Merenung Empat Mesej Daripada ALLAH, Tuhan Semesta Alam
Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah S.W.T. kerana masih lagi diberi-Nya peluang untuk menikmati kurniaan-Nya yang tidak terhingga di sekeliling kita. Di sana ada kurnia yang paling tinggi dan besar menjadi penentu kebahagiaan hidup kita di alam fana ini seterusnya negeri akhirat iaitu iman dan Islam.
Walaupun kita memiliki harta yang berlimpah ruah dan jawatan yang paling tinggi tetapi jika tidak memiliki iman dan Islam semua itu tidak bernilai di sisi Allah S.W.T. Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabatnya dan pejuang-pejuang Islam dan ulama muktabar telah berkorban dan berjuang menyelamatkan umat Islam khususnya bahkan umat Islam umumnya daripada bencana keimanan iaitu kekufuran kepada Allah S.W.T.
Sedar atau tidak, kita telah hampir melupakan bencana alam paling besar di dalam sejarah peradaban dunia iaitu ombak besar tsunami dan gempa bumi yang sebahagian besar mangsanya adalah warga Acheh, di Indonesia.
Di Asia Barat pula, bencana kemanusiaan tidak pernah reda, malah tidak tahu bila akan berakhir. Mungkin, disana juga Allah mahu menyedarkan umat Islam di seluruh dunia yang sudah hilang semangat persaudaraan dan perpaduan di atas akidah Islam, lalu dicipta bencana kemanusiaan menerusi tangan-tangan kaum Yahudi laknatullah (zionisme)
Kita juga dikejutkan dengan kejatuhan dua rejim iaitu di Tunisia dan Mesir yang mana para pemimpinnya cukup kejam dan zalim menganiaya dan merampas hak umat Islam disana. Peristiwa ini pasti bala daripada Allah S.W.T. kepada mereka yang memerentah secara kuku besi dan menjadi 'budak suruhan' kepada Amerika dan Yahudi laknatullah.
Di beritakan bahawa 20 buah negara Arab yang lain sudah mula bangkit gelumbang rakyat yang dahagakan keadilan kerana sudah terlalu lama menderita dengan kezaliman pemimpin mereka yang telah lari jauh daripada meghayati kitab suci al-Quran dan sunnah Nabi-Nya.
Kesemua ini ada hikmahnya di sisi Allah S.W.T. kerana Dia sentiasa mendengar doa dan rintihan para hamba-hamba-Nya yang di zalimi.
Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang di zalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara."
(Hadis riwayat Hakim - sanad sahih)
Dari Khuzaimah bin Thabit r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : " Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang di zalimi. Allah S.W.T. berkata maksudnya : 'Demi kemulian dan keagunganKu, Aku pasti akan menolongmu walaupun setelah masa yang lama."
(Hadis riwayat Tabrani - sanad hasan)
Sahabat yang dimuliakan,
Allah Yang Maha Penyayang dan Pemurah lebih tahu atau amat mengasihi umat Islam yang semakin hari semakin lupa kepada-Nya. Justeru itu, Dia membangkitkan kesedaran kepada umat Islam supaya bangkit dan bangun untuk menegakkan keadilan dan kebenaran dan hanya Dia sahaja yang akan mendatangkan rasa takut kepada hati para pemimpin yang zalim supaya sedar akan kesalahan diri mereka dan kembali mendaulatkan peraturan dan undang-undang Allah S.W.T. yang telah lama ditinggalkan.
Setelah kejatuhan Khalifah Islamiah di Turki maka negara umat Islam telah berpecah belah dan mereka membawa negara mereka masing-masing untuk diperentah oleh golongan elit yang dilatih oleh penjajah. Mereka di arahkan untuk meninggalkan peraturan dan undang-undang Islam yang menjadi asas dan dasar di dalam kerajaan Islam (khalifah Islamiah). Akibatnya umat Islam berpecah belah dan mudah di peralatkan oleh penjajah dan mereka mengwujudkan negara haram Israel dengan merampas tanah saudara kita Palestin pada tahun 1948.
Walaupun negara Israel kecil dengan penduduk tidak samapai 5 juta tetapi mampu menguasai dan melakukan kezaliman kepada umat Islam Palestin sedangkan 22 buah negara Islam Arab berada di sekeliling negara Israel hanya berdiam diri dan tidak mampu melakukan apa-apa tindakkan balas. Di mana maruah umat Islam yang cintakan saudara seakidah dan sanggup membiarkan hari demi hari umat Islam Palestin diananya, di zalimi dan dibunuh seorang demi seorang?
Sahabat yang dikasihi,
Tragedi demi tragedi melakar sejarah kehidupan umat manusia menjelang alaf baru. Baik bencana alam maupun bencana angkara manusia semakin kerap terjadi. Tapi petaka bukan perkara baru dalam kehidupan manusia. Ia sudah tercatat dalam lipatan sejarah sejak berkurun lalu dari tragedi banjir besar zaman Nabi Nuh a.s., letusan gunung berapi Vesuvius keatas Pompeii, azab Allah ke atas umat Nabi Luth, Ad dan Thamud hingga tsunami Krakatoa di Selat Sunda, Indonesia dan taufan Katrina yang melanda New Orleans, Amerika Syarikat.
Bencana alam yang meragut nyawa dan harta benda dalam sekelip mata amat menakutkan. Sama ada ia di tafsirkan sebagai satu kejadian putaran alam atau dikaitkan dengan kemurkaan Tuhan, namun apa yang pasti ia petanda serta peringatan bahawa betapa lemahnya manusia untuk menghalang kekuasaan Allah yang menetapkan tragedi seperti itu.
Apakah bencana alam ini satu petanda bahawa kiamat sudah semakin hampir? atau ia sebahagian daripada percikan tempias kiamat yang bakal pasti mengakhiri umur dunia ini sebagaimana yang dijanjikan Ilahi. Bencana kiamat itu tentunya satu kejadian maha dahsyat yang jauh lebih ngeri daripada apa yang pernah kita gambarkan. Bencana alam itu semua sudah cukup menyebabkan manusia pasrah dan merasakan bagaimana kiamat tiba.
Hari ini manusia masih memberi alasan di atas kejadian tsunami atau apa-apa pun bencana yang berlaku mutakhir ini. Pengajaran daripada kejadian itu masih tidak banyak dihayati oleh mereka. Apa, perlu disajikan kepada mereka kemusnahan yang lebih teruk lagi agar mereka benar-benar akui kuasa Tuhan dan kedaifan diri sendiri? Bencana tidak berlaku begitu sahaja, tetapi menjurus kepada sebab musababnya. Hukum alam datangnya dari Allah dan ujian juga datang dari-Nya. Apa yang kita pelajari dari tragedi tersebut?
Allah tidak menjadikan sesuatu peristiwa secara percuma, sebaliknya adalah untuk manusia mengambil ikhtibar daripadanya. Sifat insan yang bermaksud pelupa itu sendiri perlu diberi peringatan agar tidak terpesong dari landasan sebagai seorang hamba.
Banyak hikmah yang boleh dipelajari daripada setiap kejadian bencana alam :
Pertama : Allah ingin memperingatkan manusia bahawa Dia berkuasa melakukan sesuatu pada bila-bila masa sahaja. Allah boleh menggerakkan sebahagian daripada makhluknya untuk peringatan kepada manusia. Antara makhluk Allah adalah laut, angin, haba, hujan atau gunung-gunung. Ilmu yang Allah berikan kepada kita amat sedikit sehingga kita tidak mampu meramal dengan tepat.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Adapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya, Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka: batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang. Dengan yang demikian, dapatkah engkau melihat lagi sisa-sisa mereka (yang masih hidup)? "
( Surah Al-Haqqah ayat 6 – 8 )
Kedua : Allah mahu manusia mengenali diri dan sedar akan kemampuan Allah Yang Maha Agung. Manusia diingatkan bahawa yang lebih kekal adalah akhirat. Jangan angkuh dengan apa yang dimiliki kerana ia akan ditarik sekelip mata dan menjadikan kita merana dalam keadaan penuh hina. Mereka dialpakan dengan habuan dunia serta menganggap mati itu masih jauh lagi. Allah ingin mengingatkan, kudrat mausia itu sangat lemah dan rapuh.
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : "Orang yang paling menyesal pada hari kiamat ialah lelaki yang ada peluang menuntut ilmu di dunia tetapi ia tidak mengambil kesempatan menuntutnya, dan lelaki yang mengajar ilmu kepada orang lain; lalu yang belajar darinya mendapat faedah dari ilmu itu sedangkan ia sendiri tidak mendapat apa-apa."
Ketiga : Allah ingin mengingatkan manusia tentang kemusnahan total yang bakal berlaku. Dunia ini akan digoncang pada hari kiamat dan manusia jadi tidak menentu serta bingunglalu hancur bersama harta-harta mereka. Gempa tsunami Acheh hanya pada 9.0 skala Richter. Bagaimana pula jika berlaku pada skala 29 atau 30 skala Richter? Maka bumi yang sangat kecil ini akan musnah dalam masa tiga hingga empat minit sahaja! Bukit dan gunung ganang akan hancur menjadi debu. Bacalah al-Quran yang banyak menceritakan tentang apa yang bakal berlaku dan pasti berlaku.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Dan (ingatlah) hari (ketika) ditiup sangkala, maka terkejutlah segala yang ada dilangit dan segala yang dibumi, kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Dan semua mereka datang menghadapi-Nya dengan merendahkan diri.”
(Surah an-Naml ayat 87).
Sesudah sangkala ditiup, semua manusia berada dalam kadaan huru hara dan sangat terkejut, setiap orang membawa diri masing-masing untuk menyelamatkan diri sendiri.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Dan apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkala yang kedua) pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dan dari ibu bapanya, dan dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.”
(Surah ‘Abasa ayat 33 – 37)
Keempat : Paling penting dari kejadian bencana ialah Allah mahu mengingatkan manusia yang sesat dan enggan bertaubat agar kembali kepada ajaran Islam. Apakah perlu diturunkan bala di depan mata untuk membuatkan mereka sedar, itu pun jika mampu membuat mereka insaf dalam erti kata sebenar?
Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : “Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar berfirman : “Aku menurut dugaan hambaKu kepadaKu, dan Aku bersamanya ketika ia ingat kepadaKu. Demi Allah, sungguh Allah lebih suka kepada taubat hambaNya dari pada salah seorang di antaramu yang menemukan barangnya yang hilang di padang. Barangsiapa yang mendekatkan diri kepadaKu sejengkal maka Aku mendekatkan diri kepadanya sehasta. Dan barangsiapa yang mendekatkan diri kepadaKu sehasta, maka Aku mendekatkan diri kepadanya satu depa. Apabila ia datang kepadaKu dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari kecil. (Hadis Riwayat Muslim).
Sahabat yang dihormati,
Marilah sama-sama kita merenung mesej daripada Allah S.W.T. dan ingatlah bahawa setiap masa dan saatnya diri kita sentiasa diawasi oleh malaikat yang mencatat amal perbuatan manusia. CCTV Allah S.W.T. sentiasa merakam segala perbuatan dan percakapan kita berjalan terus 24 jam tanpa berhenti. Tidak ada satu saat pun masa yang berlalu melainkan semuanya ada di dalam pengetahuan Allah S.W.T. hinggakan bisikan hati dan niat di hati kita semuanya tidak boleh terlepas daripada pengetahuan-Nya, maka perlulah kita sentiasa perbaiki amalan hidup kita jauhilah segala maksiat yang yang di dorong oleh hawa nafsu dan bisikan syaitan.
Ingatlah hidup kita di dunia ini hanya sementara janganlah kita rosakkan masa depan kita di hari akhirat dengan melakukan dosa besar, maksiat, berkhalwat atau menjalinkan perhubungan yang diharamkan oleh Allah S.W.T. Jagalah mata, telinga, mulut dan hati kita supaya semuanya nanti akan dihisab dan ditanya satu persatu. Seorang isteri janganlah melakukan curang kepada suaminya kerana perbuatan tersebut menyebabkan dia akan dimasukkan kedalam api neraka dan seorang suami jauhilah daripada bersikap dayus kerana tidak menegur isterinya supaya berlaku sopan dengan akhlak Islam. Kerana seorang dayus tidak akan mencium bau syurga.
Kebanyakkan bala yang diturunkan Allah S.W.T adalah disebabkan dosa besar dan maksiat yang dilakukan berterusan tanpa ada yang menegurnya dan ianya dibiarkan berlaku tanpa sekatan. Oleh itu marilah kita menginsafi diri kita dan kembali kejalan Allah dan sentiasa bertaubat kepada-Nya.
No comments:
Post a Comment