik atau harta benda orang lain, maka minta maaflah kepadanya sekarang ini, sebelum datang hari di mana mata wang tidak laku lagi. Kalau ia mempunyai amal baik, sebahagian dari amal baiknya itu akan diambil, sesuai dengan kadar aniaya yang telah dilakukannya. Kalau ia tidak mempunyai amal baik, maka dosa orang lain itu diambil dan ditambahkan kepada dosanya."
(Hadis Riwayat Bukhari)
Dari Abdullah Umar r.a., Nabi SAW. bersabda: "Aniaya itu menjadi kegelapan di hari kiamat."
(Hadis Riwayat Bukhari)
4. Menumpah darah orang itu dan 5. Memukul orang.
Golongan ini adalah golongan pemimpin yang zalim (berlaku di Mesir, Libya, Syria dan ditempat-tempat lain) membunuh rakyatnya yang tidak berdosa, perompak (cara bersenjata mencederkan mangsanya), membunuh manusia lain termasuk ibu yang membunuh bayi baru dilahirkan (kerana berzina), pembunuh upahan, pengawal keselamatan yang memukul orang ramai yang berhimpun secara aman hingga tercedera (pihak atasan yang mengarahkannya akan mendapat saham yang sama) dan suami (yang bengis) yang suka memukul isterinya hingga cedera.
Dari Abu Sa'id Al-Khudri r.a., bahawa Nabi S.A.W. bersabda: "Tidak ada seseorang yang melakukan sesuatu perbuatan aniaya terhadap orang lain di dunia dengan tidak menyerah dirinya kepada orang itu untuk membalasnya, nescaya Tuhan akan menyerahkannya kepada orang itu supaya membalasnya pada hari kiamat."
(Hadis Riwayat Baihaqi)
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita menjauhkan diri daipada terlibat sama di dalam perkara-perkara dosa yang melibatkan lima golongan manusia yang akan mendapat pangkat " MUFLIS" di hari akhirat. Jika kalian tidak melakukan tetapi kalian bersubahat dan menyokong lima golongan tersebut di atas di khuatiri kalian juga akan mendapat saham yang sama. Kerena redha perkara dosa akan sama seperti melakukan dosa tersebut.
Berhati-hatilah kerana biasanya dimusim pilihan raya dosa-dosa fitnah dan mengaibkan orang lain akan datang bertali-arus sehingga kalian boleh mempercayainya dan "tumpang semangkuk" di atas dosa orang lain yang kalian tidak lakukan. Semoga kalian semua dilindungi Allah SWT daripada kerosakkan ini oleh itu sentiasalah kalian istiqamah dengan Islam dan akhlak Islam dan menjauhkan diri daripada fitnah dunia akhir zaman ini. Waullahualam.
Siapakah Orang Muflis di Hari Akhirat?
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”
Sahabat-sahabat baginda menjawab : “Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”
Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.”
(Hadis Riwayat Muslim dan Tirmizi)
Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa amal soleh (sembahyang, puasa dan zakat) yang di lakukan sesaorang belum tentu menjamin dia akan masuk syurga , sekiranya di samping dia membuat amal soleh tersebut dia juga melakukan amal kejahatan yang membawa kepada dosa. Apabila berlaku proses timbangan segala amalan-amalan manusia yang baik dan buruk , maka sekiranya habis amalan kebaikannya di bayar atas kesalahannya tadi maka ketika ini dia akan jadi Orang Muflis. Segala penyesalannya sudah tidak berguna lagi kerana dia akan di masukkan kedalam neraka.
Oleh itu ingatlah, bahawa orang yang paling rugi di akhirat nanti adalah Orang Muflis ,semasa di dunia tidak berhati-hati dalam tindakan dan amalannya, banyak di dorong oleh hawa nafsu dan pujukan syaitan. Pepatah melayu ada berkata : “Ikut hati mati, ikut rasa binasa dan ikut nafsu lesu .“ Anggota manusia yang paling bahaya adalah lidah. Walaupun dia lembut dan tidak bertulang tetapi apabila silap menggunakannya ianya boleh menghumban pemiliknya masuk kedalam neraka.
Sahabat yang dimuliakan,
Hidup di zaman siber ini, cabarannya amat hebat. Bertugas sebagai pengarang media, wartawan, penulis blog, penulis bebas, pengulas dan pengacara radio dan tv dan ahli -ahli politik, kesemua mereka ini amat perlu berhati-hati di dalam memberi apa-apa pandangan dan ulasan mengenai peribadi sesaorang yang ingin di nyatakan. Sekiranya apa yang di katakan tidak betul dan berbentuk fitnah dan mengumpat, mereka akan di pertanggung jawabkan di hadapan Allah SWT, tangan yang menulis dan lidah yang berkata-kata ini akan menjadi saham untuk memotong amalan-amalan kebajikan pelaku-pelakunya untuk di berikan kepada mangsa-mangsa yang teraniaya di atas perbuatannya.Bayangkanlah sekiranya berita palsu tersebut telah tersebar di dalam internet dan di baca atau di dengar oleh berjuta-juta manusia di dunia ini, macamana kita hendak tarik balik berita tersebut? Oleh itu berhati-hatilah sebelum membuat sesuatu tindakan supaya amalan kebajikan kita tidak menjadi sia-sia dan tidak dapat membantu kita di akhirat nanti kerana telah habis di bayar hutang untuk dosa-dosa kita.
Dari itu kita perlulah membuat persiapan di dunia ini dengan mengerjakan amalan-amalan soleh dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t. dan tinggalkan segala perbuatan dosa dan menyakiti orang lain.Hanya melalui proses tarbiyyah imaniah yang berterusan sahaja akan dapat memandu kita di jalan yang lurus dan di redhai Allah SWT.
No comments:
Post a Comment